Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : UNIVERSITI SAINS MALAYSIA,
PULAU PINANG
Tarikh/Date : 03/12/88
Tajuk/Title : PERASMIAN PERSIDANGAN PERWAKILAN
DWITAHUNAN KESATUAN GURU-GURU
MELAYU MALAYSIA BARAT (KGMMB) DAN
MESYUARAT AGUNG TAHUNAN KOPERASI
KGMMB BHD. 1988
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berbahagia Tuan Haji Nordin Hj Mahmud,
Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu
Malaysia Barat;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
Kita bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana kita dapat
bersama-sama di majlis Perasmian Persidangan Perwakilan
Dwitahunan Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat dan
Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi KGMMB Bhd. 1988 ini. Saya
mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Kesatuan ini
kerana menjemput saya untuk merasmikan Persidangan dan
Mesyuarat Agung hari ini.
2. Saya berharap Kesatuan dan Koperasi ini akan bertambah
kukuh dari tahun ke tahun untuk menjaga kepentingan
ahli-ahlinya serta juga memberi sumbangan kepada kebajikan
masyarakat sekeliling. Adalah diharapkan juga Kesatuan ini
akan dapat memainkan peranannya untuk membantu masyarakat
pelajar dan masyarakat umum di negara ini.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
3. Saya mengucapkan tahniah kepada para guru di tanahair
baik di Semenanjung Malaysia ataupun di Sabah dan Sarawak
kerana telah memberi sumbangan berterusan kepada negara.
Para guru telah memberi khidmat masing-masing yang sangat
bermakna semenjak sebelum negara kita mencapai kemerdekaan.
4. Kemerdekaan tanahair telah diperjuangkan oleh semua
lapisan rakyat tetapi salah satu kumpulan yang telah
memainkan peranan yang gigih dan istimewa serta berkesan ke
arah ini ialah para guru Melayu. Ramai daripada mereka yang
memperjuangkan kemerdekaan, sama ada melalui penyertaan
dalam bidang politik secara langsung ataupun melalui
penulisan. Guru juga merupakan salah satu kumpulan yang
paling aktif memupuk dan memberi semangat cintakan tanahair.
Semangat inilah yang menjayakan perjuangan melawan Malayan
Union dan kemudian kemerdekaan.
5. Sumbangan para guru Melayu tidak berakhir hanya untuk
mencapai kemerdekaan. Selepas kemerdekaan mereka telah
memberi sumbangan dalam berbagai bentuk terhadap
kesejahteraan keseluruhan rakyat. Sekarang ini kepimpinan
para guru Melayu masih lagi diperlukan terutama di
bandar-bandar kecil dan kawasan-kawasan luar bandar.
Jelaslah harapan masyarakat terhadap guru amatlah tinggi dan
ianya tidak terhad kepada penyampaian ilmu kepada
murid-murid di sekolah-sekolah sahaja. Ibu-bapa di Malaysia
yakin gurulah yang akan menjadi penyambung terhadap proses
pendidikan untuk membentuk peribadi yang mulia bagi
anak-anak mereka. Demikianlah juga negara memberi
kepercayaan ini kepada para guru.
6. Saya ingin menyebut sedikit tentang UMNO dan para guru
Melayu. UMNO ingin menyampaikan penghargaan atas segala
sumbangan oleh semua guru Melayu, sama ada hadir di
Persidangan ini ataupun tidak, atas apa jua sumbangan
terhadap keutuhan dan kekukuhan UMNO selama ini. Tiada
siapa yang dapat mempertikaikan bahawa para guru Melayu di
Semenanjung adalah salah satu kumpulan yang menjadi tiang
utama dalam menentukan turun-naiknya UMNO semenjak dari
sebelum kemerdekaan tanahair lagi. Sungguhpun lain-lain
kumpulan dalam masyarakat Melayu sekarang ini muncul dan
bersaing dengan guru-guru untuk merebut tempat dalam
kepimpinan UMNO, peranan guru masih diperlukan dan masih
penting dalam menentukan kestabilan dan kelicinan perjalanan
UMNO.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
7. Dalam dunia ini terdapat banyak bangsa dan negara. Ada
bangsa yang maju, ada yang mundur. Demikian juga ada negara
yang maju, dan ada yang mundur. Kaitan antara kemajuan
bangsa dan kemajuan negara amatlah rapat.
8. Jika dianalisakan kita akan mendapati banyak
faktor-faktor yang menentukan maju-mundurnya sesuatu bangsa
atau negara. Tetapi akhirnya kita akan mendapati bahawa
nilai hiduplah yang membentuk peribadi sesuatu bangsa yang
akan betul-betul menentukan jaya atau mundurnya sesuatu
bangsa itu.
9. Bangsa yang malas, tidak beramanah, tidak tekun dan
berdedikasi, suka bersengketa, tamak, suka menipu, mungkir
janji dan lain-lain lagi nilai yang tidak baik, tidak
mungkin berjaya seperti bangsa yang rajin, beramanah, tekun
dan berdedikasi, jarang bersengketa, murah hati,
bertanggungjawab dan tidak mungkir janji. Adalah mustahil
sesuatu bangsa mempunyai dan mengamalkan semua nilai-nilai
yang mulia. Namun ini tidak bermakna kita tidak harus cuba
memupuk nilai-nilai ini demi keperluan kemajuan bangsa dan
negara.
10. Masa yang berkesan sekali untuk menyemai nilai-nilai
hidup ialah semasa kita kecil. Selain daripada ibu-bapa,
guru-gurulah yang berpeluang untuk memupuk nilai-nilai ini.
Oleh itu di sekolah-sekolah, murid-murid bukan sahaja perlu
diajar segala ilmu pengetahuan, tetapi juga dipupuk dengan
nilai-nilai murni melalui tunjuk-ajar dan teladan oleh
guru-guru.
11. Kita sudahpun mempunyai mata pelajaran sivik di sekolah
tetapi mata pelajaran ini tidaklah dianggap begitu penting.
Ini adalah satu kesilapan. Tekanan yang serius hendaklah
diberi kepada matapelajaran ini. Tetapi selain daripada
mempelajari sivik secara formal, didikan secara informal
hendaklah dibuat sepanjang masa di dalam dan di luar bilik
darjah. Di sinilah kita perlukan pimpinan melalui teladan.
Guru-guru hendaklah menunjukkan teladan yang boleh dicontohi
oleh murid-murid sepanjang masa. Seperti kata pepatah
Melayu "Guru kencing berdiri, murid kencing berlari".
Demikianlah dengan teladan yang tidak baik. Demikian juga
sebaliknya dengan teladan yang baik. Guru-guru yang semuanya
cinta kepada bangsa dan negara tentulah tidak akan
mengabaikan tanggungjawab mereka yang begitu penting ini.
12. Satu perkara yang utama yang menjadi masalah di sekolah
ialah disiplin. Disiplin bukanlah perkara semulajadi di
kalangan anak-anak muda. Ia lebih merupakan tabiat yang
diserap daripada contoh dan teladan di sekeliling mereka.
Jika ada beberapa orang murid yang tidak berdisiplin dalam
sebuah darjah, lambat laun murid-murid lain akan menjadi
kurang disiplin juga. Ia mungkin merebak ke seluruh
sekolah.
13. Tidak ada satu cara yang tetap berkesan dalam
pembentukan disiplin. Tetapi jika pada awal-awal lagi
disiplin dikenakan bagi semua murid dalam darjah, masalah
tidak berdisiplin mungkin dapat dikurangkan. Dengan itu
semua yang dilakukan dalam darjah dan di luar darjah
hendaklah tertib dan mengikut peraturan.
14. Perkara kedua yang patut diberi perhatian istimewa
ialah amalan berjimat cermat. Negara yang penduduknya tidak
tahu berjimat cermat akan menghadapi masalah sepanjang masa.
Sebenarnya tidak ada sesiapa yang mempunyai pendapatan yang
cukup jika ianya berbelanja lebih daripada kemampuannya.
Seseorang yang menyimpan, walaupun sedikit daripada apa yang
diperolehinya, adalah kaya. Seseorang jutawan yang
berbelanja lebih, walaupun hanya seringgit, adalah miskin.
15. Hakikat ini mestilah diterangkan kepada murid-murid
supaya mereka akan berjimat cermat dalam menguruskan wang
mereka. Jika para pelajar yang lulus dari sekolah-sekolah
tahu mengurus wang mereka dengan tertib, mereka tetap
menjadi orang kaya dan masyarakat serta negara akan dapat
menumpang kekayaan mereka. Sebaliknya, jika mereka adalah
warganegara yang boros, mereka akan menjadi beban kepada
semua dan akan memburukkan ekonomi negara.
16. Saya menyebutkan dua perkara ini sebagai penting dalam
pembentukan peribadi yang baik di kalangan bakal warganegara
dewasa, bukan kerana kedua-dua ini sahaja yang diperlukan
untuk menjamin kebahagiaan mereka dan negara, tetapi kerana
kedua-dua ini adalah perkara yang amat diperlukan dalam
negara kita yang sedang membangun ini. Sekali lagi ingin
saya tegaskan bahawa guru-guru mempunyai peluang yang baik
bagi mewujudkan warganegara yang mulia dan berjaya ini.
17. Saya ingin menyentuh sedikit tentang tabiat membaca di
kalangan pelajar-pelajar dan murid-murid di luar bandar.
Saya sedar bahawa perkembangan tabiat membaca ini telah
tumbuh dengan begitu menggalakkan di bandar-bandar, terutama
dengan adanya buku-buku yang berharga sederhana di pasaran
tempatan. Oleh kerana kebanyakan guru-guru Melayu mengajar
atau bermastautin di bandar-bandar kecil atau di luar
bandar, saya berharap guru-guru Melayu dapat memainkan
peranan masing-masing bagi menggalakkan tabiat membaca di
kalangan murid-murid di luar bandar. Adalah difikirkan
murid-murid sekolah rendah di luar bandar merupakan golongan
yang kurang sekali mendapat kemudahan membaca oleh kerana
sekolah-sekolah rendah di luar bandar jarang mempunyai
perpustakaan atau perpustakaan yang lengkap.
18. Saya yakin para guru bersama-sama dengan Persatuan
Ibu-bapa dan Guru atau PIBG, tentu akan dapat mencari idea
yang difikirkan sesuai untuk menubuhkan perpustakaan-
perpustakaan di semua sekolah rendah di luar bandar di
negara kita. Saya sedar terdapat beberapa buah sekolah
rendah di luar bandar yang sudahpun mempunyai
perpustakaannya sendiri. Walau bagaimanapun banyak lagi
yang belum mempunyai perpustakaan. Usaha penubuhan dengan
anjuran para guru dan ibu-bapa akan dapat mewujudkan sikap
dan semangat berdikari di kalangan para pelajar, murid-murid
dan ibu-bapa. Di samping itu, sekarang ini calon-calon bagi
jawatan guru akan ditanyakan tentang pembacaan buku. Ini
menunjukkan penekanan yang diberikan oleh Kerajaan tentang
pembacaan buku ini. Kita berharap dengan adanya galakan
daripada Kerajaan, para pelajar dan lain-lain anggota
masyarakat akan mengambil berat tentang tabiat membaca ini.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
19. Saya mengambil kesempatan ini untuk menyentuh tentang
bahasa kedua bagi anak-anak kita. Sistem pelajaran kita
memperuntukan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Di
samping itu, bahasa-bahasa lain seperti Bahasa Arab,
Mandarin, Jepun dan Perancis diajar juga di sekolah-sekolah
tertentu dan di institusi-institusi pelajaran tinggi.
20. Penguasaan dua bahasa adalah satu keperluan penting di
zaman moden ini. Orang yang terpelajar mestilah fasih dalam
sekurang-kurangnya dua bahasa. Terjemahan tidak dapat
dibuat jika tidak ada yang fasih dalam dua bahasa. Dengan
itu kita tidak akan dapat mempelajari ilmu yang diterokai
dalam bahasa lain. Demikian juga perhubungan dengan negara
asing. Amatlah sukar mengadakan perhubungan jika kita tidak
memahami bahasa-bahasa yang mereka gunakan sehingga
jurubahasa mereka terpaksa menterjemah ke bahasa kita. Sama
ada alih bahasa itu tepat atau tidak, kita tidak mungkin
tahu. Perjanjian atau treaty tidak dapat dibuat kerana
mereka tidak mungkin memahami bahasa kita dan kita pula
tidak memahami bahasa mereka. Hari ini kita masih mempunyai
beberapa orang yang fasih dalam bahasa asing dan masalah ini
belum ketara. Tetapi tanda-tanda yang ini akan berlaku
sudah pun ada.
21. Di samping kita perlu menguasai bahasa asing dengan
fasih, bahasa kita tidak boleh diabaikan. Orang yang fasih
dalam bahasa asing, tetapi tidak dalam bahasa kebangsaan,
tidak akan dapat menolong pertumbuhan bahasa kita, terutama
untuk memperkayakannya dengan perkataan-perkataan yang
dipinjam oleh kerana perkataan-perkataan dalam bahasa asing
itu mempunyai makna yang tidak terdapat dalam bahasa kita.
22. Kita telah memilih Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua
bukan kerana sentimen atau pengaruh penjajah. Hakikat yang
tidak dapat kita tolak ialah Bahasa Inggeris adalah bahasa
yang difaham dan digunakan dengan luas sekali di dunia. Ia
menjadi bahasa kebangsaan bukan sahaja di negara orang-orang
yang berketurunan Inggeris, tetapi juga di beberapa buah
negara yang banyak bahasa tempatan sehingga tidak boleh
menentukan yang mana boleh dijadikan bahasa kebangsaan.
Bahasa Inggeris juga menjadi de facto bahasa kedua bagi
banyak negara di dunia. Dengan ini penguasaan Bahasa
Inggeris memudahkan perhubungan kita dengan kebanyakan
negara. Maka wajarlah kita mempelajari Bahasa Inggeris
sebagai bahasa kedua. Bahasa-bahasa lain boleh dipelajari
sebagai bahasa ketiga, keempat dan seterusnya.
Bahasa-bahasa asing yang kita pelajari adalah sebahagian
daripada usaha kita menambah ilmu. Sepertimana penguasaan
ilmu-ilmu lain tidak bermakna kita kurang sayang bahasa kita
sendiri, demikian juga penguasaan bahasa asing tidak
mengurangkan cinta kita terhadap bahasa sendiri.
23. Sekarang ini penguasaan Bahasa Kebangsaan di kalangan
anak muda berbagai kaum di negara kita adalah tinggi dan
kita boleh berbangga dengannya. Bahasa Kebangsaan sudah
menjadi lingua franca yang berkesan. Apa yang kita harapkan
ialah penggunaan kedua-dua bahasa, iaitu Bahasa Kebangsaan
dan bahasa kedua, meningkat bersama-sama dan bukannya
peningkatan penguasaan dalam sesuatu bahasa akan membawa
kepada penurunan penguasaan bahasa yang satu lagi.
24. Saya ingin mengingatkan bahawa menguasai bahasa kedua,
ketiga dan seterusnya tidak akan mengurangkan semangat
kebangsaan kita, semangat memperjuangkan kedaulatan Bahasa
Kebangsaan, semangat menguasai satu bahasa sebagai tali
perhubungan untuk semua kaum. Kita tidak akan melupakan
semangat dan tanggungjawab kita ini. Kita daripada semua
kaum telah bersama-sama berjuang mendaulatkan Bahasa
Kebangsaan dan kejayaannya tidak boleh kita nafikan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
25. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada
Jawatankuasa Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat kerana
menjemput saya melakukan upacara perasmian Persidangan
Perwakilan Dwitahunan Kesatuan dan Mesyuarat Agung Tahunan
Koperasi KGMMB Bhd ini.
26. Dengan lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim, saya dengan
sukacitanya merasmikan Persidangan Perwakilan Dwitahunan
Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat dan Mesyuarat Agung
Tahunan Koperasi KGMMB Bhd ini.
Wabillahi taufik walhidayah wassamu'alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|