Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 19/11/88
Tajuk/Title : MAJLIS MALAM WARTAWAN MALAYSIA 1988
ANJURAN INSTITUT AKHBAR MALAYSIA
Encik Ahmad Rejal Arbee,
Pengerusi Institut Akhbar Malaysia;
Encik Mazlan Nordin,
Pengerusi Hadiah Kewartawanan Malaysia;
Yang Berhormat-Yang Berhormat;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Institut Akhbar
Malaysia kerana menjemput saya ke Majlis Malam Wartawan
Malaysia 1988 ini. Saya merasa bangga kerana diberi
penghormatan juga untuk menyampaikan hadiah-hadiah
kewartawanan. Saya percaya Majlis ini akan berjaya
menjalinkan lagi hubungan rapat antara para wartawan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2. Sebagai wartawan saya yakin tuan-tuan dan puan-puan
menghargai kebebasan media massa yang menjadi satu daripada
rukun demokrasi. Kebebasan media merupakan salah satu aspek
yang penting untuk mempertahankan demokrasi. Tanpa
kritikan dan teguran daripada media yang bebas, tanpa
maklumbalas berkenaan dengan pemikiran dan reaksi
masyarakat, besar kemungkinan Kerajaan dan anggotanya akan
tersilap jalan, akan menyeleweng dan akan melakukan
perbuatan-perbuatan yang tidak baik. Sebaliknya tanpa
maklumat yang disampaikan oleh media yang bebas rakyat pula
akan berada dalam kegelapan, tidak mengetahui dan tidak
memahami apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka.
Dengan perkataan lain tanpa media massa yang bebas,
masyarakat dan Kerajaan akan berada dalam keadaan tidak
sedar akan hasil dasar-dasarnya dan tidak dapat menilai
kekesanan sesuatu tindakan atau peristiwa. Kita akan
meraba-raba dalam kegelapan tanpa mengetahui ke arah mana
kita menuju atau ke arah mana kita dibawa.
3. Ada negara-negara di mana media massa diletakkan terus
di bawah kuasa Kerajaan. Dengan itu media tidak dapat
menilaikan dengan baik dan dengan adil tindakan-tindakan dan
dasar-dasar Kerajaan. Semua yang dibuat oleh Kerajaan
dikatakan baik dan dipuji. Oleh yang demikian apabila
Kerajaan tersilap jalan maka Kerajaan akan sesat tanpa
disedari. Negara komunis sesat 70 tahun sebelum mereka
mengetahui bahawa mereka sesat. Sepanjang masa, media yang
dikongkong oleh Kerajaan memuji dasar-dasar dan
strategi-strategi komunis sehingga rakyat mereka hilang
keupayaan membezakan di antara yang baik dengan yang buruk.
4. Goebbels, Menteri Propaganda Nazi Jerman, biasa berkata
sesuatu yang tidak benar, jika berulangkali dikatakan benar,
akhirnya akan diterima sebagai benar oleh masyarakat.
Demikianlah dengan negara komunis. Oleh kerana kegagalan
sistem ekonomi komunis dikatakan juga satu kejayaan,
akhirnya semua pihak percaya bahawa sistem komunis berjaya.
Apabila sudah sampai ke tahap ini kebenaran sukar hendak
diperkata dan diutarakan kerana ia akan dianggap tidak benar
dan akan ditentang keras. Hanya pemimpin yang gagah dan
berani sahaja yang akan sanggup memperkatakan yang benar,
iaitu sistem ekonomi komunis gagal dan perlu digantikan
dengan sistem yang dahulu dikatakan oleh pihak komunis tidak
baik. Demikian glasnost dan perestroika anjuran Gorbachev.
5. Inilah satu daripada kesan kongkongan media massa oleh
Kerajaan. Tetapi apakah kebebasan penuh untuk media massa
akan menjamin kesejahteraan masyarakat dan negara? Di
beberapa negara di mana media bebas sepenuhnya,
akhbar-akhbar dan media elektronik tidak segan-segan
menyalah-gunakan kebebasan mereka. Media yang bebas tidak
memberi kebebasan kepada pihak lain. Sasaran mereka dikejar
sehingga ke lubang cacing. Segala-galanya didedahkan
sehingga keaipan yang dirasai oleh subjek adalah lebih
daripada semua hukuman yang boleh dikenakan. Gambar-gambar
lucah didedah dan cerita-cerita lucah disiarkan sehingga
kepada kanak-kanak. Bahasa yang kotor tidak lagi
disembunyikan. Keganasan dipamer sehingga mempengaruhi
budaya masyarakat. Penjenayah dibayar wang yang banyak
untuk cerita jenayah mereka yang menggambarkan mereka
sebagai hero. Rahsia Kerajaan didedah sehingga keselamatan
negara terancam. Pemimpin-pemimpin dilaga-lagakan dan
cerita-cerita yang tidak benar dicipta dan disiarkan.
6. Akibat daripada semua ini ialah masyarakat keliru dan
ada yang tidak dapat menilai antara yang baik dengan yang
buruk. Ada di antara mereka menjadi bingung kerana percaya
kepada yang tidak benar. Nafsu dan seks menjadi tumpuan
bagi setengah-setengah pihak sehingga mereka dikuasai hanya
oleh keperluan memuaskan nafsu. Akhlak hancur dan institusi
sosial seperti perkahwinan dan keluarga hilang kedudukan
dalam masyarakat. Pendek kata, kebebasan akhbar yang
ekstrim membawa kesan yang tidak banyak berbeza daripada
kongkongan oleh Kerajaan.
7. Apa yang digambarkan di sini ialah kes-kes yang
ekstrim, kongkongan media yang menyeluruh dan kebebasan yang
tidak terhad. Jika diakui bahawa kedua-dua contoh ekstrim
ini adalah tidak baik dan mempunyai kesan yang buruk kepada
masyarakat dan negara, soal yang timbul ialah apakah had
sekatan kebebasan dan kongkongan ke atas media massa yang
baik untuk masyarakat? Soal ini perlu dijawab melainkan
kita mempunyai falsafah kebebasan semata-mata untuk
kebebasan dan bukannya kebebasan untuk kebaikan.
8. Malaysia adalah sebuah negara membangun yang
demokratik. Lebih daripada itu Malaysia mempunyai penduduk
berbilang kaum dan agama yang sukar diintegrasikan. Jika
Malaysia ingin maju maka peranan semua pihak mestilah
disesuaikan dengan dasar-dasar dan usaha-usaha membangunkan
negara.
9. Tidak sesiapa pun boleh menafikan peranan penting yang
boleh dimainkan oleh media massa dalam pembangunan Malaysia.
Jika diakui bahawa kebebasan akhbar menjadi sebahagian
daripada demokrasi, tetapi kebebasan secara absolute membawa
keburukan. Kita perlu menentukan apakah yang patut
mempengaruhi Kerajaan, wartawan dan masyarakat mengenai
peranan media massa dalam negara kita ini.
10. Saya percaya tidak ada sesiapa pun dalam negara ini
yang dengan sengaja mahu menghalang pembangunan dan
kemajuan. Masalahnya ialah kadang-kadang terdapat konflik
antara kepentingan negara dan kepentingan kumpulan serta
kepentingan individu. Oleh kerana ini, kita kadang-kadang
tidak jelas tentang pendirian yang perlu diambil oleh
masing-masing, walaupun kita percaya kita mengetahui
tindakan yang mesti diambil oleh pihak lain.
11. Sebagai contoh ramai anggota masyarakat yang mengecam
akhbar yang sengaja membesar-besarkan masalah yang kecil
umpamanya tentang perkembangan politik. Tetapi di masa yang
sama masyarakat lebih suka akhbar-akhbar yang sensational
ini dan menyebabkan penjualannya lebih laris. Di masa yang
sama juga pembaca memuji sikap sederhana dan berita yang
tepat yang dibuat oleh akhbar-akhbar yang bertanggungjawab
tetapi mereka tidak begitu berminat membacanya. Ramai juga
daripada anggota masyarakat yang menyoal mengapa Kerajaan
tidak bertindak.
12. Kerajaan sekarang ini tidak bebas seperti dahulu di
waktu mana rakyat tidak begitu sophistikated. Sekarang
rakyat tahu mengguna undang-undang dan Kerajaan dengan mudah
boleh disekat kerana kesilapan prosidur atau sebab-sebab
lain. Lagi pula Kerajaan tidak mahu dituduh tidak
demokratik dan menyekat kebebasan akhbar.
13. Dilema kita ialah jika kita membenarkan kebebasan yang
ekstrim dalam media, kesejahteraan masyarakat akan terancam
dan kemajuan negara akan terganggu. Sebaliknya, jika kita
mengambil tindakan untuk menyekat, kita akan dituduh sebagai
tidak demokratik. Berhadapan dengan dilema ini kita hanya
boleh berharap kepada perasaan tanggungjawab wartawan dan
patriotisme mereka. Kawalan diri atau self-discipline
diperlukan walaupun ini akan menjejaskan sedikit kelarisan
penjualan akhbar masing-masing.
14. Bagi negara kita, perkara yang utama ialah kestabilan
politik atau lebih tepat lagi persepsi rakyat serta orang
asing terhadap kestabilan ini. Sebenarnya semenjak negara
kita merdeka, selain daripada peristiwa 13 Mei 1969, keadaan
politik negara adalah stabil. Sudah tentu ia lebih stabil
daripada kebanyakan negara-negara membangun. Adanya usaha
merebut jawatan dan kempen-kempen adalah perkara biasa dalam
sesebuah demokrasi.
15. Tetapi kegiatan-kegiatan ini boleh mencemar gambaran
stabiliti kerana tekanan laporan dan bahasa yang digunakan.
Seseorang yang membuat kritikan biasa boleh menimbulkan
kemarahan yang lebih oleh pihak sasaran jika pengkritik
dilaporkan sebagai telah membuat 'tamparan hebat' terhadap
seseorang. Kadangkala keadaan tenang boleh menjadi ribut
hanya dengan bertanya kepada satu pihak dan kemudian
menyampaikan jawapannya kepada pihak yang menentang untuk
mendapatkan reaksi.
16. Pihak akhbar mencipta berbagai jenis hak di bawah
kebebasan media dalam demokrasi. Sekarang ini ada yang
bercakap berkenaan dengan hak mengetahui atau 'the right to
know'. Dalam pengurusan sesuatu organisasi, rahsia
diperlukan. Umpamanya semasa rundingan, semua pihak perlu
menyembunyikan apakah yang boleh dipersetujui oleh mereka,
supaya dapat konsesi yang lebih menguntungkan. Sama ada
perundingan ini adalah antara syarikat atau pertubuhan atau
negara, masing-masing akan cuba mendapatkan sesuatu
keputusan yang lebih menguntungkan.
17. Media massa pula ingin mendedahkan kesemuanya secepat
mungkin sebelum pun rundingan diadakan. Dengan terdedahnya
pendirian terakhir mana-mana pihak, maka flexibility dalam
rundingan akan hilang. Mungkin juga jika pihak yang satu
lagi tidak bersetuju dengan pendirian sebenar pihak pertama,
maka rundingan tidak akan diadakan sama sekali. Dengan itu
sesuatu usaha akan gagal sebelum pun ia bermula.
18. Sebaliknya jika tidak berlaku pendedahan dan rundingan
diadakan, mungkin juga pihak-pihak yang terlibat akan
bertolak-ansur setelah mendengar hujah-hujah masing-masing
dan rundingan akan berhasil. Tetapi media massa kerapkali
tidak mempedulikan sesuatu usaha yang baik. Kepentingan
'scoop' lebih diutamakan, kononnya kerana kebebasan dan hak
mengetahui.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
19. Di negara Malaysia kita perlu berusaha ke arah
pembangunan yang pesat. Jika kita membuat kajian mengenai
sebab-sebab setengah negara mudah maju dan setengah lagi
tidak dapat mencapai kejayaan walaupun ada keinginan untuk
berjaya, kita akan mendapati bahawa pencapaian sesuatu
negara bergantung kepada peribadi dan sikap penduduk negara
itu. Jika sesuatu bangsa itu rajin, beramanah, tekun
berusaha, maka lambat laun bangsa itu akan berjaya.
Sebaliknya jika sesuatu bangsa itu malas, tidak beramanah
dan tidak tekun dalam menjalankan kerja, maka bangsa itu
akan gagal dan mundur selama-lamanya.
20. Menyedari akan hakikat ini maka kita haruslah
menggunakan segala cara untuk membentuk peribadi yang sesuai
dengan kemajuan ini. Oleh kerana media massa adalah satu
alat yang penting untuk membentuk fikiran rakyat maka media
massa haruslah memberi sumbangan kepada usaha-usaha
menyemaikan nilai-nilai yang disebutkan tadi di kalangan
penduduk-penduduk negara ini.
21. Kita berasa dukacita kerana kadang-kadang terdapat
akhbar-akhbar yang bukan sahaja tidak memberi perhatian
kepada pembinaan sifat-sifat ini tetapi menunjukkan sikap
sinis terhadap usaha-usaha Kerajaan. Menukar peribadi
sesuatu bangsa bukanlah perkara yang mudah, terutama jika
ianya adalah ke arah kebaikan. Tetapi usaha mesti dibuat
juga kerana selagi kita tidak dapat memiliki nilai-nilai
yang sesuai untuk kemajuan, kita tidak akan maju.
Tuan-tuan dan puan-puan,
22. Musuh kita yang besar sekali ialah diri kita sendiri.
Terdapat sikap yang negatif di kalangan kita yang
menyebabkan kita selalu memandang rendah terhadap kebolehan
kita dan membesar-besarkan kebolehan orang lain. Jika ada
sahaja sesuatu usaha, kita terus meramalkan ianya tetap
tidak akan berjaya. Jika akhirnya berjaya juga usaha itu,
kita akan memperkecilkan kejayaan usaha itu atau mencari
kesalahan titik-bengek. Dengan ini maka sukar bagi rakyat
Malaysia mempunyai keyakinan terhadap apa juga yang
diusahakan.
23. Mengikut aliran baru apa yang dipanggil sebagai
'investigative reporting', sesuatu yang dicipta di Barat,
segala usaha dijalankan bagi mencari yang salah untuk
didedahkan. Memang benar ada kalanya kita perlu mendedahkan
sesuatu supaya pembetulan boleh dibuat. Tetapi yang baik
dan betul pun perlu didedahkan supaya kita tidak mempunyai
inferiority complex.
24. Dalam usaha membangunkan sesebuah negara, Kerajaan yang
kuat amat diperlukan. Bagi negara yang maju sekalipun, jika
Kerajaannya lemah maka kemajuan sukar dicapai. Ini adalah
kerana Kerajaan bukan sahaja dikehendaki mentadbir tetapi
juga dikehendaki menolong pihak swasta dalam kegiatan
ekonomi. Dalam hal ini jika pihak swasta dikehendaki
meningkatkan perniagaan dan perusahaan, melabur dan
mengeksport, Kerajaan mesti memberi kerjasama dan bantuan.
25. Sebagai contoh sekarang ini kita ingin menarik lebih
ramai pelancong ke negara kita. Industri pelancongan bukan
sahaja membawa aliran matawang asing ke dalam negeri tetapi
juga dengan pertumbuhan industri perhotelan dan
industri-industri sampingan, peluang-peluang pekerjaan akan
bertambah. Rakyat yang ramai menganggur akan mendapat
peluang-peluang pekerjaan.
26. Kerajaan dikehendaki membelanjakan wang untuk
mengadakan pegawai-pegawai dan aktiviti-aktiviti promosi dan
lain-lain. Jika Kerajaan lemah dan tidak tentu sama ada
akan mendapat sokongan yang cukup atau tidak, usaha menolong
pihak swasta akan mendapat prioriti yang rendah. Dengan itu
pihak swasta dan ekonomi negara akan terjejas.
27. Kita lihat perkara ini berlaku dalam sebuah negara maju
di mana ketua kerajaan terdiri daripada satu parti dan
dewan-dewan undangannya dikuasai oleh parti lawan. Kesannya
ialah pemerintahan yang tidak berkesan dan ekonomi meleset.
Rakyat pula tidak bersemangat untuk menjayakan apa-apa
usaha.
28. Keadaan di Malaysia tidaklah seperti ini. Tetapi
tumpuan yang terlalu sangat kepada politik boleh membawa
kesan seperti ini. Sebagai negara membangun kesan Kerajaan
yang lemah lebih buruk lagi. Untuk memperbaiki keadaan
ekonomi, sosial dan politik, mana-mana Kerajaan mestilah
berani mengambil tindakan yang tidak popular. Kerajaan yang
lemah akan hanya menghabiskan masa dan tenaga untuk mencari
populariti.
29. Semua pihak di dalam dan di luar negara sekarang
mengiktiraf kejayaan Malaysia memulihkan ekonominya.
Kejayaan ini dicapai kerana Kerajaan mampu mengambil
tindakan-tindakan yang berkesan walaupun tidak popular
seperti mengurangkan perbelanjaan Kerajaan, mengurangkan
import, membantu eksport, membuka peluang perniagaan dengan
mengurangkan syarat-syarat yang terlalu ketat dan lain-lain
lagi. Tetapi usaha-usaha Kerajaan ini menjadi lebih sulit
kerana ada pihak-pihak yang tidak faham dan pandangan mereka
kadang-kadang mendapat publisiti yang luas.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
30. Sementara kita tidak patut disaji dengan masalah
politik semata-mata dalam akhbar, pengetahuan mengenai
politik perlu dipertingkatkan, terutama berkenaan dengan
sistem demokrasi yang kita amalkan. Ramai yang berpendapat
bahawa demokrasi akan membawa kebahagiaan kepada negara jika
ia diamalkan sepenuhnya. Apa yang kurang difahami ialah
demokrasi juga boleh meruntuhkan negara jika tidak diamalkan
dengan bijak dan bertanggungjawab.
31. Di Malaysia kita bernasib baik kerana terdapat sebuah
parti politik nasional yang mampu bertanding di seluruh
negara. Dengan itu kemungkinan sebuah parti mendapat
majoriti yang cukup untuk membentuk Kerajaan memang nyata.
Oleh kerana demokrasi memberi hak kepada sesiapa sahaja
menubuhkan parti dan bertanding, bahkan individu juga boleh
bertanding, di beberapa negara berpuluh-puluh parti politik
ditubuhkan dan beribu-ribu calon bertanding. Akibatnya
tidak ada satu parti pun yang memperolehi majoriti. Dalam
keadaan ini Kerajaan campuran terpaksa dibentuk yang tidak
mempunyai dasar atau ideologi yang sama. Jika mana-mana
parti menarik diri, maka akan jatuhlah Kerajaan.
32. Demikian juga jika sistem dua parti diadakan. Apabila
kedua-dua parti memenangi hampir sama bilangan kerusi,
Kerajaan yang ditubuhkan oleh parti yang mendapat kemenangan
yang lebih sedikit, tidak mampu memerintah dengan tegas
kerana takut jatuh.
33. Di setengah-setengah negara pula sistem proportionate
representation digunakan, iaitu bilangan wakil rakyat dari
sesuatu parti diasaskan kepada peratusan undi yang
diperolehi. Akibatnya banyak parti bertanding dan ada
kalanya tidak ada parti yang mempunyai majoriti yang cukup.
Kerajaan yang didirikan terpaksa berbentuk Kerajaan
campuran, yang seperti biasa amat lemah.
34. Kepercayaan kepada sistem demokrasi memang baik tetapi
tanpa pengetahuan tentang kegunaannya, demokrasi tidak dapat
menjamin kesejahteraan negara. Pihak akhbar harus memainkan
peranan untuk meningkatkan pengetahuan mengenai demokrasi,
kekuatan dan kelemahannya. Dengan ini maka kita akan lebih
selamat.
35. Tujuan saya membangkitkan perkara-perkara tersebut di
majlis ini bukanlah kerana saya bercita-cita untuk
menghapuskan kebebasan media massa atau menghapuskan
demokrasi. Ada pihak yang mudah membuat tuduhan seperti ini
apabila sahaja saya menyebut mengenai sesuatu. Demokrasi
berjaya diamalkan di negara ini. Kebebasan akhbar wujud di
negara kita. Tetapi kita harus sedar tentang berbagai
kemungkinan. Dengan adanya kesedaran ini, saya percaya kita
akan lebih bertanggungjawab untuk menegakkan demokrasi di
Malaysia.
Tuan-tuan dan puan-puan,
36. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada pihak
Institut Akhbar Malaysia kerana menjemput saya ke Majlis
ini. Kepada para pemenang hadiah-hadiah kewartawanan, saya
mengucapkan tahniah. Saya berharap Majlis ini akan dapat
menebalkan tekad kita untuk berkhidmat kepada negara.
Terima kasih.
|