Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	05/04/89 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERPISAHAN RASMI OLEH 
			KERAJAAN BAGI KE BAWAH DULI-DULI 
			YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA 
			YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA 
			PERMAISURI AGONG 




Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ampun Tuanku, beribu-ribu ampun, sembah patek harap diampun.

Patek bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, ingin menyembah junjung
kasih kepada Ke Bawah Duli-Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang
Di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, di atas limpah perkenan Tuanku
berdua berangkat mencemar Duli ke Majlis Perpisahan Rasmi oleh Kerajaan
kepada Ke Bawah Duli Tuanku berdua.

Ampun Tuanku, 

2. Patek dan sekalian anggota Kerajaan ingin merakamkan terima kasih yang
tidak terhingga kepada Ke Bawah Duli Tuanku kerana semenjak lima tahun
yang lalu telah memberi panduan dan galakan semasa patek dan
anggota-anggota Kerajaan menjalankan tugas mentadbirkan negara. Patek
yakin Ke Bawah Duli Tuanku akan terus memberi sumbangan bagi kesejahteraan
negara pada masa hadapan.

Ampun Tuanku, 

3. Patek mengambil kesempatan ini untuk merakamkan kekaguman patek
sekalian ke atas keyakinan diri yang telah ditunjukkan oleh Ke Bawah Duli
Tuanku, baik dalam lapangan sukan mahupun bidang-bidang lain. Ramai
daripada rakyat dan patek sekalian berbangga dengan kebolehan Tuanku
memandu helikopter dan kapal terbang. Ramai juga yang kagum dengan
keupayaan Tuanku dalam sukan papan layar. Di samping itu Tuanku
berkeupayaan mengendalikan kenderaan-kenderaan laju seperti motosikal dan
sebagainya. Patek semua sangat berbangga dengan kebolehan Tuanku bermain
golf. Patek mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah di atas
kemenangan Ke Bawah Duli Tuanku di Pertandingan Golf Jemputan yang
diadakan di Seremban bulan Mac lalu.

4. Keyakinan diri Tuanku juga dapat disaksikan dengan keupayaan Tuanku
memberi khutbah Jumaat. Pendek kata keyakinan diri yang ditunjukkan oleh
Tuanku telah sedikit- sebanyak memberi panduan kepada patek semua untuk
sama-sama menanamkan keyakinan diri, bukan sahaja untuk menjaga
kesejahteraan diri, bahkan juga dalam memperjuangkan kepentingan dan masa
hadapan masyarakat.

Ampun Tuanku, 

5. Patek dan anggota-anggota Kerajaan juga ingin merakamkan penghargaan
terhadap sumbangan kewangan oleh Ke Bawah Duli Tuanku kepada tabung-tabung
amal. Patek yakin sumbangan Ke Bawah Duli Tuanku dari semasa ke semasa
akan menggalakkan lagi golongan-golongan yang berada di negara ini
melibatkan diri dalam kerja-kerja kebajikan dan turut sama menderma. Patek
menyedari bahawa sifat murni ini memang terdapat di negara kita, tetapi
teladan yang ditunjukkan oleh Tuanku akan menjadi unsur penggalak yang
akan meningkatkan lagi bilangan para dermawan di kalangan rakyat Malaysia.

Ampun Tuanku, 

6. Negara kita telah mengalami kemajuan pesat dalam berbagai-bagai
lapangan seperti ekonomi, sosial dan pendidikan semasa di bawah naungan Ke
Bawah Duli Tuanku. Walaupun negara di awal penggal pemerintahan Ke Bawah
Duli Tuanku telah mengalami kesan kemelesetan ekonomi dunia, Kerajaan di
bawah naungan Tuanku telah berjaya memulihkan ekonomi negara, bahkan
negara telah berjaya maju ke hadapan dengan kadar yang sangat
membanggakan.

7. Negara ini semasa di bawah naungan Ke Bawah Duli Tuanku juga telah
meningkatkan peranannya di arena antarabangsa. Di samping Malaysia
mempertingkatkan usaha membanteras penyalah-gunaan dadah di peringkat
antarabangsa, Malaysia juga telah dipilih menduduki kerusi di Majlis
Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu. Di bawah naungan Tuanku, Malaysia juga
telah buat julung-julung kalinya dipilih menjadi tuan rumah Persidangan
Ketua-ketua Kerajaan Komanwel pada penghujung tahun ini. Di masa yang sama
Malaysia telah dipilih mempengerusikan Kumpulan 77 UNCTAD.

8. Kerajaan merakamkan penghargaan kepada Ke Bawah Duli Tuanku kerana
telah berjaya membuat beberapa lawatan rasmi ke beberapa buah negara
sahabat, terutamanya di rantau kita ini. Kerajaan yakin lawatan-lawatan
Tuanku telah berjaya merapatkan lagi hubungan Malaysia dengan
negara-negara tersebut.

Ampun Tuanku, 

9. Sepanjang lima tahun yang lalu, Tuanku pernah menyeru kepada rakyat
supaya mengenepikan kepentingan diri dan sebaliknya bekerjasama untuk
menumpukan tenaga dan usaha bagi membangunkan negara dan memajukan
rakyatnya. Kerajaan dan rakyat menyanjung tinggi seruan
tersebut. Insya-Allah patek sekalian akan terus menghayati seruan Tuanku
itu.

Ampun Tuanku, 

10. Patek bagi pihak Kerajaan dan rakyat, berdoa semoga Allah Subhanahu wa
Ta'ala mencucuri rahmat ke atas Ke Bawah Duli Tuanku. Patek berdoa semoga
Ke Bawah Duli Tuanku akan terus aktif di dalam bidang yang diminati oleh
Tuanku. Menjelang keberangkatan Ke Bawah Duli Tuanku ke Negeri Johor Darul
Takzim, patek berdoa semoga negeri Johor Darul Takzim dan rakyatnya akan
terus aman dan makmur.

11. Patek bagi pihak Kerajaan dan rakyat juga ingin merakamkan penghargaan
dan junjungan kasih kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka
Baginda Raja Permaisuri Agong yang sentiasa disanjungi oleh rakyat. Di
samping selalu berada di sisi Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka
Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Ke Bawah Duli Tuanku Raja Permaisuri Agong
berkenan menghadiri upacara-upacara perasmian di Ibu Negara dan di
tempat-tempat lain. Patek dan rakyat sekalian berdoa semoga Ke Bawah Duli
Tuanku Raja Permaisuri Agong akan dicucuri rahmat oleh Allah Subhanahu wa
Ta'ala.

12. Sekali lagi patek bagi pihak Kerajaan dan rakyat menjunjung kasih
kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan
Agong dan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja
Permaisuri Agong kerana berkenan berangkat ke Majlis Perpisahan Rasmi ini.

13. Akhir kata, patek semua berdoa ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala
Yang Maha Pengasih lagi Yang Maha Pemurah, mudah-mudahan dilanjutkan usia
Ke Bawah Duli Tuanku dan usia Ke Bawah Duli Tuanku Raja Permaisuri
Agong. Patek semua juga berdoa semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala
menganugerahkan kesihatan dan kesejahteraan ke atas Ke Bawah Duli Tuanku
berdua.

Ampun Tuanku, sembah patek harap diampun.

Wabillahi taufik, walhidayah, wassalamu'alaikum warahmatullahi
wabarakatuh.

 




 
Google