Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL MERLIN, SUBANG, PETALING JAYA
Tarikh/Date : 18/12/88
Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM PERSATUAN
PERKHIDMATAN TADBIR DAN
DIPLOMATIK (PPTD)
Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam
sejahtera.
Yang Berbahagia Dato' Haji Hassan Ibrahim,
Presiden
Persatuan Pegawai Tadbir dan Diplomatik;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
Alhamdulillah bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana
dengan keizinanNya kita dapat bersama-sama di majlis tahunan
ini sekali lagi. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada
ahli Jawatankuasa PPTD kerana sudi menjemput saya dan isteri
ke jamuan ini.
2. Pada malam ini, di samping kita menikmati jamuan yang
akan dihidangkan, kita perlu bersyukur bahawa kemelesetan
ekonomi yang telah melanda negara kita telah dapat kita
atasi. Kejayaan kita disebabkan kesanggupan rakyat menerima
penjimatan belanja pembangunan dan juga kakitangan Kerajaan
yang telah mengorbankan kenaikan gaji serta membelakangkan
kepentingan diri demi mengelakkan daripada hutang negara
yang banyak. Tanpa pengorbanan ini kita akan menjadi
seperti negara-negara lain yang masih tidak dapat memulihkan
keadaan negara. Saya mengucapkan terima kasih kepada semua
kakitangan Kerajaan terutama Pegawai-Pegawai Tadbir dan
Diplomatik.
3. Tindakan yang positif ini serta keadaan pasaran
komoditi yang menggalakkan telah membolehkan Kerajaan
menunaikan janjinya untuk menyemak semula gaji kakitangan
Kerajaan. Kerajaan sedar bahawa masih terdapat pihak yang
tidak berpuas hati dengan kenaikan itu. Walaupun demikian,
Kerajaan mestilah meneruskan sikap bertanggungjawab dan
tidak boros. Kenaikan yang diberi adalah berpatutan dan
berasaskan kepada keupayaan Kerajaan dalam keadaan yang
terdapat sekarang. Pentadbiran kewangan negara hendaklah
berteraskan sikap berhati-hati dan tidak boros. Kita tidak
boleh menjamin bahawa kemelesetan tidak akan berlaku lagi.
Kalau gaji dinaikkan dengan tinggi di masa mewah, kita akan
menghadapi masalah di masa meleset. Gaji bukan boleh
dikurangkan dengan mudah. Tindakan kita tidak mengambil
kakitangan yang baru menyebabkan begitu banyak pengangguran
di kalangan para siswazah dan lulusan dari sekolah. Mereka
dipaksa berkorban supaya kita mampu membayar gaji di waktu
kemelesetan.
4. Dalam pada itu, kita harus berwaspada kerana kadar
inflasi yang telah dapat dibendung pada masa kemelesetan
telah mula bangun semula. Inflasi mempunyai kaitan yang
rapat dengan pendapatan rakyat yang meningkat. Kalau kita
tidak cermat dan berwaspada, inflasi akan mensia-siakan
pendapatan lebih yang kita terima. Apa gunanya gaji yang
lebih jika kita tidak dapat meningkatkan kualiti kehidupan
kita. Walaupun gaji kita naik 100%, tetapi apabila harga
barang keperluan kita juga naik 100%, gaji yang lebih tidak
dapat menaikkan taraf hidup kita. Sebaliknya kenaikan gaji
dalam Kerajaan akan berjangkit kepada swasta dan menjadikan
kos barangan kita tinggi dan tidak dapat bersaing dengan
barang yang sama yang dieksport oleh negara lain. Dengan
itu, pendapatan negara akan merosot dan hasil mahsul
Kerajaan juga akan merosot. Hitung panjang ini adalah
penting. Jumlah pendapatan tidak penting. Yang penting
ialah daya pembelian atau purchasing power kita.
Tuan-tuan dan puan-puan,
5. Sebagai pegawai dan kakitangan Kerajaan, tugas
tuan-tuan dan puan-puan ialah melaksanakan dasar dan
rancangan yang dibuat oleh Kerajaan pilihan rakyat. Sebagai
rakyat pula tuan-tuan dan puan-puan berhak mengambil
bahagian dalam pemilihan Kerajaan.
6. Mengikut amalan biasa penglibatan tuan-tuan dan
puan-puan secara mendalam dalam parti-parti politik atau
partisan politics tidak digalakkan. Tetapi oleh kerana
pergolakan politik di negara sekarang ini, anggota
pentadbiran sebagai sebahagian daripada para intelek tidak
dapat memejam mata atau mengasingkan diri daripada apa yang
sedang berlaku.
7. Maklumat-maklumat telah sengaja disebarkan melalui
risalah atau khabar-khabar angin kepada anggota pentadbiran
dengan tujuan untuk mengalih kesetiaan anggota pentadbiran
daripada Kerajaan yang dilantik oleh rakyat. Harapan pihak
tertentu ialah untuk menjejas kekesanan Kerajaan.
8. Sebaliknya pihak Kerajaan tidak dapat menerang dan
menjelaskan kedudukan yang sebenar tohmahan-tohmahan dan
fitnah yang dilempar, kerana ini bertentangan dengan dasar
tidak melibatkan anggota pentadbiran dalam politik parti.
9. Ada tanda-tanda bahawa pihak tertentu yang saya
maksudkan itu sudah berjaya sehingga dalam satu pilihanraya
ada anggota pentadbiran dan kakitangan Kerajaan yang secara
terbuka mengambil bahagian sebagai penyokong aktif penentang
Kerajaan. Mereka menggunakan kenderaan dan kemudahan
Kerajaan untuk kegiatan ini. Ada juga di sebuah negeri di
mana pegawai dan kakitangan Kerajaan tidak mahu mengikut
arahan Kerajaan. Ada orang yang dilantik oleh Kerajaan
untuk menjalankan tugas yang terhad berani mencabar dan
menghalang keputusan Kerajaan secara terbuka.
10. Penglibatan anggota pentadbiran dalam kegiatan
menentang Kerajaan amat tidak sihat. Ia akan menyebabkan
pemerintahan negara menjadi kucar-kacir dan mungkin membawa
kepada keadaan anarki. Keadaan di mana siapa yang
memerintah dan siapa yang berkuasa tidak dapat ditentukan,
akan menyebabkan huru-hara berlaku dan tindakan-tindakan
yang keras mungkin terpaksa diambil oleh pihak yang
berkuasa. Dengan itu juga demokrasi akan hapus.
11. Kita telah melihat perkara ini berlaku di beberapa buah
negara dan kesannya terhadap rakyat amatlah buruk. Kerajaan
bertanggungjawab untuk membela sistem dan amalan yang sudah
memberi banyak faedah kepada kita semua. Oleh itu eloklah
kita semua balik kepada sistem dan amalan ini demi kebaikan
kita semua dan juga negara kita.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12. Semenjak merdeka, berbagai-bagai program telah kita
rancang dan laksanakan. Setiap perancangan dan pelaksanaan
daripada Rancangan Malaya Yang Pertama sehinggalah kepada
Rancangan Malaysia Yang Kelima telah menghasilkan perubahan
kepada masyarakat. Namun demikian terdapat perasaan tidak
puas hati di kalangan setengah-setengah pihak. Hasil
daripada ketidakpuasan pada tahap pencapaian di bawah
Rancangan Malaysia Pertama, kita telah membentuk falsafah,
strategi dan matlamat rancangan Malaysia yang selepasnya.
Rancangan ini bertujuan membangunkan Malaysia secara lebih
adil dan menolong mengelakkan kejadian seperti rusuhan kaum
pada tahun 1969. Inilah yang dinamakan Dasar Ekonomi Baru.
13. Kerajaan telah menerima banyak kritikan apabila Dasar
tersebut dimaklumkan. Kebanyakan daripada kritikan ini
adalah disebabkan kurangnya fahaman akan matlamat DEB dan
tumpuan hanya kepada aspek pemilikan saham dalam syarikat
besar dan kontrak besar sahaja. Sebenarnya DEB bertujuan
mencari imbangan antara kaum di semua peringkat. Perluasan
peluang pelajaran, pekerjaan, perniagaan, pembekalan
kemudahan-kemudahan bagi yang miskin, subsidi, pinjaman
murah, rumah kos rendah dan lain-lain lagi adalah dengan
tujuan mengurangkan kemiskinan dikalangan semua kaum dan
mengimbangkan kedudukan kaum. Jika bumiputera mendapat
perhatian yang lebih, sebabnya ialah kerana lebih ramai
bumiputera yang miskin dan ketinggalan. Jika ada beberapa
orang bumiputera yang menjadi kaya kerana peluang dari DEB,
sebabnya ialah kita tidak mahu melihat yang kaya cuma bukan
bumiputera sahaja. Ini akan menyebabkan perasaan irihati
antara kaum dan ini sudah tentu tidak sihat.
14. Ada pihak yang berjaya menimbulkan irihati dan
kebencian bumiputera sendiri terhadap bumiputera yang
berjaya sehingga mereka turut mengecam DEB sebagai
menguntungkan hanya segelintir bumiputera sahaja. Yang
sedihnya ialah bumiputera yang mengecam DEB ini adalah
antara bumiputera yang mendapat nikmat dari DEB, walaupun
tidak dalam bentuk kekayaan yang berlebihan. Mereka ini
mendapat peluang belajar sehingga berjaya mendapat
jawatan-jawatan yang tertinggi dengan gaji yang baik kerana
DEB. Tetapi mereka lupa dan bersama-sama dengan pihak lain
mengecam DEB sebagai tidak adil dan hanya menguntungkan
beberapa orang bumiputera sahaja.
15. Sekarang mereka dan pihak lain dan juga orang-orang
yang menyokong DEB akan berpeluang membentuk Dasar Ekonomi
Negara yang akan menyusuli DEB selepas 1990. Kerajaan telah
bersetuju membentuk sebuah majlis perundingan untuk menolong
membentuk dasar ekonomi selepas tahun 1990, dan ianya
dikenali sebagai Majlis Perundingan Ekonomi Negara Selepas
1990.
16. Supaya tidak ada tuduhan Kerajaan berat sebelah, Majlis
ini akan dianggotai 50% oleh bumiputera dan 50% oleh bukan
bumiputera. Kedua-dua pihak ini akan diwakili oleh
tokoh-tokoh daripada parti-parti politik dalam Kerajaan dan
parti-parti pembangkang. Kumpulan-kumpulan pendesak bebas
yang selalu tidak pernah berpuas hati dengan DEB juga akan
diberi peluang menyertai Majlis ini.
17. Kerajaan akan membantu dengan menyediakan sebuah
urusetia dan maklumat-maklumat yang diperlukan. Susunan
kerja, termasuk perlantikan seorang pengerusi dan lain-lain
bolehlah ditentukan oleh Majlis sendiri.
18. Majlis hendaklah mengkaji pencapaian DEB dan
kegagalannya dan membentuk dasar dan program yang
dipersetujui oleh Majlis sebagai dasar yang mereka mahu bagi
ekonomi negara selepas 1990. Sama ada Majlis akan berpegang
kepada keputusan majoriti atau sebulat suara, bolehlah
ditentukan oleh Majlis sendiri.
19. Kerajaan berjanji akan melaksanakan dasar yang
dipersetujui oleh Majlis Perundingan tersebut sebagai asas
Dasar Ekonomi Negara selepas tahun 1990.
Tuan-tuan dan puan-puan,
20. Pembangunan negara tidak bergantung kepada sesuatu
perkara atau pihak sahaja. Semua pihak adalah terlibat
dengan masing-masing memainkan peranan mereka dan
menjalankan tanggungjawab mereka dengan cekap dan berkesan.
Jika hanya pentadbir sahaja cekap dan cergas, tetapi pihak
swasta umpamanya tidak cekap dan berkesan, kemajuan tidak
mungkin dicapai. Demikian juga jika pentadbir dan swasta
cekap dan cergas, tetapi pekerja tidak bekerja dengan baik,
maka kemajuan juga tidak boleh dicapai. Jelaslah bahawa
untuk kemajuan, semua pihak hendaklah memainkan peranan
masing-masing dengan cekap, dan dalam masa yang sama, semua
kegiatan oleh semua pihak diselaraskan.
21. Namun demikian kita tidak harus menunggu sehingga pihak
lain sempurna sebelum kita berusaha. Kita perlu berusaha
awal-awal lagi kerana ini akan memberi teladan yang baik
kepada pihak lain.
22. Sebenarnya anggota pentadbiran adalah pace-setter dan
teladan kepada pihak-pihak lain. Walaupun kita boleh
berbangga dengan jentera pentadbiran negara kita, walaupun
tahap pengetahuan dan latihan anggota pentadbiran meningkat
dengan pesatnya semenjak kita merdeka, tetapi kemajuan dunia
dan cabaran masa depan Malaysia berkehendakkan kita
memperkukuh dan meningkatkan lagi kecekapan dan dedikasi
pentadbiran negara kita. Dengan ini pentadbiran negara
dapat mengekalkan dirinya sebagai contoh dan teladan kepada
pihak-pihak lain. Dengan ini juga maka negara Malaysia
dapat mara ke hadapan ke arah masa depan yang lebih
cemerlang dan berdayamaju, mampu mengatasi masalah dan mampu
merebut semua peluang untuk membangunkan negara serta
rakyatnya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
23. Saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan
syabas dan terima kasih kepada seluruh perkhidmatan awam.
Kerjasama dan kefahaman tuan-tuan dan puan-puan dalam
mentadbir dan membangunkan negara semenjak kita merdeka
amatlah dihargai oleh negara dan rakyat amnya.
24. Khususnya kepada anggota PTD yang mengepalai jentera
pentadbiran, negara amat terhutang budi. Kepimpinan yang
ditunjukkan oleh PTD telah berjaya bukan sahaja mengekalkan
prestasi jentera pentadbiran yang kita warisi dari British,
tetapi juga mengemaskinikannya supaya sesuai dengan peranan
yang lebih luas yang terpaksa dimainkan oleh Kerajaan dalam
kehidupan kita semenjak merdeka. Perluasan peranan PTD
tidak menjejaskan prestasinya. Demikian juga keperluan
sistem dan alatan baru dalam melaksanakan tugas dapat
dikuasai dengan baik oleh PTD.
Tuan-tuan dan puan-puan,
25. Saya juga turut mengucapkan terima kasih kepada PPTD
kerana telah mengambil daya usaha mengutip derma Tabung
Bencana Alam melalui majlis Makan Malam Tahunan PPTD. Usaha
murni Persatuan ini patutlah diteruskan.
26. Di samping itu PPTD juga harus mengadakan lebih banyak
acara-acara yang boleh meningkatkan esprit de corps dan
kebanggaan atau pride di kalangan anggota-anggota PTD
tentang perkhidmatan mereka. Juga PPTD harus berusaha
supaya isteri-isteri dan lain-lain anggota keluarga PTD
saling berkenal-kenalan dan membantu pengwujudan esprit
de corps dan khidmat bakti yang akan meningkatkan lagi imej
dan pencapaian perkhidmatan ini.
27. Akhir kata, sekali lagi saya dan isteri mengucapkan
setinggi terima kasih di atas jemputan ini, dan berdoa
semoga kita sentiasa mencapai kejayaan dalam setiap usaha
kita.
Wabillahitaufik walhidayah wassalamu'alaikum warahmatulahi
wabarakatuh.
|