Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN MERDEKA PUSAT DAGANGAN DUNIA
PUTRA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 08/08/88
Tajuk/Title : MAJLIS PENYAMPAIAN PINGAT SEMAI
BAKTI FELDA
Yang Berhormat Datuk Dr. Sulaiman Haji Daud,
Menteri Kemajuan Tanah dan Kemajuan
Wilayah;
Yang Berhormat-Yang Berhormat;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala
kerana dengan limpah kurniaNya, dapat kita bersama-sama di
majlis ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada
Kementerian Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah dan Felda
kerana menjemput saya ke majlis ini.
2. Felda merupakan salah sebuah agensi yang penting bukan
sahaja untuk pembangunan negara, tetapi juga untuk membasmi
kemiskinan di kalangan rakyat terutamanya di luar bandar.
Projek-projek yang bertujuan menghapuskan kemiskinan di luar
bandar rumit dirancangkan dan sukar pula untuk dilaksanakan
dengan berkesan. Usaha ini melibatkan masyarakat secara
langsung. Kegiatan yang melibatkan masyarakat terpaksa
berhadapan dengan soal nilai-nilai hidup, sikap, pegangan
dan kepercayaan. Rangkaian nilai mencorakkan sikap dan
gerak-geri seseorang. Nilai dan sikap sukar diubah. Ia
tidak mudah tanggal. Menukar sikap melibatkan fikiran.
Matlamat kita ialah untuk menukar sikap megah dan bangga
menerima bantuan dan subsidi kepada sikap yang mengutamakan
berdikari dan kejayaan melalui usaha sendiri. Pada
perhitungan terakhirnya, mereka yang sentiasa diberi bantuan
dan perlindungan tidak akan berupaya mempertahankan diri
apabila berhadapan dengan cabaran dan saingan. Mereka kalah
sebelum bertarung dan menyerah sebelum mencuba.
3. Dalam apa juga langkah dan tindakan, kita mestilah
meletakkan matlamat seberapa tinggi yang boleh. Kita
mestilah cuba mencapai yang terbaik, usaha yang paling
sempurna dan prestasi yang paling tinggi. Kita jangan cepat
berpuashati dengan kejayaan-kejayaan kecil sedangkan
kejayaan yang besar boleh kita capai jika dicuba dengan
bersungguh-sungguh.
4. Kerajaan sedar bahawa rancangan-rancangan Felda
bukanlah estet biasa, dilihat baik daripada segi ekonomi
ataupun daripada sudut kemasyarakatannya. Namun demikian,
tidak ada sesuatu pun yang menghalang Felda meletakkan
matlamat kecekapan seperti yang diperolehi di ladang swasta.
Ladang-ladang swasta telah berjaya diuruskan dengan cekap,
dengan kos yang rendah dan berupaya menghasilkan pengeluaran
yang paling tinggi. Kita sedar bahawa strategi Felda
digubal berasaskan campuran antara kebun kecil dengan ladang
swasta. Jalan yang paling mudah untuk Felda ialah melakukan
apa yang biasa dibuat oleh pekebun-pekebun kecil. Dengan
cara ini, kerja pun mudah, tekanan pun kurang. Kalau amalan
ini diteruskan, sudah tentu tidak ada kemajuan. Oleh itu,
Felda perlu mencontohi tindakan-tindakan yang telah diambil
oleh ladang-ladang swasta.
5. Semenjak Felda ditubuhkan, Kerajaan terpaksa menampung
kos mentadbir Felda. Memandangkan projek yang dijalankan
oleh Felda adalah untuk kepentingan rakyat dan pembangunan
negara, Kerajaan terus memberikan peruntukan-peruntukan
yang diperlukan. Felda terus berkembang. Perbelanjaan
pembangunan dan kos pentadbirannya juga turut bertambah.
Ini merupakan satu beban yang berat kepada Kerajaan
terutamanya semasa negara menghadapi kekurangan pendapatan.
Saya tidak mengatakan bahawa Kerajaan ingin melarikan diri
daripada tanggungjawabnya. Tetapi, hakikat yang tidak boleh
dinafikan ialah ladang-ladang swasta mendapat keuntungan
walaupun semua perbelanjaan pengurusan dan pembiayaan hutang
dipikul oleh ladang-ladang itu sendiri daripada pendapatan
hasil pengeluaran mereka. Di waktu harga menurun sekalipun,
ladang-ladang swasta mampu menampung semua perbelanjaan
daripada hasil pasaran. Ladang-ladang ini tidak mendapat
sebarang pendahuluan daripada mana-mana pihak.
6. Kerajaan mempunyai tanggungjawab bukan sahaja kepada
Felda tetapi juga kepada para petani, nelayan dan semua
penduduk luar bandar. Perbelanjaan pengurusan Kerajaan juga
mesti dipikul oleh Kerajaan, di samping membiayai
pembangunan negara. Segala perolehan Kerajaan terpaksa
dibahagi-bahagikan secara adil dan saksama. Jika mana-mana
bahagian dapat membantu diri sendiri, tidaklah adil bagi
Kerajaan membantunya sepanjang masa sehingga
bahagian-bahagian yang lain tidak dapat peruntukan yang
sepatutnya.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
7. Negara kita adalah pengeluar utama minyak sawit dan
getah. Sepertimana kita maklum harga komoditi ini tidak
tetap. Kadang-kadang tinggi, kadang-kadang rendah. Di
waktu harga rendah bantuan oleh Kerajaan wajar diberi.
Tetapi apabila harga komoditi seperti getah dan kelapa sawit
naik, tidaklah wajar bantuan diteruskan. Sekarang ini harga
getah dan kelapa sawit melambung naik. Jika pembiayaan oleh
Kerajaan dapat dihenti atau dikurangkan, kita akan mempunyai
wang yang lebih untuk mereka yang tidak dapat menikmati
harga tinggi bagi komoditi-komoditi yang lain. Inilah cara
hidup bermasyarakat.
8. Kerajaan boleh merancang berbagai program dan
melaksanakan beranika projek tetapi yang menentukan berjaya
atau gagalnya projek-projek ini ialah masyarakat yang
terlibat itu sendiri. Di rancangan-rancangan,
peneroka-penerokalah yang sepatutnya menjadi nadi dan daya
penggerak, baik untuk usaha ekonomi ataupun kemasyarakatan.
Jika sambutan terhadap projek adalah dingin dan jika
kerjasama yang diberikan juga adalah lembab, projek itu akan
gagal. Kita mengharapkan perpindahan dari kampung-kampung
terpencil ke rancangan-rancangan tanah dapat membawa
perubahan. Jika mereka yang telah berpindah masih
mengamalkan cara-cara yang lama, yang jelas tidak
menguntungkan, maka perpindahan itu akan menjadi sia-sia
sahaja. Sekiranya keadaan seperti ini berlaku, walaupun
Felda dapat membawa perubahan tetapi hasilnya tidaklah
seperti yang dijangka dan diharapkan.
9. Kunci kejayaan terletak pada masyarakat peneroka itu
sendiri. Jika kuat berusaha, insya-Allah, cepatlah berjaya.
Kita mesti mempunyai daya usaha. Kita tidak harus
bergantung dan berharap semata-mata kepada hasil dari
kawasan ladang kita. Terdapat di dalam dan di luar projek,
beberapa peluang bagi peneroka menceburkan diri dalam
projek-projek ekonomi sampingan. Apabila kegiatan ekonomi
dipelbagaikan, pendapatan juga akan bertambah.
10. Sungguhpun pendapatan peneroka tidak sentiasa stabil,
turun naik selari dengan rentak harga barangan di pasaran
dunia, tetapi pada keseluruhannya, pendapatan peneroka
adalah lebih baik daripada apa yang diperolehi sebelum
menyertai rancanganrancangan Felda. Memang benar, kalau
diikutkan hati, kalau dimanjakan rasa, pendapatan yang
walaubagaimana tinggi sekalipun masih belum mencukupi. Kita
patut mengubah sikap. Kita mesti belajar berjimat-cermat,
yang dikais pagi tidak semuanya mesti dihabiskan di waktu
pagi, sebahagiannya disimpan untuk keperluan sebelah petang
atau sebelah malam ataupun untuk hari esok. Sikap
berjimat-cermat dan tabiat menyimpan wang mestilah dipupuk
dan disemai. Ingatlah hari ini harga getah dan kelapa sawit
tinggi dan kita mempunyai wang. Tetapi harga yang tinggi
ini tidak akan kekal selama-lamanya. Oleh itu, jika kita
mempunyai simpanan atau pelaburan lain, kita tidak akan
terlalu menderita apabila harga komoditi ini jatuh.
11. Peneroka-peneroka sepatutnya juga menyimpan sebahagian
daripada pendapatan mereka. Usaha ini bukan sahaja dapat
menentukan masa depan keluarga lebih terjamin, tetapi juga
dapat membantu menggerak-cepatkan rentak pembangunan negara.
Berbagai kemudahan telah disediakan, berbagai agensi telah
ditubuhkan untuk memudahkan urusan menyimpan dan melabur.
Saya difahamkan pentadbiran Felda juga ada menyediakan
kemudahan untuk membolehkan peneroka dan keluarga menyimpan
dan melaburkan wang mereka dan mendapat pulangan yang baik
pula. Gunakanlah kesempatan dan kemudahan ini dengan baik.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
12. Sebagai warganegara, kita semua mempunyai hak dan
keistimewaan tertentu. Sebagai rakyat negara yang merdeka,
kita juga mempunyai tanggungjawab dan peranan yang mesti
dimainkan. Kalau kita ingin melihat negara kita maju, aman
dan makmur, setiap rakyat mestilah menyempurnakan
tanggungjawabnya. Kita tidak boleh hanya berpeluk tubuh dan
mengharapkan orang lain mengendalikan segala-galanya untuk
kita. Yang lebih malang lagi, kita tidak mahu melihat
wujudnya satu golongan yang bukan sahaja tidak mahu
berusaha, tetapi juga memburukkan lagi keadaan dengan
menyalahkan setiap orang lain apabila sesuatu yang malang
berlaku. Kita semua mestilah sanggup dan berupaya
menjalankan peranan dan tugas masing-masing dengan jujur dan
bersungguh-sungguh.
13. Kita bergerak dalam bidang pembangunan. Untuk
merancang projek-projek baru dan bagi memastikan
projek-projek lama terus maju dan berkembang, kita
memerlukan kakitangan yang matang. Untuk memastikan kita
dapat bersaing dengan jayanya, kita juga memerlukan
pengurus-pengurus yang cekap. Untuk memastikan bahawa Felda
terus berjaya dan meneroka bidang-bidang baru, kita
memerlukan pemimpin-pemimpin yang berupaya dan yang
berwibawa. Inilah syarat penting bagi meneruskan
pembangunan yang sedang pesat berjalan.
14. Dalam hal ini, saya mengucapkan tahniah kepada Felda
yang telah lama mewujudkan sistem yang dapat mendorong
kakitangannya berkhidmat dengan penuh dedikasi melalui
pemberian Pingat Semai Bakti, Hadiah Pengurus Terbaik dan
Pingat Emas kepada Ketua-Ketua Peneroka.
15. Adalah menjadi harapan saya agar penerima-penerima
pingat dan hadiah ini akan melahirkan semangat baru yang
dapat pula mencetuskan daya pengeluaran yang lebih tinggi.
Saya berharap semoga kakitangan lain, yang tidak kurang
cekapnya, akan terus berazam untuk mencontohi mereka yang
berjaya ini. Saya percaya dengan tindakan padu dan
bersepadu oleh semua kakitangan serta pimpinan dinamis
daripada pengurusan, Felda akan lebih maju.
Terima kasih.
|