Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	JALAN TUN PERAK, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	10/06/88 
Tajuk/Title  	: 	PEMBUKAAN RASMI MENARA MAYBANK 




 Yang Berbahagia Tan Sri Hashim Aman,
     Pengerusi Malayan Banking Berhad;
Lembaga Pengarah Malayan Banking;
Yang Berhormat-Yang Berhormat;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan.
    Saya  mengucapkan  terima  kasih  kepada  pihak Malayan
Banking kerana menjemput saya  melakukan  upacara  pembukaan
rasmi  Menara  Maybank  ini.    Sebagai sebuah bangunan yang
tertinggi dan indah di ibukota, bangunan  ini  akan  menjadi
satu  lagi  mercutanda  bagi  bandaraya Kuala Lumpur.   Saya
berharap bangunan ini akan sentiasa  diselenggarakan  dengan
baik  terutama  landscapingnya  supaya  ianya  menjadi  satu
kebanggaan kepada kita semua.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
2.   Pentadbiran kewangan negara dilaksanakan untuk membantu
pertumbuhan ekonomi serta memberi galakan  kepada  pelaburan
sektor   swasta.  Hasil   daripada   pentadbiran    kewangan
yang  baik  ialah pemulihan ekonomi yang kita lihat sekarang
yang diasaskan kepada kos pengeluaran kita yang competitive.
Jika kita ingat bahawa pemulihan ekonomi dunia  masih  tidak
dapat  menolong ekonomi banyak negara-negara membangun, kita
akan sedar bahawa kejayaan kita adalah suatu pencapaian yang
boleh dibanggakan.
3.   Pengurusan kewangan negara adalah pragmatik  dan  tidak
dipengaruhi  oleh  perasaan kebanggaan yang palsu atau false
pride.  Janganlah ada sesiapa yang  kecewa  kerana  matawang
kita  turun  nilainya.    Sebenarnya, pemulihan ekonomi kita
diasaskan  kepada  competitiveness  eksport  kita.     Namun
demikian,  taraf hidup kita tidak terjejas kerana inflasi di
negara   kita    rendah,     iaitu     pada      kadar    1%
setahun  sahaja,  dibandingkan  dengan  5% hingga 7% di masa
dahulu.  Selagi nilai matawang kita rendah, selama itu  kita
tidak akan mengimport inflasi dan imbangan bayaran kita akan
menjadi lebih kukuh.
4.   Seperti  biasa  dasar  dan  usaha Kerajaan sahaja tidak
memadai untuk menjaga kekuatan kewangan dan ekonomi  negara.
Dalam soal ini, bank-bank perdagangan memainkan peranan yang
amat  penting.  Mereka boleh menentukan sama ada dasar-dasar
kewangan Kerajaan berkesan ataupun tidak.  Justeru itu, bank
tidak  boleh  hanya  memikirkan  kepentingan  jangka  pendek
dirinya  sahaja.   Pandangan yang lebih luas dan kepentingan
jangka panjang adalah lebih penting, terutama  apabila  bank
cuba mengatasi masalah hutang lapuk  yang  dialami  di waktu
kemelesetan  ekonomi.    Harus  diingat  bahawa   bank  juga
bertanggungjawab terhadap  hutang  yang  lapuk  kerana tidak
menimbang dengan teliti semasa  memberi hutang, terutama  di
waktu  makmur     dahulu.
5.   Saya  sangat  berbangga  dengan  tindakan  Maybank yang
telah berusaha meringankan beban pelanggan-pelanggannya yang
menghadapi  kesukaran  akibat  kelembapan  ekonomi  dua-tiga
tahun  yang  lalu.    Semua  institusi  kewangan harus dapat
membezakan kesukaran kewangan yang disebabkan oleh  kecuaian
pihak   pengurusan  dan  kakitangan  dengan  kesukaran  yang
disebabkan oleh kemelesetan ekonomi.  Dalam suasana  ekonomi
yang  tumbuh  dengan kadar yang membanggakan ini, seharusnya
perusahaan dan perniagaan pun boleh dimajukan    semula  dan
perniagaan yang lemah dahulu bolehlah dipulihkan kembali.
6.   Walau bagaimanapun saya ingin menyentuh sedikit tentang
pinjaman-pinjaman  yang  lapuk  atau  'bad  debts' dan kadar
faedah.  Kadar pinjaman atau lending rate masih  tinggi  dan
ini  menjadikan  jurang  perbezaan antara kadar pinjaman itu
dan  kos  deposit  atau  simpanan  bertambah  luas.    Kadar
pinjaman  yang  tinggi  ini  adalah  salah  satu faktor yang
menjadikan  pinjaman  tidak  berbayar  atau   non-performing
loans.    Kadar  faedah yang tinggi semasa ekonomi kita baru
hendak pulih selepas mengalami kelembapan  akan  menyebabkan
pinjaman-pinjaman  lapuk  ini  tidak  berkurangan.    Semasa
kelembapan ekonomi setahun dua yang  lalu,  bank-bank  telah
mengenakan   kadar faedah penalti ke atas peminjam yang cuai
bagi   memaksa   pembayaran   balik  pinjaman mereka.  Kesan
tindakan  seperti  itu  ialah  peminjam  semakin  dibebankan
dengan pinjaman dan semakin ramai yang tidak mampu membayar.
Jika   peminjam   menjadi  muflis,  bank  tidak  akan  dapat
mengatasi masalah hutangnya.  Sebaliknya, jika  bank   dapat
membimbing peminjam-peminjam, termasuk memberi pinjaman baru
jika ini  sahaja  yang  akan  memulihkan  keadaan   kewangan
mereka, akhirnya  bank  mungkin  akan  mendapat  balik  wang
mereka.  Seperti   juga   dengan perniagaan-perniagaan lain,
bank  mesti menerima risiko pelaburannya.
7.   Kita  tahu bahawa mengenakan penalti kepada orang-orang
yang     tidak     dapat     membayar      balik     hutang,
tidak     selalunya     menolong    bank.        Sebaliknya,
peminjam-peminjam  akan  dibebankan   lagi   dan   pemulihan
perniagaan  mereka tidak dapat dicapai.  Percubaan menampung
kerugian bank dengan menaikkan  kadar  faedah  kepada  semua
peminjam  baru  bermakna  mendera  orang yang tidak bersalah
kerana  kesilapan  orang  lain,  termasuk   kesilapan   bank
sendiri.      Akhirnya,  jika  kerana  kadar  faedah  tinggi
menyebabkan  perniagaan  terganggu,  ekonomi   tidak   dapat
dipulihkan   dan  bank  juga  tidak  akan  mendapat  apa-apa
manfaat.
8.   Adalah   diharapkan   bank-bank   akan   mencari   satu
pendekatan       baru      yang      bersesuaian      dengan
perkembangan-perkembangan  yang  baik  dalam  ekonomi  kita.
Pinjaman-pinjaman  yang mempunyai peluang atau prospek untuk
menjadi pinjaman    berbayar  atau performing loans haruslah
diberi pertimbangan dan galakan yang sepatutnya.    Tindakan
yang   mungkin   dilakukan  termasuklah  mengurangkan  kadar
pinjaman ke paras  yang berpatutan bagi pinjaman yang  tidak
berbayar.   Saya berharap bank-bank akan bekerjasama  dengan
para  peminjam   mereka   bagi   mempastikan kedua-dua pihak
mendapat manfaat.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
9.   Semenjak  dua  tahun  yang  lalu,  Bank  Negara   telah
melaburkan  modal tidak kurang daripada $650 juta Ringgit ke
dalam struktur ekuiti 3 buah bank perdagangan tempatan  yang
menghadapi   masalah  kewangan.     Sekarang  ini  bank-bank
tersebut  bukan  sahaja  dapat  meneruskan  operasi  mereka,
bahkan  mempunyai   kemungkinan    besar   untuk mendapatkan
keuntungan.   Beberapa tahun  dahulu terdapat bank-bank lain
yang  terpaksa  diselamatkan oleh  Kerajaan atau  oleh  Bank
Negara.  Kerajaan  terpaksa  melaksanakan  beberapa  langkah
seperti   mengubah   keanggotaan   lembaga   pengurusan  dan
memperbaiki prosedur-prosedur kerja bagi memulihkan prestasi
bank-bank tersebut.
10.  Berbagai  faktor  boleh  kita  ketengahkan  yang  telah
menyebabkan  terjadinya  gejala  buruk  ini.    Salah   satu
sebabnya  mestilah  berkaitan  dengan  pengurusan yang tidak
cekap dan tidak  amanah.    Saya  pernah  menyatakan  bahawa
sebenarnya  bank  dan lain-lain institusi kewangan, berniaga
bukan sahaja dengan   wang  tetapi  juga  berniaga  dengan
                                      ...10/- amanah, bahkan
amanah adalah komoditi jual-beli institusi kewangan.   Tanpa
amanah,   bank   dan  institusi  kewangan  lain  tidak  akan
dipercayai oleh para pelanggan  untuk  menyimpan  wang  atau
untuk  membuat urusan kewangan yang lain.  Justeru itu, bank
perdagangan  dan  lain-lain  institusi   kewangan   haruslah
mempunyai  pengarah  dan  pengurus  yang mengambil berat dan
meneliti perjalanan bank untuk menjaga kredibilitinya.
11.  Saya   berharap   bank-bank   dan   institusi-institusi
kewangan   yang   ingin   mewujudkan  amanah  ini  hendaklah
menanamkan semangat  ini  di  kalangan  para  eksekutif  dan
kakitangan  mereka.    Apabila  bank  dan institusi kewangan
terkenal kerana  mempunyai  pengurusan    yang    beramanah,
barulah  mereka mempunyai   kredibiliti  dan  keutuhan untuk
berfungsi dengan  cekap  dan  baik.    Justeru  itu,  adalah
diharapkan  Maybank, di mana  Kerajaan mempunyai kepentingan
yang tinggi,  akan  sentiasa menjunjung prinsip  amanah  dan
juga tidak akan membiarkan penyalahgunaan kuasa melanda bank
ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12.  Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan  terima  kasih
kepada  Lembaga  Pengarah  dan  Pengurusan  Malayan  Banking
kerana menjemput saya untuk  merasmikan  Menara  yang  indah
ini.    Adalah  menjadi  harapan  Kerajaan  supaya keindahan
bangunan ini akan menebalkan lagi semangat  dan  kesungguhan
semua  eksekutif  dan  kakitangan  bank  ini  dan  anak-anak
syarikatnya untuk  terus  menempa kejayaan yang lebih tinggi
pada masa hadapan.
13.  Dengan  harapan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
pembukaan Menara Maybank ini.
     Sekian, terima kasih.

 
 



 
Google