Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL SHANGRI-LA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 28/05/88
Tajuk/Title : MAJLIS ULANGTAHUN KE-10 PERMODALAN
NASIONAL BERHAD (PNB)
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Yang Berbahagia Tun Ismail Ali,
Pengerusi Permodalan Nasional Berhad;
Yang Berhormat-Yang Berhormat;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan.
Saya berasa gembira dapat bersama-sama dengan tuan-tuan
dan puan-puan sekalian di Majlis Makan Malam sempena
Ulangtahun Ke-10 Permodalan Nasional Berhad. Saya berharap
majlis ini akan merapatkan lagi hubungan antara semua
kakitangan serta pengurusan PNB dengan pengurusan anak
syarikat PNB dan lain-lain pihak yang terlibat dengan PNB.
Hubungan rapat seperti ini sudah tentu akan dapat melicinkan
lagi pengurusan PNB dan menolong menjayakan tugas PNB
sebagai agensi yang utama bagi menjayakan Dasar Ekonomi Baru
atau DEB.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2. Sepertimana yang kita maklum, Yayasan Pelaburan
Bumiputera telah ditubuhkan pada tahun 1978, iaitu lapan
tahun selepas DEB dilancarkan. Sebabnya Yayasan Pelaburan
Bumiputera dilancarkan sekian lama selepas daripada DEB
adalah oleh kerana kita mendapati objektif DEB supaya
penyertaan bumiputera dalam bidang ekonomi seimbang dengan
penyertaan kaum lain sukar dicapai. Tidaklah mudah bagi
satu golongan yang miskin yang tidak mempunyai tradisi
perniagaan tiba-tiba menyertai bidang perniagaan yang
moden dan besar yang memerlukan modal yang banyak dan
kecekapan pengurusan yang setanding dengan kaum-kaum yang
lebih maju.
3. Sebab itu Kerajaan Persekutuan telah menubuhkan
beberapa agensi untuk membantu program penyertaan bumiputera
dalam bidang perniagaan dan menasihatkan Kerajaan-Kerajaan
Negeri menubuhkan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri
masing-masing. Agensi-agensi ini pula telah menubuhkan
syarikat-syarikat dengan modal Kerajaan untuk membeli saham
atau menyertai dalam bidang perniagaan dan perusahaan yang
tidak mungkin disertai oleh individu bumiputera atau secara
kumpulan kerana kekurangan modal, kerana tidak mampu
menghadapi risiko dan kerana kurang pengalaman pengurusan.
4. Di samping itu banyak syarikat asing dikehendaki
menyusun semula struktur ekuiti mereka supaya bumiputera
dapat membeli saham-saham dengan harga yang ditentukan.
Pendekatan ini membuka peluang kepada mereka yang tidak
bertanggungjawab di kalangan bumiputera untuk mendapatkan
keuntungan serta merta daripada penjualan saham yang mereka
beli dan yang kemudian mereka jual balik kepada bukan
bumiputera.
5. Strategi Kerajaan ini telah membawa separuh kejayaan
sahaja. Sungguhpun banyak syarikat kepentingan bumiputera
milik Kerajaan berjaya, banyak juga yang gagal. Demikian
juga penjualan saham dengan harga yang rendah kepada
bumiputera. Hanya sedikit sahaja daripada saham ini kekal
di tangan bumiputera. Ramai daripada mereka menjual balik
saham untuk mendapatkan keuntungan jangka pendek.
Keuntungan ini tidak digunakan sebagai modal perniagaan
tetapi dihabiskan begitu sahaja. Akhirnya, peratusan
ekuiti bumiputera dalam syarikat-syarikat yang telah di
susun semula kembali kepada keadaan asal.
6. Memandang kepada perkembangan ini Kerajaan telah
mencari strategi baru untuk menentukan penyertaan bumiputera
menjadi lebih kekal. Jika syarikat milik Kerajaan yang
untung dijual kepada individu atau syarikat bumiputera,
hanya sebilangan kecil bumiputera akan menikmati hasilnya.
Demikian juga dengan penjualan saham setelah disusun semula
syarikat milik asing. Hanya beberapa orang bumiputera yang
tahu akan potensi keuntungan daripada penjualan saham
bumiputera ini yang akan menikmati keuntungan.
7. Untuk menentukan seberapa ramai daripada bumiputera
yang berminat dapat mengecapi keuntungan
syarikat Kerajaan yang berjaya dan memiliki saham daripada
penyusunan semula syarikat asing, syarikat-syarikat ini
serta saham-saham berkenaan hendaklah dikuasai oleh satu
badan yang dimiliki oleh ramai bumiputera dan mereka ini
tidak akan menjual syarikat atau saham hanya untuk
memperolehi keuntungan modal atau capital gains.
8. Penubuhan Amanah Saham Nasional sebagai sebuah unit
amanah terbuka atau 'open ended unit trust' di bawah Yayasan
Pelaburan Bumiputera membolehkan semua bumiputera yang
berminat, dengan hanya modal $10/-, mendapat nikmat daripada
proses pembahagian semula kekayaan ekonomi negara. Dengan
itu syarikat-syarikat Kerajaan dan saham-saham syarikat
asing tidak lagi dinikmati hanya oleh
segelintir bumiputera yang sedar adanya peluang ini. Kempen
yang dijalankan oleh ASN berjaya menarik 2.3 juta bumiputera
untuk melabur dan semua mereka mendapat nikmat daripada
Dasar Ekonomi Baru.
9. Tuduhan bahawa hanya beberapa orang bumiputera sahaja
yang mendapat nikmat daripada Dasar Ekonomi Baru jelas tidak
berasas. Namun demikian semua pihak harus ingat bahawa PNB
ditubuhkan bukan untuk memberi kekayaan atau keuntungan
percuma kepada bumiputera. Tidak ada yang percuma di dunia
ini. Setiap orang yang ingin mendapat dividen mestilah
melabur dan menanggung risiko pelaburan, walaupun sebanyak
$10/-. Jika kita hendak untung yang lebih, kita perlu
melabur lebih banyak dan memikul beban risiko yang
lebih berat. Dasar Ekonomi Baru bukan bertujuan untuk
memindah secara percuma kekayaan orang lain kepada
bumiputera. DEB bertujuan memberi peluang yang lebih kepada
bumiputera supaya dengan modal, usaha gigih dan pengurusan
yang cekap dan jujur, mereka dapat mengambil tempat mereka
yang sewajarnya dalam kegiatan ekonomi negara ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
10. PNB adalah salah satu daripada instrumen utama negara
ini untuk menjayakan DEB. Melalui PNB, bumiputera sekarang
mempunyai saham dalam syarikat-syarikat gergasi seperti Sime
Darby, Harrison & Crossfield, Malaysian Mining Corporation
yang dahulu dikenali sebagai London Tin dan berpuluh
syarikat lain. Bumiputera juga berpeluang menyertai
pengurusan syarikat-syarikat ini.
11. Namun demikian untuk menjayakan Dasar Ekonomi Baru
dengan lebih bermakna, yang penting bukan pemilikan saham
atau gaji yang besar sebagai pengurus. Yang penting ialah
pengalaman dalam pengurusan dan kecekapan sehingga
syarikat-syarikat milik sendiri pun boleh bersaing dan
berjaya. Saya berasa dukacita kerana terdapat
syarikat-syarikat yang maju yang telah diambil-alih dan
kemudian diuruskan oleh bumiputera telah mengalami prestasi
yang menurun sehingga rugi dengan teruknya. Terdapat juga
perbuatan dan tindak tanduk yang tidak bertanggungjawab yang
dilakukan oleh bumiputera setelah mereka diberi peluang.
Gejala-gejala ini menidakkan dasar yang
dibentuk oleh Kerajaan untuk mengimbangkan pembangunan kaum
di negara ini. Kerajaan tidak dapat bersimpati dengan
mereka yang menggagalkan usaha negara ke arah peningkatan
taraf hidup bumiputera dan keadilan masyarakat.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
12. PNB yang hanya berusia 10 tahun telah menjadi agensi
yang terbesar di Malaysia dan mungkin juga di dunia jika
dikira pelabur seramai 2.3 juta yang melabur dengannya.
Pencapaian ini boleh dibanggakan oleh sesiapa sahaja dalam
dunia perniagaan. Bahawa PNB ditubuhkan dalam sebuah negara
yang membangun menjadikannya lebih menarik. Bukanlah satu
perkara yang mudah menubuh dan mengurus dengan jayanya
sebuah syarikat gergasi seperti PNB. Jika Pengerusi,
pengurusan dan anggota PNB berasa bangga dengan pencapaian
PNB, memanglah mereka berhak. Kita tidak harus puji diri
tetapi tidaklah salah jika kita mempunyai 'pride' dalam hati
kita kerana kejayaan yang kita capai.
13. Demikianlah kecekapan yang ditunjukkan oleh pengurusan
PNB sehingga pihak Kerajaan telah mengesyorkan untuk
menggunakan fasiliti PNB untuk mengawasi perjalanan semua
syarikat milik Kerajaan atau di mana Kerajaan mempunyai
kepentingan.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
14. Sepertimana kita semua maklum Kerajaan Persekutuan
dan Kerajaan-Kerajaan Negeri memiliki
hampir 900 buah syarikat. Oleh kerana bilangan ini besar,
adalah sukar bagi Kerajaan mengawasi perjalanan setiap
syarikat tersebut. Di masa lalu Kerajaan hanya sedar akan
adanya syarikat-syarikat tertentu apabila sesuatu yang tidak
diingini berlaku.
15. Justeru itu Kerajaan telah meminta PNB mengkaji sistem
komputer yang boleh memberi maklumat awal atau 'early
warning system' berkenaan dengan prestasi setiap syarikat.
Sistem maklumat awal ini telah berjaya disediakan oleh PNB
dengan kerjasama Nomura Securities. Hari ini pihak
Kementerian Kewangan dapat mengikuti segala perkembangan
dalam syarikat-syarikat milik Kerajaan melalui Central
Information Coordination Unit atau CICU dan dapat mengambil
tindakan memulih keadaan dengan segera. Kerajaan mengucapkan
terima kasih kepada PNB yang berjaya membekalkan kemudahan
ini.
16. Sementara kita berbangga dengan kejayaan PNB, saya
ingin menegaskan, bahawa kejayaan PNB, walau bagaimanapun,
tidak dapat memenuhi semua objektif DEB. Ia hanya dapat
membahagi-bahagikan kekayaan yang sedikit dengan lebih adil.
Kaum bumiputera, sebagai individu, masih lagi tidak dapat
memasuki bidang perniagaan yang besar dan bersaing dengan
pihak lain. Dengan itu, kaum bumiputera mestilah berusaha
dengan lebih gigih untuk menjadi pengurus yang cekap dan
jujur. Kejayaan tidak akan datang bergolek. Kita tidak
boleh berjaya dalam sekelip mata. Kejayaan dalam bidang
perniagaan, seperti juga dalam bidang-bidang lain,
memerlukan kerja keras dan kesabaran. Insya-Allah dengan
hati yang tekun dan tabah, kita akan mencapai kejayaan dan
menjadikan DEB satu realiti.
17. PNB akan meneruskan usahanya bagi menarik lebih ramai
lagi bumiputera untuk melabur dan meningkatkan bahagian
mereka dalam kekayaan negara. Di samping itu masanya sudah
tiba untuk kita menyedar dan memperingatkan kaum bumiputera
tentang realiti alam sekeliling kita. Untuk memperolehi
kejayaan, kita bukan sahaja perlu pengetahuan dalam
ilmu-ilmu tertentu tetapi juga perlu memiliki dan
mengamalkan sifat-sifat yang boleh membantu kita
mencapainya. Peluang, modal dan bantuan tidak dapat
menjamin kejayaan selagi sifat-sifat yang penting ini tidak
ada pada kita. Penekanan Kerajaan sekarang ialah kepada
pembinaan peribadi yang mampu bekerja kuat dan bertekun
untuk mencapai kejayaan, sedikit demi sedikit. Insya-Allah
kita akan mengatasi segala halangan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
18. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada
Lembaga Pengarah PNB kerana menjemput saya ke majlis ini.
Saya berharap majlis ini akan menebalkan lagi semangat dan
azam kita untuk menempa kejayaan yang lebih cemerlang lagi
pada tahun-tahun yang akan datang.
19. Tahniah saya kepada Permodalan Nasional Berhad sempena
ulangtahun yang ke-10 penubuhannya.
Wabillahi taufik, Walhidayah Wasalamu alaikum
Warahmatullahi Wabarakatuh.
|