Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MELAKA
Tarikh/Date : 21/08/88
Tajuk/Title : PEMBUKAAN RASMI PEJABAT CAWANGAN
BANK NEGARA MALAYSIA
Yang Amat Berhormat Datuk Seri Abdul Rahim
Thamby Chik,
Ketua Menteri Melaka;
Yang Berbahagia Tan Sri Haji Jaffar Hussein,
Gabenor Bank Negara;
Yang Berhormat-Yang Berhormat;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Bank Negara
Malaysia kerana menjemput saya ke Majlis ini dan seterusnya
merasmikan pembukaan pejabat cawangan Bank Negara di Melaka.
Saya percaya usaha Bank Negara untuk menubuhkan cawangannya
di setiap negeri adalah wajar. Dengan cara ini, Bank Negara
dapat memberikan khidmat sebagai penasihat kewangan kepada
Kerajaan-Kerajaan Negeri dengan lebih berkesan. Selain
daripada itu, Bank Negara dapat mengawas dan menyelia
kegiatan badan-badan kewangan secara lebih dekat lagi.
2. Sepertimana yang tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum,
bidang pengawasan urusan bank oleh Bank Negara telah
diperluaskan baru-baru ini. Ia meliputi koperasi pengambil
deposit, dan pada akhir bulan April lepas telah merangkumi
pula industri insuran. Semua ini adalah bertujuan untuk
mempertingkatkan lagi taraf profesionalisme dan mencegah
penyelewengan dalam urusan bank dan kewangan di samping
menggalakkan suasana kewangan yang lebih teguh dan stabil di
negara ini. Bagi Kerajaan-Kerajaan Negeri, yang pentingnya
ialah mempunyai institusi-institusi kewangan yang lebih
berkesan menggerak dan menyalurkan kumpulan wang kepada
pelabur-pelabur pada kos yang berpatutan. Dengan pemulihan
ekonomi yang sedang kita alami sekarang ini, saya percaya
bank-bank dan lain-lain badan kewangan di setiap negeri akan
memainkan peranan mereka masing-masing. Walaupun Bank
Negara mengawasi pengurusan bank, tetapi seboleh-bolehnya
pengurusan bank hendaklah mengurus dengan penuh amanah dan
kecekapan supaya Bank Negara tidak perlu mengawas sepanjang
masa.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
3. Kerajaan akan terus berusaha untuk mengekalkan
pemulihan ekonomi yang kita alami semenjak suku pertama
tahun 1987, selepas dilanda kemelesetan semenjak tahun 1985.
Kemelesetan itu membebankan, lebih-lebih lagi kerana ia
muncul semasa Kerajaan sedang menjalankan rancangan berjimat
cermat untuk memulihkan ekonomi akibat daripada kesan-kesan
kelembapan ekonomi dunia. Syukur alhamdulillah, keadaan ini
telahpun pulih dan mungkin secara berpanjangan.
4. Ekonomi Malaysia kini berada dalam keadaan lebih kukuh
lagi daripada dahulu, disebabkan pertambahan eskport
komoditi utama dan peningkatan yang pesat eskport dan
pengeluaran perkilangan semenjak tahun lepas. Peningkatan
dalam keadaan ekonomi telah membolehkan Kerajaan
memperkukuhkan lagi kedudukan kewangan negara. Seperkara
yang turut menggalakkan ialah kestabilan harga dalam negeri.
Kadar inflasi yang rendah telah dicapai oleh kita selama
lima hingga enam tahun kebelakangan ini. Salah satu
daripada sebab inflasi tidak meningkat seperti dahulu ialah
kerana kuasa-beli atau purchasing power rakyat tidak
meningkat dengan pesat, sebaliknya bekalan barangan adalah
baik. Kedua-dua faktor ini mestilah diawasi sepanjang masa.
Tidak ada gunanya kuasa-beli meningkat jika harga barangan
juga meningkat dengan pesat. Sebaliknya, kos pengeluaran
kita akan meningkat jika kuasa-beli individu terlalu tinggi.
Dengan ini kita akan menjadi kurang competitive dan
pendapatan kita serta peluang pekerjaan akan terhad
pertumbuhannya.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
5. Strategi pertumbuhan ekonomi kita pada masa hadapan
bergantung kepada kekuatan dan keupayaan dua sektor utama,
selain daripada pertanian, iaitu perkilangan dan
pelancongan. Pelancongan adalah industri yang baru dan
perlu dibantu dan diusahakan dengan lebih pesat lagi sebelum
ianya dapat berkembang dengan sendiri. Kerajaan sedang
mengenal-pasti masalah-masalah yang dihadapi oleh bidang
pelancongan ini tetapi Kerajaan tidak akan melibatkan diri
secara langsung seperti yang telah dilakukan sebelum ini.
Kerajaan akan hanya membuat promosi, menyediakan
infrastruktur, insentif serta memperbaiki perhubungan udara,
laut dan jalanraya. Usaha-usaha dan kemudahan-kemudahan
lain mestilah dibuat dengan inisiatif pihak swasta.
6. Industri pelancongan memerlukan kerjasama semua. Tidak
ada sesuatu yang lebih menarik bagi para pelancong yang
datang melainkan sifat ramah mesra dan kesediaan melayan
tetamu yang ditunjukkan oleh rakyat. Sudah tentu mereka
yang terlibat secara langsung dengan para pelancong lebih
dikehendaki menunjukkan sifat-sifat ini. Kita tidak harus
membiarkan perkara ini kepada sifat semulajadi yang ada
kepada kita tetapi sebaliknya sifat ini hendaklah dipupuk
secara sistematik, iaitu dengan mengadakan kempen untuk
orang ramai dan latihan khusus untuk mereka yang terlibat
secara langsung. Di sinilah terletaknya peranan
pengurus-pengurus dalam industri pelancongan. Kita harus
mengambil perhatian bahawa kejayaan MAS umpamanya bergantung
kepada prestasi layanan yang menjadikan MAS terkenal.
Tuan-tuan dan puan-puan,
7. Dalam usaha menggalakkan pelancongan, tahun 1990 telah
diisytiharkan sebagai 'Tahun Melawat Malaysia'. Bagi
mencapai tujuan ini, adalah penting kita semua bersama-sama
berusaha mengadakan daya penarikan pelancongan secara
berkekalan. Dalam memperkenalkan Malaysia sebagai pusat
pelancongan yang menarik, kita juga mestilah memastikan
bahawa kita mempunyai perkhidmatan-perkhidmatan pelancongan
yang sesuai dan efisien. Ini bukanlah terhad kepada
barang-barang keluaran Malaysia yang akan dipamer dan
dijual. Ia termasuk juga tempat tinggal yang selesa,
persekitaran yang bersih dan mutu perkhidmatan yang tinggi.
Industri pelancongan mempunyai potensi yang besar dalam
mewujudkan peluang-peluang pekerjaan, memajukan pertukangan
dan kraftangan kita dan lain-lain kesan sampingan.
8. Mengenai sektor perkilangan pula adalah jelas bahawa
keyakinan pengusaha dan pelabur asing terhadap ekonomi
negara kita terus meningkat. Salah satu tandanya ialah
peningkatan pelaburan swasta. Dalam tempoh separuh pertama
tahun 1988 ini, pelaburan asing meningkat lima kali ganda
berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun lalu. Sektor
dalam negeri juga telah mula pulih, disebabkan oleh
pendapatan yang lebih tinggi dan juga peluang-peluang yang
lebih banyak dan baik. Pelaburan swasta dalam negeri juga
dianggarkan meningkat dalam separuh tahun yang kedua 1988.
Tanda-tanda daripada kajian oleh Bank Negara Malaysia dan
MIDA menunjukkan bahawa kebanyakan syarikat sekarang telah
memenuhi kapasiti keupayaan mereka iaitu melebihi 80%.
Dengan itu, kita yakin jika ekonomi kita terus berkembang,
pelaburan baru dan penambahan kepada pelaburan yang ada akan
berlaku pada tahun ini dan juga pada tahun depan. Hasil
yang terpenting daripada perkembangan ini ialah
peluang-peluang pekerjaan yang akan bertambah bagi mereka
yang sanggup bekerja.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
9. Peranan bank-bank dan institusi-institusi kewangan yang
lain dalam keadaan sebegini adalah jelas sekali. Mereka
mestilah membantu memastikan bahawa penyediaan sumber-sumber
kewangan dapat diperolehi pada kos yang munasabah. Dalam
tempoh setahun setengah yang lalu apabila pasaran wang telah
dibanjiri oleh mudahtunai atau liquidity, dan kadar faedah
dalam pasaran wang antara bank berada diparas yang paling
rendah, Kerajaan hairan mengapa kadar faedah untuk pinjaman
sangat sukar diturunkan. Penurunan dalam kadar pinjaman
baru-baru ini memang menggalakkan dan Kerajaan berharap
ianya akan berada diparas yang lebih munasabah lagi. Apa
yang sangat membimbangkan ialah sikap bank-bank. Dunia
mereka nampaknya hanya berkisar disekeliling sekuriti dan
cagaran. Mereka seharusnyalah sanggup mengambil
risiko-risiko yang berpatutan. Saya sedar bank-bank perlu
bertindak dengan berhati-hati untuk memastikan supaya
peminjam-peminjam menggunakan wang pinjaman untuk
menghasilkan keuntungan yang cukup supaya mereka mampu
membayar balik pinjaman mereka. Tetapi bank-bank patut juga
memberi pinjaman berasaskan kepada viability projek dan
kebolehan peminjam untuk mengurus projek tersebut. Dengan
ini pengusaha-pengusaha yang berpotensi akan dapat peluang
untuk mengusahakan projek-projek mereka di samping
menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Bank-bank
harus ingat bahawa cagaran harta tidak begitu selamat kerana
di waktu kemelesetan nilai harta boleh turun sehingga jauh
lebih rendah daripada hutang yang diberi. Jika kemampuan
pengurusan dikhuatiri, bank masih boleh mengambil ekuiti
dalam projek berkenaan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
10. Kejayaan ekonomi Malaysia juga bergantung kepada
kerjasama tenaga buruh yang berdisiplin dan produktif. Ini
adalah penting, lebih-lebih lagi pada masa sekarang
memandangkan kita sedang menghadapi persaingan yang semakin
meningkat di pasaran dunia, terutamanya daripada
negara-negara yang kos pengeluaran mereka adalah lebih
rendah. Kita perlu berusaha dengan lebih lagi untuk
mengurangkan kos pengeluaran kita. Ini tidak semestinya
ditentukan dengan gaji yang rendah. Lebih berkesan lagi
ialah peningkatan pengeluaran yang lebih tinggi. Yang
menjadi masalah ialah kenaikan gaji yang lebih daripada
kenaikan pengeluaran. Sementara para pekerja
bertanggungjawab dalam perkara ini, pihak pengurusan
tidaklah bebas daripada tanggungjawabnya terhadap
peningkatan prestasi pekerja di bawah jagaan mereka.
11. Kerajaan sedar bahawa pengangguran masih lagi merupakan
satu masalah. Tetapi, untuk mengatasinya memerlukan masa
dan kadar pertumbuhan yang tinggi. Kemampuan Kerajaan
adalah terhad. Kerajaan tidak mampu meningkatkan
perbelanjaan tanpa menggugat kejayaan yang telah dicapai
dalam memperbaiki kedudukan kewangan negara. Walaupun
sekarang ini kita mengalami pemulihan ekonomi namun berbagai
ketidaktentuan masih ada. Tidak ada sesiapa yang dapat
memastikan berapa lamakah pemulihan harga komoditi ini akan
berterusan atau bilakah kemelesetan ekonomi akan menimpa
kita sekali lagi. Sebahagian besarnya bergantung kepada
keadaan ekonomi dunia. Eksport kita kini bukan sahaja
terpaksa bertanding dengan halangan-halangan tarif yang
semakin meningkat di negara-negara perindustrian, tetapi
juga oleh persaingan yang semakin sengit daripada
negara-negara membangun yang lain. Sebab itulah Kerajaan
telah menumpukan usaha ke arah meningkatkan produktiviti dan
kemampuan untuk bersaing. Jika pekerja-pekerja Malaysia
terkenal dengan daya pengeluaran yang tinggi dan tidak
berminat dengan tindakan liar, peluang-peluang pekerjaan
bagi mereka yang masih menganggur akan bertambah.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12. Kerajaan akan bersungguh-sungguh melaksanakan
dasar-dasarnya yang bertujuan untuk memperkukuhkan pemulihan
dan mengurangkan kadar pengangguran. Malaysia kaya dengan
sumber-sumber semulajadi dan mempunyai iklim yang baik.
Tetapi sumber dan iklim dengan sendirinya tidak akan membawa
apa-apa hasil jika kita tidak mempunyai kecekapan bekerja
dan rajin berusaha. Ingatlah negara yang berjaya seperti
Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong dan Singapura tidak
mempunyai apa-apa sumber kekayaan selain daripada rakyat
yang cekap dan rajin bekerja.
Tuan-tuan dan puan-puan,
13. Akhir kata, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih
kepada Bank Negara kerana menjemput saya ke Majlis ini.
Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan Pejabat
Cawangan Bank Negara di Melaka ini.
|