Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN BANDARAN BARU, SEREMBAN,
NEGERI SEMBILAN
Tarikh/Date : 02/07/88
Tajuk/Title : PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG MIC
Yang Berhormat Datuk Samy Vellu,
Presiden MIC;
Ahli-ahli Jawatankuasa Pusat MIC;
Para Perwakilan MIC;
Wakil-wakil Parti-Parti Komponen Barisan
Nasional;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat
Datuk Samy Vellu dan Jawatankuasa Pusat MIC kerana menjemput
saya untuk berucap dan seterusnya merasmikan Perhimpunan
Agung MIC ini. Seperti perhimpunan-perhimpunan agung
parti-parti komponen yang lain dalam Barisan Nasional,
Perhimpunan Agung MIC ini juga mendapat perhatian ramai
khususnya oleh parti-parti komponen Barisan Nasional. Saya
percaya Perhimpunan ini akan berjalan dengan lancar dan akan
menghasilkan sesuatu yang akan membantu mengukuhkan lagi MIC
dan juga Barisan Nasional.
2. Kini kita berada di suatu ketika di mana kita
menghadapi berbagai cabaran dalam bidang politik, ekonomi
dan sosial. Sebagai sebuah
negara yang merdeka dan berdaulat, kita telah memainkan
peranan kita di forum-forum antarabangsa dengan ikhlas,
jujur dan berani. Kita menyuarakan pandangan dan pendapat
kita mengenai isu-isu ekonomi dan politik dengan jelas dan
menyeluruh. Kita memuji apa yang baik dan kita juga sanggup
mengkritik dan memberi cadangan kepada yang buruk dan yang
usang. Pendirian dan sikap kita ini dihormati oleh
negara-negara lain termasuk negara-negara maju dan besar.
Kerana sikap tegas dan berani ini, Malaysia telah dipilih
untuk menyertai berbagai-bagai jawatankuasa dan forum-forum
antarabangsa. Pendek kata pendapat dan pandangan kita
didengar dan dihormati.
3. Di samping itu perkembangan di dalam negeri juga amat
menggalakkan. Ekonomi negara kita pada tahun lalu telah
mencatatkan pertumbuhan yang baik dan ada tanda-tanda bahawa
pertumbuhan ini akan menjadi lebih baik lagi pada tahun
ini. Harga bahan-bahan mentah kita telah meningkat,
termasuk harga bijih timah yang dahulunya disangka tidak
mempunyai masa depan lagi. Pelaburan, sama ada oleh
pelabur-pelabur tempatan atau asing, telah bertambah. Ramai
para pelabur yang sudah mempunyai pelaburan di negara
ini telah menambahkan lagi pelaburan mereka. Ramai pula
yang akan membesarkan operasi mereka. Bangunan-bangunan
yang dikatakan terlalu banyak dan tidak berharga, sekarang
ini amat diminati oleh pelabur-pelabur asing. Ini semua
bererti peningkatan ekonomi, dan hasil daripada
peningkatan ekonomi ini ialah peluang-peluang pekerjaan yang
baru.
4. Sayugia diingatkan bahawa kemajuan ini berlaku bukan
dengan sendirinya. Kemajuan ini adalah hasil daripada
dasar-dasar serta perancangan-perancangan yang teliti dan
tindakan-tindakan yang berkesan oleh Kerajaan. Kerajaan
telah memberi tumpuan dan keutamaan kepada projek-projek
yang boleh mewujudkan peluang-peluang pekerjaan.
Usaha-usaha Kerajaan ini telah mendatangkan hasil.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
5. Sepertimana yang kita semua sedia maklum, pembangunan
dan kemajuan hanya dapat dicapai
sekiranya sesebuah negara itu aman dan stabil. Keamanan dan
kestabilan merupakan salah satu faktor yang penting. Kita
telah dapat mencatatkan kemajuan kerana negara kita aman dan
tenteram. Dengan adanya keadaan sedemikian, kita dapat
menumpukan perhatian yang lebih kepada usaha-usaha
pembangunan dan kepentingan rakyat keseluruhannya.
6. Walau bagaimanapun, sambil kita berusaha untuk
memajukan negara kita, terdapat tindakan-tindakan oleh
setengah-setengah pihak dalam negara ini yang
memburuk-burukkan negara mereka sendiri di kalangan
orang-orang asing dan juga di seberang laut. Kerana
kepentingan peribadi mereka, mereka sanggup berbohong
kepada orang-orang asing ini. Malahan
terdapat juga seorang individu yang sanggup menyeru pihak
lain untuk mengenakan sekatan perdagangan terhadap Malaysia.
Perbuatan individu ini jelas menunjukkan bahawa ia tidak
sayang kepada negaranya. Perbuatan ini juga menunjukkan
bahawa individu ini tidak mengutamakan kepentingan para
pekerja yang ia wakili. Malangnya, orang yang semacam
inilah yang telah diberikan kedudukan dan tanggungjawab
untuk mewakili para pekerja negara kita.
7. Ekonomi negara kita, seperti juga ekonomi negara-negara
lain, banyak bergantung kepada eksport barangan ke
negara-negara maju. Ini adalah kerana kita telah berjaya
mengeluarkan barangan perkilangan hasil kemajuan
perindustrian kita. Jelaslah sekiranya
kemudahan-kemudahan perdagangan yang sedia ada itu ditarik
balik, maka beribu-ribu pekerja akan hilang pekerjaan dan
mata pencarian mereka. Kita harus ingat bahawa kita sudah
menjadi competitor kepada negara maju. Kebolehan kita
mengeluarkan barangan yang lebih baik dan lebih murah
daripada negara-negara maju bermakna kita mengancam
kemewahan pekerja-pekerja di negara-negara maju. Mereka
hanya boleh bertanding dengan kita, jika mereka boleh
menaikkan kos pengeluaran barangan kita. Dengan menunjuk
kononnya mereka bersimpati terhadap nasib para pekerja kita
dan mengungkit soal human rights dan workers rights, mereka
sudah berjaya mencerminkan diri mereka sebagai jaguh-jaguh
atau champions pekerja-pekerja kita dan mempengaruhi
tindakan-tindakan pekerja-pekerja dan pemimpin-pemimpin
kesatuan-kesatuan sekerja kita.
8. Mereka menasihatkan para pekerja kita supaya membuat
tuntutan-tuntutan yang majikan belum mampu melayan serta
mengambil tindakan perusahaan yang menjejaskan kos
pengeluaran kita. Sekarang ini kumpulan mereka di ILO
mendesak ILO supaya mengambil tindakan terhadap
negara-negara membangun kerana tidak menghormati human
rights dan workers rights, kononnya. Saya percaya bahawa
ada pekerja-pekerja di negara-negara membangun yang akan
menyokong desakan ini tanpa memikirkan bahawa tindakan oleh
negara-negara maju ini akan menyebabkan pengangguran dan
kemiskinan di kalangan diri mereka
sendiri. Bagi para pekerja di negara-negara maju, sebarang
tindakan terhadap negara-negara membangun, seperti Malaysia,
akan menyelamatkan pekerjaan mereka dan mereka juga boleh
membuat tuntutan kepada majikan mereka yang mendapat
keuntungan yang lebih. Pendek kata, tindakan para pekerja
negara-negara maju dan para pemimpin mereka bertujuan
menjadikan para pekerja kita lebih miskin dan menganggur
sementara mereka menjadi lebih mewah.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9. Kita hanya perlu memikirkan tindakan seperti yang
diambil oleh American Soyabean Association untuk menyedarkan
diri kita sama ada mereka bersimpati dengan kita atau tidak.
Mereka menggunakan apa jua cara untuk memburukkan minyak
kelapa sawit yang menjadi punca pendapatan ribuan pekerja
dan peneroka di Malaysia. Di manakah pemimpin-pemimpin
pekerja di negara-negara maju itu yang kononnya begitu
sayang dan concern terhadap pekerja-pekerja kita? Adakah
mereka mempertahankan kebaikan kelapa sawit untuk menjaga
nasib pekerja-pekerja kita? Kata pepatah Inggeris "Beware
of Greeks bearing gifts".
Tuan-tuan dan puan-puan,
10. Sepertimana yang saya sebutkan tadi ekonomi negara kita
telah mengalami pemulihan semenjak akhir-akhir ini. Kita
akan terus berusaha supaya ekonomi negara kita menjadi
bertambah kukuh lagi. Salah satu faktor penting bagi
menjamin kemajuan ekonomi negara kita ialah kestabilan dan
keamanan. Ini bererti setiap orang daripada kita mempunyai
peranan masing-masing untuk membantu mengukuhkan keamanan
dan kestabilan negara ini.
11. Menyentuh tentang MIC, saya berbangga dengan prestasi
parti ini dalam Barisan Nasional. Sebenarnya MIC lebih baik
daripada UMNO sekarang. MIC telah memberi sumbangan yang
bermakna terhadap menjaga kepentingan bukan sahaja ahli-ahli
partinya, tetapi juga rakyat negara ini yang berketurunan
India. MIC berjaya memainkan peranannya dalam konteks
Barisan Nasional iaitu melalui perundingan dan tolak ansur.
12. Saya berharap parti ini akan terus menempa kekukuhan
pada tahun-tahun yang akan datang. Kuat MIC dan kuatnya
parti-parti komponen yang lain, maka kuatlah Barisan
Nasional. Kita memang memerlukan sebuah Kerajaan dan
masyarakat yang kuat dan bersepadu untuk terus membangunkan
negara kita.
Tuan-tuan dan puan-puan,
13. Saya berasa bangga kita dalam Barisan Nasional dapat
meneruskan tradisi kita mengadakan perbincangan-perbincangan
dengan cara yang teratur dan dengan bersopan-santun.
Terdapat sekali-sekala dugaan terhadap tradisi ini, tetapi
pada keseluruhannya tradisi ini telah berterusan. Pada
masa lalu, apa jua masalah yang timbul kita selesaikan
melalui saluran-saluran yang telah dipersetujui. Banyak
perkara penting telah kita rundingkan dengan kebijaksanaan
dan mengambil kira kedudukan negara, pertimbangan tentang
rakyat yang berbilang kaum dan agama, dan
persetujuan-persetujuan yang lalu.
14. Dugaan mesti ada dan kita harus berusaha untuk
mengatasinya. Dalam usaha mengatasinya, kita tidak harus
berpecah-belah dan bersengketa. Cara yang baik untuk
mengatasinya ialah melalui perundingan, perbincangan dan
persidangan. Tetapi apabila sesuatu keputusan telah dibuat
dan diterima ramai, keputusan itu mestilah dipatuhi oleh
semua pihak. Tidak ada gunanya kita berunding dan
bermesyuarat tetapi keputusan dan pemilihan yang dibuat
tidak dihormati dan kita pergi ke mahkamah selepas itu.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
15. Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Yang
Berhormat Datuk Samy Vellu dan semua Ahli Jawatankuasa Pusat
MIC, serta ahli-ahli parti ini, yang telah memberi peluang
kepada saya berucap hari ini. Saya berharap Perhimpunan ini
akan menjalinkan lagi hubungan baik antara semua para
pemimpin dan para ahli parti ini.
16. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
Perhimpunan Agung MIC ini.
|