Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL SHANGRI-LA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 29/05/88
Tajuk/Title : PERAYAAN ULANGTAHUN KE-20 PARTI
GERAKAN RAKYAT MALAYSIA
Yang Amat Berhormat Encik Ghafar Baba,
Timbalan Perdana Menteri Malaysia;
Yang Berhormat Dato' Dr. Lim Keng Yaik,
Presiden Parti GERAKAN Rakyat Malaysia;
Yang Amat Berhormat Dr. Lim Chong Eu,
Ketua Menteri Pulau Pinang dan
Penasihat Kebangsaan GERAKAN;
Yang Berhormat-Yang Berhormat;
Pemimpin-Pemimpin Parti-Parti Komponen Barisan Nasional;
Ahli-ahli Jawatankuasa Pusat Parti GERAKAN;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Saya mengucapkan terima kasih kepada Parti GERAKAN
kerana menjemput saya ke Majlis Ulangtahun ke-20 Parti
GERAKAN ini. Saya juga mengambil kesempatan untuk
mengucapkan tahniah kepada Parti GERAKAN dan ahli-ahlinya
sempena ulangtahunnya ini.
2. Semenjak wujudnya Barisan Nasional, Parti GERAKAN telah
memberi sumbangan yang bermakna kepada Barisan Nasional dan
juga kepada negara. Seperti juga parti-parti komponen yang
lain dalam Barisan Nasional, GERAKAN telah berdiri teguh
menyokong dan membantu meningkatkan lagi prestasi dan
kemampuan Barisan Nasional dan Kerajaan Barisan Nasional.
Saya yakin Parti GERAKAN akan terus memberi sumbangannya
kepada Barisan Nasional demi kepentingan dan kebaikan kita
bersama dan kestabilan negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
3. Kita sungguh bernasib baik dapat mengadakan majlis kita
pada malam ini dalam keadaan yang meriah dan mesra.
Kebanyakan daripada kita mungkin merasakan bahawa kita dapat
berjumpa dalam keadaan meriah dan mesra ini adalah satu
perkara yang biasa sahaja. Kebanyakan daripada kita juga
mungkin menganggap bahawa kebolehan kita melawat ke
sana-sini, membeli-belah dan kunjung-mengunjungi juga adalah
perkara biasa. Tetapi sebenarnya dalam sebuah negara
berbilang kaum dan berbilang agama, bahkan kadang-kadang
dalam sebuah negara satu kaum sekalipun, keamanan dan
kemesraan seperti ini bukanlah perkara biasa.
4. Kita dapat menjalankan tugas-tugas dan
kegiatan-kegiatan kita tanpa gangguan dan halangan oleh
kerana negara kita aman dan stabil. Kerana negara kita aman
dan stabil, kita juga dapat memajukan ekonomi dan
membangunkan negara. Kerana adanya kestabilan dan keamanan
negara kita telah mencapai berbagai kemajuan.
5. Saya sebutkan perkara ini kerana ramai daripada kita
mudah lupa dan tidak menghargai kebaikan di negara kita dan
memikir semuanya yang dinikmati wujud dengan sendirinya.
Sebenarnya, keamanan dan kestabilan tidak wujud dengan
sendirinya. Ianya adalah hasil daripada usaha-usaha kita
semua termasuklah pihak Kerajaan, parti-parti politik
tertentu, badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan serta rakyat
sendiri. Ianya juga adalah hasil kerjasama, persefahaman
dan persahabatan majoriti daripada kaum-kaum di negara ini
yang telah mengutamakan kepentingan dan kebaikan negara
keseluruhannya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
6. Dengan wujudnya Barisan Nasional dalam mana terdapat
semua kaum dan hampir semua parti politik, kita dapat
memberi lebih banyak masa kepada usaha-usaha pembangunan dan
perkara-perkara penting yang memerlukan perhatian dan
pertimbangan yang serius lagi mendalam. Kerajaan Barisan
Nasional pula menumpukan perhatian kepada usaha-usaha
membasmi kemiskinan, menyusun semula masyarakat,
meningkatkan perkembangan ekonomi, sosial dan lain-lain yang
boleh membawa nikmat kepada masyarakat Malaysia
keseluruhannya. Melalui usaha-usaha ini, kita telah berjaya
mengurangkan politik perkauman di kalangan kita dan memberi
perhatian kepada usaha-usaha peningkatan
taraf hidup rakyat dan kedaulatan negara.
7. Melalui kerjasama yang erat dalam BN kita telah dapat
menghadapi cabaran-cabaran kemelesetan ekonomi di
waktu-waktu yang lalu, khususnya dalam masa dua-tiga tahun
yang lepas, dengan tekun, sabar dan tabah hati. Kita telah
dapat mengatasi kemelesetan ini dengan berkesan. Sekarang
ekonomi negara kita telah mula pulih.Sekali lagi jangan kita
mengatakan bahawa ini adalah semata-mata kerana ekonomi
dunia sudah pulih. Banyak negara yang tertekan kerana
kemelesetan ekonomi dunia masih belum pulih, masih
menanggung beban hutang yang besar dan masih bergantung
kepada bantuan negara-negara maju. Ekonomi
negara kita pulih kerana tindakan yang telah diambil oleh
Kerajaan BN, baik daripada segi berjimat cermat, mahupun
daripada segi penyesuaian dasar dengan keadaan di dalam dan
di luar negara. Jika kita meneruskan cara dan amalan kita
yang lama, iaitu berlagak seolah-olah kita masih kaya, kita
berbelanja besar dan kita banyak berhutang, hari ini kita
tidak mungkin merasai pemulihan ekonomi. Kerana kita
pragmatik maka kita menjadi lebih tahan lasak, lebih
resilient.
8. Jelas terbukti kerjasama antara kaum dan antara parti
melalui Barisan Nasional telah membawa banyak manfaat kepada
negara. Jelas juga terbukti bahawa melalui Barisan
Nasional, kestabilan dan keamanan dapat dikekalkan, di
samping meningkatkan lagi persefahaman dan perpaduan di
kalangan rakyat majmuk Malaysia.
9. Sebagai satu gabungan parti-parti politik, Barisan
Nasional bukan sahaja unik tetapi telah berjaya. Tetapi
rakyat berbilang kaum kita masih tidak mengamalkan semangat
BN dalam kehidupan harian mereka. Ini berlaku kerana
parti-parti lawan sering mengungkit masalah kaum
masing-masing. Ini berlaku juga kerana parti-parti dalam
BN pun tidak menyampaikan cara dan semangat BN kepada kaum
masing-masing secara berkesan. Kita lebih suka mengikut
kehendak kaum kita daripada memimpin mereka. Oleh kerana
kaum-kaum di negara ini tidak begitu berpeluang memahami
masalah masing-masing, seperti pemimpin-pemimpin BN
berpeluang, jika rakyat mengikut politik perkauman
parti-parti pembangkang, ini akan menyebabkan masyarakat
terpengaruh dengan fahaman perkauman yang sempit yang tidak
baik bagi negara kita. Oleh itu, masanya sudah tiba bagi
pemimpin-pemimpin parti komponen BN menasihat dan memimpin
dan tidak hanya mencari populariti sahaja dengan mengikut
fikiran yang sempit dikalangan beberapa penyokong kita.
10. Satu lagi perkara yang menggugat perpaduan dan menjadi
masalah kepada kita ialah terdapatnya di kalangan kita
pihak-pihak tertentu yang tidak mempedulikan dan tidak
menghargai keamanan yang wujud sekarang ini. Pihak-pihak
ini mirip membangkitkan soal-soal dan perkara-perkara
sensitif seperti perkauman dan agama secara terbuka. Mereka
ini lebih mementingkan politik peribadi mereka sendiri.
Justeru itu, mereka tidak ragu-ragu dan segan membangkitkan
isu-isu sensitif. Mereka ini tidak menghiraukan apa yang
akan berlaku kepada negara akibat tindakan mereka yang tidak
bertanggungjawab ini.
11. Namun demikian kita bernasib baik kerana umumnya rakyat
negara ini dapat membezakan antara yang jernih dengan yang
keruh. Mereka tahu apa yang benar dan apa dia janji-janji
kosong. Walau bagaimanapun, sekali-sekala terpengaruh
juga masyarakat dengan fitnah yang disebarkan dan Kerajaan
terpaksalah mengambil tindakan keras terhadap mereka yang
melakukan kegiatan jahat ini.
12. Kerajaan sanggup menghadapi kritikan-kritikan
terhadapnya. Malahan fitnah pun kadang-kadang terpaksa
dibiarkan kerana di negara ini kerapkali tidak ada cara bagi
membela diri daripada fitnah. Tetapi Kerajaan tidak sanggup
membenarkan kegiatan atau kempen yang melaga-lagakan
kaum-kaum di Malaysia. Kita tidak lupa Peristiwa 13 Mei
1969 yang membawa maut kepada lebih 200 orang rakyat
Malaysia. Justeru itu sebarang kempen dan tindakan yang
mengancam keamanan negara ini akan dihadapi dengan tindakan
keras daripada Kerajaan tanpa mengira sesiapapun.
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
13. Sepertimana yang saya sebutkan tadi, kita mempunyai
banyak lagi tugas. Tugas-tugas ini bukanlah terletak di
bahu Kerajaan semata-mata, tetapi ia adalah tugas-tugas kita
bersama. Saya percaya kita mampu memikul tanggungjawab ini
dengan syarat kita bersepakat, bersatu hati dan tekun
menghadapinya. Negara Malaysia adalah negara kita. Kita
tidak mempunyai tempat yang lain untuk berteduh. Kita semua
rakyat Malaysia dan kitalah yang bertanggungjawab terhadap
masa depan negara Malaysia. Kitalah yang akan menentukan
masa hadapan generasi yang akan datang. Buruk atau baiknya
negara kita, terletak di tangan kita sendiri. Ini adalah
tanggungjawab kita bersama. Bersama-samalah kita berusaha
menjamin masa hadapan Malaysia yang lebih gemilang dan
bahagia.
Tuan-tuan dan puan-puan,
14. Akhir kata, sekali lagi saya mengucap tahniah kepada
Parti GERAKAN sempena ulangtahunnya yang ke-20. Kepada
ahli-ahli GERAKAN terima kasih saya ucapkan kerana sudi
menjemput saya ke perayaan meriah memperingati genapnya satu
tarikh yang bermakna dalam sejarah parti GERAKAN. Saya
berharap GERAKAN akan 'go from strength to strength' dan
kekal sebagai satu tiang yang kuat dalam bangunan Barisan
Nasional kita.
Sekian, terima kasih.
|