Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN RAKYAT 
Tarikh/Date 	: 	23/06/89 
Tajuk/Title  	: 	MEMBENTANGKAN PINDAAN KEPADA AKTA 
			KESELAMATAN DALAM NEGERI, 1960 
			(BACAAN KALI KEDUA) 




 Tuan Yang Di-Pertua,
    Saya   mohon  mencadangkan  bahawa  Rang  Undang-Undang
bernama suatu Akta  untuk  meminda  Akta  Keselamatan  Dalam
Negeri 1960 dibacakan kali yang kedua sekarang.
Tuan Yang Di-Pertua,
2.   Sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi
yang   terbuka,   bersikap  liberal  dan  di  mana  wujudnya
kebebasan,  maka  sudah  tentulah  rakyat   Malaysia   bebas
melahirkan  pendapat,  pandangan  dan  fikiran mereka.   Ini
adalah  bukti   bahawa   Malaysia   mengamalkan   demokrasi.
Demokrasi  memberi berbagai-bagai kebebasan kepada individu-
individu  dan  golongan-golongan   di   negara   ini   dalam
menjalankan   kegiatan-kegiatan   dan   tugas-tugas  mereka.
Malangnya,  kebebasan  ini  kerapkali  disalah-gunakan  oleh
individu-individu dan pihak-pihak tertentu untuk kepentingan
mereka.    Mereka  ini menggunakan kebebasan demokrasi untuk
mengancam demokrasi itu sendiri.  Dalam hal ini, kita rakyat
Malaysia  yang  mendokong   demokrasi   hendaklah   sentiasa
berjaga-jaga   supaya  demokrasi  tidak  diperalatkan  untuk
mengancam demokrasi itu sendiri dan kebaikan yang diharapkan
daripadanya.
3.   Memanglah  sukar  bagi  kita  menjamin  bahawa  keadaan
negara sentiasa aman kerana terdapat berbagai bentuk ancaman
secara  berterusan.   Atas dasar itu, maka Kerajaan sentiasa
memberi keutamaan kepada kewajipan mengawasi dan  memelihara
keselamatan   dan  ketenteraman  awam.    Justeru  itu  Akta
Keselamatan  Dalam  Negeri  digubal  dan   dirangka   dengan
demikian  rupa  untuk  meliputi bukan sahaja ancaman-ancaman
subversif komunis, tetapi juga apa-apa bentuk  ancaman  yang
boleh  mengganggu-gugat  ketenteraman  awam  dan menimbulkan
mudarat kepada keselamatan negara.  Kerajaan tidaklah  dapat
berkompromi  dengan  mana-mana  pihak  sekalipun  dalam soal
melaksanakan kewajipan keselamatan negara kerana inilah yang
akan menjadi asas sama ada negara terus maju  dan  membangun
atau sebaliknya.
4.   Kini  kita  mendapati tuduhan-tuduhan kononnya Kerajaan
menyalahgunakan kuasanya di  bawah  Akta  Keselamatan  Dalam
Negeri.      Begitu   juga  sering  kedengaran  bahawa  Akta
Keselamatan  Dalam  Negeri  tidak  wajar  wujud   lagi   dan
sepatutnya dimansuhkan.  Tuduhan-tuduhan dan kecaman-kecaman
ini  memang  mudah  dibuat  oleh  mana-mana pihak yang tidak
melaksanakan  beban  dan  tanggungjawab   untuk   memelihara
ketenteraman   awam  dan  keselamatan  negara  yang  menjadi
kewajipan utama mana-mana Kerajaan.  Tuntutan kewajipan  ini
lebih-lebih  lagi  dirasai  di  negara  kita  yang mempunyai
latarbelakang masyarakat berbilang kaum,  agama,  kebudayaan
dan adat resam dan kita tidak dapat menyangkal bahawa bentuk
masyarakat   majmuk   sedemikian  sentiasa  terdedah  kepada
berbagai     bentuk   ancaman   terhadap    kestabilan   dan
keselamatannya, sama ada dari dalam atau dari  luar.    Kita
dapat  melihat  sekarang  ini beberapa negara berbilang kaum
yang  terjerumus  dalam  rusuhan  kaum  yang   tidak   dapat
diselesaikan.
Tuan Yang Di-Pertua,
5.   Untuk    membolehkan    Kerajaan    terus   menjalankan
tanggungjawab utamanya mengawal dan  memelihara  keselamatan
dalam  negeri  bagi  menjamin keamanan dan kestabilan negara
dengan lebih berkesan, Kerajaan mendapati adalah perlu untuk
membuat beberapa pindaan kepada Akta ini.
Tuan Yang Di-Pertua,
6.   Tujuan utama  pindaan-pindaan  ini  dicadangkan  adalah
untuk  menentukan  bahawa  perintah tahanan yang dibuat oleh
Menteri  yang  memutuskan  bahawa  seseorang  itu  mengancam
keselamatan  negara  tidak  dipersoalkan  di mahkamah.   Ini
adalah   kerana   kebelakangan   ini    keputusan    Menteri
mengeluarkan  Perintah  Tahanan  telah kerapkali dicabar dan
dipersoalkan  di  mahkamah.     Sekiranya  mahkamah   dibiar
menggantikan   keputusan  pihak  Kerajaan  dengan  keputusan
mahkamah,  ini  bermakna  seolah-olah   tanggungjawab   bagi
keselamatan  negara  tidak  lagi  terletak  kepada  Kerajaan
tetapi   sebaliknya   telah   dipertanggungjawabkan   kepada
mahkamah, yang sebenarnya  bukanlah  ahli  dan  pakar  dalam
bidang keselamatan.  Keputusan-keputusan dan aliran mahkamah
di  negara-negara  asing yang memainkan peranan campurtangan
atau, dengan izin, 'interventionist' menggantikan keputusan-
keputusan  Eksekutif  dengan  keputusan-keputusan   mahkamah
adalah  tidak  sesuai  diikuti kerana ia bertentangan dengan
konsep  perasingan  kuasa  atau  dengan  izin 'separation of
powers' antara eksekutif dan kehakiman yang menjadi pegangan
kita di negara ini.  Jika mahkamah boleh menukar atau dengan
izin  'reverse'  keputusan  eksekutif,  maka pihak eksekutif
tidak akan dapat membuat apa-apa  keputusan  kerana  khuatir
mahkamah  akan  menukarkan keputusan itu.   Dengan itu pihak
pemerintah tidak dapat bergerak kerana  menunggu  keputusan-
keputusan  mahkamah serta rayuan-rayuan kepada mahkamah yang
lebih tinggi.
7.   Selain  daripada  itu,  sekiranya   keputusan   Menteri
dipersoalkan  oleh  hakim  atau mahkamah, adalah sukar untuk
pihak Kerajaan mempertahankan perintah tersebut  kerana  ada
perkara-perkara   yang   rahsia   yang  bersangkutan  dengan
keselamatan  negara  yang  tidak  dapat   didedahkan   dalam
mahkamah atas sebab-sebab kepentingan keselamatan negara dan
juga perhubungan dengan negara-negara lain.
Tuan Yang Di-Pertua,
8.   Selama  ini  pihak  Kerajaanlah  yang  bertanggungjawab
terhadap perkara keselamatan negara dan  ketenteraman  awam.
Penggunaan  prinsip  dengan  izin  'subjective  test'  telah
membolehkan  Kerajaan  bertindak  dengan  berkesan  terhadap
mereka yang mengancam  keselamatan  dan  kestabilan  negara.
Adalah  amat  perlu  kedudukan  ini  terus  dijamin  melalui
undang-undang kerana pihak Kerajaanlah yang merupakan  pihak
berkuasa  yang  paling  sesuai dan wajar untuk menimbang dan
meneliti maklumat-maklumat tertentu yang  diperolehinya  dan
membuat   keputusan   tentang   tindakan   pencegahan   demi
keselamatan dan kestabilan negara.  Jika pengurusan Kerajaan
mengenai keselamatan tidak memberi  kebaikan  kepada  negara
dan  masyarakat,  atau  merupakan  penindasan kepada rakyat,
maka Kerajaan itu  dapat  digantikan  melalui  proses-proses
demokrasi.
Tuan Yang Di-Pertua,
9.   Berdasarkan  kedudukan  yang  telah saya huraikan tadi,
cadangan pindaan ini  dibuat  semata-mata  untuk  menentukan
dengan  jelas  akan  peranan  dan  bidangkuasa Menteri Dalam
Negeri, dan peranan dan bidangkuasa seorang Hakim  Mahkamah.
Dengan  ini,  perintah-perintah  tahanan  yang  dibuat  oleh
Menteri tidak lagi boleh  dipersoal  atau  dipertikaikan  di
mahkamah,  melainkan  perkara-perkara  yang  menyentuh  soal
prosedur sekiranya peruntukan undang-undang tidak dipatuhi.
Tuan Yang Di-Pertua,
10.  Pindaan ini juga dicadangkan  kepada  Seksyen  47  Akta
Keselamatan Dalam Negeri yang mana Duli Yang Maha Mulia Seri
Paduka  Baginda  Yang Di Pertuan Agong boleh mengisytiharkan
mana-mana kawasan sebagai kawasan  keselamatan.    Di  bawah
pindaan  ini,  sesuatu perisytiharan itu oleh Duli Yang Maha
Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong hanya  perlu
diwartakan  dan  tidak  perlu  lagi dibentangkan di Parlimen
memandangkan ianya hanya bertujuan untuk memberitahu sahaja.
Adakalanya, seperti pada tahun 1969,  Parlimen  tidak  dapat
bersidang  kerana  rusuhan  yang  menyebabkan pengisytiharan
dibuat.
Tuan Yang Di-Pertua,
11.  Dengan pindaan-pindaan  yang  dicadangkan  ini,  adalah
dipercayai  peruntukan-peruntukan  berkenaan  di  bawah Akta
Keselamatan Dalam Negeri akan menjadi lebih jelas lagi serta
tidak menimbulkan  sebarang  keraguan  dalam  penafsirannya.
Dengan  yang demikian, melalui pindaan yang dicadangkan ini,
Kerajaan  akan   dapat   melaksanakan   kewajipan   utamanya
memelihara dan mengawal keselamatan dalam negeri untuk terus
menjamin bahawa keamanan dan kestabilan negara berkekalan.
Tuan Yang Di-Pertua,
     Saya mohon mencadangkan.

 
 



 
Google