Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KOMTAR, PULAU PINANG
Tarikh/Date : 26/11/88
Tajuk/Title : PERSIDANGAN PERWAKILAN
PARTI GERAKAN
Yang Berhormat Dato' Dr. Lim Keng Yaik,
Presiden Parti GERAKAN;
Ahli-Ahli Jawatankuasa Pusat Parti GERAKAN;
Wakil-wakil Parti Komponen Barisan Nasional;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat
Dato' Dr. Lim Keng Yaik dan Jawatankuasa Pusat Parti GERAKAN
kerana menjemput saya untuk merasmikan Persidangan
Perwakilan Parti GERAKAN ini. Saya berharap Persidangan
Perwakilan ini akan berjalan lancar dan akan dapat mencari
langkah-langkah bagi menguatkan lagi parti ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2. Barisan Nasional telah wujud hampir satu setengah
dekad. Kita bolehlah menganggap Barisan Nasional sebagai
satu saluran yang baik untuk membangunkan negara ini.
Dengan wujudnya Barisan Nasional yang diwakili oleh
parti-parti untuk semua kaum di negara ini, kita dapat
menumpukan lebih banyak masa kepada usaha-usaha pembangunan
dan sebaliknya mengurangkan pembaziran masa dan usaha akibat
daripada perselisihan faham. Melalui Barisan Nasional dan
Perikatan sebelumnya, kita telah dapat menjalankan
usaha-usaha untuk mengurangkan kemiskinan di kalangan semua
kaum, untuk menyusun semula masyarakat dan menjadikan
ekonomi kita lebih mantap dan kukuh dari semasa ke semasa.
Bahkan kita dapat menumpukan masa untuk membekalkan
kemudahan-kemudahan asas kepada seberapa ramai penduduk
negara ini, baik di bandar atau di luar bandar. Dalam erti
kata yang lain Barisan Nasional berjaya mengurangkan
perselisihan dan pergeseran sesama kita yang terdiri
daripada berbagai kaum, dan sebaliknya dapat meningkatkan
perhatian kepada usaha-usaha untuk kesejahteraan rakyat dan
negara.
3. Walau bagaimanapun, banyak lagi yang patut kita
usahakan dalam konteks memperkukuhkan Barisan Nasional untuk
tahun-tahun yang akan datang. Seperti yang saya katakan
tadi, kita telah dapat mengurangkan perselisihan faham dan
pergeseran dengan adanya Barisan Nasional demi untuk
membangunkan negara kita. Namun demikian masih terdapat
segelintir ahli-ahli dalam parti-parti komponen yang tidak
mengamalkan semangat Barisan Nasional. Mereka melatah dan
terikut-ikut dengan gelagat parti-parti pembangkang. Reaksi
ini memang menjadi tujuan parti pembangkang. Segelintir
pemimpin Barisan Nasional mungkin memikirkan mereka
hendaklah juga sekali-sekala bertindak seperti
pemimpin-pemimpin parti pembangkang untuk mendapat sokongan
daripada kaum yang mereka wakili. Walaupun benar yang kita
hendaklah sentiasa menjaga kepentingan kaum yang kita
wakili, para pemimpin Barisan Nasional haruslah dapat
mengimbangkan apakah kepentingan yang patut kita mengambil
berat dan apakah kepentingan yang harus kita imbangkan
dengan kepentingan negara dan rakyat keseluruhannya. Para
pemimpin juga harus memikirkan saluran-saluran yang lebih
baik dan wajar untuk membangkitkan apa-apa kemusykilan.
4. Dalam konteks ini, kita perlulah menyampaikan
penerangan kepada ahli-ahli parti tentang semangat Barisan
Nasional sendiri dan usaha-usaha yang dilakukan oleh
Kerajaan Barisan Nasional untuk memastikan yang
kesejahteraan rakyat dan negara sentiasa terjamin.
Janganlah kita hanya menunjuk kepada kegagalan kaum kita
mendapatkan sesuatu, tanpa mengakui dan menunjuk kepada
kejayaan yang telah kita capai bagi kepentingan kaum kita.
Sebenarnya parti-parti yang mewakili kaum-kaum telah berjaya
mendapat kebanyakan daripada apa yang dituntut oleh mereka.
Tetapi oleh kerana mereka tidak menunjukkan kejayaan ini,
mereka bukan sahaja menyebabkan kaum yang mereka wakili
tidak puas hati dengan Kerajaan, tetapi juga kaum mereka
tidak puas hati dengan peranan yang dimainkan oleh parti
mereka. Dengan itu sokongan kepada parti mereka merosot.
Ini adalah tidak sihat bagi Barisan Nasional dan juga bagi
negara.
5. Seperkara lagi yang ingin saya sentuh di sini ialah
kesanggupan kita sebagai pemimpin-pemimpin Barisan Nasional
untuk memimpin dan bukan dipimpin oleh ahli-ahli parti.
Pemimpin-pemimpin parti mestilah berani memberi
penerangan-penerangan yang tepat untuk mengelakkan sebarang
salah faham sesama kita. Kalau kita terikut-ikut dengan
sentimen yang dibakar di kalangan rakyat dan kita hanya
menjadikan sentimen itu untuk mendapat sokongan, kita
sebenarnya bukan pemimpin tetapi pengikut. Jika semua
pemimpin mengikut sentimen rakyat yang berlainan kaum yang
terdapat di Malaysia, lambat laun rusuhan kaum akan berlaku.
Tuan-tuan dan puan-puan,
6. Memang menjadi lumrah alam untuk kita seronok mendengar
orang lain dikritik. Begitu jugalah kalau Kerajaan dikritik
oleh parti-parti pembangkang. Bukan sahaja
penyokong-penyokong mereka merasa seronok, bahkan
pemerhati-pemerhati lain seronok bersama. Tetapi kita tahu
sebenarnya kemampuan parti pembangkang mentadbir dan
membetulkan perkara-perkara yang mereka kritik amatlah
terhad. Sebenarnya mereka tidak mampu menguruskan parti
mereka yang sering dilanda oleh sengketa antara pemimpin dan
rebutan jawatan. Kritikan mereka adalah strategi politik
mereka untuk menghala pandangan kepada orang lain.
7. Sejarah politik negara telah membuktikan bahawa apabila
dua-tiga buah parti pembangkang diberi tanggungjawab
memerintah di peringkat negeri, parti-parti itu gagal
mengatasi isu-isu yang diperjuangkan oleh mereka. Sementara
mereka berkata Kerajaan tidak demokratik dan suka menindas,
pemimpin-pemimpin pembangkang tidak sanggup dikritik oleh
rakan-rakan mereka sendiri. Jika ada sahaja kritikan,
pengkritik disingkirkan terus daripada parti.
8. Mengenai Parti GERAKAN, saya berbangga dengan perpaduan
dalam parti ini walaupun terdapat sedikit-sebanyak dugaan
yang dialaminya. Para pemimpin parti ini haruslah sentiasa
mencari jalan untuk meningkatkan kekukuhan dan keutuhan
Parti GERAKAN. Pada keseluruhannya, parti-parti komponen
Barisan Nasional telah dapat mengukuhkan lagi kedudukan
masing-masing tahun ini sekiranya dibandingkan dengan
setahun-dua yang lalu. Ini termasuklah UMNO dan MCA yang
telah mengalami dugaan daripada segi perpaduan parti. Kita
harus berbangga yang perpaduan parti-parti komponen dapat
kita tingkatkan dewasa ini. Kekuatan setiap parti komponen
sudah tentu akan dapat meningkatkan lagi kekukuhan Barisan
Nasional sendiri. Dengan itu keutuhan Parti GERAKAN akan
mengembirakan juga parti-parti komponen Barisan Nasional
yang lain.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9. Setiap kali kita bertemu, saya memperkatakan hal
ekonomi kerana ekonomi menjadi salah satu asas penting untuk
kesejahteraan rakyat dan negara. Kita harus berbangga
dengan prestasi ekonomi negara tahun ini. Kita dapat
bernafas dengan selesa dengan meningkatnya harga-harga
komoditi dan dengan meningkatnya eksport bagi keluaran
sektor perkilangan kita. Tahun depan, ekonomi negara
dijangka berkembang dengan kadar yang baik juga iaitu
pertumbuhan 6.4% bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar atau Gross
Domestic Product. Dengan adanya kerjasama daripada semua
pihak -- sektor awam, pihak swasta dan parti-parti politik
dalam Barisan Nasional -- kita mungkin dapat mencapai
pertumbuhan yang lebih baik lagi pada tahun depan.
10. Kerajaan juga sedang berusaha untuk menjadikan
pelancongan sebagai satu sumber perkembangan ekonomi negara.
Usaha-usaha kita setakat ini bolehlah dikatakan berjaya.
Bukan sahaja kadar sewa hotel telah menurun sedikit, bahkan
kemudahan-kemudahan pelancongan telah dapat dipelbagaikan.
Daripada segi ketibaan melalui udara, kita telah mula dapat
menarik lebih ramai pelancong, walaupun dua-tiga buah negara
jiran juga sangat agresif dalam industri ini.
11. Kita juga dapat memberi galakan kepada industri
pelancongan dengan meningkatkan pelancongan dalam negeri.
Di samping itu kita akan mengadakan Tahun Melawat Malaysia
pada tahun 1990. Kerajaan berharap setiap pihak yang
terlibat dengan pelancongan akan bekerjasama dengan Kerajaan
dalam pembentukan strategi menarik para pelancong supaya
industri ini dapat menyumbangkan tukaran asing yang tinggi.
Dengan adanya usaha-usaha bersama ini kita berharap ekonomi
negara akan berkembang dengan pesatnya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12. Saya berharap Persidangan ini akan dapat memperkukuhkan
lagi Parti GERAKAN. Dengan kekukuhan itu Parti GERAKAN akan
dapat memainkan peranan yang lebih bermakna lagi dalam
membangunkan masyarakat dan negara.
13. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada
Jawatankuasa Pusat Parti GERAKAN kerana menjemput saya ke
Persidangan Perwakilan ini. Saya berharap Parti GERAKAN
akan terus mencapai kejayaan pada tahun-tahun yang akan
datang. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya
merasmikan Persidangan Perwakilan Parti GERAKAN ini.
|