Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : WISMA MCA, JALAN AMPANG,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 31/07/88
Tajuk/Title : PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG MCA
Yang Berhormat Dato Dr. Ling Liong Sik,
Presiden MCA;
Ahli-Ahli Jawatankuasa Pusat MCA;
Para perwakilan MCA;
Wakil-Wakil Parti-Parti Komponen Barisan Nasional;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat
MCA kerana sekali lagi memberi penghormatan kepada saya
untuk merasmikan Perhimpunan Agung MCA ini. Saya difahamkan
berbagai perkara akan dibincangkan di Persidangan Tahunan
ini. Saya percaya perbincangan yang akan diadakan kelak
akan membawa manfaat bukan sahaja kepada MCA tetapi juga
kepada Barisan Nasional dan semua kaum yang diwakili oleh
Barisan Nasional. Kepada para perwakilan sekalian saya
berharap Perhimpunan ini akan mengukuhkan lagi MCA dan
Barisan Nasional supaya kita dapat memberi lebih banyak
sumbangan kepada Kerajaan dan negara.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
2. Dalam negara yang demokratik kita mengamalkan kebebasan
iaitu kebebasan yang membawa manfaat untuk keseluruhan
rakyat. Kita tidak dapat menerima kebebasan seperti yang
diamalkan oleh beberapa buah negara maju sehingga masyarakat
mungkin menjadi mangsa tindakan yang tidak bertanggungjawab
yang dibuat atas nama kebebasan. Justeru itu, kebebasan
yang diamalkan oleh seseorang individu atau kumpulan kecil
itu haruslah tidak mengancam kesejahteraan masyarakat.
Kepentingan ramai atau kepentingan majoriti rakyat negara
ini diutamakan daripada kepentingan individu dan golongan
kecil. Namun demikian ini tidak bermakna bahawa kita
sanggup membenarkan penindasan terhadap kumpulan minoriti
dan individu oleh majoriti rakyat.
3. Kebebasan dan demokrasi negara kita hendaklah
mengambil-kira kepentingan rakyat majoriti yang jarang
bersuara, atau 'silent majority', supaya kepentingan mereka
tidak pula ditindas oleh golongan atau badan minoriti yang
aktif, atau 'the activist minority'. Rakyat negara ini
menerima konsep demokrasi dengan sempadan-sempadan yang
wajar supaya kepentingan majoriti terpelihara tanpa
mengenepikan pandangan dan pendapat kumpulan minoriti yang
benar-benar bergiat mengikut lunas-lunas demokrasi.
4. Sepertimana yang kita semua maklum, sebagai sebuah
negara majmuk banyak perkara yang sensitif yang perlu kita
uruskan secara penuh diplomasi dan kejujuran supaya
perkara-perkara sensitif itu tidak diperalatkan sehingga
menjadi masalah kepada kita. Sebab itulah Barisan Nasional
lebih suka membincang perkara-perkara yang sensitif dengan
cara tertutup dan tertib untuk mencapai persetujuan yang
tidak berat kepada mana-mana pihak di samping boleh diterima
oleh majoriti daripada pihak-pihak yang terlibat. Barisan
Nasional juga mengutamakan mesyuwarah serta konsensus atau
persetujuan bersama. Sistem majoriti tidak boleh digunakan
kerana perwakilan kita dalam Barisan Nasional tidak mengikut
peratusan atau proportion parti atau kaum masing-masing yang
menjadi anggota Barisan Nasional. Sebagai sebuah keluarga
yang besar sudah tentu kadang kala timbul perbezaan pendapat
antara parti-parti komponen Barisan Nasional. Ini adalah
perkara biasa. Perbezaan pendapat ini tidak semestinya
menyebabkan keretakan Barisan Nasional. Sebaliknya jika
kita sabar dan berusaha mencari jalan keluar melalui tolak
ansur, akhirnya keputusan yang matang dapat dicapai.
5. Kita harus berbangga kerana proses diplomasi serta
konsensus ini telah menghasilkan berbagai-bagai kejayaan
dalam menguruskan perkara-perkara sensitif ini. Kita harus
meneruskan cara dan saluran yang telah kita wujudkan ini
demi kepentingan masyarakat dan negara. Walaupun terdapat
sekali-sekala di mana satu dua parti komponen terikut-ikut
dengan emosi masing-masing, pada keseluruhannya Barisan
Nasional boleh berbangga kerana kewarasan akhirnya dapat
mengatasi segala rintangan.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
6. Kestabilan adalah faktor yang amat penting bagi
sesebuah negara. Ia menjadi lebih penting bagi negara yang
membangun yang bergantung kepada eksport dan pelaburan asing
untuk pembangunannya. Kita tahu bahawa tanpa stabiliti
pembangunan negara akan terjejas dan kehidupan masyarakat
terganggu. Maka nyata sekali stabiliti dan keamanan
sekiranya tidak ada perlu diwujudkan dan sekiranya sudah ada
perlu dipelihara. Bagi kita di Malaysia kita patut
bersyukur bahawa pada keseluruhannya kestabilan politik dan
keamanan wujud. Jelaslah bahawa tanggungjawab untuk
memelihara keamanan ini terletak di tangan kita semua.
7. Semenjak dua tahun yang lalu ekonomi negara kita telah
menunjukkan perkembangan yang menggalakkan. Marilah kita
bersama-sama memastikan supaya pemulihan ekonomi negara kita
terus berjalan dengan lancar. Elakkanlah daripada melakukan
perkara-perkara atau meluahkan kata-kata yang mungkin secara
langsung atau tidak langsung akan menggugat kestabilan dan
pemulihan ekonomi negara.
8. Sekarang ini, barangan komoditi kita telah mengalami
kenaikan harga yang menggalakkan. Harga minyak kelapa
sawit, getah dan bijih timah telah meningkat. Eksport
negara kita terutama bagi barangan elektrik, elektronik dan
tekstil telah meningkat, sehinggakan eksport barangan
pembuatan merupakan eksport barangan yang terbesar tahun
lalu.
9. Jelas terbukti bahawa usaha-usaha Kerajaan beberapa
tahun kebelakangan ini telah membawa hasil. Walau
bagaimanapun ada pihak-pihak tertentu menyatakan bahawa
pemulihan ekonomi ini bukan kerana perancangan Kerajaan
tetapi semata-mata kerana permintaan dari luar meningkat dan
bertambah. Memang benar bahawa permintaan dari luar
bertambah tetapi banyak juga negara-negara yang tidak
mendapat faedah daripada kenaikan harga komoditi kerana
keadaan dalam negara berkenaan tidak mengizinkan. Oleh
kerana kita menguruskan politik dan ekonomi kita dengan
berhati-hati, berjimat cermat membelanjakan wang rakyat dan
berusaha meningkatkan produktiviti, kita telah dapat meraih
keuntungan daripada pemulihan ekonomi dunia. Sewaktu dunia
mengalami kemelesetan yang teruk sehingga permintaan untuk
barangan kita begitu berkurangan pun, ekonomi negara kita
tidaklah seburuk beberapa buah negara yang berbelanja sampai
tidak terhingga semasa mewah. Demikianlah pengurusan
kewangan kita di akhir-akhir ini sehingga kita dapat
membayar hutang dengan lebih awal dari jadual dan dengan itu
mengurangkan beban negara.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
10. Tindakan Kerajaan sahaja tidak mencukupi. Pekerja dan
pengurus perlu memainkan peranan yang cergas dan bijak untuk
meningkatkan produktiviti negara. Kekayaan seseorang
individu, masyarakat atau negara bergantung kepada tahap
produktiviti yang dicapai. Satu billion ringgit yang
disimpan di rumah dan tidak dilabur, tidak akan memberi
faedah kepada sesiapa termasuk pemiliknya. Tetapi sepuluh
ringgit yang 'dikahwinkan' dengan tenaga dan usaha akan
menyebabkan nikmatnya dirasai bukan sahaja oleh pemiliknya
tetapi juga oleh masyarakat. Sepuluh ringgit yang bergerak
cergas dan bertukar tangan dengan kerap akan memberi banyak
nikmat kepada semua pihak. Justeru itu, pekerja dan
pengurus hendaklah memerah tenaga dan fikiran untuk
menggerakkan apa juga modal yang ada supaya potensi modal
itu dapat dinikmati oleh semua. Tindakan yang membekukan
modal atau tindakan yang menghalang produktiviti modal tidak
ada faedah sama sekali. Semua pihak hendaklah mengelakkan
diri daripada tindakan seperti ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
11. Kita selalu menyebut tentang kestabilan negara dan
faedah kestabilan kepada kita semua. Sekiranya dengan
mengulangi perkara ini dari masa ke semasa akan mengingatkan
kita tentang pentingnya kestabilan ini kepada negara dan
masyarakat, maka eloklah kita mengingatkan diri kita di
perjumpaan seperti ini. Malaysia dengan penduduknya yang
terdiri daripada berbagai kaum yang mempunyai berbagai
bahasa, agama dan kebudayaan bukanlah mudah untuk ditadbir
dan distabilkan. Kita boleh berbangga kerana kita dapat
mentadbir Malaysia dan membangunkannya tanpa mencetuskan
keadaan tidak stabil. Tentulah ada sesuatu yang kena yang
dibuat oleh kita. There must be something right that we
have done. Oleh itu, peliharalah cara kita ini dan dengan
izin Tuhan kita akan stabil dan berjaya.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
12. MCA adalah sebuah parti politik yang telah banyak
berjasa kepada Parti Perikatan dan kemudian kepada Barisan
Nasional. MCA juga telah banyak memberi sumbangan kepada
Kerajaan dan negara. Ramai daripada pemimpin-pemimpin MCA
yang telah bersama-sama membentuk sistem dan falsafah
yang kita amalkan hari ini. Pemimpin-pemimpin MCA
sehingga kini telah bekerjasama rapat dengan
pemimpin-pemimpin parti-parti politik yang lain dalam
Barisan Nasional. Dato' Ling Liong Sik duduk di sebelah
saya dalam Kabinet. Seperti pemimpin-pemimpin parti-parti
lain dalam Barisan Nasional, beliau sering berjumpa dengan
saya. Beliau memahami saya dan saya juga memahami beliau.
Dato' Ling tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh
dilakukan dalam negara kita. Jikalau ada sesuatu yang Dato'
Ling fikir patut saya diberitahu, beliau memberitahu saya.
Begitu juga jikalau saya fikir Dato Ling patut diberitahu
sesuatu, saya akan memberitahu beliau. Pendek kata, kami
faham-memahami antara satu sama lain. Pendek kata juga
jikalau Dato' Ling dan MCA ada sesuatu yang hendak
dibincangkan, tidak payahlah perkara itu dilaung-laung dan
diheboh-hebohkan kepada khalayak ramai. Ketuk sahajalah
pintu pejabat saya. Saya dan rakan-rakan Kabinet yang lain
akan mempertimbangkannya jikalau perkara itu boleh
dipertimbangkan. Saya ingin mengulangi, saya hanya boleh
mempertimbangkan. I cannot give any guarantees. But my
Cabinet colleagues and I will certainly consider anything
that is reasonable.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
13. Saya percaya Persidangan MCA kali ini seperti juga
persidangan-persidangan yang lalu akan membawa manfaat
kepada MCA dan Barisan Nasional. Sekali lagi saya ingin
mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat MCA
kerana menjemput saya untuk merasmikan Perhimpunan ini.
Saya berharap Perhimpunan ini akan mencapai kejayaan.
Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
Perhimpunan Agung MCA kali ini.
|