Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PELABUHAN KELANG 
Tarikh/Date 	: 	04/09/88 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN PERAYAAN JUBLI PERAK 
			LEMBAGA PELABUHAN KELANG 




 Yang Berhormat Dato' Dr. Ling Liong Sik,
     Menteri Pengangkutan;
Yang Amat Berhormat Dato' Muhammad bin Taib,
     Menteri Besar Selangor;
Yang Berbahagia Dato' Michael Chen,
     Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kelang;
Dif-dif Kehormat;
Kakitangan-Kakitangan Lembaga Pelabuhan
     Kelang;
Tuan-tuan dan puan-puan.
    Saya  mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pelabuhan
Kelang  kerana  menjemput  saya  untuk  merasmikan   upacara
perayaan  Jubli Peraknya.   Sungguhpun kali terakhir lawatan
rasmi saya ke  Pelabuhan  ini  adalah  beberapa  tahun  yang
lepas,  saya  mengikuti  perkembangan  Pelabuhan Kelang yang
merupakan pelabuhan utama negara ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2.   Pelabuhan di negara ini dan juga di negara-negara  lain
merupakan   satu  kemudahan  penting  kerana  ia  berperanan
sebagai  penyambung  di   antara   pengangkutan   laut   dan
pengangkutan  darat.   Pelabuhan-pelabuhan memainkan peranan
utama di dalam saluran perdagangan sesuatu negara kerana 90%
daripada  perdagangan  antarabangsa   dikendalikan   melalui
pengangkutan  laut.    Kesejahteraan  rakyat  seluruh negara
bergantung  kepada  kemudahan-kemudahan  yang  terdapat   di
pelabuhan-pelabuhan  serta  kecekapan perkhidmatan pelabuhan
negara-negara berkenaan.
3.   Demikian pelabuhan memainkan peranan  yang  penting  di
Malaysia.  Perkembangan perdagangan antarabangsa negara kita
terutama  sekali  eksport  bahan-bahan  mentah  kita seperti
getah, kelapa sawit, bijih timah dan  sebagainya  memerlukan
kemudahan-kemudahan   pelabuhan.      Dengan  kesedaran  ini
Kerajaan   telah   memberi   keutamaan   kepada    pembinaan
infrastruktur   pelabuhan-pelabuhan,   bukan  sahaja  kepada
pelabuhan-pelabuhan yang sedia ada seperti Pelabuhan  Kelang
dan  Pulau  Pinang,  tetapi  telah  juga  membina pelabuhan-
pelabuhan baru  seperti  pelabuhan-pelabuhan  Pasir  Gudang,
Kuantan  dan  Bintulu.   Namun demikian amatlah penting kita
tidak  menjejas   pertumbuhan   Pelabuhan   Kelang   sebagai
pelabuhan utama kerana kapal-kapal pengangkutan antarabangsa
tidak   akan  berlabuh  jika  pengumpulan  barangan  terlalu
sedikit untuk sesebuah kapal.  Jika mereka tidak berlabuh di
sini maka kos barangan kita akan  meningkat  dan  wang  kita
akan  mengalir  keluar  negeri  untuk  bayaran pengangkutan.
Peluang pekerjaan juga akan berkurangan.
4.   Daripada  segi   perkapalan   pula,   Kerajaan   adalah
'committed'  kepada dasar menjadikan Malaysia sebagai sebuah
negara maritim.    Dengan  yang  demikian  tindakan-tindakan
telah  diambil  untuk  menambahkan  bilangan kapal kepunyaan
Malaysia terutama  sekali  oleh  MISC.    Pihak  MISC  telah
menambah   bukan   sahaja  bilangan  kapalnya,  tetapi  juga
jenis-jenis  kapal  untuk  diselaraskan  dengan  jenis-jenis
perdagangan negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
5.   Sungguhpun  kita  telah  membelanjakan wang yang banyak
bagi pembangunan  infrastruktur  pelabuhan,  masih  terdapat
sebahagian  besar  daripada perdagangan kita yang disalurkan
melalui  pelabuhan  asing.    Amalan  para  pengimport   dan
pengeksport   menyalurkan  kargo  mereka  melalui  pelabuhan
negara    asing    bukanlah    disebabkan    oleh     kurang
kemudahan-kemudahan   pelabuhan,  tetapi  adalah  berbangkit
daripada kekurangan kecekapan yang mungkin terdapat daripada
sistem pengendalian kargo  di  pelabuhan-pelabuhan  tempatan
berbanding  dengan pelabuhan di negara jiran kita.  Apa yang
diperlukan   oleh   pengguna-pengguna    pelabuhan    adalah
kepantasan  pengendalian  kargo  melalui  sesuatu pelabuhan,
tanpa   dibebankan   dengan   prosidur   dan   sistem   yang
menyukarkan.
6.   Dalam  hal ini Kerajaan telah dan akan terus menumpukan
perhatian bukan lagi  kepada  pembinaan  kemudahan-kemudahan
infrastruktur pelabuhan, tetapi akan lebih menekankan kepada
penyatuan  dan memperkukuhkan kemudahan-kemudahan yang sedia
ada   dengan   tujuan   mempertingkatkan    kecekapan    dan
produktiviti    operasi    pelabuhan.       Penyatuan   atau
'consolidation'    kemudahan-kemudahan    pelabuhan    dapat
menyumbangkan  kepada  penggunaan  kemudahan  secara optimum
yang seterusnya dapat  mengurangkan  kos  unit  perkhidmatan
kepada  pengguna-pengguna.    Adalah diharapkan tindakan ini
akan  dapat  memenuhi  hasrat  kita  untuk  mempertingkatkan
penggunaan  pelabuhan-pelabuhan Malaysia, iaitu menggalakkan
perdagangan antarabangsa  kita  melalui  pelabuhan-pelabuhan
kita sendiri.
7.   Bagi  mencapai  objektif  ini  beberapa  langkah  telah
dijalankan.  Di antaranya ialah tindakan-tindakan memudahkan
dokumentasi-dokumentasi   perdagangan,    mengkaji    semula
prosidur-prosidur  dan  dokumentasi-dokumentasi, termasuklah
dokumentasi dan prosidur pelabuhan-pelabuhan.   Oleh  kerana
prosidur     dan    dokumentasi    perdagangan    melibatkan
agensi-agensi yang  lain  seperti  kastam,  imigeresen,  dan
sebagainya,  satu  Jawatankuasa  Kemudahan  Perdagangan atau
Trade Facilitation Committee telahpun  ditubuhkan  di  bawah
Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.
8.   Saya  dimaklumkan bahawa Pelabuhan Kelang dan Pelabuhan
Pulau   Pinang   telahpun   mengkaji   dan    memperkenalkan
dokumentasi-dokumentasi    baru   mereka,   selaras   dengan
keputusan-keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa yang  saya
sebutkan    tadi.        Saya    juga   dimaklumkan   bahawa
pelabuhan-pelabuhan lain  masih  di  dalam  proses  mengkaji
semula   dokumentasi   masing-masing,   dan  kepada  mereka,
Kerajaan     berharap     mereka     akan     memperkenalkan
dokumentasi-dokumentasi baru ini dengan secepat mungkin.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9.   Sepertimana  kita maklum pelabuhan-pelabuhan beroperasi
di bawah suasana sektor awam,dan dengan yang demikian  perlu
memenuhi  kehendak dan peraturan-peraturan sektor awam.  Ini
secara  langsung  atau   tidak   langsung   telah   menyekat
usaha-usaha  pengurusan pelabuhan-pelabuhan untuk menjadikan
pelabuhan-pelabuhan kita  lebih  menarik.    Ini  adalah  di
antara  sebab-sebabnya  mengapa Kerajaan telah mengenalpasti
pelabuhan sebagai agensi Kerajaan untuk diswastakan.
10.  Melalui penswastaan, halangan-halangan daripada  sistem
birokratik dapat dikurangkan dan seterusnya akan membolehkan
agensi-agensi  tersebut  menyesuaikan  operasi mereka dengan
mudah  serta  cepat  terhadap   kehendak-kehendak   pasaran.
Apabila   Kerajaan   memutuskan   bahawa   terminal  kontena
Pelabuhan Kelang  diswastakan,  ini  tidak  bermakna  bahawa
Lembaga  Pelabuhan  Kelang gagal menjalankan tugasnya kerana
ianya   sentiasa   memperolehi   keuntungan.        Terminal
kontena-kontena   diswastakan   supaya  ia  dapat  memainkan
peranan yang lebih efektif sebagai pelabuhan  kontena  utama
negara  ini.    Terminal kontena ini amat sesuai diswastakan
kerana sistem 'containerisation' memerlukan flexibiliti  dan
adaptasi yang pantas.
11.  Sebagaimana   yang  tuan-tuan  sedia  maklum  Pelabuhan
Kelang akan diswastakan keseluruhannya.    Sebenarnya  semua
pihak  termasuk  Kerajaan  dan pekerja boleh mendapat faedah
yang besar daripada penswastaan  ini.    Tetapi  penswastaan
dengan sendirinya tidak akan menjamin kejayaan.  Semua pihak
hendaklah  mengelakkan diri daripada sebarang perbuatan yang
mengganggu kelicinan  khidmat  pelabuhan.    Jika  Pelabuhan
Kelang   yang  diswastakan  gagal,  maka  semua  pihak  akan
menanggung kerugian.  Amatlah memalukan jika  barangan  kita
disalurkan  melalui  pelabuhan asing hanya kerana kita tidak
mampu mengadakan khidmat yang efisien.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12.  Saya percaya pihak pengurusan pelabuhan mempunyai tugas
serta masa hadapan yang mencabar  terutama  untuk  mengikuti
perkembangan-perkembangan  teknologi di bidang pelabuhan dan
maritim.   Pelabuhan-pelabuhan  yang  tidak  bersedia  untuk
menerima  perubahan  akan  ketinggalan.   Oleh yang demikian
sikap dinamis,  agresif  dan  inovatif  merupakan  ciri-ciri
utama  yang  diperlukan  oleh pentadbir-pentadbir pelabuhan,
pemilik-pemilik kapal tempatan dan peniaga-peniaga sekiranya
mereka  mahu  mengambil  peluang  yang  terbuka  ini   untuk
mengekal  dan  untuk membaiki keadaan ekonomi mereka sendiri
dan juga ekonomi negara.
13.  Pihak  pengurusan  sekarang  ini  tidak  boleh  menumpu
perhatian  kepada  pentadbiran dan operasi pelabuhan sahaja.
Mereka juga hendaklah terlibat dengan isu-isu  pengangkutan.
Keadaan  ini  tidak  dapat  dielakkan  oleh kerana pelabuhan
merupakan sebahagian  daripada  rantaian  pengangkutan  atau
'transportation chain'.  Kelemahan di sesuatu bahagian kerap
kali  membawa kesan ke atas keseluruhan sistem pengangkutan.
Oleh itu pengurusan pelabuhan sentiasa dikehendaki peka atau
sensitif terhadap isu-isu pengangkutan yang berkait-kaitan.
14.  Saya difahamkan bahawa  pengurusan  pelabuhan  sudahpun
terlibat   dengan   isu-isu  pengangkutan  dengan  memainkan
peranan aktif menyelaras dan mengurangkan kesesakan  kontena
di  pelabuhan.  Di Pelabuhan Kelang, saya dimaklumkan bahawa
satu pasukan  petugas  telahpun  ditubuhkan  untuk  mengkaji
cara-cara menghapus kesesakan jangka pendek dan panjang.
15.  Mengenai   pengangkutan,  Kerajaan  sentiasa  mengawasi
keadaan yang berlaku seperti kesesakan kontena di  Pelabuhan
Kelang.    Baru-baru  ini  Jemaah  Menteri  telah  bersetuju
membenarkan  ketiga-tiga   syarikat   pengangkutan   kontena
beroperasi  di  seluruh  negara,  dan  tidak lagi menghadkan
kegiatan mereka di kawasan tertentu sahaja,  dengan  harapan
menambahkan   alat-alat  pengangkutan  kontena  keluar-masuk
pelabuhan.   Pihak Keretapi Tanah Melayu  (KTM)  juga  telah
dibenarkan   menjadi   agen   penghantaran   barangan   yang
membolehkan KTM menghubungi pengguna-pengguna tanpa  melalui
syarikat pengangkutan kontena lagi.
Tuan-tuan dan puan-puan,
16.  Semenjak beberapa waktu yang lalu pihak pelabuhan telah
dapat   membina   'expertise'  di  dalam  bidang  pengurusan
pelabuhan di kalangan pengurusan-pengurusan pelabuhan.  Saya
rasa   usaha   perlu   diambil   untuk   mengenalpasti   dan
mengumpulkan   mereka   supaya   dapat   kita   mengurangkan
pergantungan kita kepada pakar-pakar  asing  yang  selalunya
dibayar   dengan  kos  yang  tinggi.    Sungguhpun  Malaysia
dianggap sebagai sebuah negara  membangun,  daripada  banyak
aspek  yang  lain  kita  boleh  dianggap  sebagai lebih maju
daripada beberapa negara lain.
Tuan-tuan dan puan-puan,
17.  Kita kerapkali bercakap  mengenai  pembangunan  negara.
Bagi  kebanyakan  daripada  kita pembangunan negara bermakna
bangunan-bangunan yang indah dan  tinggi,  jalan-jalan  yang
luas  dan  bandar-bandar  yang mewah atau rich cities.  Kita
tidak menafikan bahawa ini adalah hasil  pembangunan  tetapi
yang  lebih  utama  daripada  semua  ini ialah kesejahteraan
hidup rakyat dalam negara yang sudah maju.
18.  Dengan perkataan yang lebih tepat lagi kemajuan  negara
akan  menghasilkan  kehidupan  yang  lebih  baik  bagi semua
rakyat, atau  pendapatan  yang  lebih  tinggi  bagi  mereka.
Inilah   yang   terdapat   di     kalangan  rakyat  termasuk
pekerja-pekerja  di  negara-negara  yang  baru  maju   (NIC)
seperti    Singapura,   Hong   Kong,   Taiwan   dan   Korea.
Pekerja-pekerja mereka mempunyai duit yang banyak dan  taraf
hidup  mereka  ternampak  sama  dengan  taraf hidup golongan
pertengahan di negara kita.
19.  Tujuan kita membangunkan negara Malaysia  adalah  untuk
meningkatkan  taraf  hidup  semua  lapisan rakyat.   Apabila
rakyat sudah menikmati taraf hidup yang lebih baik,  barulah
kita boleh berkata negara kita sudah membangun dan maju.
20.  Dengan  itu  semua  yang  kita usahakan sekarang, semua
dasar yang kita bentuk adalah bertujuan  meningkatkan  taraf
hidup  rakyat.    Pada  mulanya  mungkin  rakyat  tidak akan
merasai perubahan ini dalam bentuk  peningkatan  pendapatan,
tetapi  jika kita tekun melaksanakan dasar-dasar kita, tidak
dapat tidak pendapatan akan bertambah seperti  di  Singapura
atau  Hong  Kong  atau  Taiwan atau Korea.   Yang diperlukan
ialah kesabaran buat sementara waktu dan  usaha-usaha  untuk
mewujudkan  suasana  yang lebih menarik di Malaysia.  Inilah
pelaburan rakyat untuk masa depan yang lebih bahagia.
21.  Oleh itu janganlah kita membuat sesuatu yang menghalang
progress kita ke  arah  negara  yang  maju  kerana  akhirnya
kitalah  yang  akan menjadi mangsa kepada halangan yang kita
lakukan itu.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
22.  Akhir kata saya sekali lagi  mengucapkan  terima  kasih
kepada Lembaga Pelabuhan Kelang yang telah menjemput saya ke
upacara  ini.  Dengan ini saya dengan sukacitanya merasmikan
Perayaan Jubli Perak Lembaga Pelabuhan Kelang ini.

 
 



 
Google