Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	AUDITORIUM DEWAN BANDARAYA 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	25/11/88 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN "KUALA LUMPUR 
			POETRY READING 




 Tuan Haji Jumaat Dato' Mohd. Noor,
     Ketua Pengarah, Dewan Bahasa dan
     Pustaka;
Saudara Anwar Ridhwan,
     Pengerusi Kuala Lumpur Poetry
     Reading '88;
Dif-dif Kehormat;
Para Penyair;
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
    Saya  mengucapkan  terima  kasih kepada pihak penganjur
"Kuala Lumpur Poetry Reading'88" kerana menjemput saya untuk
merasmikan acara ini.  Saya percaya majlis pengucapan  puisi
ini  akan  merapatkan  lagi hubungan antara para penyair dan
para sasterawan.
2.   Kepada  para  penyair  luar   negeri   sekalian,   saya
mengucapkan   'selamat   datang'   dan   selamat   mengenali
masyarakat dan  kebudayaan  Malaysia  yang  unik  ini.    Di
Malaysia,  peranan pengarang amatlah besar pengaruhnya dalam
masyarakat.  Semenjak zaman dahulu, para pengarang merupakan
orang yang mempunyai kemahiran  seni  bercerita  di  samping
menasihati   para  pendengar  atau  pembaca  karya-karyanya.
Mereka ini berada di setiap peringkat  kehidupan  masyarakat
--  dari  istana  sehinggalah  di  tengah-tengah  masyarakat
petani.
3.   Dari sastera Melayu tradisional  sudah  terdapat  lebih
seribu   judul   manuskrip   tentang   sastera,   perubatan,
pentadbiran dan sebagainya.  Sebilangan manuskrip  lama  ini
belum  dikaji  secara  terperinci sehingga sekarang.  Jumlah
tersebut  menggambarkan  bahawa  sastera  Melayu   mempunyai
tradisi  yang  sama atau lebih kuat daripada tradisi sastera
beberapa negara Timur dan Barat.
4.   Pada awal kurun  ini,  apabila  naskah-naskah  bercetak
menjadi  lebih  popular  dan  tersebar luas, penulis-penulis
Malaysia terus memainkan  peranan  penting  untuk  memajukan
ekonomi,   pendidikan  dan  pencapaian  kemerdekaan  politik
daripada penjajah Inggeris.  Kemerdekaan Malaysia pada tahun
1957 turut diperjuangkan oleh penulis-penulis Malaysia.
5.   Menyedari  tentang   sumbangan   mereka,   di   samping
kesedaran   bahawa   bahasa   dan   sastera   Melayu   harus
dipertingkatkan penggunaan dan  mutunya,  Kerajaan  Malaysia
telah  mendirikan  sebuah  institusi khas bagi pembinaan dan
pengembangan bahasa dan sastera kebangsaan ini, iaitu  Dewan
Bahasa dan Pustaka.
6.   Semenjak penubuhannya pada tahun 1956, Dewan Bahasa dan
Pustaka  telah dan sedang memainkan peranan yang besar untuk
memajukan bahasa dan sastera kebangsaan.  Saya turut gembira
bahawa pada kali ini Dewan Bahasa dan  Pustaka  menganjurkan
"Kuala   Lumpur  Poetry  Reading'88"  ini  dengan  kerjasama
berbagai-bagai pihak.  Ini membuktikan kemantapan bahasa dan
sastera  kebangsaan  dan  mengajak  masyarakat  antarabangsa
turut memahami dan menelitinya.
7.   Saya  difahamkan bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka sedang
memperhebatkan usaha menterjemahkan karya sastera Melayu  ke
bahasa-bahasa  asing.  Ini adalah langkah yang positif, yang
boleh memperkenalkan pengucapan sasterawan  Malaysia  kepada
khalayak sastera di peringkat antarabangsa.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
8.   Terdahulu  daripada  ini  saya telah menyebutkan bahawa
pengarang-pengarang Melayu melalui kemahiran seninya  sering
komited  terhadap  masyarakatnya.   Hal ini terjadi semenjak
zaman tradisi sehinggalah ke zaman moden ini.
9.   Pokok-pokok perjuangan para pengarang yang komited  ini
antara  lain  ialah bagi membina masyarakat yang sihat, adil
dan aman sejahtera.   Tuan-tuan dan puan-puan  sebagai  para
penyair  yang  berpengalaman  luas tentulah menyedari bahawa
pokok-pokok perjuangan itu telah digerakkan juga  oleh  para
penyair dunia semenjak beberapa kurun yang lalu.
10.  Sensitiviti  kami  terhadap  pokok-pokok perjuangan itu
telah  mendorong  Kerajaan  mengambil  langkah-langkah  yang
positif  demi  kesihatan,  keadilan  dan keamanan masyarakat
Malaysia dan antarabangsa.  Kerajaan sering bersuara lantang
terhadap penyalahgunaan dadah, sama ada  di  forum  nasional
mahupun   antarabangsa.      Hukuman  terhadap  mereka  yang
berurusniaga dan  menyalahgunakan  dadah  juga  amat  keras.
Sungguhpun    ada    beberapa   penentangan   di   peringkat
antarabangsa, ini tidak melemahkan Kerajaan kerana keyakinan
bahawa  penerusan   perjuangan   sesebuah   masyarakat   dan
peradaban  dunia  hanya  boleh  disandarkan  kepada  anggota
masyarakat yang sihat dan bertanggungjawab.
11.  Kerajaan  juga  sering  menyuarakan  betapa  pentingnya
perlucutan  semua  senjata,  terutamanya  perlucutan senjata
nuklear   dalam   forum-forum   peringkat    Komanwel    dan
negara-negara  berkecuali.    Bukanlah  impian  para penyair
sahaja untuk melihat sebuah dunia yang aman tenteram di mana
para penduduk dunia mempunyai  rumah,  makanan  dan  pakaian
yang mencukupi serta pendidikan yang tinggi.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
12.  Baru-baru  ini, Malaysia telah berjaya menduduki kerusi
Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu.    Kesempatan  ini
akan    digunakan   sebaik-baiknya   oleh   Malaysia   untuk
menyedarkan pemimpin  negara-negara  besar,  puak-puak  yang
bertelingkah  dan  masyarakat  dunia  amnya tentang perlunya
keamanan dunia ini dipelihara.    Dalam hubungan  ini,  saya
ingin  mengutip  serangkap  puisi  oleh  Sdr.  Usman  Awang,
penyair Malaysia yang terkenal:
          Anakku dan anak-anak semua
          jangan dilukai hati mereka dengan senjata
          biar di wajah dan hatinya cinta berbunga
          dunia yang damai, hidup yang sejahtera.
13.  Oleh yang demikian, sama ada anda  datang  dari  Moscow
atau  Ibadan, dari Tokyo atau Kuala Lumpur, dari Sydney atau
Belgrade, marilah kita bersama-sama memperjuangkan cita-cita
kemanusiaan  yang  tinggi  dan   murni   demi   kelangsungan
peradaban dunia dan keselamatan penduduk dunia seluruhnya.
14.  Saya  gembira  bahawa  pada  malam  ini  saya berada di
tengah-tengah penyair dunia  yang  ternama,  yang  mempunyai
cita-cita  kemanusiaan  yang  unggul.    Sementara  Malaysia
berjuang  melalui  saluran  rasmi  dan  forum  Bangsa-bangsa
Bersatu,  saya  menyeru  para  penyair  sekalian  meneruskan
perjuangan   murni    masing-masing    melalui    penulisan.
Mudah-mudahan  abad  ini dan abad-abad yang akan datang akan
menyaksikan hasil yang manis daripada percantuman perjuangan
kita.
15.  Dengan   kata-kata   ini,   saya   dengan   sukacitanya
merasmikan "Kuala Lumpur Poetry Reading '88" ini.

 
 



 
Google