Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : ANGKASAPURI
Tarikh/Date : 17/05/88
Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI 1408
HIJRAH/1988 MASIHI
Bismillahir rahmanir rahim.
Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Allahu Akbar;
Allahu Akbar;
Allahu Akbar;
Walillahilhamd.
Syukur alhamdulillah sekali lagi kita umat Islam telah
dilanjutkan usia dan telah berjaya menunaikan ibadat puasa
selama sebulan. Bulan Ramadan baru kita lalui dan kita akan
menyambut Hari Raya Aidilfitri pula. Hari Raya adalah hari
kemenangan -- kemenangan melawan nafsu dan dugaan. Hari
Raya juga adalah hari untuk kita bergembira. Walau
bagaimanapun, hari kebesaran ini harus kita sambut dengan
kesyukuran, takwa dan ibadat, iaitu berlandaskan lunas-lunas
Islam.
2. Kita patut bersyukur kerana kita dapat merayakan
Aidilfitri dalam keadaan di mana ekonomi negara sudah pulih
sedikit. Di samping itu, harga bahan-bahan mentah kita
telah bertambah baik. Buat kali pertama dalam satu dekad
atau lebih, pekebun getah dapat menikmati hasil jualan yang
lebih tinggi. Sebenarnya, harga getah amat tinggi dan ramai
yang dapat bergantung dan menumpang rezeki kerana industri
yang berasas kepada getah telah berkembang dengan pesat dan
memberi peluang-peluang pekerjaan kepada ramai pekerja kita
selain daripada keuntungan kepada para pelabur dan para
pengusaha.
3. Di samping itu, harga barangan lain keluaran Malaysia
juga berada di paras yang tinggi dan baik. Dengan
bertambahnya pendapatan pekebun dan pekerja, jualan barangan
di pasar dan pusat membeli-belah juga meningkat yang mana
bukan sahaja memberi keuntungan kepada peniaga dan pekedai
tetapi sekali lagi menambah peluang pekerjaan. Umat Islam
pada tahun ini akan lebih meriah merayakan Hari Raya Puasa.
Alhamdulillah.
4. Pelaburan yang besar dalam perusahaan-perusahaan baru
dan juga pembesaran perusahaan yang sedia ada, telah
mewujudkan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan bagi ramai
yang dahulunya menganggur. Latihan dan bantuan daripada
Kerajaan telah menolong ramai dalam bidang perniagaan kecil.
Sebagai contoh, pasaran untuk hasil kerja tangan meningkat
dan sekarang ini masalahnya bukanlah lagi pasaran tetapi
pengeluaran barangan dengan cukup dan bermutu.
5. Ramai yang mendapat nikmat daripada perkembangan
ekonomi yang bermula dari penghujung tahun 1987 sehingga
sekarang. Nikmat yang kita rasai ini hendaklah menyedarkan
kita akan hasil kesabaran dan penjimatan yang telah kita
lakukan semasa kemelesetan ekonomi menimpa kita. Jika kita
hanya berputus asa dan menyalahkan pihak lain, mustahil kita
akan dapat memulihkan keadaan. Memang benar, pemulihan
ekonomi kita bergantung banyak kepada permintaan untuk
barangan yang kita keluarkan. Tetapi bukan semua negara di
dunia telah berjaya memulihkan ekonomi mereka. Banyak yang
masih mengalami kerumitan ekonomi.
6. Kita telah dapat memulihkan ekonomi negara kita oleh
kerana negara kita stabil. Kestabilan ini tidak berlaku
dengan sendirinya. Dalam keadaan di mana negara didiami
oleh berbagai kaum, ketidakstabilan lebih mudah wujud
daripada kestabilan itu sendiri. Di merata negara di dunia,
di mana penduduk-penduduknya terdiri daripada berbagai kaum
atau penganut berbagai agama, rusuhan kerap berlaku.
Tuan-tuan dan puan-puan,
7. Sepertimana yang telah saya sebutkan tadi Hari Raya
bukanlah semata-mata untuk bersuka ria. Hari Raya juga
adalah untuk merapatkan lagi perhubungan kekeluargaan dan
persahabatan. Masyarakat tidak akan menjadi bahagia jika
perhubungan keluarga dan sahabat ini tidak wujud. Amalan
inilah yang membina semangat, perasaan mesra dan kasih
sayang yang menjadikan kita anggota yang bertanggungjawab
terhadap masyarakat. Tanpa perhubungan yang kuat, tanpa
kemesraan dan tanpa tanggungjawab, masyarakat akan retak dan
pecah dan huru-hara akan wujud. Tidak ada Hari Raya yang
meriah bagi negara yang berada dalam keadaan huru-hara.
8. Di Malaysia, kita boleh berbangga dengan satu lagi
amalan yang baik yang kita amalkan, iaitu amalan mengadakan
rumah terbuka. Dengan penduduk negara ini terdiri daripada
berbagai kaum, rumah terbuka membolehkan kita menjalinkan
perhubungan yang rapat sesama kita. Penganut-penganut agama
lain dapat melawat rakan-rakan Islam mereka semasa rumah
terbuka. Dengan ini, mereka tidak lagi menjadi asing kepada
kita orang-orang Islam, dan kita juga tidak akan menjadi
asing kepada mereka. Amalan rumah terbuka ini sudah
berkembang kepada kaum-kaum lain dan dengan mereka juga
mengadakan rumah terbuka, maka akan lebih baiklah
perhubungan antara kaum di negara kita.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
9. Pada penghujung tahun 1987, terdapat keadaan ketegangan
antara kaum yang serius yang mungkin boleh mencetuskan
peristiwa seperti yang berlaku pada tahun 1969. Sebagai
manusia kita memang mudah lupa dan mungkin ramai daripada
kita sudah lupa akan keadaan ketegangan kaum pada bulan
Oktober 1987. Pada waktu itu ramai ibu bapa takut hendak
menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Apabila seorang
askar melepaskan tembakan di Kuala Lumpur, seluruh Kuala
Lumpur menjadi lengang dengan serta merta kerana takut
rusuhan kaum sudah bermula. Ramai yang membeli
makanan-makanan dalam tin dengan banyaknya kerana takut jika
rusuhan berlaku mungkin tidak ada makanan. Ramai pula yang
meninggalkan Kuala Lumpur untuk 'menyelamatkan' diri.
10. Oleh kerana ketakutan tersebut, Kerajaan telah
mengambil tindakan tegas untuk mengelakkan daripada
tercetusnya rusuhan. Rapat raksaksa anjuran UMNO telah
dibatalkan dan beberapa orang telah ditangkap kerana
mengeksploitasikan isu-isu sensitif yang menyebabkan
ketegangan antara kaum yang serius itu. Yang ditangkap
bukan sahaja terdiri daripada anggota-anggota parti
pembangkang tetapi juga daripada parti-parti Kerajaan.
Beberapa buah akhbar yang menghasut, diharamkan
penerbitannya.
11. Dengan tindakan tegas ini, keadaan menjadi tenang
dengan serta-merta. Ketenangan ini telah berterusan
sehingga negara kita menjadi stabil semula dan
pelabur-pelabur asing berkeyakinan akan kebijaksanaan
melabur di Malaysia. Ekonomi negara pula mula pulih dan
rakyat dapat menyambut Hari Raya dengan meriah dan selamat.
12. Kita harus bersyukur kerana kita mampu mengambil
tindakan untuk menyelamatkan negara kita ini. Kita tidak
harus lupa akan betapa nyarisnya kita dilanda rusuhan kaum
yang sudah tentu akan menjejaskan pemulihan ekonomi negara
kita. Janganlah kita mengecam dengan sewenang-wenangnya
tindakan yang telah menyelamatkan kita.
13. Iklim ketakutan atau 'climate of fear' jika terdapat
pun di negara ini, adalah pada masa ketegangan kaum pada
bulan Oktober tahun lalu. Iklim ketakutan sudah tidak ada
lagi sekarang ini, melainkan bagi mereka yang ingin
menghasut ke arah perkauman yang ekstrim. Adalah lebih baik
mereka berasa takut sedikit supaya mereka tidak berani
menghasut rakyat ke arah pertelingkahan kaum yang akan
mengancam keselamatan negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
14. Dengan pemulihan kestabilan negara, pelaburan asing
telah meningkat sekali ganda berbanding dengan tahun 1987.
Peluang pekerjaan juga telah bertambah termasuk untuk mereka
yang berpelajaran tinggi.
15. Untuk melanjutkan iklim pelaburan yang baik ini, dua
perkara adalah penting. Yang pertama, pekerja kita
hendaklah tidak terlalu memilih kerja. Walaupun kita
dilatih dalam bidang yang lain daripada bidang yang terbuka
kepada kita, kita harus sanggup menerima peluang yang
terbuka itu. Kita harus sanggup berlatih semula dalam
jurusan yang baru itu dan bertekun sehingga kebolehan kita
meningkat. Sebenarnya, kita bukan dilahirkan untuk membuat
satu jenis kerja sahaja. Jika kita sanggup berusaha,
kerja-kerja lain juga boleh kita buat dengan cekap.
16. Yang keduanya ialah para pekerja harus mengelakkan diri
daripada memberi gambaran bahawa sebagai pekerja kita mudah
memberi masalah kepada majikan. Kita harus mengelakkan diri
daripada merenungkan terlalu sangat tentang nasib kita.
Lebih-lebih lagi, kita janganlah terpengaruh dengan pendapat
bahawa kita teraniaya sehingga kita lupa bahawa tidak berapa
lama dahulu kita menganggur dan tidak mempunyai punca
pendapatan sama sekali. Jika kita terlalu merenungkan nasib
kita sahaja, kita tidak mungkin berasa puas hati dengan apa
juga nasib kita. Dengan itu, kerja kita tidak akan
sempurna. Sebenarnya, kita bernasib baik kerana kita
mempunyai pekerjaan, berbanding dengan mereka yang masih
menganggur.
17. Terlalu mementingkan nasib kita sahaja akan memberi
gambaran yang buruk tentang sikap pekerja Malaysia.
Pelabur-pelabur akan enggan melabur. Ingatlah, di waktu
kita menganggur dahulu kita berdoa supaya kita dapat bekerja
walaupun dengan gaji yang kecil. Janganlah setelah kita
bekerja, kita lupa akan masa kita menganggur dahulu dan
tidak mengambil peduli sama ada perbuatan kita sekarang akan
menghapuskan peluang-peluang kerja bagi mereka yang masih
menganggur.
Tuan-tuan dan puan-puan,
18. Sementara kita meriah dan gembira pada Hari Raya ini,
eloklah juga kita renungkan akan kedudukan kita. 31 tahun
dahulu negara kita telah mencapai kemerdekaan, telah berjaya
membebaskan rakyat negara ini daripada belenggu penjajahan.
Semua rakyat Malaysia berasa bertuah kerana kemerdekaan.
Tetapi perasaan bertuah ini lebih dirasai oleh kita umat
Islam, khususnya orang-orang Melayu, kerana kitalah yang
lebih dihina dan dikebelakangkan di zaman penjajah dahulu.
Dengan kemerdekaan, kita berasa kita akan dapat memelihara
dan menentukan nasib kita sendiri. Sudah tentu kita tidak
akan sengaja memburukkan nasib kita sendiri. Sudah tentu
kita tidak akan sengaja melemahkan diri kita sehingga
kemerdekaan yang memberi kuasa kepada kita menjadi sia-sia
sahaja.
19. Tetapi hanya 31 tahun selepas kita membebaskan diri
kita, nampaknya kita sudah lupa akan nikmat yang telah
dikurniakan oleh Tuhan hasil kesedaran kita. Kini terdapat
unsur-unsur perpecahan dan perbalahan di kalangan umat Islam
di negara ini. Terdapat perbezaan-perbezaan yang, jika
berlarutan, boleh menggugat perpaduan Ummah. Justeru itu,
di hari yang mulia ini, kita umat Islam hendaklah berikrar
untuk menghapuskan unsur-unsur yang memecahbelahkan ini dan
berusaha gigih bagi mengukuhkan lagi perpaduan Ummah.
Tuan-tuan dan puan-puan,
20. Kestabilan negara kita bergantung tidak sedikit kepada
kesanggupan dan kesetiaan pasukan tentera dan polis. Kerana
mereka sanggup menghadapi musuh dan menjaga keamanan, kita
dapat merayakan Hari Raya Aidilfitri dengan selamat. Kita
semua terhutang budi kepada mereka, terutama mereka yang
terpaksa berada di dalam hutan, di lautan dan di perbatasan,
di Hari Raya ini. Kita juga terhutang budi kepada
anggota-anggota perkhidmatan yang lain yang terpaksa
bertugas pada Hari Raya.
21. Kaum wanita kita pula telah membuktikan penghargaan
kita semua kepada pasukan keselamatan kita dengan menyiapkan
kuih hari raya bagi mereka yang bertugas pada Hari Raya.
Tahun ini lebih ramai wanita daripada semua kaum telah
bekerja keras membuat kuih-kuih untuk pasukan polis dan
tentera. Penyertaan wanita daripada parti-parti politik,
badan-badan sukarela, pertubuhan-pertubuhan dan
isteri-isteri pegawai-pegawai dalam usaha ini amatlah
dihargai oleh Kerajaan dan sudah tentu akan memberangsangkan
lagi anggota-anggota pasukan keselamatan kita. Bagi pihak
Kerajaan, saya mengucapkan terima kasih kepada wanita-wanita
ini dan juga kepada pasukan keselamatan kita di mana juga
mereka bertugas.
22. Kepada saudara-saudara kaum Muslimin sekalian, saya
mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri. Kepada
saudara-saudari yang bukan beragama Islam, rayakanlah hari
kebesaran ini bersama-sama dengan rakan-rakan Islam anda.
23. Akhir kata, saya serta keluarga saya memohon maaf,
zahir dan batin, di atas apa juga kesilapan yang mungkin
telah kami lakukan. Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Walillahilhamd.
|