Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : ANGKASAPURI
Tarikh/Date : 30/08/88
Tajuk/Title : PERUTUSAN SEMPENA HARI KEBANGSAAN
YANG KE-31
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam
bahagia.
Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala
kerana dengan izinNya dapat kita sekali lagi menyambut Hari
Kebangsaan -- Hari Kemerdekaan negara -- yang ke-31. Kita
juga bersyukur kerana negara kita berada dalam keadaan aman
dan sejahtera.
2. Semenjak 31 tahun yang lalu, negara kita telah mencapai
banyak kemajuan di dalam berbagai-bagai bidang. Pembangunan
dan kemajuan yang kita nikmati telah membawa manfaat kepada
rakyat keseluruhannya. Pembangunan dan kemajuan ini dapat
dicapai kerana wujudnya keamanan dan kestabilan di negara
kita. Kecuali peristiwa Mei, 1969, pada keseluruhannya kita
telah dapat merapatkan kaum-kaum dan mencapai persefahaman
di kalangan masyarakat majmuk negara ini.
3. Dengan adanya perpaduan dan persefahaman, Malaysia
telah melangkah maju ke hadapan. Kerana masyarakat Malaysia
bersatu padu, kita dapat menghadapi dan mengatasi
berbagai-bagai cabaran, dari dalam dan dari luar, semenjak
kita mencapai kemerdekaan. Jelas terbukti bahawa perpaduan
amatlah penting sekali dan kerana itulah Kerajaan sentiasa
mengutamakan perpaduan. Bagi kita di Malaysia, perpaduan
bukan sahaja amat penting kepada kita tetapi juga adalah
faktor yang menentukan maju mundurnya negara kita ini.
4. Memandangkan betapa pentingnya perpaduan ini, maka
dasar-dasar dan rancangan-rancangan Kerajaan mengambil-kira
faktor perpaduan. Dasar Pelajaran Kebangsaan adalah
bertujuan untuk meningkatkan lagi perpaduan di kalangan
masyarakat. Dasar Ekonomi Baru juga bertujuan mewujudkan
perpaduan yang lebih tulin. Begitu juga dasar-dasar
Kerajaan yang lain. Di samping itu, Kerajaan menggalakkan
kegiatan-kegiatan dan aktiviti-aktiviti yang boleh
mengukuhkan lagi persefahaman dan perpaduan.
5. Tahun ini 'Bersatu' telah dipilih sebagai tema perayaan
Hari Kebangsaan. Ini membuktikan tentang betapa pentingnya
perpaduan kepada kita. Malahan pada tahun-tahun yang lalu
juga tema kita mempunyai unsur-unsur perpaduan dan kesetiaan
kepada negara. Perpaduan mestilah sentiasa dijadikan
panduan dan asas tindakan dan kegiatan kita.
Tuan-tuan dan puan-puan,
6. Kita dapat melihat bagaimana berlakunya perpecahan dan
pergaduhan sesama sendiri di antara penduduk-penduduk di
setengah-setengah negara. Kerana perpaduan tidak wujud,
maka sering berlaku perselisihan, pergaduhan dan juga
peperangan saudara. Akibatnya amatlah sedih sekali.
Beribu-ribu nyawa terkorban, kebanyakannya mereka yang tidak
bersalah, termasuklah kanak-kanak kecil. Hidup dipenuhi
dengan penderitaan dan kesengsaraan, harta benda musnah dan
rakyat menghadapi kesulitan sepanjang masa.
7. Keadaan sedemikian sudah semestinya menjadi contoh
kepada kita, apatah lagi memandangkan corak masyarakat
negara kita. Justeru itu, kita mesti berusaha
bersungguh-sungguh meningkatkan lagi perpaduan. Sekiranya
kita mengabaikan perpaduan, padah akibatnya kepada rakyat
dan negara.
8. Dalam usaha Kerajaan untuk meningkatkan lagi perpaduan
dan persefahaman di kalangan rakyat, terdapat
golongan-golongan yang memperkecil-kecilkan usaha-usaha ini
dan ada pula yang menghalangnya. Mereka ini sebenarnya
bukan sahaja menjadi pengacau tetapi juga adalah anti
masyarakat. Mereka adalah penentang perpaduan masyarakat.
Golongan-golongan seumpama ini tidak ingin melihat
persefahaman dan kerjasama di kalangan masyarakat Malaysia.
Mereka lebih suka melihat masyarakat Malaysia tidak
bersatu-padu. Justeru itu, kita mestilah berwaspada dan
mengawasi kegiatan-kegiatan golongan anti masyarakat ini.
Kita tidak boleh membenarkan mereka merebak dan berkembang.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9. Jelas terbukti bahawa kemajuan negara kita bergantung
besar kepada kestabilan dan perpaduan. Jelas juga bahawa
kita mesti berusaha dengan lebih kuat dan gigih lagi untuk
mengukuhkan perpaduan nasional. Peranan meningkatkan lagi
perpaduan adalah tanggungjawab semua termasuk rakyat,
Kerajaan dan agensi-agensi yang dipertanggungjawabkan serta
badan-badan sosial. Setiap daripada kita, apa jua kedudukan
kita dalam masyarakat, mempunyai peranan masing-masing bagi
mencapai matlamat ini. Masyarakat Malaysia memang sudah
mempunyai tata tertib dan sopan santun yang boleh membantu
ke arah mewujudkan perpaduan yang lebih kukuh. Memang benar
sudah terdapat perpaduan di negara ini, tetapi apa yang kita
ingin ialah meningkat dan mengekalkan perpaduan ini.
10. Sepertimana saya sebutkan tadi, kita telah memilih tema
'Bersatu' sebagai tema perayaan Hari Kebangsaan tahun ini.
Walau bagaimanapun, mempunyai tema sahaja tidaklah memadai.
Kita perlu menghayatinya dalam kehidupan harian kita. Ini
amat penting sekali dan adalah diharapkan amalan dan
tindakan kita benar-benar mencerminkan masyarakat yang
bersatu.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
11. Saya percaya masyarakat Malaysia akan berusaha dengan
bersungguh-sungguh agar perpaduan nasional dapat ditingkat
dan dikukuhkan lagi. Saya juga yakin bahawa rakyat Malaysia
yang mempunyai semangat kesetiaan dan sanggup untuk
berkorban akan mengutamakan perpaduan nasional dan
persefahaman agar negara Malaysia benar-benar bersatu.
Insya-Allah, negara kita akan sentiasa terpelihara dan
sentiasa bersatu.
Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|