Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT ISLAM, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	02/08/88 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN MAJLIS PERHIMPUNAN GURU-
			GURU TAKMIR MASJID SELURUH MALAYSIA 




 Bismillahirrohmanirrohim.
Assalamualaikum Warrahmatullahi Wabarokatuh.
Yang Berhormat Dato' Dr. Mohd. Yusof Noor,
     Menteri Di Jabatan Perdana Menteri;
Yang Berbahagia Dato' Dr. Abd. Hamid Othman,
     Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Islam
     JPM;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan serta Para 'Alim Ulama yang dihormati sekalian.
    Bersyukur  kita  ke  hadrat  Allah  Subhanahu  wa Taala
kerana dengan limpah rahmat dan inayahNya maka pada hari ini
kita telah diketemu dan dihimpunkan dalam dewan  yang  mulia
ini.
2.   Saya penuh yakin perhimpunan dan pertemuan seumpama ini
amat   penting   dan   amat   bermakna   bagi   kita   dalam
menyatu-padukan tenaga dan fikiran serta  dalam  menjalankan
tanggungjawab dan peranan yang telah diamanahkan kepada kita
semua.      Di   samping  itu  kita  juga  berpeluang  untuk
bertukar-tukar fikiran dan pendapat mengenai  berbagai-bagai
perkara  dan perkembangan semasa yang perlu diberi perhatian
dan tindakan bersama.
Tuan-tuan sekalian,
3.   Agama Islam berkembang ke seluruh pelosok dunia melalui
proses penyebaran.  Tugas menyebarkan Islam  kepada  manusia
telah  dilaksanakan  oleh Rasulullah s.a.w. melalui berbagai
cara dan pendekatan yang sesuai dengan suasana serta keadaan
masyarakatnya.  Dengan itu Islam dapat diterima dengan  baik
oleh mereka.  Salah satu aspek penting yang ditonjolkan oleh
Baginda  Rasulullah  s.a.w.  dalam  menyebarkan  Islam ialah
memastikan bahawa Islam adalah agama yang mencintai keamanan
dan keharmonian.  Perkataan Islam itu sendiri memberi  makna
keamanan.
4.   Kerana  itulah  Baginda telah berjaya menyebarkan Islam
dalam bentuk yang harmoni serta amat cermat dan teliti.  Ini
termasuklah daripada segi  tutur  kata  atau  tindakan  yang
dilakukannya.      Baginda  juga  menyebarkan  Islam  secara
berperingkat-peringkat dengan  mengutamakan  perkara-perkara
pokok  dan penting, serta mengambil kira keadaan dan suasana
masyarakat, khususnya daripada segi  sosial,  budaya,  taraf
pemikiran,  iklim  keagamaan  dan  sebagainya.   Hakikat ini
haruslah dijadikan pengajaran kepada  kita  bahawa  sebarang
usaha   bagi   melaksanakan  syariat  atau  peraturan  Islam
hendaklah diasaskan kepada bimbingan dan panduan yang  telah
ditunjukkan  oleh  Rasulullah s.a.w.   Janganlah kita angkuh
dan sombong dengan  agama  kita  sehingga  menyakitkan  hati
orang lain dan menjauhkan mereka daripada agama kita.
Tuan-tuan sekalian,
5.   Kebijaksanaan   atau  hikmah  dalam  menyebarkan  ilmu,
kebijaksanaan dalam tutur kata, kebijaksanaan dalam  sesuatu
tindakan,   serta  kebijaksanaan  dalam  menerajui  pimpinan
merupakan di antara pendekatan  yang  berkesan  dan  penting
bagi   menjamin   keharmonian  kehidupan  bermasyarakat  dan
bernegara.  Dalam hubungan inilah pentingnya seseorang  yang
berilmu   itu  menggunakan  kebijaksanaannya  supaya  segala
tindakannya   akan   berasaskan   kepada    keperluan    dan
perkembangan   semasa.      Dalam   hal  ini,  keilmuan  dan
kebijaksanaan  merupakan  dua  perkara  yang   tidak   boleh
dipisahkan.    Namun  demikian  masih  terdapat  di kalangan
masyarakat   Islam   di   negara   ini    segolongan    atau
kumpulan-kumpulan   tertentu   yang   arif  serta  mempunyai
kepakaran dalam suatu bidang ilmu pengetahuan, tetapi kurang
menggunakan kebijaksanaan dalam menjalankan tugas-tugas yang
diamanahkan  kepada  mereka.     Keadaan  sedemikian   telah
menimbulkan   berbagai   kesan   negatif   dalam   kehidupan
masyarakat.
6.   Sebenarnya kegagalan  kita  dalam  menjalankan  sesuatu
tugas   dengan   cara  yang  bijaksana,  cermat  dan  teliti
menyebabkan pelaksanaan beberapa program dan rancangan untuk
kemajuan agama  dan  negara  terbantut  dan  tidak  mencapai
objektif  sepertimana  yang  dirancangkan.    Di samping itu
terdapat pihak-pihak tertentu  yang  mengambil  peluang  dan
kesempatan  daripada  keadaan  yang  berlaku  untuk  membuat
berbagai tafsiran serta telahan  secara  membuta  tuli  yang
mengelirukan    umat  Islam sehingga mereka gagal menghadapi
cabaran   hidup.      Tindakan   golongan   ini   sebenarnya
memperlihatkan   bahawa   mereka   telah  gagal  menggunakan
kebijaksanaan  mereka  dalam  menyelesaikan   masalah   yang
dihadapi.
7.   Orang  yang  bijaksana  ialah  orang  yang  benar-benar
mengenal pasti punca sesuatu  masalah  itu,  serta  bersedia
membantu    mengatasi   dan   mengurangkan   masalah-masalah
tersebut; dan bukan pula berbuat sebaliknya.    Justeru  itu
hadirin  sekalian  mungkin  dapat  mengkaji  dan  memikirkan
kemurnian  kebijaksanaan  atau   hikmah   sepertimana   yang
dituntut oleh Islam.
Tuan-tuan sekalian,
8.   Allah  menjadikan manusia dengan berbagai kelebihan dan
keistimewaan,  di  samping  tidak  sunyi  daripada  berbagai
kelemahan  dan  kesilapan.    Namun  demikian  setiap  orang
daripada kita mempunyai potensi atau kemampuan untuk menjadi
umat  yang  memiliki  kebolehan,  keupayaan  serta  kekuatan
kerana  kita  telah dibekalkan oleh Allah Subhanahu wa Taala
panduan yang lengkap dan sempurna, iaitu Al-Quran dan sunnah
Rasulullah s.a.w.
9.   Di zaman moden ini, ilmu amat mudah diperolehi.    Ilmu
juga  boleh  memberi tempat dan kedudukan yang tinggi kepada
pemiliknya.  Amatlah malang jika ilmu diperolehi oleh  orang
yang tidak bertanggungjawab.  Dalam sejarah Islam perpecahan
berlaku  kerana  ada  pihak-pihak  yang memiliki ilmu tetapi
menggunakannya  untuk  kepentingan  diri  atau   kumpulannya
sahaja.     Dengan itu, maka tafsiran-tafsiran agama di buat
berbeza-beza sehingga umat Islam yang  disatukan  oleh  Nabi
Muhammad s.a.w. berpecah kepada berbagai mazhab, tarikat dan
kepercayaan.    Kadang-kadang  permusuhan yang ketat, bahkan
peperangan  berlaku  antara  pengikut-pengikut  mazhab   dan
kepercayaan  yang  berlainan  ini.    Kumpulan  Qadiani  dan
beberapa tarikat yang salah muncul kerana orang yang berilmu
tidak bertanggungjawab.
10.  Kadang-kadang  terdapat  pula  orang-orang  Yahudi  dan
Nasrani  yang  menguasai  ilmu agama Islam dengan niat untuk
mengkritik  dan  memburukkannya.      Mereka   ini   berjaya
mengeluarkan   buku-buku  dan  risalah-risalah  yang  sering
mengeliru dan memecahbelahkan umat Islam.
11.  Oleh  sebab  ini,  amatlah  penting  kita  berhati-hati
tentang  penerimaan  orang yang berpengetahuan Islam sebagai
ulama.  Seseorang itu tidak menjadi ulama  hanya  kerana  ia
memiliki  pengetahuan  tentang  agama  Islam.   Kajian perlu
dibuat tentang  ajaran  yang  disampaikan  olehnya,  tentang
kepentingannya  dan  amalan  hidupnya  sebelum seseorang itu
diterima  dan  diiktiraf  sebagai  ulama.      Jika   tidak,
ajaran-ajaran  sesat  dan  berkepentingan,  yang  sudah  pun
terdapat di negara kita, akan berkembang dengan lebih  pesat
lagi  dan  akhirnya umat Islam di Malaysia akan berpecah dan
bermusuhan sesama sendiri.
12.  Bahaya dan kemungkinan perpecahan berlaku  di  kalangan
umat Islam di Malaysia tidak boleh dipandang ringan.  Bahaya
ini tidak begitu ketara dahulu.  Tetapi sekarang ini, bahaya
ini  meningkat  kerana  umat Islam, khususnya anak-anak muda
Islam,  lebih  ber-  minat  dengan  agama  dan   pembangunan
rohaniah  di  samping pembangunan material.  Di samping itu,
aliran kebangkitan Islam  seluruh  dunia  mempengaruhi  umat
Islam  di  Malaysia  untuk mendalami lagi pengetahuan mereka
mengenai Islam.   Dengan ini umat  Islam  di  Malaysia  amat
mudah  dipengaruhi oleh sesiapa sahaja yang menyamar sebagai
ulama.  Jika dahulu orang Islam di Malaysia mempunyai  hanya
satu  mazhab  sahaja  dan  tidak  ada  perselisihan pendapat
berkenaan cara-cara beribadat, hari ini sudah  ada  berbagai
kumpulan  dengan  amalan-amalan  dan kepercayaan-kepercayaan
yang  berbeza-beza  kerana   terpengaruh   dengan   tafsiran
daripada  ramai  yang mendakwa diri mereka ulama.  Di antara
mereka ada yang terus sesat kerana percayakan kepada sesuatu
sebagai tafsiran Islam, yang  sebenarnya  bercanggah  dengan
Islam.   Ada juga seorang dua yang 'kecewa' dengan Islam dan
sanggup  meninggalkannya  untuk  agama  lain  atau   menjadi
'agnostic'  iaitu  orang yang tidak beragama.  Ada juga yang
melancarkan  perang  'sabil'  dengan  pedang  dan   terbunuh
kerananya.
13.  Kerana kepercayaan yang berbeza-beza yang kadang-kadang
dikaitkan  dengan  kepentingan lain, permusuhan antara orang
Islam bukan sahaja berlaku tetapi berlaku  dengan  ketatnya.
Cara-cara  mengembangkan  fahaman  agama tidak lagi berpandu
kepada  kebijaksanaan,  tetapi  diasaskan  kepada   paksaan.
Pemulauan  antara kumpulan yang berkenaan kerap berlaku yang
bukan sahaja memisahkan antara yang terlibat, tetapi memberi
imej yang buruk kepada Islam di kalangan mereka  yang  bukan
Islam.
14.  Nampaknya  kita sudah terlanjur dan kita perlu balik ke
pangkal jalan.  Di sinilah peranan  ulama  yang  sebenarnya.
Mereka  harus  membelakangkan  semua  kepentingan lain dalam
usaha mereka  mengembalikan  masyarakat  Islam  di  Malaysia
kepada ajaran Islam yang sebenar.  Ajaran Islam yang sebenar
ialah  Islam  seperti  yang  diterangkan  dalam Al-Quran dan
Sunnah  Nabi.    Perbezaan  yang  terdapat  sekarang   ialah
disebabkan  oleh tafsiran yang berbeza-beza oleh tokoh-tokoh
Islam yang tertentu.  Ulamak yang tidak ada kepentingan lain
daripada Islam haruslah menentukan kesahihan  dan  kebenaran
ajaran   yang   datang  daripada  berbagai  punca.    Inilah
sebenarnya tugas ulama.
15.  Dengan penjelasan agama Islam yang sebenar,  masyarakat
akan  hilang  sebarang  kekeliruan.   Nilai-nilai Islam yang
suci dan mulia itu akan memandu kita.   Tidak  dapat  tidak,
masyarakat Islam akan menjadi masyarakat yang kukuh dan kuat
yang  mampu  melindungi umat Islam daripada bermacam tekanan
dan pengaruh yang boleh melemahkan  umat  Islam  dan  negara
mereka.
16.  Alhamdulillah,   kesedaran  sudah  pun  bermula  dengan
persetujuan dua buah negara  Islam  menghentikan  peperangan
yang  membazir  di Asia Barat.   Mudah-mudahan kesedaran ini
akan berkembang ke seluruh dunia Islam.
Tuan-tuan yang dihormati,
17.  Sebagai golongan yang mempunyai kewibawaan dalam bidang
Islam, adalah diharapkan  tuan-tuan  menggunakan  pendekatan
Islam  dengan  bijaksana  untuk  menyedar,  menyatupadu  dan
membangunkan umat Islam di Malaysia supaya mampu  memelihara
agama  dan  diri  mereka.   Tuan-tuan harus menjaga kekuatan
kepimpinan  Islam  supaya  Islam   tidak   terancam   dengan
kelemahan  material  atau  rohaniah.    Umat  Islam mestilah
menguasai ilmu  dunia  dan  akhirat  supaya  dapat  bersaing
dengan pihak-pihak lain dengan jayanya.
18.  Dengan   penuh   kesyukuran   terhadap  kurniaan  Allah
Subhanahu      wa      Taala      dan      dengan      lafaz
Bismillahorrohmanirrohim, saya merasmikan Majlis Perhimpunan
Guru-guru Takmir Masjid Seluruh Malaysia ini.
     Wabillahi    taufik    walhidayah   wassalamu   alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 


 



 
Google