Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : SRI PERDANA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 02/05/89
Tajuk/Title : MAJLIS JAMUAN MAKAN MALAM BAGI
MENGHORMATI T.Y.T. NOBORU TAKESHITA,
PERDANA MENTERI JEPUN
Tuan Yang Terutama Noboru Takeshita;
Puan Takeshita;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
Saya berasa sangat sukacita mengalu-alukan Tuan Yang
Terutama Perdana Menteri Jepun dan Puan Takeshita serta
ahli-ahli rombongan sekalian ke Malaysia.
2. Lawatan Tuan Yang Terutama kena pada masanya kerana
ianya adalah satu petanda yang baik dalam hubungan antara
Jepun dengan Malaysia khasnya dan ASEAN amnya. Walaupun
Malaysia dan Jepun mempunyai hubungan yang erat, peluang
untuk menjadi tuan rumah kepada lawatan-lawatan seperti ini
adalah amat jarang sekali. Kami percaya bahawa lawatan Tuan
Yang Terutama ini menunjukkan Jepun turut memberi perhatian
yang berat kepada Malaysia serta negara-negara ASEAN dan
ianya juga menunjukkan keinginan Jepun mengadakan
perbincangan-perbincangan dengan Malaysia mengenai isu-isu
dua hala dan antarabangsa.
3. Saya merasa gembira kerana semenjak lawatan terakhir
Perdana Menteri Jepun ke Malaysia pada tahun 1983 dahulu,
hubungan antara Malaysia dan Jepun telah terus bertambah
baik. Hubungan dua hala yang baik ini telah dieratkan lagi
dengan adanya hubungan dan perbincangan yang mesra di antara
para pemimpin serta pegawai-pegawai kedua-dua buah negara.
4. Malaysia sangat menghargai akan sumbangan-sumbangan
penting yang diberikan oleh Kerajaan dan sektor swasta Jepun
dalam mengukuhkan hubungan dua hala ini. Bagaimanapun, kami
berpendapat bahawa masih ada lagi ruang untuk meningkatkan
kerjasama dua hala ini terutamanya dalam bidang perdagangan,
perindustrian dan pemindahan teknologi. Walaupun ianya
banyak bergantung kepada sektor swasta, peranan Kerajaan
juga adalah tidak kurang pentingnya.
Hadirin yang dihormati,
5. Dalam usaha kami untuk memajukan negara ini, Malaysia
terus memandang kepada negara-negara Timur termasuk Jepun
untuk mempertingkatkan teknik pengurusan, etika kerja yang
positif dan pendekatan yang betul ke arah pembangunan
ekonomi. Dengan lain-lain perkataan, Malaysia masih yakin
dengan kesesuaian Dasar Pandang ke Timurnya yang telah
membawa banyak manfaat. Kami berpuas hati bahawa program
tersebut telah mendapat sokongan dan galakan daripada
Kerajaan dan rakyat Jepun. Saya ingin merakamkan di sini
penghargaan Kerajaan Malaysia kepada sokongan dan kerjasama
yang telah diberikan oleh Kerajaan dan sektor swasta Jepun
terhadap Dasar Pandang ke Timur kami.
6. Lapan tahun telah berlalu semenjak dasar tersebut
dilancarkan, dan kami amat berbangga dengan kejayaannya.
Beberapa agensi di dalam sektor awam dan swasta telah
menikmati faedah daripada pendedahan dan latihan yang
disediakan oleh Jepun di bawah dasar ini, dan adalah jelas
bahawa Jepun boleh memberi sumbangan yang lebih untuk
meningkatkan kebolehan Malaysia mencapai pertumbuhan ekonomi
yang pesat dan sistematik.
7. Saya berasa gembira juga bahawa semua pelatih Malaysia
di bawah dasar tersebut telah mendapat pekerjaan, dan saya
berharap firma-firma Jepun akan terus mengambil pelatih-
pelatih kami bekerja dengan firma mereka. Adalah diharapkan
pengambilan tersebut tidak hanya terhad kepada firma-firma
Jepun yang beroperasi di Malaysia sahaja.
8. Hasil dan kejayaan yang telah dicapai di bawah Dasar
Pandang ke Timur ini akan menjadi justifikasi bagi
memperluaskan program ini untuk merangkumi bidang-bidang
tertentu, seperti pertanian dan pelancongan yang memerlukan
kemahiran pengurusan yang lebih tinggi.
9. Kami juga berharap Jepun akan mempertimbangkan satu
pendekatan 'Pandang ke Selatan' di dalam konteks pelancongan
dan pelaburan. Kami memahami perlunya Jepun melabur di
Eropah dan Amerika dan bagi para pelancong Jepun melancong
ke sana. Tetapi, Asia Tenggara telah sentiasa memainkan
peranan penting dalam pertumbuhan dan pembangunan ekonomi
Jepun dan ekonomi kita sangat berkait rapat. Tenggara Asia
yang makmur akan sentiasa menjadi aset kepada Jepun.
10. Sebagai sebuah kuasa ekonomi serantau dan dunia, Jepun
mempunyai peranan yang penting bukan sahaja untuk menawarkan
Bantuan Pembangunan Luar Negeri atau ODA dan menggalakkan
pelaburan luar negeri, tetapi juga membantu dan menggalakkan
pertumbuhan menyeluruh bagi rantau Asia-Pasifik. Dalam
hubungan ini, Malaysia menyambut baik cadangan Jepun untuk
membuka pasarannya kepada barang-barang import dari negara-
negara rantau Asia-Pasifik, dan untuk membantu pembangunan
ekonomi rantau ini dengan menyediakan kewangan, kepakaran
dan lain-lain sumber. Peranan Jepun ini adalah sangat
bermakna dalam kita menghampiri abad ke-21 yang dikenali
sebagai 'Abad Asia-Pasifik'.
11. Kami menganggap perjanjian yang dicapai di Geneva baru-
baru ini sebagai amatlah memberangsangkan dan memberikan
banyak harapan. Kami menghargai akan kerelaan Jepun untuk
memberikan kemudahan serta keutamaan ke atas barang-barang
keluaran pertanian dan tropika. Kami juga berharap bahawa
Jepun akan menimbangkan kemungkinan mengimport lebih banyak
barang-barang pembuatan.
12. Seterusnya saya ingin menyatakan bahawa Malaysia amat
tertarik dengan 'kokusaika' atau program pengantarabangsaan
yang merupakan satu fasa baru dalam hubungan Jepun dengan
dunia luar. Pembukaan pasaran Jepun kepada barang-barang
luar negeri telah menjadikan dagangan di seluruh dunia
bertambah. Kami percaya bahawa status ekonomi dan kewangan
Jepun yang mantap memerlukan Jepun memainkan peranan yang
lebih besar untuk masa depan ekonomi dan politik dunia.
Banyak lagi yang perlu dilaksanakan oleh Jepun untuk menjaga
kestabilan dalam bidang-bidang ekonomi, kewangan dan politik
dunia.
13. Akhirnya saya ingin menarik perhatian kepada 'mentaliti
kubu' yang nampaknya merebak di kalangan kuasa-kuasa besar.
Kami telah diberi jaminan bahawa kesatuan-kesatuan ekonomi
negara-negara kaya tidak bertujuan menghindarkan eksport
dari negara-negara membangun. Tetapi negara-negara
membangun mengetahui bagaimana halangan tarif telah dibentuk
apabila rakan-rakan dagangan kami menyertai kesatuan-
kesatuan ekonomi. Kami dapat melihat bagaimana Jepun
membuat penyesuaian menghadapi kemungkinan dasar-dasar
perlindungan oleh kesatuan-kesatuan ekonomi negara-negara
maju. Kami negara-negara membangun tidak dapat membuat
penyesuaian sedemikian. Kami berharap Jepun akan
menggunakan kebijaksanaannya menghalang dunia daripada
dipecah-pecahkan kepada blok-blok ekonomi yang bertentangan
di antara satu sama lain. Jepun sebagai negara nombor satu
mestilah memastikan dunia yang adil dan saksama.
Hadirin yang dihormati,
14. Saya dengan sukacitanya menjemput hadirin sekalian
untuk bersama-sama mengucapkan selamat serta kesejahteraan
kepada Tuan Yang Terutama Noboru Takeshita, Kerajaan dan
rakyat Jepun serta kepada hubungan Malaysia-Jepun.
|