Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : ISTANA BESAR JOHOR BAHRU, JOHOR
Tarikh/Date : 11/05/89
Tajuk/Title : PERHIMPUNAN SAMBUTAN HARI
KELAHIRAN UMNO
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Dif-Dif Kehormat;
Para Pengasas UMNO;
Ahli-Ahli UMNO;
Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati.
Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala
kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita bersama-sama pada
hari yang bersejarah ini.
2. Hari ini kita menempah satu lagi peristiwa yang
bersejarah dalam riwayat UMNO atau Pertubuhan Kebangsaan
Melayu Bersatu. Hari ini kita rayakan hari lahir UMNO.
Pada 11 Mei 1946, di Istana Besar Johor Bharu, ini UMNO
telah ditubuh dan dilancarkan sebagai parti politik dan alat
bagi perjuangan orang-orang Melayu menangkis usaha British
untuk menghapuskan bangsa Melayu, negeri-negeri Melayu dan
sistem Raja-Raja Melayu.
3. Cadangan menubuhkan sebuah parti politik yang mewakili
semua orang Melayu telah dipersetujui di perhimpunan
pertubuhan-pertubuhan orang Melayu dari seluruh Semenanjung
termasuk Singapura yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman di
Kampung Baru, Kuala Lumpur dari 1hb. hingga 4hb. Mac, 1946.
4. Di zaman pemerintahan Tentera Jepun, orang-orang Melayu
memikirkan jika British kembali semula, maka mereka akan
diberi semula taraf kerakyatan negeri-negeri yang dilindungi
oleh British dan mereka akan diiktiraf semula sebagai
warganegara tunggal negeri-negeri Melayu. Hanya penduduk
Pulau Pinang, Melaka dan Singapura sahaja yang ditakluk oleh
British secara langsung yang akan menjadi rakyat British.
5. Tetapi setibanya sahaja British, mereka mengumumkan
rancangan menyatukan semua negeri-negeri Melayu, Pulau
Pinang dan Melaka dalam sebuah jajahan takluk British terus
yang dinamakan Malayan Union.
6. Semua penduduk berbagai kaum di wilayah berkenaan akan
diberi taraf warganegara tanpa membezakan yang Melayu dan
yang bukan, yang baru datang dan yang telah lama tinggal.
Raja-Raja Melayu diberi peranan simbolik sahaja dan
bertanggungjawab hanya terhadap adat istiadat Melayu dan
agama Islam.
7. Taraf sama rata atau equal citizenship yang akan diberi
kepada semua penduduk Tanah Melayu akan mendedahkan orang-
orang Melayu kepada persaingan dari kaum-kaum lain yang
tetap akan menjadikan orang Melayu kaum yang termiskin dan
daif di Malaysia. Pada ketika itu orang-orang Melayu hanya
menjadi penanam padi, nelayan persisiran dan ada segelintir
yang bernasib baik menjadi kerani kecil di jabatan-jabatan
Kerajaan. Tidak ada di antara mereka ahli peniaga atau ahli
profesional. Demikianlah pemerintahan British sehingga
tanda-tanda bahawa Semenanjung Tanah Melayu adalah negeri
asal orang Melayu sudah hampir luput. Bandar-bandar
terutamanya tidak sedikitpun mencerminkan kebudayaan Melayu.
Jika ada orang Melayu di bandar mereka tinggal di
kawasan-kawasan miskin di pinggir bandar atau di kawasan
tanah rizab.
8. Keadaan orang Melayu semasa pemerintahan British
samalah dengan orang Red Indian di Amerika Syarikat. Lebih
kuat British berkuasa lebih buruk kedudukan orang Melayu.
Di Negeri-Negeri Selat, iaitu Singapura, Melaka dan Pulau
Pinang orang-orang Melayu memegang jawatan-jawatan rendah
sahaja. Di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu iaitu Perak,
Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan, keadaannya baik
sedikit, dengan beberapa elite dari golongan pembesar negeri
memegang jawatan pentadbir. Di Negeri-Negeri Melayu Tidak
Bersekutu, iaitu Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan
Terengganu, di mana British kononnya boleh memberi nasihat
sahaja, kakitangan Kerajaan kebanyakannya terdiri daripada
orang-orang Melayu walaupun ketua jabatan terdiri daripada
pegawai-pegawai British.
9. Di bandar-bandar tidak ada orang-orang Melayu berniaga
di kedai-kedai batu. Bilangan penjaja Melayupun lebih kecil
daripada kaum lain. Tidak ada sama sekali pengusaha Melayu.
Di kawasan-kawasan kediaman orang-orang berada tidak
terdapat barang sebuah pun rumah orang Melayu. Pendek kata
di bandar-bandar besar orang-orang Melayu menjadi kaum asing
yang tidak mempunyai tempat. Jika British bertimbangrasa
sedikit, orang-orang Melayu ditempatkan dalam kawasan rizab
Melayu seperti Red Indian.
10. Di estet dan lombong juga tidak kelihatan orang-orang
Melayu. Bukan sahaja mereka tidak memiliki punca kekayaan
ini, tetapi juga mereka tidak berpeluang bekerja. Mungkin
mereka tidak berminat bekerja dalam lombong atau menjadi
penoreh getah, tetapi jawatan-jawatan dalam syarikat-
syarikat juga tidak terdapat kepada orang-orang Melayu.
Selain daripada kebun kecil getah yang dimiliki oleh
beberapa kerat orang Melayu, mereka sekali lagi menjadi
orang asing dalam estet dan lombong. Di sini bukan tempat
mereka. Ini adalah seolah-olah negara asing di mana mereka
tidak boleh faham bahasa yang ditutur atau ditulis.
11. Walaupun British mengakui sebelum perang dunia kedua
dalam perjanjian mereka dengan negeri Melayu bahawa
Semenanjung ini adalah Semenanjung Melayu, atau Malay
Peninsular, tetapi selain daripada kawasan sawah dan
kawasan-kawasan yang terpencil, Semenanjung ini sudah
dijadikan negara orang bukan Melayu.
12. Demikianlah kedudukan orang-orang Melayu sehingga jika
mereka terpaksa bersaing dengan kaum lain, mereka tetap akan
kalah dalam semua bidang dan akan menjadi kaum yang
termiskin dan daif sekali dalam negeri-negeri Melayu. Jika
mereka berpeluang menjadi petani dan memiliki sawah padi di
zaman British, sebabnya ialah kawasan sawah padi telah
dirizabkan bagi mereka. Di mana sawah tidak dirizabkan, kaum
lain dengan mudahnya mengambil alih dan mengerjakannya.
13. Jika semua penduduk berbagai kaum di Malaya diberi
kerakyatan dan hak samarata dan persaingan dalam semua
bidang dibenarkan tanpa apa-apa sekatan, bukan sahaja
KeMelayuan negeri-negeri Melayu akan luput, tetapi juga
orang-orang Melayu akan diperhambakan di tanahair mereka
sendiri. Ini tidak bermakna bahawa mereka tidak mampu
mempertingkatkan taraf mereka, tetapi penjajahan oleh
British yang mengutamakan kepentingan ekonomi diri mereka
semata-mata telah menyebabkan orang Melayu tertinggal begitu
jauh sekali sehingga kemungkinan mereka berupaya bersaing
atau mengejar kaum-kaum lain tanpa pertolongan sudah tidak
ada.
14. Kita sering mendengar ungkapan 'yang miskin menjadi
lebih miskin, yang kaya lebih kaya'. Ungkapan ini memang
mempunyai asas pada masa penjajahan British. Yang miskin
tidak mempunyai sebarang modal, iaitu pelajaran, wang
ringgit, peluang, kredibiliti, contacts, pengalaman, tempat,
kebolehan meminjam modal dan lain-lain fakta lagi yang boleh
menolong mereka meningkatkan ekonomi dan taraf hidup mereka.
Sebaliknya yang kaya mempunyai semua fakta-fakta yang boleh
menolong mereka menjadi lebih kaya dengan lebih cepat.
Dengan itu jika persaingan secara terbuka dan bebas diadakan
antara rakyat yang mempunyai hak sama rata, semakin lama
semakin jauhlah jarak perbezaan antara yang miskin dengan
yang kaya. Dalam keadaan ini benarlah ungkapan 'yang miskin
menjadi lebih miskin, yang kaya lebih kaya'.
15. Di zaman British orang-orang Melayu adalah kaum yang
miskin dan orang-orang bukan Melayu rata-ratanya adalah kaum
yang lebih kaya. Jika taraf yang sama rata diberikan kepada
semua penduduk Malaya mengikut rancangan Malayan Union,
orang-orang Melayu yang sudah miskin dan serba ketinggalan
tetap akan menjadi lebih miskin dan mereka yang lain lebih
kaya. Jarak pencapaian antara kaum-kaum akan menjadi lebih
jauh dan tidak mungkin boleh dirapatkan semula.
16. Sebab itu, apabila British mendakwa bahawa Malayan
Union adalah langkah ke arah pemerintahan sendiri, ramai
orang Melayu pada masa itu menyatakan mereka tidak
mahu pemerintahan sendiri -- tidak mahu kemerdekaan. Mereka
menulis kepada akhbar Majlis menyatakan mereka mahu naungan
British diteruskan untuk keamanan dan tunjuk-ajar dalam
bidang pentadbiran.
17. Kita menganggap sikap seperti ini adalah aneh tetapi
memanglah orang-orang Melayu sendiri pada masa itu kurang
kepercayaan kepada kebolehan mereka dalam semua bidang, dan
ketidakmampuan mereka untuk bersaing dengan kaum-kaum lain.
Mereka yakin tanpa perlindungan British, kacau-bilau akan
berlaku dalam negeri-negeri di Semenanjung termasuklah
Negeri-Negeri Selat dengan kemungkinan negeri-negeri ini
jatuh ke tangan bangsa asing, khususnya orang Cina Komunis
yang pada masa itu mempunyai pasukan gurila yang sedang
mengganas di merata tempat di Semenanjung.
18. Ramai orang-orang Cina pada masa itu masih mengibarkan
bendera Kuomintang dan menganggap diri mereka rakyat Negara
Cina dan Negara Cina pula mengakui semua orang Cina di mana
juga mereka berada sebagai rakyat Negara Cina. Tidaklah
menjadi sesuatu yang luar biasa, pada fikiran orang Melayu,
jika Negara China memberi pertolongan kepada rakyat mereka
dalam usaha merebut negeri-negeri Melayu.
19. Selepas tamat perang Dunia Kedua dan sebelum sempat
tentera British kembali ke Malaya, gurila Komunis telah
bermaharajalela. Mereka telah mengambilalih balai polis di
beberapa kawasan terpencil dan menaikkan bendera Komunis
Bintang Tiga dan Bintang Satu. Ada orang-orang kampung yang
dibunuh untuk menakutkan mereka supaya mereka menerima
pemerintahan Komunis. Memang hasrat Komunis untuk
mendirikan Republik Komunis di Malaya.
20. Apabila British mendirikan Pemerintahan Tentera, mereka
mengiktiraf dan menghalalkan Parti Komunis Malaya. Dalam
sekelip mata Parti Komunis Malaya telah menubuhkan kesatuan-
kesatuan sekerja yang dikuasai oleh Komunis. Mereka
bergerak bebas dan sombong kerana mereka yakin Malaya akan
jatuh ke tangan mereka. Hanya apabila mereka melancarkan
perang gurila pada 1948 baharulah pihak British bertindak.
21. Ketakutan orang-orang Melayu yang disebabkan oleh
kedaifan mereka dan oleh berbagai kemungkinan ini, telah
membawa kepada kesedaran politik luar biasa. Dari bangsa
yang tidak pernah mendatangkan masalah kepada pemerintahan
British, mereka telah bangun untuk menentang rancangan
Malayan Union British dengan kerasnya.
22. Pada mulanya penentangan dibuat secara berasingan di
negeri masing-masing. Ini tidak berkesan. Pihak British
terus juga menghantar MacMichael untuk mendapat persetujuan
Raja-Raja Melayu.
23. Raja-raja Melayu pula pada ketika itu tidak ada
hubungan dengan rakyat dan tidak pula mengharapkan sokongan
daripada rakyat. Mereka berasa lemah dan kedudukan mereka
bergantung semata-mata kepada British. Sebelum daripada
Malayan Union pun, ada masanya bakal raja disingkir dan
digantikan dengan anggota keluarga di Raja yang lain kerana
tidak mematuhi kehendak British. Tidaklah hairan jika Raja-
Raja menandatangani perjanjian Malayan Union yang dibawa
oleh MacMichael, iaitu menyerahkan hak mereka dan hak orang-
orang Melayu.
24. Memandang bahawa tindakan berasingan oleh kumpulan-
kumpulan kecil Melayu di negeri masing-masing tidak
dihiraukan oleh British, maka desakan dibuat supaya orang-
orang Melayu dari semua negeri di Semenanjung bersatu-padu
dan bergerak bersama dan serentak. Akhirnya pada 1hb Mac
1946, pertubuhan-pertubuhan dan kesatuan-kesatuan sosial
Melayu telah mengadakan Kongres Melayu Se Malaya yang
pertama di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala
Lumpur. Sesuatu yang menarik di majlis itu ialah
persetujuan Duli Yang Maha Mulia Sultan Hishamuddin Alam
Shah, Sultan Selangor yang berkenan merasmikan pembukaan
Kongres ini. Inilah kali pertama raja bersama rakyat dalam
menghadapi masalah dengan British. Tarikh dan peristiwa ini
tidak kurang pentingnya kepada perjuangan nasib orang-orang
Melayu dari tarikh keramat 11 Mei di waktu mana UMNO
ditubuhkan secara rasminya.
25. Selain daripada Party Kebangsaan Melayu Sa-Malaya atau
Malay Nationalist Party (MNP) yang dipimpin oleh Dr.
Burhanuddin dan sebuah pertubuhan lain, 39 pertubuhan yang
lain sebulat suara bersetuju menubuhkan sebuah parti politik
orang-orang Melayu di peringkat nasional yang dianggotai
oleh semua pertubuhan yang hadir dalam Kongres dan pihak-
pihak lain yang bersetuju menyertainya. Allahyarham-
allahyarham Dato Onn, Dato Panglima Bukit Gantang, Dato
Zainal Abidin dan Dato Nik Kamil adalah antara tokoh-tokoh
terkenal yang dipilih untuk menubuhkan PEKEMBAR, iaitu
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, atau UMNO - United
Malays National Organisation, nama yang diilhamkan daripada
nama Bangsa-Bangsa Bersatu atau United Nations Organisation
(UNO).
26. Sementara usaha-usaha menubuhkan UMNO dilaksanakan,
kegiatan menentang Malayan Union tidak dikurangkan. Pada 11
Mei 1946 di Kongres Melayu ketiga yang diadakan di Istana
Besar Johor Bahru, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau
UMNO ditubuhkan dengan rasminya. Hanya Malay Nationalist
Party atau MNP sahaja yang tidak menyertai UMNO.
Tuan-tuan dan puan-puan,
27. Sejarah perjuangan orang-orang Melayu dan sejarah UMNO
perlulah diketahui oleh semua ahli UMNO. Keahlian tidak
bermakna jika kita tidak tahu asal-usul kita. Sejarah kita
adalah pengajaran bagi kita, adalah panduan perjuangan kita.
28. Kita lihat daripada sejarah yang menunjukkan bagaimana
lemahnya orang-orang Melayu apabila mereka menganggap diri
mereka sebagai rakyat negeri-negeri yang berasingan. Mereka
memang sudah lemah kerana mereka tidak mempunyai orang-orang
yang terpelajar, profesional, ahli-ahli peniaga yang kaya,
pekerja mahir dan cekap, penglibatan dalam berbagai bidang
usaha yang penting dan lain-lain lagi kelemahan. Tetapi
apabila mereka membahagi-bahagikan diri mereka kepada rakyat
negeri masing-masing dan bertindak secara berasingan, mereka
menjadi lebih lemah. Sebab itulah walaupun terdapat
tentangan daripada orang-orang Melayu apabila sahaja Malayan
Union diumumkan, pihak British tidak sedikit pun
menghiraukan tentangan ini. Mereka meneruskan sahaja
rancangan mereka itu.
29. Apabila orang-orang Melayu disedarkan bahawa tindakan
secara berasingan tidak berkesan, maka pada ketika itulah
desakan dibuat oleh berbagai pihak supaya disatupadukan
orang-orang Melayu sebagai satu bangsa bagi menentang
rancangan British. Dan kita telah melihat bagaimana
berkesannya perjuangan orang-orang Melayu setelah mereka
bergabung tenaga melalui Kongres Melayu Se Malaya dan
kemudian, dengan lebih tepat lagi, melalui UMNO.
30. Walaupun British sudah melancarkan Malayan Union secara
rasmi, akhirnya mereka terpaksa menarik balik Union itu;
satu tamparan hebat kepada sebuah kuasa dunia yang terkenal
kerana kepintaran pemerintahan kolonial mereka. Semua ini
adalah hasil semangat, kesedaran dan perpaduan orang-orang
Melayu.
31. Jika kita disoal apakah yang memberi kejayaan kepada
satu bangsa yang begitu lemah, iaitu bangsa Melayu pada
tahun 1946, jawapannya ialah semangat perpaduan yang berjaya
mengumpulkan orang-orang Melayu dari negeri-negeri yang
berasingan, dari pertubuhan-pertubuhan yang berlainan, untuk
menghadapi ancaman terhadap bangsa mereka. Inilah semangat
yang muncul pada 1946 apabila bangsa diancam dengan
kemungkinan dihapuskan.
32. Orang-orang Melayu menangkis usaha-usaha British untuk
memecah-belahkan mereka. Sebaliknya mereka bersatu-padu.
Orang-orang atasan juga sanggup bergabung tenaga dengan
rakyat jelata dan rakyat memberanikan diri mendesak Raja-
Raja supaya menentang British.
33. Tidak pernah berlaku dalam sejarah bangsa Melayu di
mana mereka begitu kuat bersatu. Yang mencacatkan sedikit
ialah kelakuan Malay Nationalist Party atau MNP yang bukan
sahaja mengasingkan diri daripada UMNO, tetapi juga semasa
orang-orang Melayu berjuang untuk menghapuskan Malayan
Union, mereka mengadakan kerjasama dengan All Malaya
Council of Joint Action atau AMCJA, sebuah gabungan kiri
yang menyokong Malayan Union. Tetapi MNP adalah pertubuhan
yang kecil yang mendapat sokongan daripada hanya segelintir
orang-orang Melayu. Ramai daripada penyokong MNP telah
berpihak kepada UMNO apabila mereka melihat gerak-geri para
pemimpin MNP.
34. Dengan MNP menjadi lumpuh, perpaduan Melayu dalam UMNO
menjadi begitu kuat sehingga UMNO boleh menggerakkan orang-
orang Melayu di seluruh Semenanjung bertindak serentak
dengan pendirian yang sama pada bila-bila masa. Apabila
UMNO memutuskan orang-orang Melayu berkabung sebagai tanda
penolakan Malayan Union, orang-orang Melayu di seluruh
Semenanjung berkabung. Apabila disuruh memulaukan segala
istiadat menyambut Malayan Union, mereka semua mematuhi
arahan itu.
35. Pihak British yang dahulu tidak menghiraukan pendapat
orang-orang Melayu kerana mereka berpendapat orang-orang
Melayu adalah satu bangsa yang tidak berwibawa yang boleh
diketepikan dengan mudah, terpaksa menukar sikap apabila
UMNO ditubuhkan. Jika dahulu mereka tidak menghormati
pemimpin-pemimpin Melayu selepas UMNO ditubuhkan, British
terpaksa berunding dengan pemimpin-pemimpin UMNO dan memberi
pertimbangan yang wajar kepada pendapat dan pendirian UMNO.
Dan ini dibuat di peringkat yang tertinggi sekali iaitu
dengan melibatkan Gabenor British dan Kerajaan di London.
36. Dengan tertubuhnya UMNO hasil daripada semangat
perpaduan yang tidak mementingkan diri, dengan sokongan
sebulat suara kepada pemimpin-pemimpin UMNO, maka pengaruh
dan kuasa orang-orang Melayu meningkat. Raja-Raja juga
mengakui kekuatan UMNO dan menerima pandangan UMNO. Raja-
Raja yang sebelum UMNO wujud telah menandatangani triti
MacMichael menolak perjanjian rasmi itu dengan beraninya dan
mengambil langkah untuk menentang Malayan Union.
37. Demikianlah satu bangsa yang lemah menjadi satu bangsa
yang berwibawa dan dihormati. Perjuangan orang-orang Melayu
tidak diasaskan kepada kekayaan, kepada kemampuan mengadakan
revolusi bersenjata, kepada apa-apa jenis kekerasan. Asas
perjuangan Melayu ialah perpaduan mereka. Semangat
perpaduan yang tidak mementingkan diri inilah yang memberi
kejayaan kepada perjuangan orang-orang Melayu.
38. Di waktu Kongres Melayu Sa-Malaya dan penubuhan UMNO,
tidak sesiapapun berasa irihati dengan tempat yang utama dan
tinggi yang diberikan kepada Allahyarham Dato Onn dan
pemimpin-pemimpin lain. Sebenarnya ramai yang menolak
jawatan-jawatan pada masa itu kerana mereka dengan ikhlas
dan terus terang menyatakan bahawa mereka tidak layak kerana
sebab-sebab tertentu.
39. Bukan sahaja yang tidak memegang jawatan tidak cemburu,
tetapi juga mereka memberi sokongan yang penuh kepada
pemimpin-pemimpin yang dipilih dan menggesa ahli-ahli
pertubuhan mereka menerima kepimpinan parti. Apabila
Allahyarham Dato Onn dan lain-lain pemimpin menjelajah ke
seluruh Tanah Melayu, orang-orang Melayu melupakan perasaan
kenegerian dan menyambut Allahyarham Dato Onn sebagai
pemimpin bangsa Melayu.
40. Memang benar akhirnya Allahyarham Dato Onn diganti
dengan Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj
sebagai Yang Di-Pertua UMNO. Tetapi penukaran ini bukan
disebabkan kerana Tunku meminati jawatan. Apa yang berlaku
adalah perbezaan pendapat antara Allahyarham Dato Onn dengan
majoriti pemimpin UMNO dan juga majoriti orang-orang Melayu.
41. Allahyarham Dato Onn bercadang menjadikan UMNO bukan
lagi parti orang-orang Melayu, tetapi parti yang terbuka
kepada semua kaum. Orang-orang Melayu pada masa itu belum
merasa diri mereka terselamat, bahkan sekarang inipun mereka
belum bersedia membuka UMNO kepada kaum-kaum lain. Oleh
sebab itulah majoriti Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan ahli-
ahli tidak bersetuju dengan cadangan Dato Onn. Jika beliau
sanggup menerima pandangan majoriti ini, ahli-ahli UMNO
sanggup terus menerima kepimpinan Dato Onn. Tetapi Dato Onn
tidak mahu menukar pendiriannya dan oleh itu telah tidak
mendapat sokongan majoriti.
42. Tidak ada kempen yang dijalankan oleh Tunku Abdul
Rahman. Anggota Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang lain pula
tidak berebut-rebut untuk mendapat jawatan Yang di-Pertua
yang dikosongkan oleh Allahyarham Dato Onn. Sebaliknya
mereka bersetuju menjemput Tunku Abdul Rahman yang bukanpun
ahli Majlis Kerja Tertinggi dan tidak terlibat dengan
penubuhan UMNO. Tidak ada perasaan tamak kepada jawatan di
pihak sesiapa. Yang dianggap penting ialah kredibiliti dan
keutuhan UMNO dan kejayaan perjuangan orang-orang Melayu.
Pada pendapat Allahyarham Tun Razak dan rakan-rakannya, Yang
Teramat Mulia Tunku, kerana umur dan statusnya di Kedah,
adalah orang yang boleh memberi imej yang baik kepada UMNO.
43. Dengan itu Tunku Abdul Rahman dijemput dan beliau
menerima jawatan dan tugas Yang di-Pertua UMNO. Selain
daripada mereka yang sependapat dengan Allahyarham Dato Onn,
yang bilangannya kecil, ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO
merapatkan semula barisan mereka dan memberi sokongan yang
penuh kepada Tunku Abdul Rahman. Kekuatan UMNO tidak
terjejas. Pihak British tidak dapat mencari peluang atau
alasan daripada 'perpecahan' UMNO ini. Mereka terpaksa
terus mengiktiraf UMNO di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman
sebagai suara majoriti orang-orang Melayu. Justeru itu UMNO
berjaya menuntut kemerdekaan.
44. Sekali lagi kita melihat semangat perpaduan dalam UMNO.
Selepas peralihan kepimpinan kepada Tunku Abdul Rahman,
tidak ada rebutan jawatan dalam UMNO walaupun pada tiap-tiap
tahun UMNO mengadakan pemilihan Majlis Kerja Tertinggi. Di
peringkat cawangan dan bahagian pun pertandingan diadakan
dengan sopan, tanpa kempen dan penggunaan wang. Jika adapun
pertandingan di peringkat MKT, ianya adalah untuk ahli-ahli
biasa MKT sahaja, tidak untuk Presiden, atau Timbalan
Presiden, atau Naib Presiden. Hanya jika ada mana-mana
kekosongan jawatan Naib Presiden oleh kerana kematian atau
lain-lain sebab, maka baharulah ada pertandingan di
peringkat Naib Presiden. Jika tidak, maka semua Naib
Presiden, Timbalan Presiden dan Presiden menang tanpa
bertanding.
45. Ketertipan dalam UMNO mengukuhkan parti dan memberi
kredibiliti kepada pemimpin. Kerana pemimpin ada
kredibiliti, pendapatnya dihormati dan dipercayai oleh semua
pihak, sama ada British ataupun kaum-kaum lain. Maka
mudahlah pemimpin menjaga kepentingan orang-orang Melayu.
46. Mungkin ada yang berpendapat ini tidak demokratik.
Tetapi peristiwa tidak bertanding dan perlantikan semula
berlaku sepanjang masa dalam demokrasi. Setiap kali kita
mengadakan pilihanraya, ada sahaja yang menang tanpa
bertanding. Di negara-negara lain pemimpin-pemimpin parti
kerap juga dipilih semula tanpa bertanding.
47. Hasil daripada adat dan tradisi UMNO tidak merebut-
rebut jawatan ini ialah parti yang kukuh dan stabil.
Pemimpin UMNO dianggap suara parti apabila mereka berunding
dengan pihak lain. Tidak ada sesiapa daripada dalam parti
yang menolak pendapat yang disuarakan oleh pemimpin. Kuasa-
kuasa yang diberi kepada pemimpin dihormati oleh semua
pihak.
48. Ini tidak bermakna pemimpin boleh berbuat apa sahaja.
Pengunduran Allahyarham Dato Onn adalah kerana beliau ingin
membuat sesuatu yang tidak dipersetujui oleh majoriti orang-
orang Melayu, bukan kerana Tunku Abdul Rahman ingin menjadi
Yang Di-Pertua parti. Pemimpin hanya bebas bertindak
asalkan tidak terkeluar daripada prinsip dan matlamat
perjuangan parti. Selagi pemimpin tidak bertentangan dengan
pendirian parti, ia akan disokong oleh semua anggota parti,
walaupun kadang-kadang, seperti keputusan menubuhkan
Malaysia dan penyingkiran Singapura, pemimpin tidak terlebih
dahulu berunding dengan parti melalui Majlis Kerja
Tertinggi. Tentangan oleh Allahyarham Syed Jaafar Albar
terhadap pemisahan Singapura tidak mendapat sokongan
daripada Majlis Kerja Tertinggi atau ahli-ahli biasa UMNO.
49. Tradisi dan adat UMNO tidak mencabar kepimpinan parti
menjadikan UMNO tenang, kuat dan berkesan. Tidak semua yang
dibuat oleh pemimpin dipersetujui 100% oleh ahli-ahli.
Demikian dalam peristiwa 13 Mei 1969, ada ahli-ahli UMNO
yang berpendapat bahawa pemimpin pada ketika itu bersalah.
Mereka ini disingkirkan daripada UMNO tanpa menjejaskan
kewibawaan parti walaupun pendirian mereka menarik dan
mendapat simpati daripada ramai ahli.
50. Secara halus dan tertib, pendirian ahli-ahli UMNO
disampaikan kepada pemimpin berkenaan dan beliau menarik
diri secara terhormat dan timbalannya mengambil tempat tanpa
rebutan. Demikianlah seperti rambut ditarik tanpa tepung
berkecai. UMNO terus kuat dan pemimpin barunya mendapat
kesetiaan ahli-ahli dan tidak kurang dihormati oleh orang-
orang luar. Tidak ada perpecahan berlaku. Mereka yang
bersimpati dengan Tunku tidak membuat angkara. Tunku
sendiri tidak sengaja mencuba subvert atau melemahkan
kepimpinan Allahyarham Tun Razak, walaupun ada tanda-tanda
Tunku tidak begitu bersetuju dengan tindakan-tindakan Tun
Razak sebagai pemimpin parti dan Perdana Menteri.
51. Semangat perpaduan dan tradisi serta sopan-santun
bangsa Melayu telah berjaya membentuk sebuah parti politik
yang kukuh di kalangan rakyat satu bangsa yang hampir tidak
mempunyai pengalaman dalam bidang politik, jauh sekali
politik berparti dalam demokrasi. Di segenap kampung, walau
bagaimana terpencil sekalipun, cawangan-cawangan UMNO
ditubuhkan lengkap dengan Ketua, Setiausaha, Bendahari dan
lain-lain ahli jawatankuasa. Jika ada sahaja pilihanraya
kecil atau pilihanraya umum, semua cawangan ini bergerak
serentak dan menjalankan tugas-tugas yang diperlukan. Pada
masa-masa lain, cawangan-cawangan terlibat dengan usaha-
usaha pembangunan negara. Sementara itu diperingkat
pemerintahan, Kerajaan pimpinan UMNO berjaya menyesuaikan
diri dan menghadapi segala cabaran pentadbiran zaman yang
moden dan mencabar ini.
52. Dengan perkataan lain, UMNO telah berjaya menjadikan
orang-orang Melayu satu bangsa yang cukup sofistikated dalam
bidang politik. Mereka boleh mengemblingkan tenaga orang-
orang Melayu dalam satu jentera politik yang berkesan dan
berwibawa sehingga sukar dikalahkan. Demikianlah
berkesannya perjuangan UMNO, sehingga hari ini setiap orang
Melayu, bahkan setiap rakyat Malaysia, secara langsung atau
tidak langsung mendapat nikmat daripadanya.
53. Semua ini adalah hasil semangat, tradisi dan adat yang
membawa orang-orang Melayu serta pertubuhan-pertubuhan
mereka ke suatu Kongres pada 1 Mac 1946. UMNO ditubuhkan
secara rasmi pada 11 Mei 1946, kerana semangat, tradisi dan
adat yang sama. Dan semangat, tradisi dan adat ini telah
menjadi sebahagian daripada sifat-sifat UMNO sendiri
sehinggalah pada tahun 1984.
54. Pada tahun 1984 Timbalan Presiden UMNO yang telah
dipilih pada tahun 1981 dicabar. Segala nasihat supaya
tidak melanggar tradisi dan adat UMNO dan orang-orang Melayu
tidak dihiraukan. Semangat UMNO sudah luput dalam hati
pencabar. Sebenarnya pada ketika itu ia sudah mengasingkan
dirinya daripada UMNO. Tidak hairanlah kejadian-kejadian
yang menyusuli usaha tokoh ini merebut jawatan Timbalan
Presiden. Yang mendorongnya bukanlah semangat UMNO tetapi
kepentingan diri yang mendesak supaya apa sahaja dilakukan
termasuklah membinasakan UMNO.
55. Kita tidak perlu ceritakan tentang percubaan merebut
jawatan Presiden oleh tokoh ini pada 1987. Kononnya tidak
bersetuju dengan dasar. Kononnya kerana ekonomi negara
meleset disebabkan Kerajaan tidak cekap. Kononnya diktator.
Semua ini adalah alasan yang diada-adakan sahaja. Yang
penting dan utama ialah rebutan jawatan Presiden untuk
menjadi Perdana Menteri.
56. Hasil tekanan cita-cita besar ini ialah pada 4hb.
Februari, 1988 UMNO diisytiharkan sebagai sebuah pertubuhan
haram. UMNO yang diperjuangkan oleh pertubuhan-pertubuhan
Melayu pada tahun 1946, UMNO yang dimiliki oleh berjuta
orang-orang Melayu, UMNO yang telah menjadi benteng kepada
orang-orang Melayu dan negara, UMNO ini diharamkan kerana
diseret ke mahkamah oleh orang yang ingin mendapat jawatan.
57. UMNO mempunyai jenteranya sendiri untuk menyelesaikan
masalah tanpa campurtangan orang luar. Jika tidak ada
kepercayaan kepada Majlis Tertinggi, boleh dirujuk kepada
Perhimpunan Agung. Tetapi jentera parti diketepikan dan
kuasa parti diserahkan kepada mahkamah. Inikah tindakan
orang yang bersemangat UMNO? Inikah semangat UMNO pada
tahun 1946 yang kononnya orang ini ingin pertahankan?
Saudara-saudari tahu apa dianya semangat orang-orang Melayu
dan UMNO pada tahun 1946. Apakah ada persamaan antara nafsu
yang mendorongkan tindakan golongan yang menyebabkan UMNO
diharamkan dengan semangat yang kita tahu terdapat di
kalangan orang-orang Melayu dan UMNO sewaktu menentang
Malayan Union? Apakah kerjasama dengan DAP umpamanya
melawan UMNO mencerminkan semangat itu?
58. Tidak sesiapa dapat menafikan bahawa UMNO yang ada
sekarang mendapat sokongan majoriti yang besar daripada
orang-orang Melayu. Bilangan ahli-ahli UMNO sekarang ini
sudah sama dengan bilangan ahli-ahli UMNO dahulu, walaupun
bilangan ahli-ahli dahulu tidak tepat dan diragukan. Tidak
syak lagi bahawa ahli-ahli UMNO akan terus bertambah, insya-
Allah. Mereka yang percaya dan inginkan perpaduan tidak
boleh menolak UMNO kerana tanpa UMNO perpaduan tidak
bermakna. Apakah dengan disatukan kumpulan-kumpulan
serpihan dan minoriti orang Melayu dan menentang majoriti
orang Melayu, maka perpaduan tercapai? Mereka yang inginkan
perpaduan mestilah bersatu dengan pihak majoriti.
59. Apakah perpaduan bermakna jika masing-masing mempunyai
tujuan yang berlainan, masing-masing ingin memperalatkan
yang lain? Jika perpaduan hendak dicapai, maka masing-
masing mestilah menyetujui akan asas dan dasar yang sama.
Jika tidak, maka yang dilakukan bukanlah perpaduan tetapi
satu pakatan sahaja.
60. Perpaduan hanya boleh dicapai dalam UMNO di mana ahli-
ahli tahu dan menerima akan asas dan dasar perjuangan parti.
Pintu UMNO masih terbuka. Jika benar ada orang yang
mempunyai semangat 46 di luar UMNO, mereka harus menyertai
UMNO. Hanya dengan bersatu dengan pihak majoriti sahaja
baharulah perpaduan boleh dicapai. Apabila minoriti
menentang majoriti, pecah-belah namanya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
61. Perjuangan orang-orang Melayu belum tamat. Mereka
belum mencapai tahap pembangunan yang boleh membantu mereka
bersaing dalam masyarakat majmuk Malaysia dengan jayanya.
Sudah tentu mereka belum sampai ke tahap untuk bersaing
dengan bangsa-bangsa maju di dunia.
62. Justeru itu mereka masih memerlukan kuasa politik dan
pengaruh yang kuat dalam Kerajaan. Dengan adanya UMNO
orang-orang Melayu telah dapat mempertahankan kedudukan
mereka sementara meningkatkan kebolehan mereka untuk
bersaing dalam dunia yang penuh cabaran. Insya-Allah dengan
diberi perlindungan dan peluang, mereka akan mencapai tahap
kebolehan yang boleh menjamin kejayaan mereka. Tetapi
sebelum itu mereka perlu kepada perlindungan kuasa politik
dan Kerajaan.
63. Selagi pencapaian orang-orang Melayu belum sampai ke
tahap yang boleh menjamin kejayaan masa depan mereka, selagi
itulah orang-orang Melayu harus menentukan kemenangan mereka
dalam bidang politik. Politik orang-orang Melayu masa kini
bukan untuk mendapat tempat tertentu bagi diri sesiapa,
tetapi untuk mempertahankan kedudukan orang-orang Melayu
yang masih lemah. Demikianlah juga dengan UMNO. UMNO bukan
alat sesiapa untuk mendapat jawatan yang tinggi, tetapi UMNO
adalah alat perjuangan orang-orang Melayu.
64. Jika pada tahun 1946 orang-orang Melayu membentuk UMNO
dan memilih Allahyarham Dato Onn sebagai pemimpin, tujuannya
ialah kerana tanpa sebuah parti politik nasional dan seorang
pemimpin dan jurucakap, perjuangan orang-orang Melayu
melawan Malayan Union tidak mungkin berjaya. Pemilihan
Allahyarham Dato Onn bukan untuk beliau menjadi orang besar.
Jika ini berlaku, ia adalah secara kebetulan sahaja.
65. Sebabnya UMNO diteruskan selepas Malayan Union
dibubarkan ialah kerana perjuangan orang-orang Melayu belum
tamat. Orang-orang Melayu masih belum memerintah negara
mereka sendiri selepas Malayan Union diganti dengan
Persekutuan Tanah Melayu. Berkat perpaduan yang berterusan
orang-orang Melayu dalam UMNO, Perikatan telah menang 51
daripada 52 kerusi dalam pilihanraya 1955. Dengan majoriti
yang besar ini pihak British tidak mempunyai helah bagi
menolak tuntutan orang-orang Melayu untuk mendapat
kemerdekaan.
66. Selepas merdeka pada tahun 1957, masalah orang-orang
Melayu belum selesai. Apakah maknanya merdeka jika orang-
orang Melayu masih mundur dalam segala bidang dan masih
lemah? Jika Kerajaan dikehendaki menolong orang-orang
Melayu, maka Kerajaan itu mestilah berteraskan Melayu.
Melalui UMNO, sokongan orang-orang Melayu kepada Kerajaan
dibulatkan dan langkah-langkah dapat diambil oleh Kerajaan
bagi meningkat pencapaian orang-orang Melayu.
67. Perisitiwa 13 Mei 1969 mengingatkan pemimpin-pemimpin
UMNO supaya tidak lalai dalam menjalankan tugas membantu
orang-orang Melayu. Dasar Ekonomi Baru atau DEB digubal
kerana Kerajaan dikejutkan dengan peristiwa berdarah 13 Mei.
68. Tetapi kita belum mencapai matlamat DEB sepenuhnya.
Walaupun kedudukan orang-orang Melayu sekarang begitu baik
sehingga ada yang lupa akan sebabnya mereka tidak berasa
cemas, tetapi ini adalah kerana UMNO masih ada untuk
menentukan orang-orang Melayu terlindung. Jika UMNO tidak
ada dan parti yang memerintah dianggotai oleh 40 wakil
rakyat Melayu dan yang lainnya daripada kaum lain, seperti
yang dirangka oleh kumpulan serpihan, orang-orang Melayu
tidak akan mendapat perlindungan lagi. Pada masa itu kita
akan balik kepada situasi semasa British memerintah, bahkan
lebih buruk daripada itu.
69. Hari ini, 11 Mei, kita merayakan bukan sahaja kejayaan
bapa-bapa kita membentuk UMNO, tetapi kita juga merayakannya
supaya kita dapat memperingati dan menyedarkan diri kita
akan perlunya kita meneruskan perpaduan orang-orang Melayu
dalam UMNO dan kita meneruskan usaha-usaha untuk menjadikan
orang-orang Melayu bangsa dan kaum yang berwibawa dalam
negara kita.
70. Insya-Allah, jika kita seperti pada hari ini, tidak
lupa akan sejarah dan asal-usul kita, jika kita tahu
menghargai jasa mereka yang begitu berani dan bersemangat
berusaha untuk menyatupadukan orang-orang Melayu dan
menubuhkan UMNO, jika kita insaf dan selalu bersyukur akan
nasib baik kita, insya-Allah kita akan mendapat ganjaran
lagi, kita akan mencapai kejayaan, kita akan menjadi bangsa
yang gagah, yang mulia dan dihormati. Kita perlu ingat
bahawa mereka yang lupa akan sejarah akan didera dengan
mengulangi berkali-kali segala kesalahan mereka dan akan
menerima keburukan yang menimpa mereka terdahulu.
71. Mereka yang belum insaf, insaflah dan balik ke pangkal
jalan. Mereka yang tahu insaf, insaflah dan bersyukur
mudah-mudahan Allah S.W.T. akan mengurniakan lebih banyak
kejayaan.
71A. Bagi negeri Johor dan bagi Duli Yang Maha Mulia Sultan
Iskandar, Sultan Johor, 11hb. Mei mempunyai makna yang
istimewa kerana pada 11hb. Mei, 1982 Duli Tuanku telah
diisytiharkan Sultan dan Yang Di-Pertua Negeri Johor Darul
Rakzim.
72. Oleh itu rayakanlah hari ini, 11 Mei, sebagai hari yang
mulia, hari yang bahagia, hari yang keramat bagi bangsa
Melayu yang beragama Islam. Rayakanlah hari ini kerana kita
semua berhak merayakannya. Mudah-mudahan anak-cucu kita dan
seluruh zuriat kita tidak akan mudah menjadi orang yang
tidak tahu berterima kasih kepada jasa.
73. Akhir kata saya mengucapkan Selamat Hari Raya
Aidilfitri kepada sekalian yang hadir dan semua orang
Melayu. Saya mengucapkan selamat merayakan 11 Mei, hari
bertuah dalam sejarah orang-orang Melayu dan sejarah negara
kita Malaysia yang kita kasihi. Insya-Allah, akan
berhasillah perhimpunan kita ini.
Wabilahi taufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|