Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	INTAN, BUKIT KIARA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	17/10/88 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PEMBUKAAN SEMINAR KE ARAH 
			PENINGKATAN PROGRAM PENCEGAHAN 
			RASUAH DALAM PERKHIDMATAN AWAM 




 Tuan Haji Zulkifli Mahmood,
     Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah;
Dif-Dif Kehormat;
Para Peserta Seminar;
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian;
    Saya  mengucapkan  terima  kasih  kepada Badan Pencegah
Rasuah (BPR) kerana menjemput saya untuk merasmikan  seminar
'Ke  Arah  Peningkatan  Program  Pencegahan  Rasuah Di Dalam
Perkhidmatan Awam' ini.  Seminar ini merupakan  yang  julung
kali  diadakan  sempena  genapnya  21  tahun  penubuhan BPR.
Seminar  ini  amatlah  penting  bukan  sahaja  kerana   para
pesertanya  terdiri  daripada  Ketua-ketua Jabatan peringkat
Kementerian, Jabatan Persekutuan dan  juga  Negeri,  malahan
juga  kerana  ianya  penting  dalam  usaha  membasmi masalah
rasuah di negara kita.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
2.   Rasuah adalah satu penyakit  sosial  yang  terdapat  di
mana-mana  sahaja  di  dunia.   Hanya yang membezakan antara
satu  negara  dengan  satu  negara  yang  lain,  atau   satu
masyarakat dengan satu masyarakat yang lain ialah menyeluruh
atau  tidak  menyeluruhnya  amalan rasuah itu.   Justeru itu
harapan untuk membasmi  terus  semua  rasuah  adalah  tipis.
Walau  bagaimanapun  ini  tidak  bermakna  bahawa kita harus
membiarkan atau tolerate  rasuah  dan  tidak  pula  berusaha
untuk  menghadapi  masalah ini.  Sekurang-kurangnya apa yang
patut kita lakukan ialah mengurangkan rasuah.
3.   Banyak perkara yang menyebabkan rasuah berlaku.  Tetapi
yang terpenting sekali ialah nilai hidup yang diamalkan oleh
sesuatu  masyarakat.    Jika  masyarakat  memandang   ringan
terhadap  amalan  rasuah  dan  tidak  memandang  hina kepada
pelaku rasuah, maka rasuah akan menjadi perkara  biasa  yang
akan  diamalkan  secara terbuka.   Tetapi jikalau masyarakat
benci kepada pelaku  rasuah  dan  mengutuk  amalannya,  maka
rasuah  tidak  akan berkembang.  Jika ada pun, amalan rasuah
ini disembunyikan.
4.   Sikap tamak adalah juga sebabnya rasuah berlaku.    Ada
yang  berpendapat  bahawa  rasuah disebabkan oleh pendapatan
yang tidak mencukupi.   Jika pendapat  ini  benar,  tentulah
mereka  yang berpendapatan tinggi tidak akan terlibat dengan
rasuah.    Tetapi,  kita  semua  maklum  bahawa   ada   yang
berpendapatan  tinggi  meminta  rasuah  yang  lebih  banyak.
Hakikat ini menjadi lebih jelas lagi apabila  sebuah  negara
yang  terkenal  kerana rasuah yang berleluasa, cuba mencegah
rasuah dengan menaikkan gaji kakitangannya tiga  kali  ganda
tetapi  hasilnya  ialah,  bayaran  rasuah yang dituntut juga
dinaikkan tiga kali ganda.  Jelaslah di sini  bahawa  rasuah
tidak  terikat  dengan  pendapatan atau pangkat.   Ia adalah
disebabkan oleh perasaan tamak dan haloba.
5.   Perasaan tamak manusia boleh dibendung jika  masyarakat
mengamalkan  nilai  yang  mulia  dan  berpegang teguh kepada
ajaran  agama.    Sebenarnya  jika  seseorang  itu  menerima
rasuah,  amatlah  sukar  untuk  mengesan  perbuatannya  jika
amalan itu disembunyikan.   Sebab itulah  cara  mengurangkan
amalan   rasuah   ialah  dengan  masyarakat  memandang  keji
perbuatan rasuah  dan  memupuk  nilai-nilai  yang  mulia  di
kalangan    anggota    masyarakat   sehingga   masing-masing
membendung nafsu tamak yang mempengaruhi manusia.
6.   Mungkin ramai yang akan berkata  bahawa  amatlah  sukar
mengembangkan nilai-nilai yang mulia dan membendung perasaan
semula  jadi seperti tamak ini.  Tetapi pada hakikatnya, ada
masyarakat yang berjaya berbuat demikian.  Kita tidak  dapat
menafikan  bahawa ada masyarakat yang terkenal dengan rasuah
dan  ada  pula  yang  terkenal  kerana  kelurusan  rakyatnya
sehingga  tidak  sesiapa  pun  berani  menghulurkan  rasuah.
Justeru itu, bukanlah  mustahil  untuk  memupuk  nilai-nilai
yang mulia.
7.   Tugas  mencegah  rasuah  dan  memupuk  nilai-nilai yang
mulia  sudah  tentu  menjadi   sebahagian   daripada   tugas
pemimpin-pemimpin  masyarakat.    Mereka  bukan sahaja harus
menyeru kepada amalan yang mulia tetapi  mereka  juga  harus
menjadi  contoh  dan mengamalkan nilai-nilai yang mulia ini.
Di sini ada kalanya mereka yang terlibat dengan rasuah  atau
mempunyai  kepentingan  tertentu  cuba  menghalang seruan ke
arah nilai-nilai  anti-rasuah  dengan  menuduh  bahawa  yang
menyeru  juga  terlibat dengan rasuah.  Dengan itu seruan ke
arah  kebaikan  akan  gagal   kerana   kredibiliti   penyeru
diragukan.    Mereka yang melakukan rasuah pula akan berkata
jikalau yang menyeru pun terlibat,  kenapakah  mereka  mesti
membendungkan  diri?   Perbuatan menggagalkan seruan ke arah
kebaikan amatlah tidak bertanggungjawab  dan  amatlah  keji.
Orang-orang  yang menggagalkan usaha ke arah kebaikan kerana
iri hati haruslah dipandang hina oleh masyarakat.
Tuan-tuan dan puan-puan,
8.   Kunci pencegahan rasuah ialah membendung perasaan tamak
dan mengelakkan daripada amalan  berbelanja  lebih  daripada
pendapatan.    Dengan perkataan lain, rasuah boleh dielakkan
jika kita tahu berjimat-cermat dengan pendapatan kita.  Jika
kita berjimat, kita tidak akan  terperangkap  dalam  situasi
yang mana kita tidak mempunyai wang yang cukup untuk menyara
hidup  kita.    Apabila  kita kekurangan perbelanjaan kerana
inginkan  gaya  atau  style  yang  kita  tidak  mampu,  maka
lemahlah  pendirian  kita  terhadap  sogokan  wang.   Sekali
diterima sogokan,  maka  kita  akan  terus  menerima  rasuah
sehinggalah   kita   dikesan   dan  didakwa  kerana  rasuah.
Kaedahnya tidak berbeza dengan penagihan najis dadah.
9.   Salah  satu  daripada  sebab  kenapa  pendapatan  tidak
mencukupi   ialah   kerana  berjudi.    Penjudi  tetap  akan
kekurangan wang  dan  selalu  terdesak  kerana  tidak  dapat
membayar  hutang  akibat berjudi.   Apabila ini berlaku maka
amat mudahlah seseorang itu  menerima rasuah.   Oleh  kerana
tabiat berjudi sukar dibendung dan mempunyai asas tamak yang
sama, maka penjudi akan tenggelam dalam gelora rasuah.
10.  Seperti   yang   disebutkan   diatas,  masyarakat  yang
memandang  rasuah  sebagai  jenayah  yang  keji  akan  dapat
membendung   rasuah.      Bukti   sikap   masyarakat   ialah
kesanggupannya untuk bertindak terhadap pelaku rasuah.  Jika
mereka yang diberi tanggungjawab  untuk  bertindak  terhadap
pelaku  rasuah tidak sanggup mengambil tindakan, maka rasuah
akan berleluasa.  Ini dapat dilihat  apabila  ketua  jabatan
atau Lembaga Tatatertib jabatan atau kementerian, umpamanya,
enggan  melapor  atau mengambil tindakan terhadap kakitangan
dibawah jagaan mereka kerana belas kasihan atau untuk  tidak
memburukkan   imej   jabatan   atau  kementerian.     Dengan
terlepasnya daripada tindakan, bukan  sahaja  pelaku  rasuah
menjadi  lebih  berani  tetapi  anggota  yang lain juga akan
membenarkan diri mereka menerima rasuah.  Dengan itu, amalan
rasuah akan berkembang.
Tuan-tuan dan puan-puan,
11.  Kita di Malaysia masih boleh  berbangga  kerana  rasuah
tidaklah  seburuk  sehingga  ia  dilakukan  secara  terbuka.
Namun demikian,  kita  perlu  bertindak  untuk  mengurangkan
rasuah yang dirahsiakan yang sedang berlaku.
12.  Kesedaran  terhadap  keperluan  inilah yang menyebabkan
Kerajaan menubuhkan BPR pada tahun 1967.   Tugas  BPR  ialah
mengesan  dan  mengambil  tindakan terhadap anggota Kerajaan
dan masyarakat yang  terlibat  dengan  rasuah.    Tidak  ada
sesiapa  yang dikecualikan.  Ahli-ahli politik yang memegang
jawatan yang tinggi dalam Kerajaan  pun  telah  didakwa  dan
dihukum.  Demikian juga pegawai-pegawai tinggi dan rendah.
13.  Walaupun  kita  tidak  boleh  membuat  ramalan  tentang
berapa banyakkah rasuah akan berlaku  jika  tidak  ada  BPR,
tetapi  kita  percaya  dengan adanya BPR ianya telah berjaya
mengurangkan rasuah di negara kita.  Jika tidak rasuah  akan
berleluasa  dan akan menjadi amalan terbuka -- iaitu apabila
sesuatu urusan perlu dibuat oleh  anggota-anggota  Kerajaan,
maka bayaran tertentu mesti dibuat.
14.  Pencegahan  rasuah tidak terhad kepada Kerajaan sahaja.
Pegawai dan kakitangan  pihak  swasta  juga  diawasi  kerana
mereka  juga  boleh  mempercepat  atau  melambatkan  sesuatu
urusan sehingga orang ramai terpaksa memberi rasuah.
15.  Di sini, anggota-anggota Kerajaan dan swasta yang tidak
terlibat  dengan  rasuah  tidak  harus  berasa   tersinggung
apabila  disebut  tentang rasuah di kalangan mereka.  Tujuan
kita mencegah rasuah adalah juga dengan niat memelihara imej
mereka yang bersih daripada rasuah.   Tentulah  mengecewakan
jika  sesuatu  pejabat itu dicap sebagai curang hanya kerana
perbuatan oleh satu  atau  dua  orang  sahaja.    Oleh  itu,
anggota-anggota  yang  bersih  dan  jujur hendaklah membantu
usaha-usaha BPR mencegah rasuah yang  terdapat  di  kalangan
rakan sekerja mereka.
16.  Satu  masalah  yang  dihadapi  oleh BPR ialah kelewatan
perbicaraan kes-kes rasuah  kerana  beberapa  sebab.    Jika
kes-kes  ini  dibawa kepada Lembaga Tatatertib, hukuman yang
boleh dikenakan adalah terlalu  ringan.    Sebaliknya,  jika
ditunggu  untuk  dibicarakan,  ia  akan  mengambil masa yang
panjang kadangkala bertahun-tahun lamanya dan  mungkin  pula
saksi-saksi    dan   pegawai-pegawai   akan   lupa   tentang
butir-butir yang diperlukan.  Di samping itu,  pegawai  yang
dituduh terpaksa digantung kerja.  Jika akhirnya ia didapati
tidak  bersalah,  maka  Kerajaan telah kehilangan khidmatnya
semasa ia digantung kerja.    Sebaliknya  jika  ia  didapati
bersalah, maka separuh gaji yang dibayar kepadanya semasa ia
digantung kerja adalah sia-sia sahaja.
Tuan-tuan dan puan-puan,
17.  Malaysia   beransur-ansur  melangkah  ke  arah  menjadi
sebuah negara perindustrian.  Dalam hal ini  wang  pelaburan
kian  meningkat  di  Malaysia melalui para pelabur asing dan
para  pelabur  tempatan.    Tidak  dapat  dinafikan   bahawa
projek-projek  yang  menelan  belanja yang begitu besar akan
menambahkan   kemungkinan   serta   peluang-peluang    untuk
berlakunya  rasuah  di  kalangan pihak-pihak tertentu.  Oleh
itu perlulah tuan-tuan dan puan-puan sebagai pegawai-pegawai
Kerajaan menyedari  tentang  perkara  ini  kerana  ia  boleh
menjejaskan  pelaburan asing di negara kita jika usaha-usaha
pencegahan rasuah tidak dipertingkatkan.
18.  Sehubungan dengan ini, maka  adalah  wajar  dan  sesuai
bagi  BPR  menganjurkan Seminar seperti ini untuk mencungkil
idea-idea  baru  supaya  kita  bersama-sama  dapat  membantu
Kerajaan  membanteras  rasuah.    Langkah  pencegahan rasuah
hendaklah berterusan  supaya  negara  kita  berimej  bersih,
cekap dan amanah, dan dengan itu dihormati dan menjadi lebih
maju.
19.  Tugas-tugas     BPR     untuk    membanteras    rasuah,
penyalahgunaan kuasa  dan  penyelewengan  dalam  negara  ini
janganlah    dianggap   mudah   dan   senang   dilaksanakan.
Tugas-tugas  mereka  tidak  akan  menghasilkan  kesan   yang
positif  tanpa  sokongan,  minat  dan  kerjasama  sepenuhnya
daripada semua pihak dalam perkhidmatan awam.   Dengan  itu,
adalah  menjadi  harapan  saya  agar tuan-tuan dan puan-puan
sekalian memainkan peranan yang  lebih  utama  supaya  dapat
mempengaruhi  pegawai-pegawai  di bawah jagaan masing-masing
memberi  kerjasama  yang  erat  kepada  BPR  dalam  usahanya
mencegah  rasuah.   Rasuah adalah satu perbuatan atau amalan
yang keji dan dikutuk oleh agama kita.   Saya berdoa  semoga
Seminar  ini  akan mendatangkan manfaat dan kesan yang besar
dalam merangka program-program pencegahan rasuah  di  negara
ini, khususnya dalam perkhidmatan awam.
Tuan-tuan dan puan-puan,
20.  Akhir  kata,  saya  sekali  lagi berterima kasih kepada
Badan Pencegah Rasuah kerana memberi peluang  untuk  berucap
di   Seminar  ini.    Kerajaan  berharap  Seminar  ini  akan
merupakan satu lagi langkah ke arah membendung gejala rasuah
di negara kita.  Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya
merasmikan Seminar ini.
     Sekian, terima kasih.

 
 



 
Google