home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	JALAN SULTAN ISMAIL, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	03/08/88 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN MENARA BANK PEMBANGUNAN 




 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Dato' Napsiah Omar,
     Menteri Perusahaan Awam;
Yang Berbahagia Tan Sri Abdul Samad Idris,
     Pengerusi Lembaga Pengarah Bank
     Pembangunan;
Yang Berhormat-Yang Berhormat;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan,
    Syukur  kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana
dengan izinNya dapat kita bersama-sama di majlis ini.
2.   Saya mengucapkan terima kasih kepada  Lembaga  Pengarah
dan  pihak pengurusan Bank Pembangunan kerana menjemput saya
ke majlis ini dan seterusnya untuk  merasmikan  Menara  Bank
Pembangunan ini.  Adalah diharapkan dengan terbinanya sebuah
bangunan  khas untuk Bank ini dan dengan kemudahan-kemudahan
yang  terdapat,  prestasi  Bank   Pembangunan   akan   dapat
ditingkatkan lagi.
3.   Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah
kepada  pihak  pengurusan  dan  kakitangan  bank ini sempena
genapnya 14 tahun Bank Pembangunan  menjalankan  operasinya.
Saya  percaya  semua  kakitangan  akan berusaha dengan penuh
azam,   tekun   dan   bersungguh-sungguh    untuk    memberi
perkhidmatan yang lebih baik.
Tuan-tuan dan puan-puan,
4.   Bank   Pembangunan  merupakan  salah  sebuah  institusi
kewangan yang ditubuhkan khas untuk membiayai  projek-projek
perindustrian,  terutamanya  industri-industri kecil.   Bank
Pembangunan  telah  memberi  pinjaman  berjuta-juta  ringgit
kepada   usahawan-usahawan  bumiputera  dan  Bank  ini  juga
memberi  beberapa  jenis  kemudahan   dan   khidmat   kepada
usahawan-usahawan          industri-industri          kecil.
Industri-industri kecil adalah  penting  kepada  pembangunan
ekonomi   negara  dan  dengan  itu  Kerajaan  berharap  Bank
Pembangunan   akan   terus   berusaha   untuk   meningkatkan
peranannya  sebagai agensi kredit yang penting bagi industri
jenis ini.
5.   Kita mengetahui bahawa industri-industri kecil membantu
memastikan pembangunan struktur perindustrian yang kukuh dan
dapat    menghasilkan    pertumbuhan     jangka     panjang.
Industri-industri      kecil     penting     juga     kepada
industri-industri  yang  sedia  ada  dan  ianya  akan  dapat
mewujudkan satu rantaian antara industri atau inter-industry
linkages.  Dengan itu Kerajaan akan terus mengambil berbagai
langkah  bagi  menggalakkan perkembangan industri kecil.  Di
samping  itu  usaha-usaha   harus   juga   ditumpukan   bagi
memperbaiki dan memodenkan industri-industri kecil.  Program
khas   Pembangunan   Industri  Kecil  yang  dijalankan  oleh
Kerajaan dengan kerjasama  Bank  Dunia,  adalah  salah  satu
usaha  yang  dinamik  dalam  memberi  kemudahan  kredit  dan
bantuan teknik kepada para pengusaha industri kecil.
6.   Kerajaan  juga   berharap   agensi-agensi   awam   yang
bertanggungjawab  ke  atas  industri kecil, termasuklah Bank
Pembangunan ini, akan berusaha mewujudkan perhubungan  rapat
dengan  agensi-agensi penyelidikan seperti SIRIM, MARDI, RRI
dan  PORIM.    Agensi-agensi  penyelidikan   mungkin   dapat
membantu usaha meningkatkan piawaian atau standard keluaran,
serta  memperbaiki  rekabentuk  dan  mutu  keluaran barangan
industri  kecil.     Inilah   faktor-faktor   penting   bagi
meningkatkan  keupayaan  bersaing  keluaran  kita,  terutama
barangan yang hendak dieksport ke pasaran antarabangsa.
Tuan-tuan dan puan-puan,
7.   Bank Pembangunan dalam membiayai projek-projek industri
kecil menumpukan perhatian  kepada  industri-industri  kecil
milik  bumiputera.    Salah  satu  strategi  Kerajaan  untuk
meluaskan perindustrian di negara  kita  ialah  meningkatkan
bilangan  industri-industri  kecil.    Industri  seperti ini
lebih senang disertai oleh bumiputera dan menjadi tapak atau
permulaan   yang   bermakna   bagi   bumiputera    menyertai
perindustrian  yang  lebih besar lagi.  Dengan itu, Kerajaan
akan terus memberi galakan kepada apa juga usaha yang  dapat
meningkatkan  lagi  bilangan  industri-industri  kecil milik
bumiputera di negara kita.
8.   Walau  bagaimanapun,  pembangunan  industri  kecil   di
negara  kita ini tidaklah berkembang seperti yang diharapkan
oleh    Kerajaan.        Kelembapan    dalam     pertumbuhan
industri-industri  jenis  ini  haruslah  dikaji  oleh  semua
agensi awam yang terlibat.   Salah satu  faktor  utama  yang
menyebabkan  pertumbuhan itu tidak cepat ialah sikap negatif
di kalangan pengusaha-pengusaha industri kecil sendiri.
9.   Masih lagi terdapat  sikap  mengharapkan  bantuan  yang
banyak  daripada  Kerajaan oleh pengusaha-pengusaha industri
kecil, di antaranya termasuklah kemudahan pengecualian cukai
dan kemudahan infrastruktur yang berlebihan.  Dalam hal ini,
para pengusaha  industri  kecil  kebanyakannya  telah  gagal
mengamalkan cara-cara pengurusan yang baik.  Oleh kerana ini
mereka  tidak  dapat  mengusahakan  perniagaan mereka dengan
berkesan dan kerap juga  mengalami  kerugian.    Sepertimana
kita  sedia  maklum,  untuk  memastikan  kejayaan, tidak ada
jalan   lain    kecuali    bekerja    dengan    tekun    dan
bersungguh-sungguh,   berjimat-cermat  serta  mentadbir  dan
menguruskan  sesuatu  perniagaan  itu   dengan   cekap   dan
bertanggungjawab.
10.  Keupayaan   Kerajaan   untuk  membantu  adalah  terhad.
Terpulanglah  kepada  seseorang   pengusaha   atau   peniaga
menentukan   kejayaan  masing-masing.    Kejayaan  apa  juga
perniagaan  tidak  semestinya  merupakan   perniagaan   yang
bernilai  berjuta-juta  ringgit.    Kita  harus ingat bahawa
perniagaan yang besar walaupun  mungkin  memberi  keuntungan
yang  besar,  tetapi  apabila  rugi, kerugiannya juga besar.
Adalah lebih baik bermula dengan perniagaan yang kecil  yang
diurus  dengan  cekap supaya untung, dan kemudian dibesarkan
mengikut kemampuan sendiri daripada berhutang dengan  banyak
untuk membesarkan perniagaan.  Kita juga harus ingat jikalau
kita  rugi  wang  atau  duit  kita  sendiri, kita tidak akan
diburu oleh sesiapa.  Tetapi jikalau kita meminjam duit  dan
mengalami kerugian, kita mungkin menjadi bankrap.
11.  Kerajaan   berasa   sukacita   melihat   semakin  ramai
peniaga-peniaga  bumiputera  yang  melibatkan   diri   dalam
perniagaan-perniagaan  kecil  dan sederhana.   Kerajaan juga
merasa  gembira  bahawa  perniagaan-perniagaan  mereka   ini
berjalan  dengan  baik  dan  meningkat maju.   Saya berharap
kejayaan-kejayaan   ini   akan   menjadi    contoh    kepada
pengusaha-pengusaha  bumiputera  yang  lain  dan juga kepada
bumiputera  yang  ingin  menceburkan   diri   dalam   bidang
perusahaan  dan  perniagaan.    Kita  hendaklah berhati-hati
sebelum berniaga.    Anggapan  bahawa  pengetahuan  mengurus
tidak   perlu   dipelajari  adalah  salah.     Walaupun  ada
orang-orang  yang  mempunyai   kecekapan   mengurus   secara
semulajadi,  bilangan  mereka adalah kecil.   Di zaman moden
ini, para pengurus perlu kepada latihan dan pengalaman.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12.  Saya  juga  ingin  mengambil   kesempatan   ini   untuk
menyentuh  sedikit mengenai bangunan-bangunan yang tersergam
indah yang terdapat  di  Kuala  Lumpur.    Sepertimana  kita
maklum, sekarang terdapat banyak bangunan pencakar langit di
ibukota.    Bangunan-bangunan  ini  cantik dan indah, tetapi
malangnya selepas beberapa waktu bangunan-bangunan ini serta
kawasan-kawasan   persekitarannya   tidak   dijaga    dengan
sempurna.   Ini mendukacitakan kerana wang yang banyak telah
dibelanjakan bagi membina bangunan-bangunan yang besar  ini.
Saya  berharap  pihak-pihak  yang bertanggungjawab hendaklah
juga    memberi     keutamaan     kepada     penyelenggaraan
bangunan-bangunan  tersebut  supaya sentiasa terjaga.  Tidak
ada sesuatu yang begitu tidak menarik seperti bangunan  yang
buruk  sebelum  masanya.    Dalam  hal  ini,  saya  berharap
Bangunan Bank Pembangunan ini  akan  diselenggarakan  dengan
sempurna   supaya  di  samping  menarik  penyewa  yang  akan
menolong  membiayai  penyelenggaraannya,  ia  juga   menjadi
lambang kemegahan kepada kita semua.
Tuan-tuan dan puan-puan,
13.  Akhir  kata,  sekali lagi saya mengucapkan terima kasih
kepada Lembaga Pengarah Bank  Pembangunan  kerana  menjemput
saya  melakukan  upacara perasmian ini.   Saya berharap Bank
Pembangunan akan menempa banyak lagi kejayaan  bagi  manfaat
masyarakat dan negara.
14.  Dengan  harapan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
Menara Bank Pembangunan ini.


 
 



 
Google