Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 19/01/89
Tajuk/Title : PELANCARAN MAJLIS PERUNDINGAN
EKONOMI NEGARA SELEPAS 1990
Yang Berhormat-Yang Berhormat;
Anggota-Anggota Majlis Perundingan Ekonomi Negara;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan,
Bagi pihak Kerajaan dan bagi pihak rakyat yang
menyokong penubuhan Majlis Perundingan Ekonomi Negara ini,
saya ingin mengalu-alukan tuan-tuan dan puan-puan sebagai
anggota Majlis yang akan menentukan masa depan ekonomi
negara kita.
2. Saya juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih
kerana kesudian tuan-tuan dan puan-puan menjadi ahli Majlis
ini yang mana tugas yang dipertanggungjawabkan kepada tuan-
tuan dan puan-puan adalah amat berat dan tidak mudah
dilaksanakan.
3. Dasar ekonomi sesebuah negara bukan perkara yang kecil
yang boleh ditentukan dengan mudah. Dasar ekonomi bagi
negara majmuk seperti Malaysia lebih susah lagi untuk
dibentuk, kerana tujuannya bukan sahaja pertumbuhan ekonomi,
tetapi juga melibatkan aspirasi ekonomi, politik dan sosial
berbagai kaum yang mempunyai masalah dan kepentingan yang
tersendiri. Justeru itu, tuan-tuan dan puan-puan akan
menghadapi berbagai masalah dan kerumitan dalam membentuk
dasar yang boleh diterima oleh rakyat negara kita ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
4. Setelah penduduk berbilang kaum di Malaysia berjaya
membebaskan diri mereka daripada belenggu penjajahan,
masalah yang kita hadapi tidak lagi boleh disalahkan kepada
penjajah. Mungkin buat beberapa tahun kita boleh
menyalahkan penjajah tentang ketidakseimbangan kedudukan
ekonomi, politik dan sosial kita. Tetapi selepas 31 tahun
merdeka, jika kita masih lagi tidak dapat mengatasi masalah
kita sendiri, kita tidak berhak menyalahkan orang lain.
Kegagalan kita mestilah dipikul sepenuhnya oleh kita
sendiri.
5. Sesuatu bangsa atau kaum yang berjaya membebaskan diri
daripada belenggu penjajahan tidak akan rela dijajah pula
oleh bangsa atau kaum yang lain. Di negara Malaysia yang
merdeka, orang-orang Melayu tidak mahu dijajah oleh kaum
lain, dan demikian juga orang-orang Cina, India, Kadazan,
Iban, Murut, Bajau, Kenyah dan lain-lain suku kaum. Mereka
berkehendakkan kebebasan, baik dalam bidang politik atau
ekonomi atau sosial. Dengan perkataan lain, setiap kaum
mesti mempunyai peluang dan kemungkinan untuk memperolehi
kejayaan yang sama dalam semua bidang dan lapangan.
6. Tidak ada kaum yang mahu hanya menjadi petani atau
penoreh getah atau pemandu teksi sahaja. Setiap kaum mesti
ada yang menjadi ahli profesional, peniaga dan pengusaha,
pegawai tinggi dan rendah dan lebih tepat lagi orang yang
berada. Jikalau di Malaysia yang berbilang kaum ini, hanya
satu kaum sahaja yang kaya, tinggal dalam mahligai dan
menguruskan semua kekayaan negara, maka kaum yang lain tetap
akan berasa tidak puas hati.
7. Lainlah halnya jika semua kaum akhirnya menjadi satu
bangsa dengan mempunyai identiti yang khusus dan istimewa
bagi negara Malaysia. Jika assimilasi seperti ini boleh
berlaku, maka soal kaum tidak akan timbul. Tetapi awal-awal
lagi kita berkeras tidak mahu asal-usul kita diketepikan.
Kita ingin mengekalkan identiti kita dengan negara asal
moyang kita, bahasa ibunda dan kebudayaan asli kita. Dengan
itu kita kekalkan perbezaan kita daripada segi kaum. Maka
perlulah pula kita berusaha mengimbangkan kedudukan kita
dalam masyarakat yang berlainan kaum di Malaysia ini. Dan
ini bukanlah perkara yang mudah. Negara-negara Barat yang
sering mengkritik kita kerana tekanan kepada 'ethnic origin'
amat berhati-hati dalam negara mereka sendiri supaya
dominasi ethnik Caucasian tidak terancam.
Tuan-tuan dan puan-puan,
8. Beberapa tahun selepas pencapaian kemerdekaan, kita
khayal dengan kebebasan negara sehingga pucuk pimpinan tidak
sedar akan desas-desus di kalangan rakyat mengenai
ketidakseimbangan yang terdapat di antara kaum dalam bidang
politik, ekonomi dan sosial.
9. Akibatnya pada 13 Mei 1969 kita dikejutkan oleh
peristiwa rusuhan kaum. Dengan kesedaran bahawa
ketidakseimbangan ini boleh membawa rusuhan, maka kita cuba
mengatasi masalah ini melalui satu rancangan socio-economic
engineering yang tidak pernah dicuba oleh mana-mana negara.
Dasar Ekonomi Baru atau DEB yang kita ciptakan amatlah
bercita-cita besar atau ambitious. Dalam jangkamasa 20
tahun kita percaya kita boleh menghapuskan kemiskinan dan
mengimbangkan kedudukan ekonomi berbagai kaum tanpa
menjejaskan kemajuan negara.
10. Menghapuskan kemiskinan amatlah tidak realistik. Di
negara-negara yang maju dan kaya seperti Amerika Syarikat,
Eropah dan Jepun, masih terdapat kemiskinan yang menyayat
hati. Ramai daripada penduduk negara maju bergantung kepada
'dole' untuk hidup di paras yang amat rendah. Sistem
komunis dan sosialis juga tidak berjaya menghapuskan
kemiskinan. Pembahagian kekayaan sama-rata tidak menjadikan
semua anggota masyarakat kaya. Sebaliknya, kedudukan
sebenar di negara komunis dan sosialis ialah kebanyakan
daripada rakyat mereka menghadapi serba kekurangan. Sebab
itulah sekarang beberapa prinsip komunis dan sosialis telah
diubahsuai dan ada juga yang digugurkan.
11. Sebenarnya masyarakat manusia hanya boleh mengurangkan
paras kemiskinan sehingga tidaklah berlaku kebuluran seperti
yang terdapat di beberapa buah negara. Dengan usaha yang
gigih oleh rakyat dan pentadbiran yang bertanggungjawab,
kemiskinan boleh dikurangkan, walaupun kemiskinan secara
relatif tetap wujud.
12. Objektif Kedua DEB ialah menyusun semula masyarakat
supaya pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi dapat
dikurangkan dan akhirnya dihapuskan. Dalam bidang korporat,
ini ditafsirkan sebagai memberi milik ekuiti bidang ini
sekurang-kurangnya 30% kepada bumiputera dan 40% kepada
bukan bumiputera dan bakinya kepada orang-orang asing.
13. Hari ini kita sedar bahawa target kita ini agak terlalu
optimistik. Walaupun Kerajaan telah menubuhkan beratus buah
syarikat yang modalnya disediakan oleh Kerajaan secara
langsung untuk meningkatkan ekuiti bumiputera dalam bidang
korporat, kita dapat mencapai hanya hampir 20% dalam ekuiti
sektor ini. Jika tidak ada PNB, Pernas, Perbadanan-
Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri dan lain-lain institusi
amanah bumiputera, ekuiti bahagian bumiputera perseorangan
hanyalah 12%.
14. Sebaliknya bahagian bukan bumiputera dalam sektor
korporat tidaklah statik di paras 38% yang terdapat pada
permulaan DEB. Mengikut angka yang diperolehi oleh
Kerajaan, bahagian rakyat Malaysia yang lain telah meningkat
kepada kira-kira 57%.
Tuan-tuan dan puan-puan,
15. Di zaman kemelesetan, tekanan terhadap penyusunan
semula masyarakat telah dikurangkan kerana kita tidak mahu
pembahagian kekayaan antara yang berada menjejas peluang-
peluang pekerjaan bagi yang menganggur yang sudah tentu
ramai daripada mereka terdiri daripada yang miskin.
Penubuhan institusi-institusi pelajaran dan tambahan
bilangan biasiswa juga bertujuan mengurangkan kemiskinan, di
samping mengurangkan pengenalan fungsi ekonomi mengikut
kaum.
16. Kita masih mempunyai orang-orang yang miskin dan masih
ada pembahagian aktiviti ekonomi mengikut kaum serta
ketidakseimbangan pembangunan antara kaum. Justeru itu,
soalan yang pertama ialah menentukan sama ada matlamat kita
ini perlu dibetulkan atau tidak? Apakah kita masih bercita-
cita memperjuangkan matlamat yang lama atau membentuk
matlamat yang baru?
17. Kita harus ingat bahawa di negara berbilang kaum, lebih
daripada negara yang penduduknya terdiri daripada satu kaum
sahaja, ekonomi mempengaruhi politik. Stabil atau tidaknya
sesuatu negara berbilang kaum bergantung kepada interaksi
antara satu kaum dengan kaum yang lain. Mungkin juga
persepsi sesuatu kaum terhadap masalah ini lebih
mempengaruhi daripada hakikat yang sebenar.
18. Di Malaysia, kita tahu bahawa setiap kaum menganggap
kaum yang lain lebih beruntung. Bumiputera umumnya
menganggap bukan bumiputera lebih maju dan mewah kehidupan
mereka. Sebaliknya, kaum bukan bumiputera pula menganggap
bumiputeralah yang hidup lebih bahagia di negara ini.
Siapakah yang benar? Mungkin kedua-duanya benar atau
mungkin kedua-duanya salah.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
19. Walau apa pun pendapat kita terhadap kesan DEB, kita
perlu mengakui dan berbangga dengan pencapaian negara
Malaysia dalam bidang politik, ekonomi dan sosial semasa DEB
dilaksanakan. Selama 31 tahun merdeka kita telah berjaya
mengamalkan sistem demokrasi, kita telah berjaya mengadakan
pilihanraya di mana calon parti pembangkang juga boleh
menang, jika itu yang dikehendaki oleh pengundi-pengundi.
Tidak sesiapa dapat menafikan bahawa sistem Demokrasi
Berparlimen dan Raja Berperlembagaan berjaya diamalkan di
Malaysia.
20. Tetapi kejayaan yang ketara ialah pembangunan ekonomi
negara. Daripada sebuah negara yang hanya membekal bijih
timah dan getah mentah kepada negara-negara Barat, kita
telah menjadi bukan sahaja pembekal timah, getah, kelapa
sawit, koko, kayu tropika dan lain-lain bahan mentah kepada
dunia, tetapi juga barang-barang buatan seperti komponen,
elektronik, penghawa dingin, permainan kanak-kanak, dan
insya-Allah motokar juga.
21. Pertumbuhan ekonomi meningkat dengan pesatnya sehingga
dalam tahun-tahun tujuh puluhan paras pertumbuhan adalah 8%
setahun. Pertumbuhan ini merosot sedikit di waktu
kemelesetan ekonomi dunia, tetapi telah pulih semula
sekarang.
22. Pendapatan per kapita yang ditaksirkan sebanyak US$350
di waktu pencapaian kemerdekaan, telah meningkat kepada
US$2,000 pada awal lapan puluhan. Sekarang ini oleh kerana
beberapa faktor termasuklah kejatuhan nilai ringgit,
pendapatan per kapita turun kepada US$1,800 tetapi taraf
hidup tidak terjejas kerana inflasi semasa kemelesetan hanya
1% sahaja. Jika dibandingkan dengan sesetengah negara
membangun, di mana inflasinya meningkat begitu tinggi di
waktu kemelesetan sehingga ada negara yang inflasinya
meningkat 1,700%, pencapaian negara kita bolehlah
dibanggakan.
23. Perkara yang tidak disenangi ialah paras pengangguran
yang tinggi di zaman kemelesetan. Namun masalah ini sedang
diatasi dengan peningkatan pelaburan asing. Satu tahap yang
luar biasa telah dicapai pada tahun 1988 di mana pelaburan
asing meningkat 200%, iaitu 2 kali ganda peningkatan biasa
berbanding dengan tahun-tahun yang terbaik dahulu.
24. Kebanyakan kejayaan dalam bidang ekonomi ini dicapai di
dalam tempoh DEB. Mungkin negara dapat mencapai kejayaan
yang lebih jika tidak ada DEB seperti yang didakwa oleh
sesetengah pihak. Tetapi hakikat yang tidak boleh dinafikan
ialah pertumbuhan ekonomi di Malaysia semasa DEB adalah
lebih baik daripada pertumbuhan di kebanyakan negara
membangun yang tidak menghadapi apa yang dikatakan gangguan
kerana DEB.
25. Pelaksanaan DEB memang diubah-suaikan mengikut keadaan
dan iklim ekonomi dalam dan luar negeri. Di waktu dunia
mengalami kemelesetan dan negara kita turut merasainya,
penekanan DEB ialah kepada matlamat yang pertama, iaitu
membasmi kemiskinan. Pada masa ini peratusan pengangguran
telah meningkat bukan sahaja di kalangan pekerja biasa
tetapi juga di kalangan mereka yang berpelajaran tinggi. Di
masa ini juga kemampuan bumiputera dan Kerajaan melabur atau
membeli saham amat terhad. Justeru itu tekanan diberi
kepada pengwujudan peluang-peluang pekerjaan. Amatlah tidak
adil jika pekerja-pekerja yang menganggur dipaksa menunggu
sehingga bumiputera yang lebih berada mampu melabur sebelum
pelaburan asing atau pelaburan tempatan dibenarkan.
Kerajaan telah melonggarkan syarat pemilikan saham oleh
bumiputera untuk memudahkan pelaburan dan penubuhan syarikat
oleh para pelabur asing. Strategi ini telah membawa hasil
yang baik dan ini terbukti dengan pesatnya peningkatan
pelaburan serta bertambahnya peluang-peluang pekerjaan.
26. Namun demikian kita perlu mengakui fakta-fakta lain
yang menolong meningkatkan pelaburan asing di negara kita,
seperti tekanan terhadap matawang Jepun, Korea dan Taiwan
supaya dinaikkan nilainya, fakta GSP yang ditarik balik oleh
negara maju terhadap negara-negara NIC, turunnya nilai
matawang ringgit dan lain-lain lagi. Walaupun benar fakta-
fakta lain ini memainkan peranan, hakikat yang perlu diakui
ialah negara lain juga mendapat kesan daripada fakta-fakta
ini tetapi mereka tidak begitu berjaya mengatasi kesan
kemelesetan. Pemulihan ekonomi yang kuat di Malaysia dengan
penduduk berbilang kaumnya tidak terdapat di kebanyakan
negara membangun termasuk di negara-negara yang penduduknya
lebih homogeneous.
27. Dakwaan ini bukan bertujuan untuk merendah-rendahkan
pencapaian negara lain tetapi ianya adalah satu kebenaran.
Jika negara kita tidak mencapai kejayaan, tidak dapat tidak
perbandingan akan dibuat dengan negara lain yang mencapai
kejayaan. Mengikut pendekatan yang sama, apabila kita
mengukur prestasi kita, terpaksalah kita membuat
perbandingan pula dengan prestasi negara lain yang setaraf
dengan kita.
28. Dakwaan bahawa DEB tidak adil, bahawa Kerajaan memutar-
belitkan angka-angka statistik sering dibuat sekarang oleh
satu kumpulan chauvinist dengan lantang. Kumpulan
chauvinist yang lain juga boleh membalas dengan dakwaan
yang sama terhadap tuduhan-tuduhan yang dilemparkan.
Tindakan seperti ini bukan sahaja tidak akan menyelesaikan
masalah kita, tetapi ia sebenarnya akan menambah dan
memburukkan lagi masalah.
Tuan-tuan dan puan-puan,
29. Kerajaan amat dukacita kerana langkah liberal yang
diambil oleh Kerajaan menubuhkan Majlis Perundingan ini
telah cuba dipolitikkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu.
Mereka cuba mengaitkan keahlian Majlis ini dengan
kepentingan politik mereka. Mereka cuba mendapat sesuatu
bagi diri mereka dengan mengambil kesempatan daripada
kesediaan Kerajaan memberi peluang kepada mereka memainkan
peranan dengan lebih bermakna dalam menentukan masa depan
dan nasib negara. Mereka cuba memberi gambaran yang buruk
terhadap satu usaha Kerajaan yang melebihi amalan demokrasi
biasa.
30. Kerajaan khuatir jika sikap dan pendekatan ini
diteruskan, usaha yang mulia ini akan gagal mencapai
matlamatnya. Kerajaan tidak sanggup dan tidak boleh
dipersalahkan jika usaha ini menemui kegagalan. Oleh itu
Kerajaan merayu kepada semua pihak, sama ada yang
menganggotai Majlis Perundingan ini atau yang tidak, supaya
memberi perhatian yang serius kepada usaha yang istimewa
ini. Terimalah pendekatan ini sebagai satu tindakan ikhlas
Kerajaan untuk melibatkan lebih ramai rakyat dalam
menentukan nasib negara.
31. Jika pendekatan ini mendatangkan hasil yang baik yang
membawa manfaat kepada negara, ia boleh digunakan dalam
menghadapi berbagai masalah lain. Tetapi, jika pendekatan
ini diperalatkan untuk tujuan politik atau kepentingan
tertentu yang lain, maka sukarlah bagi Kerajaan dan negara
menerima cara ini untuk mengatasi masalah-masalah lain yang
mungkin timbul dalam negara ini dari semasa ke semasa.
Tuan-tuan dan puan-puan,
32. Kerajaan sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada
semua anggota Majlis Perundingan Ekonomi Negara Selepas 1990
ini kerana sudi menerima jemputan Kerajaan. Kerajaan
berharap perbincangan Majlis ini akan berjalan dengan lancar
dan akhirnya membawa kejayaan yang diharapkan.
33. Dengan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan Majlis
Perundingan Ekonomi Negara Selepas 1990 dengan rasminya.
|