Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue	: 	DEWAN MERDEKA, PUSAT DAGANGAN DUNIA 
			PUTRA KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	04/06/88 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERHIMPUNAN HARI DAN 
			MINGGU BELIA 




 Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Yang Berhormat Dato Seri Najib Tun Razak,
     Menteri Belia dan Sukan;
Yang Berhormat-Yang Berhormat;
Dif-dif Kehormat;
Saudara-saudari sekalian.
    Saya   mengucapkan  terima  kasih  kepada  Jawatankuasa
Pengelola Perhimpunan Hari dan Minggu  Belia  Negara  kerana
menjemput  saya  untuk  berucap di majlis ini dan seterusnya
merasmikan perhimpunan Hari dan Minggu Belia Negara 1988.
2.   Syukur Alhamdulillah, dengan taufik dan keredhaan Allah
Subhanahu Wataala dapat kita berhimpun di  dewan  ini  untuk
merayakan  dan menyambut hari yang begitu bermakna bagi para
belia di negara kita ini.  Semoga perayaan Hari  dan  Minggu
Belia  yang  bertemakan  'Belia  Berilmu  Negara Maju' bukan
sahaja menjadi slogan tetapi juga dipraktikkan.
Saudara-saudari sekalian,
3.   Dunia  kehidupan  belia  hari  ini  semakin   kompleks.
Masalah  yang  ditimbulkan  oleh  orang-orang muda di negara
Eropah dan  Amerika  telah  membimbangkan  kerajaan  mereka.
Masalah-masalah  penagihan  najis dadah, masalah 'generation
gap' dan kurang hormat kepada  orang  tua,  masalah  jenayah
yang  dilakukan tanpa sebab dan lain-lain lagi telah memaksa
perhatian masyarakat terhadap keruntuhan  akhlak  yang  amat
bahaya di Barat.
4.   Penyakit ini sudah merebak hinggakan ke Timur.  Melalui
kemajuan  sistem  komunikasi,  Timur  diserang  bertalu-talu
dengan  nilai-nilai  Barat  dan  ada   bukti   yang   tembok
pertahanan  Timur sudah  runtuh  di   sana   sini.    Dadah,
jenayah,   keganasan   belia,   demonstrasi   tanpa   sebab,
vandalisma  dan lain-lain gejala sudah menjadi perkara biasa
di beberapa negara Timur  yang  sedang  membangun  dan  yang
sedang mengambil langkah ke arah demokrasi.
5.   Naluri   belia   ialah  mereka  mudah  terpikat  dengan
idealisma.    Sementara  idealisma  amat   diperlukan   oleh
masyarakat, pemilik idealisma yang muda mudah membelakangkan
kenyataan  dan  mudah juga dipengaruhi.   Dengan itu amatlah
mudah bagi belia yang mengejar idealisma  diperalatkan  oleh
orang-orang tertentu yang berkepentingan.  Seterusnya tenaga
yang  harus  diguna  untuk membangunkan negara disalurkan ke
arah  mengancam  kestabilan  sehingga  negara  tidak   dapat
membangun  dan bersaing dengan negara-negara   yang    sudah
maju.  Maka  terpeliharalah  negara  yang maju ini  daripada
persaingan  oleh  negara  yang  berpotensi  di  antara  yang
membangun.
6.   Kita  tidak  mahu  balik  ke zaman dahulu di mana belia
mesti menerima tanpa soal semua yang disarankan  oleh  orang
dewasa.   Amalan ini akan menjadikan sesuatu masyarakat atau
negara itu statik, tidak bergerak maju.    Amalan  ini  akan
mengekalkan pendapat dan perbuatan yang salah dan merugikan.
Di  zaman  moden  masyarakat  yang  terlalu  dikongkong oleh
tradisi tidak mampu bersaing dengan masyarakat yang dinamik.
Tetapi tradisi tidak harus dihapuskan semata-mata kerana  ia
adalah   tradisi.    Hanya  tradisi  yang  jelas  menghalang
kemajuan sahaja yang perlu dikaji dan diganti dengan  amalan
yang baru yang jelas boleh memberi manfaat.
Saudara-saudari sekalian,
7.   Satu  perkara  yang  amat  merbahaya   ialah   menerima
bulat-bulat  pendapat pihak lain, terutama pihak negara yang
sudah maju.  Kita sering lupa bahawa pendapat  mereka  telah
melalui  satu  evolusi  yang  berkait  rapat  dengan evolusi
masyarakat mereka.  Amalan demokrasi mereka  bermula  dengan
kebebasan  yang sedikit sahaja, kebebasan yang sesuai dengan
keadaan masyarakat mereka ketika itu.  Di Britain  umpamanya
wanita  hanya  boleh  mengundi selepas Perang Dunia Pertama,
iaitu hampir seratus tahun  selepas  demokrasi  diterima  di
negara  itu.   Di Switzerland, wanita mula mengundi 20 tahun
dahulu sahaja, lebih lewat daripada  kita.    Demikian  juga
dengan kebebasan akhbar.  Pada mulanya banyak   berita tidak
boleh disiarkan.  Pihak akhbar di  Britain  mempunyai  badan
sukarela  untuk  menapis berita yang boleh disiar.  Hanya 10
tahun selepas Perang Dunia Kedua  barulah  'self-censorship'
ini dihapuskan.
8.   Hari ini pun mereka masih mengamalkan penapisan berita.
Hanya  berita  yang  disukai  oleh  media mereka sahaja yang
disiarkan.  Yang tidak disukai oleh mereka,  khususnya  yang
menunjukkan  pihak  lain adalah baik dan berjaya, di'censor'
oleh media Barat.    Laporan  media  Barat  selalunya  berat
sebelah.  Namun mereka mendakwa media mereka bebas dan ramai
daripada  kita di sini menerima bulat-bulat dakwaan kebaikan
dan  keadilan  mereka.    Demikianlah  terpengaruhnya   kita
sehingga   kita   menafikan   tentang   adanya     kebebasan
akhbar di negara sendiri di mana kecaman, fitnah dan  tohmah
terhadap  Kerajaan  disiarkan tiap-tiap hari oleh akhbar dan
majalah tempatan dan asing.
9.   Belia negara  kita  janganlah  terlalu  mudah  menerima
dakwaan  dan  nilai-nilai yang dibuat oleh negara yang sudah
maju di Barat.   Ingatlah di waktu mereka  berada  di  tahap
pembangunan  yang  kita  alami  sekarang, nilai-nilai mereka
tidak sebegitu liberal  seperti  sekarang.    Hanya  setelah
mereka   sudah   maju   dan  kukuh  barulah  mereka  sanggup
membenarkan  kegiatan  dan  falsafah  yang  boleh  menggangu
pembangunan mereka.
10.  Walaupun  mereka sudah membangun dan kukuh, mereka tahu
bahawa      nilai-nilai       mereka       masih       boleh
menghalang   kemajuan  mereka.     Kita  syak  bahawa  untuk
menentukan kita tidak dapat  mengejar  mereka,  mereka  cuba
mengembangkan  segala  nilai negatif di kalangan kita supaya
pembangunan kita terganggu sebelum pun kita  mencapai  tahap
pembangunan  yang  kukuh.   Justeru itu, jentera tidak rasmi
mereka sering mengancam kita kerana tidak demokratik,  tidak
bebas,  tidak adil dan lain-lain lagi.  Yang lemah di antara
kita akan berasa malu kerana dituduh  tidak  demokratik  dan
sebagainya  dan  kumpulan  ini  akan  turut  mengecam negara
sendiri, bahkan menimbulkan masalah dalam  negara.    Dengan
itu  pembangunan  negara  kita  akan terjejas dan kita tidak
dapat mengejar dan bersaing dengan negara-negara maju.
11.  Apa yang diperlukan  sekarang  bukanlah penolakan semua
nilai-nilai  kebaratan  tetapi kajian  yang diasaskan kepada
keperluan kita  dan situasi negara kita dengan tujuan  untuk
membuang  yang keroh dan mengambil yang jernih.
Saudara-saudari sekalian,
12.  Satu  daripada  nilai-nilai  yang telah menolong negara
maju dahulu  tetapi  sudah  dianggap  usang  sekarang  ialah
patriotisme.   Di waktu negara-negara barat sedang membangun
dengan pesat dahulu, mereka memuja patriotisme.    Anak-anak
muda  mereka  dipupuk  dengan  semangat patriotisme sehingga
mereka  rela  mengorbankan  harta  dan  nyawa  untuk  negara
mereka.   Mereka   bekerja   kuat    dan    mereka   sanggup
dihantar  ke  tanah  jajahan  yang jauh dari tanahair mereka
untuk mempertahankan bendera negara.  Ramai daripada  mereka
ini  terbunuh  dalam peperangan atau kerana penyakit.  Kubur
mereka terdapat di mana sahaja.  Kubur mereka menjadi  bukti
kegigihan semangat patriotisme mereka.
13.  Zaman  beredar  dan  sekarang  ini mereka kecewa kerana
kehilangan  empayar  mereka.     Patriotisme   sudah   tidak
diperlukan  lagi dan mereka memburuk-buruk dan mempermainkan
semangat ini dan ramailah pula daripada kita turut  menerima
nilai mereka ini.
14.  Kita  harus  memikir  sendiri mengenai patriotisme ini.
Negara kita sedang membangun. Kita tidak berhajat mendirikan
empayar  tetapi  kita  mahu  pencapaian  yang  tinggi  dalam
bidang-bidang tertentu.  Untuk ini kita tidak boleh didorong
semata-mata oleh materialisme.   Satu semangat kekitaan yang
kuat  mesti ada pada  kita.  Satu semangat  kebangsaan  yang
kukuh mesti  mempengaruhi  kita.    Kita harus didorong oleh
patriotisme, oleh kebanggaan dengan bangsa kita.Tiap sesuatu
yang  kita  buat  hendaklah  jangan  semata-mata kerana diri
sendiri tetapi juga kerana bangsa dan  negara.   Bagi   yang
betul-betul patriotik jika kepentingan   diri   bertentangan
dengan  kepentingan  bangsa  dan  negara,  kepentingan  diri
mengambil tempat kedua.  Yang utama ialah bangsa dan negara.
15.  Kita tidak mahu patriotisme  secara  buta-tuli.    Kita
tidak      menerima       maxim,      "My    country,    may
it  always  be  right,  but  my  country  right  or  wrong."
Patriotisme  yang  kita  mahu  ialah  patriotisme yang boleh
dipertahankan.   Patriotisme  kita  bukan  untuk  menceroboh
orang  lain  tetapi  untuk  kebaikan  kita.    Di  sini kita
menghadapi  masalah  kerana  jika  seseorang  individu  cuba
menilai  patriotisme sendiri, ia mungkin salah.  Justeru itu
adalah lebih baik jika kita menerima penilaian  yang  diakui
ramai.    Dengan  itu  semangat  patriotik  kita  tidak akan
menyebabkan kita  berpuak-puak  yang  bermusuh  antara  satu
dengan  yang  lain.    Berpuak-puak dan bermusuh antara kita
sesama kita tetap akan menghancurkan  semangat  patriotisme.
Inilah  yang berlaku apabila komunis membuat tafsiran mereka
sendiri dan menganggap orang  lain tidak cintakan negara dan
mereka  melancarkan  peperangan  terhadap  puak  yang  tidak
menyertai mereka.
16.  Para belia harus  memupuk  semangat  setia  dan  sayang
kepada  bangsa  dan  negara  dan  patriotisme  ini hendaklah
menjamin kita tidak membuat apa-apa  yang  merugikan  bangsa
dan  negara.    Sebaliknya sebarang tindakan yang kita ambil
mestilah membawa manfaat kepada bangsa dan negara.
Saudara-saudari sekalian,
17.  Satu perkara yang menekan sekarang  ialah  pengangguran
di  kalangan belia.   Untuk mengatasi masalah ini kita perlu
meningkatkan    proses    industrialisasi    kerana    hanya
kilang-kilang  pembuatan  sahaja  yang  boleh    menyediakan
peluang-peluang kerja dengan banyak.
18.  Kilang pembuatan memerlukan pelaburan yang  banyak  dan
teknologi  yang  moden.    Tidak ramai daripada para pelabur
dalam  negeri  yang  memiliki  modal  dan  teknologi   untuk
mengadakan   kilang-kilang  besar  dan  moden.    Oleh  itu,
pelaburan   asing   amatlah   penting   untuk    menyediakan
peluang-peluang pekerjaan.
19.  Untuk    menarik   pelaburan   asing   Kerajaan   telah
menyediakan banyak insentif.  Tetapi insentif yang  terbesar
sekali   ialah  kestabilan  negara  dan  kesanggupan  rakyat
Malaysia  untuk  bekerja  kuat  dan  menjayakan   perusahaan
berkenaan.    Sebarang kegiatan yang memberi gambaran bahawa
Malaysia tidak stabil merupakan  penghalang   kepada   usaha
mengatasi  masalah  pengangguran.   Saya berharap para belia
sendiri dan lain-lain  pihak  tidak   membuat  apa-apa  yang
boleh   memburukkan imej negara sebagai tempat  yang  paling
sesuai   untuk   pelaburan.    Perbuatan    demikian    akan
menganiayakan  belia  yang  masih menganggur   walau  apapun
kelulusan mereka.
Saudara-saudari sekalian,
20.  Semuanya yang berlaku  adalah  takdir  Tuhan.    Tetapi
nasib   kita  tidak  akan  berubah  melainkan  kita  sendiri
mengubahkannya.  Jika kita belajar dan menguasai ilmu, nasib
kita tidak akan sama  dengan  nasib  kita  jika  kita  tidak
belajar  dan  tidak memiliki ilmu.   Demikian juga jika kita
tidak berusaha,  kita  malas,  kita tidak jujur - nasib kita
tidak akan sama dengan nasib kita   jika kita berusaha, kita
rajin dan kita jujur.Walaupun akhirnya Tuhan yang menentukan
segala-galanya, ini tidak bermakna bahawa kita sendiri tidak
boleh  mempengaruhi apa yang berlaku kepada kita.
Saudara-saudari sekalian,
21.  Apa  yang akan jadi kepada kita apabila kita tua banyak
bergantung kepada apa  yang  kita  buat  semasa  kita  muda.
Zaman muda tidaklah lama jangka masanya.  Kemudian kita akan
beralih  ke  zaman  tua.    Oleh yang demikian rebutlah lima
kesempatan sebelum kesempitan, iaitu: sihat  sebelum  sakit,
kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum  tua
dan  hidup sebelum mati.
22.  Saya   yakin  belia  berilmu  akan  menjayakan  negara.
Marilah kita semua berusaha  sedaya  upaya  memperjuang  dan
mempertahankan  masa  depan  bangsa,  agama dan negara kita.
Dengan    kata-kata    tersebut    saya     dengan     lafaz
bismillahirrahmanirrahim  merasmikan  perhimpunan  Hari  dan
Minggu Belia Negara 1988.
     Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 
 



 
Google