Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 07/06/89
Tajuk/Title : UCAPAN TAHNIAH DAN IKRAR TAAT-SETIA
DI MAJLIS MENGADAP DAN ISTIADAT
PENGURNIAAN DARJAH KEBESARAN
SEMPENA ULANGTAHUN HARI KEPUTERAAN
RASMI DULI YANG MAHA MULIA SERI
PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG
Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda
Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Azlan Shah,
Ampun Tuanku,
Dengan hormat dan penuh takzimnya, patek bagi pihak
Kerajaan dan seluruh rakyat serta diri patek sendiri, mohon
menyembah setinggi-tinggi tahniah Ke Bawah Duli Yang Maha
Mulia Tuanku di atas pemilihan Tuanku sebagai Yang Di-
Pertuan Agong yang ke-sembilan dan Duli Yang Maha Mulia
Tuanku Bainun sebagai Raja Permaisuri Agong.
2. Seterusnya patek bagi pihak Kerajaan dan seluruh rakyat
juga mohon menyembah setinggi tahniah Ke Bawah Duli Yang
Maha Mulia Tuanku sempena Ulangtahun Hari Keputeraan Rasmi
Tuanku hari ini. Patek sekalian berdoa ke hadrat Allah
Subhanahu wa Ta'ala semoga Ke Bawah Duli Tuanku serta Duli
Yang Maha Mulia Tuanku Bainun dilanjutkan usia serta
dilimpahkan rahmat dan hidayahNya, mudah-mudahan Duli Tuanku
berdua sentiasa berada dalam kandungan sihat dengan penuh
kesejahteraan dan kedaulatan.
Ampun Tuanku,
3. Syukur Alhamdulillah, dengan izin dan limpah kurnia
Allah Subhanahu wa Ta'ala, negara kita Malaysia terus berada
dalam keadaan aman dan damai. Keadaan ini dapat diwujudkan
kerana kita telah memilih cara mentadbir negara yang sesuai.
Malaysia mengamalkan sistem Kerajaan Demokrasi Berparlimen
dan Raja Berperlembagaan. Sistem ini membolehkan Kerajaan
dan rakyat yang berbilang kaum di negara ini hidup dengan
penuh perpaduan dan persefahaman. Berpandukan
kepada Perlembagaan dan Rukunegara pemimpin
dan rakyat bertanggungjawab untuk menanamkan perasaan saling
hormat-menghormati di antara satu sama lain. Di samping
memegang kepada nilai-nilai ini rakyat telah membuktikan
kesediaan untuk berkorban demi kepentingan negara. Rakyat
Malaysia yang berbilang kaum merupakan suatu masyarakat yang
unik dikacamata dunia kerana dapat hidup dengan penuh
keharmonian walaupun masing-masing mempunyai agama, adat-
resam dan budaya hidup yang berlainan.
4. Kerajaan akan terus mengekalkan sistem ini dan
menentang apa-apa percubaan untuk merosakkannya. Sungguhpun
masih ada kumpulan-kumpulan dari luar dan dalam negeri yang
kononnya memperjuangkan hak asasi kemanusiaan yang cuba
campurtangan dalam urusan pentadbiran negara, Kerajaan akan
tetap teguh dengan pendirian untuk mengekalkan apa yang kita
perjuangkan. Ada segelintir rakyat yang cuba menggunakan
institusi-institusi Raja, mahkamah dan sistem kehakiman
serta sistem pilihanraya untuk mencapai cita-cita dan
memenuhi kepentingan diri sendiri. Tetapi patek percaya
Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja memang tidak berkenan
dengan tindak-tanduk ini dan tidak mudah diperalatkan.
Kerajaan mementingkan rakyat yang memerlukan kemajuan dan
bukan mereka yang mementingkan diri sendiri. Patek percaya
dengan kebijaksanaan Ke bawah Duli Tuanku memerintah negara
dan dengan Tuanku sebagai simbol kedaulatan dan perpaduan,
rakyat akan terus menikmati hidup dengan penuh kebahagiaan
dan kesejahteraan, insya-Allah.
Ampun Tuanku,
5. Negara kita mengamalkan Kerajaan berparti dengan
Barisan Nasional menerajui Kerajaan. Kegelisahan politik
telah wujud untuk sementara apabila UMNO diharamkan. Tetapi
syukur alhamdulillah UMNO telah diwujudkan semula dan
kegelisahan itu telah mulai hilang. Kekuatan UMNO
menambahkan kekuatan Barisan Nasional. Kekuatan Barisan
Nasional pula meneguhkan pentadbiran sistem Kerajaan.
Sebagai Pengerusi Barisan Nasional, patek akan berusaha
supaya perpaduan antara parti-parti komponen akan terus
kekal untuk menjaminkan Barisan Nasional sentiasa dapat
memperjuangkan perlaksanaan dasar-dasar Kerajaan untuk
rakyat.
Ampun Tuanku,
6. Kerajaan sedang menyemak semula kecapaian Dasar Ekonomi
Baru dan dasar ekonomi negara yang perlu diamalkan selepas
selepas 1990. Kerajaan telah membuka peluang
kepada para kepada para cendiakawan, pemimpin-
pemimpin politik dan pertubuhan, para professional dan
mereka yang sentiasa mengkritik DEB untuk tampil
mengemukakan cadangan melalui Majlis Perundingan Ekonomi
Negara. Kerajaan akan menimbangkan cadangan-cadangan yang
dimajukan oleh Majlis ini dalam menggubal dasar ekonomi
selepas tahun 1990.
7. Mengenai ekonomi negara dewasa ini, Kerajaan bersyukur
kerana ekonomi negara terus bertambah pulih dan teguh pada
awal tahun ini selepas mencatatkan pertumbuhan yang sungguh
menggalakkan semenjak dua tahun yang lalu. Pertumbuhan yang
menggalakkan ini digambarkan melalui kadar pertumbuhan KDNK
atau GDP tahun 1988 yang lalu yang mengatasi pencapaian pada
tahun-tahun yang lepas semenjak 1979. Pertumbuhan ekonomi
yang kukuh ini digambarkan juga melalui imbangan bayaran
negara yang sangat memuaskan. Pelaburan swasta yang penting
bagi pembangunan ekonomi negara telah meningkat semenjak dua
tahun lalu dan kita yakin pelaburan swasta akan terus
meningkat dengan adanya insentif-insentif yang sangat
menarik. Kerajaan juga yakin bahawa pertumbuhan yang kita
capai semenjak dua tahun yang lalu akan berterusan pada
tahun ini dan tahun-tahun yang akan datang, insya-Allah.
8. Keyakinan Kerajaan juga adalah berasaskan kepada
kejayaan program-program yang disusun bagi menjadikan
struktur ekonomi negara lebih berupaya menghadapi cabaran-
cabaran di pasaran antarabangsa pada masa hadapan. Salah
satu perubahan struktur ekonomi yang dirancang oleh Kerajaan
ialah menjadikan ekonomi negara kita kurang bersandar kepada
eksport barangan utama atau komoditi, sebaliknya
menggalakkan pembangunan industri pembuatan yang hasilnya
boleh dieksport. Untuk ini kita mestilah sanggup
membelakangkan sedikit kepentingan diri supaya barangan
buatan kita boleh bersaing dengan jayanya di pasaran dunia.
Insya-Allah akhirnya kita akan mendapat nikmat yang lebih
banyak dan lebih kekal.
Ampun Tuanku,
9. Malaysia, walaupun sebuah negara kecil di peta dunia,
telah diiktiraf sebagai sebuah negara yang dapat memberi
sumbangan yang bermakna kepada kebajikan antarabangsa.
Usaha-usaha kita membanteras penyalahgunaan dadah telah
mendapat pengiktirafan apabila Malaysia telah dipilih
sebagai Pengerusi Persidangan Antarabangsa Mengenai
Penyalahgunaan Dadah dua tahun yang lalu. Walaupun negara
kita telah menerima banyak desakan daripada kumpulan-
kumpulan tertentu untuk menghapuskan hukuman mati
ke atas pengedar-pengedar dadah, tetapi ramai pemimpin dunia
secara peribadi bersetuju dengan tindakan tegas Malaysia.
Sebenarnya masalah dadah sudah merebak di beberapa negara
yang tidak tegas sehingga tidak dapat dikawal. Justeru itu
Kerajaan akan meneruskan undang- undang yang sedia ada.
10. Malaysia juga telah dipilih menduduki kerusi Majlis
Keselamatan Bangsa- Bangsa Bersatu. Dengan itu Malaysia
telah dan akan dapat memainkan peranannya dengan lebih
berkesan dalam arena antarabangsa. Malaysia telah diberi
penghormatan menghantar pasukan pemerhati dan pengaman ke
tiga buah negara yang diseliakan oleh Bangsa-Bangsa Bersatu
iaitu Iran, Iraq dan Namibia. Malaysia juga telah dipilih
mempengerusikan Kumpulan 77 negara-negara membangun.
11. Dalam bulan Oktober tahun ini negara kita akan diberi
penghormatan menjadi tuan rumah untuk Mesyuarat Ketua-Ketua
Kerajaan Komanwel atau CHOGM. Insya-Allah, kita akan
menunaikan kewajipan kita dengan penuh keyakinan dan
dedikasi. Dua bulan sebelum itu, Malaysia akan menjadi tuan
rumah kepada Sukan SEA yang ke-15.
12. Rakyat negara ini berasa bertuah kerana Ke Bawah Duli
Tuanku mempunyai minat yang tinggi dalam bidang sukan
dan patek percaya kecergasan Tuanku itu akan menjadi
dorongan serta galakan kepada kemajuan sukan di negara ini.
Ampun Tuanku,
13. Patek, bersama-sama dengan anggota Pentadbiran serta
kakitangan Kerajaan, akan terus menumpukan usaha dan tenaga
untuk menyempurnakan tugas dan tanggungjawab patek sekalian
dengan penuh semangat dan tekad bagi menjamin kemakmuran,
keselamatan dan kebahagiaan rakyat dan negara Malaysia,
insya-Allah.
14. Pada hari yang berbahagia dan penuh istiadat ini, bagi
pihak diri patek, Kerajaan dan seluruh rakyat, patek dengan
segala hormat dan takzimnya mohon menyembah ikrar taat-setia
yang tidak berbelah bahagi kepada Ke Bawah Duli Yang Maha
Mulia Tuanku sebagai Raja Yang Memerintah.
Ampun Tuanku, sembah patek harap diampun.
|