Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : ANGKASAPURI
Tarikh/Date : 31/12/88
Tajuk/Title : PERUTUSAN SEMPENA TAHUN BARU 1989
Assalamu'alaikum dan salam sejahtera.
Bersyukur kita kepada Tuhan kerana dengan limpah
rahmatNya, dapat kita rakyat Malaysia bersama-sama melangkah
ke tahun baru 1989. Bersyukur juga kita kerana sepanjang
tahun 1988 berbagai kejayaan telah kita capai, manakala
cabaran-cabaran yang kita hadapi telah dapat kita atasi.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
2. Tahun 1988 telah memperlihatkan pemulihan dalam hampir
semua bidang -- sosial, ekonomi, politik dan keselamatan.
Memang benar perkara-perkara yang tidak diingini berlaku
tetapi tidaklah sehingga membawa kepada kucar-kacir.
Politik negara beransur stabil dan dengan itu keselamatan
juga lebih terjamin. Ekonomi negara kita telah berkembang
dengan pesatnya. Semua ini telah menolong meningkatkan
ketenangan dan kesejahteraan kehidupan masyarakat.
Ketegangan yang dilihat pada penghujung tahun 1987 tidak
didapati dalam tahun 1988. Rakyat berbagai kaum hidup rukun
damai dan bermesra antara satu sama lain.
3. Masalah dalam parti-parti politik di negara kita kian
reda. Pemulihan Parti UMNO telah meyakinkan bukan sahaja
penduduk-penduduk tempatan tetapi juga pelabur-pelabur asing
mengenai kestabilan negara Malaysia. Memang benar pemulihan
belum tercapai sepenuhnya, tetapi rakyat yang
bertanggungjawab dan cintakan keamanan serta cinta kepada
negara akan menentukan segala masalah dapat diatasi.
4. Kerajaan berbangga juga bahawa politik perkauman tidak
begitu tebal sepanjang tahun 1988 dibandingkan dengan
setahun-dua yang lalu. Memanglah senang bagi sesebuah parti
politik atau seseorang ahli politik membangkitkan sentimen
perkauman. Berbagai isu boleh diungkit untuk tujuan
sedemikian. Bagaimanapun perkara ini tidaklah keterlaluan
sehingga tidak terkawal. Marilah kita semua bersyukur
kerana gejala politik yang merbahaya ini sudah berkurangan.
Setiap golongan rakyat harus sedar mengenai bahaya
berpolitik seperti ini. Kerajaan sanggup bersikap lebih
liberal tetapi jika ada tanda-tanda sikap ini
disalah-ertikan, Kerajaan tidak akan teragak-agak
menjalankan tanggungjawabnya.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
5. Seperti termaklum, tahun 1988 boleh dikenang sebagai
satu tahun kejayaan dalam bidang ekonomi negara. Kadar
pertumbuhan ekonomi adalah lebih baik daripada tahun 1987.
Sekiranya kita berbangga dengan pertumbuhan 1987, kita
haruslah lebih bersyukur dengan pencapaian yang lebih
menggalakkan sepanjang tahun 1988 ini. Kalau dalam tahun
1987 dahulu penduduk-penduduk luar bandar dan mereka yang
melibatkan diri dalam sektor pertanian telah menikmati
kenaikan harga getah, kelapa sawit dan keluaran pertanian
yang lain, mereka terus menikmati harga yang baik itu
sepanjang tahun 1988. Bahkan pada tahun 1988 ini,
pengusaha-pengusaha dalam sektor lain juga telah turut
merasai nikmat daripada pertumbuhan ekonomi yang bertambah
baik.
6. Beberapa projek dan perancangan yang diusahakan oleh
Kerajaan telah menunjukkan kejayaan yang menggalakkan. Pada
keseluruhannya, kita telah dapat menambahkan bilangan
taman-taman dan rancangan-rancangan pengindahan yang lain
sehingga bolehlah dikatakan bahawa bandar-bandar besar,
bandar-bandar kecil, pusat-pusat pelancongan, serta
setengah-setengah kampung mempunyai 'pemandangan' yang
menarik. Kempen-kempen kebersihan telah menunjukkan
kejayaan dan ianya akan diteruskan.
7. Usaha penswastaan telah menghasilkan kecekapan dan
peningkatan mutu dalam perkhidmatan-perkhidmatan Kerajaan
yang telah diswastakan. Usaha ini sedang giat diteruskan.
Projek-projek industri berat seperti kereta nasional telah
mula menunjukkan pulangan yang memberi harapan yang baik.
8. Tahun 1988 menunjukkan bahawa setiap dasar mengambil
masa untuk membuktikan kebaikannya. Rakyat, terutamanya
cerdik-pandai, hendaklah menunjukkan sikap yang lebih
positif terhadap rancangan-rancangan atau dasar-dasar ini.
Kelewatan melaksanakan sesuatu projek kerana gangguan, hanya
akan meningkatkan kos dan merugikan rakyat. Tumpuan
hendaklah diberikan kepada usaha untuk mengatasi masalah,
dan bukan menghalang sesuatu usaha. Kejayaan berbagai
projek dan dasar Kerajaan dalam tahun 1988 adalah bukti
bahawa Kerajaan tidaklah begitu salah seperti yang didakwa
oleh sesetengah pihak.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
9. Kini kita di ambang tahun 1989. Marilah kita bertekad
untuk menghadapi tahun tersebut dengan sikap positif, dengan
penuh keyakinan dan ketabahan supaya kita dapat meningkatkan
lagi kejayaan kita dalam tahun 1989. Malaysia akan menjadi
tuan rumah kepada Sukan SEA dan Mesyuarat Ketua-Ketua Negara
Komanwel pada tahun 1989 ini. Inilah peluang kita untuk
meningkatkan lagi maruah negara kita di mata dunia. Saya
yakin dengan kerjasama semua pihak kita akan dapat menjadi
tuan rumah yang beradab dan beradat di samping berusaha
menjadikan negara kita terkenal kepada sebahagian besar
negara-negara di dunia.
10. Di masa kemelesetan, kita telah menetapkan bahawa
peningkatan produktiviti dan mutu barang-barang yang kita
keluarkan adalah salah satu asas bagi membolehkan kita
melepaskan diri daripada belenggu kemelesetan. Sekarang,
semasa ekonomi negara kian pulih, produktiviti janganlah
pula diabaikan. Kenaikan gaji tanpa kenaikan produktiviti
akan menjadikan kita kurang berupaya untuk bersaing dengan
barang-barang negara-negara lain, sama ada dalam pasaran
tempatan atau antarabangsa. Jika ini berlaku pendapatan
perusahaan akan merosot. Tidak dapat tidak ini akan
menjejaskan pendapatan para pekerja dan menyebabkan
bertambahnya pengangguran. Perolehan negara juga akan
merosot, yang mana ini akan mempunyai kesan buruk terhadap
pembangunan. Oleh itu produktiviti hendaklah ditingkatkan
oleh semua pihak.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
11. Sempena Tahun Baru ini, saya ingin menyeru seluruh
rakyat Malaysia supaya memperbaharui azam dan tekad untuk
meningkatkan lagi kerjasama dan persefahaman di antara satu
sama lain. Walaupun benar kita masih lagi menghadapi
beberapa masalah, tetapi ini tidak seharusnya digunakan
sebagai alasan untuk tidak bekerjasama dan tidak
bersatu-padu. Memang ada golongan-golongan dan pihak-pihak
tertentu yang cenderung menggunakan masalah yang kita hadapi
ini untuk mengeruhkan keadaan. Kita haruslah ingat bahawa
tujuan golongan-golongan ini bukanlah untuk menyelesaikan
masalah tersebut, tetapi sebaliknya untuk memburukkan
keadaan dengan menggunakan masalah ini bagi kepentingan
sempit mereka.
12. Kita juga harus ingat bahawa kita telah berjaya
menghadapi cabaran-cabaran yang lalu hasil daripada
perpaduan, persefahaman dan kerjasama di kalangan masyarakat
majmuk di negara ini. Dengan mengekalkan perpaduan,
persefahaman dan kerjasama di kalangan kita, berbagai
kejayaan baik daripada segi politik, ekonomi, sosial dan
keselamatan akan terus dapat kita capai dan nikmati bersama.
Sungguhpun begitu kita perlu memantapkan lagi ketahanan bagi
menghadapi cabaran-cabaran baru terhadap keselamatan negara.
Cabaran-cabaran tersebut boleh muncul daripada sebab-sebab
atau punca-punca yang sama dalam bentuk atau manifestasi
yang berlainan. Perlembagaan negara menjaminkan kehidupan
masyarakat berasaskan nilai-nilai kesederhanaan, toleransi
dan saling bersefahaman di kalangan rakyat berbilang kaum,
budaya, agama dan bahasa. Oleh itu bagi menentukan negara
kita sentiasa berada dalam keadaan aman dan tenteram, maka
saya mengajak semua pihak agar lebih peka dan waspada kepada
sensitiviti-sensitiviti yang berkaitan. Dengan izin Tuhan
dan berkat usaha kita, kita akan mencapai kemajuan yang akan
menjadikan kehidupan rakyat Malaysia lebih bahagia.
Tuan-tuan dan puan-puan,
13. Izinkan saya mengambil kesempatan ini untuk merayu
kepada mereka yang mudah terpengaruh dengan keinginan untuk
menjadi kaya dengan segera supaya memikir dengan mendalam
mengenai balasan bagi mereka yang melanggar undang-undang
negara, terutama yang melibatkan diri dengan pengedaran
dadah. Janganlah fikir mereka boleh mengelakkan diri
daripada diberkas. Agak terlalu lewat bagi mereka menyesal
apabila hukuman gantung dijatuhkan.
14. Saya juga ingin merayu kepada semua pemandu-pemandu
supaya memandu dengan cermat. Kemalangan yang menyebabkan
cedera parah dan kematian adalah terlalu tinggi di Malaysia,
dan kebanyakannya disebabkan oleh kegopohan pemandu-pemandu.
Oleh itu marilah kita semua membuat resolusi untuk memandu
dengan cermat bermula dari tahun 1989 ini. Dengan izin
Tuhan kita dan keluarga kita serta lain-lain pengguna
jalanraya akan terpelihara.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
15. Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada
semua rakyat Malaysia dan berdoa semoga tahun 1989 akan
membawa kebahagiaan yang bertambah kepada kita rakyat
Malaysia khasnya dan umat manusia amnya.
Wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
|