Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	MUZIUM NEGARA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	19/11/88 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN PAMERAN "PATRIOT DAN 
			NEGARAWAN - TUN SIR HENRY H.S. LEE" 




 Yang Berhormat Dato Sabbaruddin Chik,
     Menteri Kebudayaan dan Pelancongan;
Yang Berhormat Datuk Alex Lee,
     Timbalan Menteri Pertanian;
Yang Berbahagia Dato' Shahrum Yub,
     Ketua Pengarah Jabatan Muzium;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
    Saya  berasa  sukacita  kerana  dapat  turut bersama di
majlis ini yang bertujuan untuk mengenang kembali perjuangan
seorang negarawan yang telah berjasa kepada negara ini iaitu
mendiang Tun Sir Henry H.S. Lee.  Saya percaya pemergian Tun
H.S. Lee masih dirasakan oleh setiap  ahli  keluarganya  dan
kenangan-kenangan hidup beliau masih segar diperkatakan oleh
sahabat handai beliau.  Demikianlah peredaran hidup di dunia
ini,  setiap  yang  hidup akan menemui ajalnya.   Namun nama
yang baik akan terus menjadi  kenangan  dan  teladan  kepada
kita semua.
2.   Rakaman  sejarah  negara ini memperakui dan tidak dapat
menyangkal betapa mendiang  Tun  H.S.  Lee  mempunyai  rekod
kegemilangannya   yang   tersendiri   semenjak  beliau  mula
bertapak di negara ini pada tahun 1924 dahulu.   Negara  ini
tidak  akan  melupakan  jasa-jasa beliau yang turut berjuang
dalam usaha-usaha menuntut kemerdekaan tanahair ini.    Nama
beliau  akan  terus  dikenang  sebagai  salah  seorang tokoh
terpenting  yang  menubuhkan  parti   MCA,   salah   seorang
perancang   utama  ke  arah  penubuhan  Perikatan  UMNO-MCA,
seorang tokoh penentang  komunisme,  Menteri  Kewangan  yang
pertama  dan  seorang usahawan yang telah banyak mencurahkan
tenaga dan fikiran  untuk  turut  membangunkan  negara  ini.
Walaupun  semenjak  meninggalkan  gelanggang  politik beliau
tidak lagi terlibat secara langsung dengan  Kerajaan,  namun
beliau   tidak  pernah  jemu  untuk  terus  berbakti  kepada
masyarakat melalui badan-badan sosial.
Tuan-tuan dan puan-puan
3.   Para pemimpin merupakan  sumber  inspirasi  rakyat  dan
penggerak  utama dalam melaksanakan apa jua dasar yang telah
ditetapkan oleh  Kerajaan  untuk  kesejahteraan  rakyat  dan
negara.  Para pemimpin negara seharusnya mempunyai cita-cita
atau  vision yang jauh ke hadapan.  Berdasarkan kepada fakta
sejarah, mendiang Tun H.S. Lee telah membuktikan yang beliau
merupakan salah seorang pemimpin  negara  yang  serba  boleh
sehingga beliau dihormati oleh segenap lapisan masyarakat di
negara ini.
4.   Kebijaksanaan   dan   kebolehan   beliau  memimpin  dan
menyesuaikan diri dengan suasana  politik  dan  sosio-budaya
tempatan  bukanlah  boleh  diperolehi  dengan  sekelip mata,
bahkan adalah  hasil  dari  pengalaman-pengalaman  luas  dan
liku-liku   hidup  beliau  yang  beraneka  corak  dan  serba
mencabar.  Di samping itu beliau  sentiasa  berpegang  teguh
dengan  prinsip-prinsip  hidup  beliau  yang  serba dinamik.
Walaupun beliau sudah tidak  lagi  memainkan  peranan  utama
dalam  parti  MCA,  beliau  tidak  mudah kecewa atau melatah
mengecam  pemimpin-pemimpin  lain,  apatah  lagi   Kerajaan.
Malahan beliau terus bergerak cergas dalam kegiatan-kegiatan
sosial   dan   kebajikan   dan  juga  memajukan  lagi  dunia
perniagaan  beliau.    Sesungguhnya  kita  berbangga  dengan
sikap,  kewibawaan  dan jasa-jasa yang telah beliau curahkan
kepada  negara  ini  dan  sewajarnyalah  negara  mengiktiraf
beliau sebagai seorang patriot dan negarawan.  Kita berharap
generasi  sekarang  dapat  menjadikan  beliau  sebagai salah
seorang negarawan contoh yang telah mengharumkan negara ini.
5.   Berdasarkan kepada  hakikat  inilah  Kerajaan  merestui
untuk   mengenang   dan  mengabadikan  nama  beliau  melalui
berbagai cara seperti mengadakan pameran  seperti  ini,  dan
yang paling bererti lagi ialah mengabadikan nama beliau pada
sebatang  jalan  di  Bandaraya  Kuala Lumpur ini.   Kerajaan
telah mengenalpasti bahawa jalan yang  paling  sesuai  ialah
Jalan Bandar.  Sempena pameran ini sukacita saya mengumumkan
bahawa  mulai  hari  ini, Jalan Bandar akan dikenali sebagai
Jalan Tun H.S. Lee.   Saya  berharap  semua  pihak  merestui
perubahan  ini.   Inilah cara yang terbaik dan berkesan bagi
mengingati beliau.
Tuan-tuan dan puan-puan,
6.   Saya  mengucapkan   terima   kasih   kepada   Ahli-ahli
Jawatankuasa   Pameran   dan   setiap  individu  yang  telah
menyumbangkan tenaga untuk menjayakan pameran ini.    Dengan
ini   juga,   saya  dengan  sukacitanya  merasmikan  pameran
'Patriot dan Negarawan - Tun Sir Henry H.S. Lee' ini.

 
 



 
Google