0leh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PAHANG DARUL MAKMUR 
Tarikh/Date 	: 	13/11/88 
Tajuk/Title  	: 	UCAPAN Y.A.B. PERDANA MENTERI DATO 
			SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD DI 
			UPACARA PEMBUKAAN STESEN SATELIT 
			BUMI KUANTAN 2-A 




 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Amat Berhormat Dato' Seri Mohd Khalil Yaakob,
     Menteri Besar Pahang Darul Makmur;
Yang Berhormat Datuk Leo Moggie,
     Menteri Tenaga, Telekom dan Pos;
Yang Berbahagia Tan Sri Mohd Rashdan Baba,
     Pengerusi Syarikat Telekom Malaysia
     Berhad;
Yang Berhormat-Yang Berhormat;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
    Saya  mengucapkan  terima kasih kepada Syarikat Telekom
Malaysia  Berhad  kerana  menjemput  saya  untuk  merasmikan
pembukaan  Stesen  Satelit  Bumi Kuantan 2-A ini.  Peristiwa
hari  ini  menandakan  selangkah  lagi  ke   arah   kemajuan
teknologi  terbaru  yang  dapat  dimiliki dan dinikmati oleh
rakyat negara kita.
2.   Stesen Satelit Kuantan 2-A  ini  amat  besar  faedahnya
dalam  bidang  komunikasi antara Malaysia dan seluruh dunia.
Melalui Stesen ini dan juga Stesen-stesen lain yang  ada  di
merata tempat di Malaysia, kita dapat mengadakan perhubungan
telekomunikasi  dengan  hampir seluruh negara lain di dunia,
dan begitu juga sebaliknya.  Stesen ini adalah yang  terbaru
dan  sangat sofistikated.  Oleh itu kemudahan telekomunikasi
yang kita nikmati daripadanya  tentulah  sangat  pantas  dan
bermutu tinggi.
3.   Bagi pihak Kerajaan saya mengambil kesempatan ini untuk
mengucapkan  tahniah kepada Syarikat Telekom Malaysia Berhad
atau STM kerana berjaya membina dan memasang Stesen  Satelit
Bumi  Kuantan  2-A  ini.    Kejayaan  STM membina Stesen ini
sangatlah besar ertinya kepada seluruh rakyat dan negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
4.   Kejayaan ini lebih-lebih lagi membanggakan  kita  semua
kerana  pembinaan  Satelit  ini  dilakukan  setelah Kerajaan
menswastakan perkhidmatan telekomunikasi.  Dengan  lain-lain
perkataan,  projek  raksasa  seperti Stesen Satelit Bumi ini
dapat dikendalikan oleh Syarikat  Telekom  Malaysia  Berhad.
Kerajaan  berharap  kejayaan  STM ini akan meyakinkan rakyat
bahawa  dasar  penswastaan  yang  sedang  dilaksanakan  oleh
Kerajaan  sekarang  adalah  suatu  dasar yang sihat dan akan
membawa kebaikan kepada semua pihak.
5.   Dengan terlaksananya penswastaan sebuah agensi  penting
seperti   Jabatan  Telekom,  bukanlah  niat  Kerajaan  untuk
membenarkan pihak swasta mengaut sebanyak-banyak  keuntungan
daripada para pengguna.  Kebimbangan seperti itu tidak patut
timbul.    Sebagaimana  yang  kita  tahu, syarikat swastapun
tidak  boleh  dengan  sewenang-wenangnya  mengenakan   kadar
perkhidmatan  yang  tidak berpatutan kerana ini akan membawa
akibat yang buruk kepada sesuatu perniagaan itu sendiri.
6.   Harga  perkhidmatan  telekomunikasi  yang  tinggi  akan
menghalang para pelabur asing daripada membuka pusat operasi
mereka  di  negara kita.  Kadar harga yang tinggi juga tidak
menggalakkan pertambahan jumlah pelanggan.  Kedua-dua faktor
ini akan merugikan perkembangan ekonomi  dan  sosial  negara
sendiri.
7.   Saya   berasa  amat  sukacita  kerana  walaupun  dengan
penswastaan Jabatan Telekom kepada Syarikat Telekom Malaysia
Berhad,   kita   terus    dapat    menikmati    perkhidmatan
telekomunikasi  yang termurah di dunia.  Demikian juga, mutu
dan  jenis-jenis  perkhidmatan  telekomunikasi   yang   kita
nikmati  sekarang  adalah hampir sama moden dan sofistikated
dengan   perkhidmatan-perkhidmatan    yang    terdapat    di
negara-negara yang maju.
8.   Antara  kemudahan  termaju  yang  dinikmati  oleh orang
ramai ialah perkhidmatan Antarabangsa Terus  Dail  atau  ATD
yang  membolehkan  pengguna  menghubungi  115 buah negara di
seluruh dunia.  Sehingga sekarang terdapat 105,203  pengguna
telefon  ATD dan jumlah itu terus meningkat.  Saya mengambil
kesempatan ini untuk mengumumkan bahawa  bermula  dari  hari
ini,  STM  telah  menambah  50  buah  negara lagi yang dapat
dihubungi melalui perkhidmatan Antarabangsa Terus Dail,  dan
dengan  itu  jumlah negara-negara yang boleh dihubungi terus
kini menjadi 165 buah.  Ini adalah satu lagi bukti kecekapan
pihak swasta memberi mutu perkhidmatan yang cekap  dan  baik
kepada semua pihak.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9.   Kejayaan     dasar     penswastaan    dalam    industri
telekomunikasi akan  meningkatkan  lagi  keyakinan  Kerajaan
untuk         melaksanakan         penswastaan         dalam
perkhidmatan-perkhidmatan lain yang kini  masih  ditadbirkan
oleh  agensi-agensi  Kerajaan.    Selama  ini,  campurtangan
Kerajaan di dalam sektor ekonomi Malaysia adalah  difikirkan
terlalu  besar  dan meluas.  Sewaktu negara baru merdeka dan
mula merancang pembangunan, campurtangan seperti itu  memang
dianggap wajar.  Walau bagaimanapun, setelah 31 tahun negara
merdeka  dan  sedang kita mengalami tahap-tahap perkembangan
ekonomi yang memuaskan, Kerajaan berpendapat,  sudah  sampai
masanya  sektor swasta diberi peranan yang lebih besar dalam
kegiatan  ekonomi  negara.     Ini  tidak   bermakna   dasar
penswastaan   akan   dilaksanakan   tanpa  perancangan  yang
terperinci.     Sebaliknya, ia  akan  terus  diawasi  dengan
teliti bagi menjamin kejayaannya.
10.  Di  kalangan  negara-negara  yang  mengamalkan  ekonomi
bebas, Malaysia adalah  salah  satu  negara  yang  mempunyai
paling banyak campurtangan Kerajaan di sektor ekonomi.  Oleh
itu  tidaklah  hairan  jika  nisbah  beban  pentadbiran yang
ditanggung oleh Kerajaan Malaysia adalah  jauh  lebih  besar
jika dibandingkan dengan negara-negara lain.
11.  Negara-negara  lain  yang  selama ini telah mengamalkan
ciri-ciri pengurusan seperti kita sudah lama dan lebih  awal
dari kita menyemak semula dasar-dasar mereka.  Negara-negara
itu  mendapati  bahawa penswastaan perkhidmatan-perkhidmatan
dan industri-industri tertentu yang selama ini dimiliki  dan
diurus   oleh  Kerajaan  akan  dapat  menyelesaikan  masalah
kerugian yang besar dan seterusnya dapat membawa  keuntungan
kepada industri itu.
12.  Kita  di  Malaysia  akan memerhatikan kejayaan-kejayaan
serta  kegagalan-kegagalan  dasar-dasar  dan   kaedah-kaedah
penswastaan  yang  dijalankan  di  negara-negara lain supaya
pengalaman negara-negara itu dapat dipelajari dan  dicontohi
untuk  membolehkan  Malaysia  melaksanakan dasar penswastaan
kita dengan baik dan berhasil.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
13.  Penswastaan Jabatan Telekom Malaysia  pada  tahun  1987
telah  menunjukkan  kejayaan  yang  dijangkakan.    Walaupun
banyak lagi yang dapat diperbaiki oleh STM, kejayaan setahun
dua yang lepas harus dijadikan unsur galakan untuk  kejayaan
yang  memuaskan  pada  tahun-tahun  tahun  yang akan datang.
Kerajaan  berharap  STM  akan  terus  berusaha  meningkatkan
perkhidmatan   dan   industri  telekomunikasi  di  Malaysia.
Kemajuan di  sektor  ini  adalah  penting  dalam  menentukan
kejayaan   kita   membangunkan  industri-industri  lain  dan
ekonomi  negara.    Pertumbuhan  ekonomi  sangat  bergantung
kepada  minat  para  pelabur  dalam  negeri  dan luar negeri
melabur di Malaysia dan salah satu  faktor  yang  menentukan
minat   mereka   ialah   kecekapan   dan  mutu  perkhidmatan
telekomunikasi yang terdapat di negara ini.
14.  Langkah Kerajaan menswastakan  industri  telekomunikasi
adalah untuk menggalakkan pertumbuhan pesat industri ini dan
sekaligus  menambah  daya  tarikan kepada para pelabur asing
untuk datang ke Malaysia.   Dalam konteks  ini  langkah  STM
membina Stesen Satelit Kuantan ini adalah sangat bersesuaian
dengan hasrat Kerajaan.
15.  Kerajaan   beranggapan  industri  telekomunikasi  ialah
sektor hadapan atau forerunner bagi program  industrialisasi
negara.    Berdasarkan  anggapan  itu maka wajarlah Kerajaan
memilih   industri   ini   sebagai   sektor   yang   pertama
diswastakan,  dengan  harapan kemajuan yang terhasil melalui
penglibatan sektor ini akan  dapat  mempercepatkan  kemajuan
dan pembangunan dalam sektor-sektor lain.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
16.  Sekali  lagi  saya  mengucapkan terima kasih kepada STM
kerana menjemput saya ke upacara perasmian hari ini.    Saya
berharap  kakitangan  STM akan terus berusaha untuk mencapai
kejayaan yang tinggi di masa-masa hadapan.
17.  Dengan harapan ini saya dengan  sukacitanya  merasmikan
Stesen Satelit Bumi Kuantan 2-A ini.
     Wabillahi    taufik   walhidayah   wassalamu   'alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 



 
Google