Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 01/08/88
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN RANCANGAN
PEMASYARAKATAN PERPADUAN
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam
sejahtera.
Yang Berhormat Menteri-Menteri;
Yang Amat Berhormat Menteri Besar dan
Ketua Menteri;
Yang Berhormat-Yang Berhormat;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala
kerana di atas limpah kurniaNya dapat kita berjumpa di
majlis ini yang mempunyai makna yang besar kepada kita
semua. Saya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan
Perpaduan Negara kerana menjemput saya hadir sama di
perhimpunan ini dan seterusnya untuk merasmikan Pelancaran
Rancangan Pemasyarakatan Perpaduan. Saya juga mengucapkan
selamat datang kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian yang
datang dari jauh dan dekat dan dari berbagai golongan dan
lapisan masyarakat, untuk menyertai majlis ini.
2. Seterusnya saya mengucapkan tahniah kepada semua yang
dilantik sebagai ahli-ahli Panel Penasihat Perpaduan Negara.
Semoga berkat sumbangan dan usaha saudara-saudari sekalian,
kita dapat membantu mengukuhkan lagi perpaduan dan membentuk
sebuah bangsa yang kuat dan teguh. Saya sedar bahawa tugas
memimpin rakyat untuk menjadi satu bangsa Malaysia yang padu
dan kuat bukanlah satu usaha yang senang. Inilah
satu-satunya tanggungjawab yang amat berat, yang penuh
masalah dan sentiasa menghadapi berbagai-bagai cabaran.
Usaha kita ini akan menghadapi berbagai-bagai rintangan.
Walau bagaimanapun, kita akan tetap menjalankan tugas ini.
Kita akan pikul tanggungjawab yang berat ini, bukan hanya
sebagai tugas, bahkan juga sebagai suatu perjuangan demi
kesejahteraan anak-anak kita dan negara di masa depan.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
3. Atas kesedaran bahawa negara Malaysia terdiri dari
pelbagai keturunan, Kerajaan telah menentukan perpaduan
sebagai matlamat utama dalam usaha membangunkan bangsa
dengan identitinya tersendiri. Sehubungan dengan ini,
Kerajaan sentiasa berwaspada dan memikirkan strategi dan
perancangan tertentu, untuk menghadapi masalah dan isu yang
berkaitan dengan perpaduan nasional. Ini termasuklah bukan
sahaja strategi ke arah pencegahan untuk mengelakkan
daripada berlakunya rusuhan kaum, bahkan juga seiring
dengannya, pendekatan baru yang berbentuk pemulihan, supaya
negara dapat mencapai tahap kemajuan yang lebih tinggi,
tanpa diganggu oleh masalah-masalah perkauman yang tebal.
4. Justeru itu, apabila isu-isu yang menyentuh aspek
perkauman digembar-gemburkan oleh pihak-pihak tertentu,
Kerajaan terpaksa bertindak dengan cepat dan tegas untuk
membendung sebarang kemungkinan rusuhan kaum. Ini bukanlah
bermakna bahawa Kerajaan tidak toleran terhadap pandangan
atau pendapat yang berbeza daripada pendirian Kerajaan.
Kritikan terhadap Kerajaan adalah satu perkara yang Kerajaan
sanggup terima. Sekarang inipun kritikan terhadap Kerajaan
dilemparkan dengan bebas tanpa apa-apa sekatan oleh
Kerajaan. Tetapi kritikan yang diasaskan kepada perkauman
yang boleh mengancam harmoni antara kaum adalah perkara yang
lain. Kita tidak sanggup membiarkan kegiatan ini meningkat
ke tahap yang merbahaya seperti yang berlaku pada tahun
1969. Nyawa mereka yang terkorban pada 13 Mei 1969 tidak
boleh disia-siakan. Ia harus menjadi pengajaran kepada kita
sepanjang masa.
5. Kita perhatikan bahawa pergolakan dan pergaduhan yang
telah dan sedang berlaku di sebilangan negara lain
disebabkan bukan sahaja kerana pertelingkahan antara kaum,
bahkan juga kerana pertelingkahan antara rakyat daripada
kaum yang sama. Oleh itu, walaupun faktor kaum boleh
menjadi asas pergaduhan, faktor-faktor lain juga tentulah
memainkan peranan. Di antaranya ialah kurang ketegasan
Kerajaan untuk membendung potensi pertelingkahan di
peringkat yang awal. Kerajaan tidak boleh takut dikecam
kerana kurang toleran sehingga membiarkan sesuatu masalah
membakar hati sehingga tidak dapat dibendung lagi. Jika
berlaku rusuhan dan keganasan, Kerajaan akan dikecam juga.
Adalah lebih baik dikecam tanpa rusuhan daripada dikecam
kerana tidak bertindak mencegah rusuhan.
6. Kerajaan mempunyai falsafah yang jelas dari segi corak
dan arahaluan pentadbirannya, iaitu membangunkan sebuah
bangsa yang mempunyai maruah dan identitinya sendiri, malah
berkeupayaan serta berkebolehan dalam segala segi kemahiran
yang diperlukan secara menyeluruh -- fizikal, mental,
material dan kerohanian. Ini bermakna bahawa seluruh
masyarakat di negara ini, baik daripada keturunan Melayu,
Kadazan, Iban, Cina, Murut dan India mahupun daripada
kaum-kaum minoriti seperti Kelabit, Melanau, Serani,
Portugis, Orang Asli, semuanya mempunyai peranan untuk
menyumbang kepada proses pembangunan bangsa.
7. Sebagai peninggalan sejarah daripada penjajah,
masyarakat kita telah dibahagi-bahagikan berasaskan kepada
pekerjaan dan tempat tinggal. Ini menyebabkan ada
sebahagian besar daripada golongan masyarakat kita yang
telah tertinggal jauh di belakang dari segi ekonomi dan
pendidikan, dan amat terikat dengan budaya aktiviti ekonomi
bercorak tradisional di kawasan luar bandar. Di samping
itu, ada pula sebahagian lain daripada masyarakat kita
begitu teguh dalam bidang-bidang ini dengan kedudukan
ekonomi dan kebolehan dalam penggunaan teknologi moden.
Sebahagian besar daripada golongan kedua ini bermastautin di
dalam kawasan-kawasan bandar.
8. Di sinilah terletaknya mengapa perpaduan sukar dicapai
dan satu bangsa Malaysia sukar dibentuk. Kaum-kaum di
Malaysia bukan sahaja dipisahkan antara satu dengan yang
lain kerana kaum yang berlainan, tetapi juga dipisahkan pula
kerana pencapaian ekonomi dan tempat tinggal. Walaupun
perkembangan penggunaan Bahasa Malaysia telah dapat
mengurangkan sedikit jarak antara kaum tetapi faktor ekonomi
dan persekitaran masih mengganggu perhubungan.
9. Oleh itu, salah satu matlamat utama Kerajaan dalam
bidang pembangunan ialah supaya kekayaan negara dinikmati
secara saksama oleh semua golongan. Untuk ini terpaksalah
pertolongan yang lebih diberi kepada kaum-kaum yang
ketinggalan. Namun demikian pembasmian kemiskinan tidak
boleh dihadkan kepada kaum yang terkebelakang sahaja. Semua
kaum perlu ditolong untuk mengatasi kemiskinan. Dengan
tindakan ini, pengenalan kaum dengan jenis kerja dan kawasan
diharap akan dapat dihapuskan.
10. Bukanlah menjadi tujuan Kerajaan untuk mengambil
daripada kaum yang kaya dan memberikannya kepada kaum yang
miskin. Yang akan dibuat ialah pembesaran kek ekonomi dan
daripada bahagian yang membesar ini, pembahagian akan dibuat
supaya perbezaan ekonomi antara kaum tidak akan begitu
ketara. Penyusunan semula masyarakat perlu dilakukan kerana
kemahiran yang khusus dalam semua bidang perlu dimiliki oleh
semua golongan masyarakat dan bukan oleh golongan-golongan
yang tertentu sahaja. Sekiranya semua proses penyusunan
semula ini dapat dijayakan, kaum-kaum di negara ini tidak
akan begitu terpisah sama ada di kediaman atau di tempat
kerja. Dengan ini mereka akan lebih mudah berkenal-kenalan
dan mempunyai kepentingan yang sama. Inilah Dasar Ekonomi
Baru yang sebenarnya.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
11. Di zaman penjajah hanya satu golongan yang kecil sahaja
daripada kaum-kaum yang berada di Malaysia yang dapat
menjalinkan perhubungan. Mereka ini ialah yang berpeluang
belajar bersama-sama di sekolah-sekolah Inggeris. Oleh
kerana latar belakang ekonomi mereka tidak terlalu berbeza,
adalah mudah bagi mereka mengenepikan perasaan perkauman.
Pelajaran yang dikuasai oleh mereka menjadikan mereka orang
yang terkemuka dalam masyarakat. Mereka inilah yang menjadi
pemimpin semasa menentang rancangan British untuk menjadikan
negara kita jajahan takluk Britain. Semasa perjuangan untuk
kemerdekaan juga, mereka menjadi pemimpin. Tidak hairanlah
mereka dapat mencapai kerjasama antara kaum bagi menuntut
kemerdekaan dan meneruskan kerjasama ini setelah merdeka.
Kita semua amat terhutang budi kepada generasi ini yang
sedikit sebanyak, menyebabkan sikap toleransi yang memberi
keamanan kepada kita. Malangnya generasi yang ada sekarang
tidak tertekan oleh penjajah dan ada juga yang tidak
bersekolah bersama. Jika persefahaman dahulu hendak disubur
dan dikembangkan, usaha khusus hendaklah dibuat.
12. Usaha pertama telahpun dilaksanakan. Tidak siapa dapat
menafikan bahawa sebarang perhubungan antara kaum adalah
lebih mudah kerana ramai yang sudah fasih berbahasa
kebangsaan. Di kalangan belia ramai yang fasih dengan
bahasa kebangsaan sehingga ia menjadi betul-betul bahasa
perantaraan di antara semua kaum belia di Malaysia. Kita
yakin selepas satu generasi lagi, bahasa kebangsaan akan
menjadi bahasa perantaraan yang benar-benar berkesan dan
ulung di negara kita.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
13. Tetapi kita belum dapat mengatasi perasaan perkauman
generasi tua daripada mempengaruhi sikap generasi muda.
Generasi yang tua ini takut akan kehilangan identiti kaum
mereka. Oleh itu mereka sering menekankan soal-soal
perbezaan kaum, secara langsung atau tidak langsung, di
kalangan generasi muda. Dari masa ke semasa mereka
menjadikan kaum sebagai isu politik yang tidak dapat tidak
mempengaruhi fikiran murid-murid dan anak-anak muda.
14. Kita tidak menafikan bahawa penduduk Malaysia terdiri
daripada berbagai kaum. Pihak yang berkuasa tidak ada niat
untuk menghapuskan mana-mana kaum. Semua kaum bebas
mengekalkan identiti mereka -- iaitu bahasa, agama dan
kebudayaan mereka. Tetapi di waktu kita mencapai
kemerdekaan kita telah membuat satu perjanjian untuk
menerima nama rasmi negara ini sebagai Malaysia, bangsa kita
sebagai Bangsa Malaysia dan bahasa kita Bahasa Malaysia.
Semua nama-nama ini diasaskan kepada nama penduduk asal yang
terbesar di negara ini iaitu bangsa Melayu. Mengakui dan
menerima Malaysia, bangsa Malaysia dan bahasa Malaysia tidak
menjadikan kita semua orang Melayu. Daripada segi ethnik,
kita kekal sebagai Cina atau India atau Iban atau Kadazan
atau Murut dan lain-lain. Kita menjadi bangsa Malaysia
hanya sebagai political identity yang mempunyai negara yang
tertentu.
15. Oleh itu tidak ada sebab mengapa kita harus khuatir
tentang kehilangan identiti ethnik kita. Kita tidak pun
hilang bahasa atau kebudayaan ethnik kita.
16. Walau bagaimanapun hanya dengan menerima political
identity kita sahaja, tidak akan wujud satu bangsa Malaysia
yang bermakna. Kita mesti mempunyai bahasa dan kebudayaan
yang menentukan kita adalah sebenarnya bangsa Malaysia dan
kita mempunyai kesetiaan kepada negara yang sama, iaitu
negara Malaysia. Jika kaum-kaum yang berlainan tidak
bertegur sapa, tidak ada makna kita mengaku kita adalah
daripada satu bangsa.
17. Tanpa menghapuskan identiti kaum asal kita, kita
masih boleh menjadi bangsa Malaysia yang bermakna. Malaysia
bukanlah hanya satu negara sahaja di dunia ini yang
mempunyai warganegara yang terdiri daripada berbagai kaum
yang mengakui identiti kebangsaan yang sama. Kian lama kian
banyak negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum.
Amerika Syarikat, Australia, India dan lain-lain juga
mempunyai penduduk berbilang kaum. Tetapi kita kenal orang
Amerika, orang Australia dan orang India kerana ciri-ciri
tertentu yang ada pada mereka. Walaupun kita lebih liberal
daripada mereka, kita masih boleh membentuk ciri-ciri yang
boleh dikenali sebagai khusus untuk bangsa Malaysia.
Tuan-tuan dan puan-puan,
18. Saya harap dengan penjelasan ini golongan tua tidak
lagi akan khuatir identiti kaum mereka akan hilang. Dengan
itu mereka tidak sepatutnya meragui usaha Kerajaan untuk
mengembangkan bahasa Malaysia dan merapatkan hubungan antara
kaum. Jika kita dapat mewujudkan satu masyarakat Malaysia
yang bercampur-gaul dengan lebih mesra dan boleh berhubung
melalui satu bahasa, tidak dapat tidak, kita akan secara
automatis membentuk satu kebudayaan yang khusus bagi bangsa
Malaysia.
19. Masyarakat yang mempunyai satu negara, satu bahasa yang
sama atau common language dan satu kebudayaan tidak dapat
tidak akan mempunyai identiti yang sama yang akan diiktiraf
sebagai satu bangsa. Di mana juga kita pergi, pengiktirafan
ini akan menjadi nyata. Kita tidak lagi akan dikelirukan
dengan bangsa-bangsa lain khususnya bangsa daripada negara
asal kita. Jika kita pula berbangga dengan pengiktirafan
ini, maka pada ketika itu wujudlah bangsa Malaysia yang
sebenar.
20. Di tanahair kita pergaulan di antara kita perlu
dipertingkatkan. Pemasyarakatan perpaduan yang kita
maksudkan ialah menunjukkan perpaduan ini dalam
kegiatan-kegiatan masyarakat. Sekarang ini terlalu banyak
kegiatan masyarakat yang terhad kepada kaum masing-masing.
Demikianlah tabiat yang diamalkan oleh kita sehingga apabila
Menteri terdiri daripada orang keturunan Cina, maka majlis
yang dihadirinya juga akan terdiri daripada orang-orang
Cina. Jikalau Menteri Melayu, maka hadirinnya juga Melayu.
Dan seterusnya. Sebenarnya ini adalah kerana dahulu kita
tidak mempunyai satu bahasa yang difahami oleh semua kaum.
Sekarang ini dengan penggunaan Bahasa Kebangsaan semua yang
hadir memahami apa yang diucapkan. Oleh itu, kegiatan
kemasyarakatan yang terhad kepada satu kaum sahaja patutlah
dikurang dan digantikan dengan kegiatan yang melibatkan
bersama semua kaum.
21. Demikian juga dengan lain-lain kegiatan masyarakat.
Dalam bidang sukan, majlis-majlis awam, rombongan-rombongan
dan lain-lain, penyertaan semua kaum perlu digalakkan. Ini
dengan sendirinya akan mengurangkan celaan dan sindiran
terhadap kaum lain apabila sesuatu kaum berkumpul
berasingan.
22. Sebenarnya di zaman Kesultanan Melaka, kaum-kaum memang
bercampur-gaul. Perkahwinan antara kaum adalah perkara
biasa. Sebab itu wujud masyarakat Cina Baba, Portugis
Melaka dan Ceti. Sambil mengekalkan identiti kaum, penduduk
Melaka berjaya mencipta identiti yang khusus bagi orang
Melaka. Di Pulau Pinang juga, proses ini berlaku di zaman
British. Perkahwinan antara kaum kerap berlaku di kalangan
orang-orang beragama Islam dan kadang-kadang antara Islam
dengan bukan Islam. Dengan ini terbentuk masyarakat Arab
Peranakan, Melayu Peranakan, Melayu Siam dan Sam Sam,
keturunan Aceh, Mandailing, Rawa, Bugis, Jawa, Banjar dan
lain-lain suku kaum dari Indonesia yang menerima bahasa dan
adat resam Melayu dan dengan itu diiktiraf sebagai Melayu.
Percampuran ini tidak menghilangkan identiti Melayu.
Demikian juga masyarakat Baba, Portugis dan Ceti tidak
hilang identiti mereka.
23. Malangnya semenjak merdeka ada usaha dibuat untuk
menebalkan perkauman sehingga kebudayaan yang mempunyai
unsur-unsur negara ini di kalangan kaum bukan Melayu telah
hilang. Aliran ini amatlah dikesali kerana kebudayaan zaman
Kesultanan Melaka adalah contoh yang baik untuk integrasi
kaum di Malaysia.
Tuan-tuan dan puan-puan,
24. Dalam usaha pemasyarakatan perpaduan, unsur-unsur
kebudayaan yang berasaskan kepada ciri-ciri Kesultanan
Melaka sepatutnya dihidupkan. Ia boleh menolong merapatkan
lagi hubungan antara kaum sehingga perbezaan di antara kaum
tidak menjadi begitu ketara.
25. Matlamat kita ialah satu Bangsa Malaysia yang mudah
dikenali sebagai unik bagi warganegara Malaysia tanpa
menghapuskan unsur-unsur dan budaya kaum-kaum yang berlainan
keturunan yang menjadikan Malaysia tanahair mereka. Jika
generasi tua tidak mempengaruhi generasi muda dengan
kebimbangan mereka yang tidak berasas tentang kemungkinan
hilangnya identiti kaum masing-masing, insya-Allah, dalam
dua generasi lagi matlamat kita dapat dicapai.
26. Sebaliknya jika generasi tua menyedari dan menyambut
baik usaha ke arah perpaduan antara kaum, dan secara aktif
berusaha menjayakan pemasyarakatan perpaduan, matlamat kita
akan dicapai dengan lebih cepat lagi.
27. Kempen pemasyarakatan perpaduan ini adalah untuk
mempercepatkan proses pembentukan bangsa Malaysia yang
bersatupadu. Saya berharap semua pihak akan berusaha
memahami matlamat yang murni ini dan mengamalkan cara-cara
yang telah digariskan. Mudah-mudahan akan lahirlah satu
Bangsa Malaysia yang lebih bersatupadu, stabil dan berjaya
serta dihormati oleh seluruh dunia.
Tuan-tuan dan puan-puan,
28. Dengan kata-kata ini, saya dengan penuh ikhlas dan
harapan merasmikan Pelancaran Rancangan Pemasyarakatan
Perpaduan ini.
|