Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	01/06/88 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MENGADAP DAN ISTIADAT 
			PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN DAN 
			BINTANG-BINTANG SERTA PINGAT-PINGAT 
			SEMPENA ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN
			RASMI DYMM SPB YANG DI PERTUAN AGONG 




      Duli Yang Maha Mulia
     Seri Paduka Baginda Almutawakkil Alallah
     Sultan Iskandar
     Yang Di-Pertuan Agong Malaysia
Ampun Tuanku,
    Dengan  hormat  dan  penuh  takzimnya patek, bagi pihak
Kerajaan dan seluruh rakyat serta diri patek sendiri,  mohon
menyembah  setinggi-tinggi  tahniah  Ke Bawah Duli Yang Maha
Mulia Tuanku, di majlis yang mulia  pada  pagi  ini  sempena
Ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi Duli Tuanku.
2.   Sempena hari yang berbahagia ini, patek sekalian berdoa
ke  hadrat  Allah Subhanahu Wataala semoga Duli Tuanku serta
Duli Yang Maha Mulia Seri  Paduka  Baginda  Raja  Permaisuri
Agong   dilanjutkan   usia   serta  dilimpahkan  rahmat  dan
hidayahNya.   Demikian juga, patek  sekalian  berdoa  semoga
Duli  Tuanku  berdua  sentiasa  berada dalam kandungan sihat
walafiat, dengan penuh daulat dan kesejahteraan.
Ampun Tuanku,
3.   Patek  bagi  pihak  Kerajaan  dengan   sepenuh   ikhlas
menyanjung  tinggi  serta merakamkan setinggi penghargaan Ke
Bawah Duli Tuanku di atas pimpinan serta panduan Duli Tuanku
kepada patek dan anggota Pentadbiran negara  ini.    Sungguh
pun  negara  ini telah mengalami beberapa cabaran dan dugaan
dari  semasa  ke   semasa,   dengan   nasihat   dan   berkat
pemerintahan serta kearifan Duli Tuanku, cabaran-cabaran ini
akhirnya   dapat   diatasi.     Dalam  cabaran-cabaran  ini,
perpaduan rakyat sekali-sekala diduga oleh golongan-golongan
tertentu yang selalu  dikongkong  oleh  emosi  yang  melulu,
perasaan   sangsi   dan   cemburu,  tanpa  menyedari  bahawa
tindak-tanduk  mereka  itu  telah  membawa  mudarat   kepada
kesejahteraan   rakyat   dan  negara.    Tetapi  kita  dapat
mengambil tindakan yang sewajarnya untuk membendong  keadaan
supaya tidak mencetuskan apa-apa akibat yang tidak diingini.
Alhamdulillah perpaduan rakyat kukuh kembali.
Ampun Tuanku,
4.   Patek  bagi pihak anggota Pentadbiran dan Kerajaan juga
menjunjung  kasih  Ke  Bawah  Duli  Tuanku  kerana  sentiasa
mengambil   berat  atas  pentadbiran  negara  serta  memberi
perhatian kepada kebajikan rakyat jelata.    Hubungan  rapat
dan  saling  persefahaman yang baik selama ini antara Tuanku
dan anggota Kerajaan  sangatlah  dihargai  dan  ini  menjadi
suatu  inspirasi  bagi  pemimpin-pemimpin  semua. Kesempatan
patek menyampaikan ucapan ikrar taat setia ini adalah  bukti
kemesraan  yang  dihulurkan  oleh Tuanku kepada patek semua.
Kesempatan  ini  telah  lama  menjadi  tradisi  pemerintahan
negara.  Ianya perlulah dikekalkan sebagai suatu majlis yang
mulia  di  mana  diwujudkan  jalinan  kemesraan  antara Raja
memerintah dengan pemimpin-pemimpin Kerajaan.    Ini  adalah
satu-satunya  amalan  penting untuk menjaga kemuliaan majlis
mengadap dan ikrar taat setia ini.
Ampun Tuanku,
5.   Kerajaan berasa bersyukur  dengan  tahap  perpaduan  di
kalangan  rakyat  negara  dewasa  ini.    Walaupun  terdapat
satu-dua dugaan yang  menimbulkan  kegelisahan  di  kalangan
rakyat  negara  ini,  Kerajaan  di bawah naungan Duli Tuanku
telah berjaya mengatasi masalah-masalah ini.  Namun demikian
Kerajaan  akan  terus  berusaha  untuk   meningkatkan   lagi
perpaduan rakyat supaya terbina satu negara yang lebih teguh
lagi  makmur.  Usaha-usaha ke arah perpaduan ini termasuklah
menanamkan lagi nilai-nilai kesetiaan rakyat kepada  negara,
agama,    raja    memerintah,    pemimpin-pemimpin   negara,
undang-undang  dan  norma-norma  serta  amalan  hidup   yang
positif.       Untuk   tujuan   ini,   Kerajaan   mengadakan
perhimpunan-perhimpunan SEMARAK. Patek  sekalian  bergembira
sekali   yang  Duli  Tuanku  amat  memahami  tujuan  sebenar
perhimpunan-perhimpunan  seperti  ini.    Kesetiaan   adalah
satu-satunya  teras  untuk  menjamin perpaduan di negara ini
dan mempertahankan kedaulatannya.
Ampun Tuanku,
6.   Sukacita juga patek menyembahkan bahawa ekonomi  negara
kita  telah  mula  pulih setelah mengalami kelembapan akibat
kemelesetan  ekonomi  dunia.    Pertumbuhan  Keluaran  Dalam
Negeri Kasar atau KDNK, sebanyak 4.7% tahun lalu adalah satu
pencapaian  yang  membanggakan.   Kerajaan yakin negara kita
akan mencapai pertumbuhan ekonomi  yang  lebih  membanggakan
pada tahun-tahun yang akan datang.
7.   Satu   ciri  dalam  pertumbuhan  ekonomi  negara  ialah
pertumbuhan  yang  besar  telah  berpunca  daripada   sektor
swasta.    Sebaliknya  penglibatan  Kerajaan atau pihak awam
dalam  aktiviti   ekonomi   telah   menunjukkan   penurunan.
Kerajaan  sekarang  memang mengharapkan supaya sektor swasta
memainkan peranan yang lebih giat  lagi  dalam  perkembangan
ekonomi negara.
8.   Di  peringkat  antarabangsa,  negara  kita semakin hari
semakin aktif memainkan peranan yang  lebih  bermakna  dalam
pertubuhan-pertubuhan    seperti   ASEAN,   OIC,   Komonwel,
Pertubuhan  Negara-Negara   Berkecuali   dan   Bangsa-Bangsa
Bersatu.      Kita   menghulurkan  bantuan  teknikal  kepada
negara-negara kecil Dunia Ketiga dan  mengambil  daya  usaha
untuk   membantu   menubuhkan  Suruhanjaya  Selatan-Selatan.
Negara kita juga akan menjadi tuan rumah kepada  Persidangan
Ketua-Ketua Negara Komonwel pada tahun hadapan.
Ampun Tuanku,
9.   Patek,  bersama-sama  dengan  anggota Pentadbiran serta
kakitangan Kerajaan, akan terus menumpukan usaha dan  tenaga
untuk  menyempurnakan tugas dan tanggungjawab patek sekalian
dengan penuh semangat dan tekad  bagi  menjamin  kemakmuran,
keselamatan dan kebahagiaan rakyat dan negara Malaysia.
10.  Pada  hari yang berbahagia dan penuh istiadat ini, bagi
pihak diri patek, Kerajaan dan seluruh rakyat, patek  dengan
segala hormat dan takzimnya mohon menyembah ikrar taat-setia
yang  tidak  berbelah  bahagi  kepada  Duli  Yang Maha Mulia
Tuanku demi kedaulatan Tuanku sebagai Raja  yang  memerintah
serta kesejahteraan rakyat keseluruhannya.
     Ampun Tuanku, sembah patek harap diampun.

 
 



 
Google