Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue :
Tarikh/Date : 26/06/89
Tajuk/Title : MEMBENTANGKAN PINDAAN ORDINAN
DARURAT (KETENTERAMAN AWAM DAN
MENCEGAH JENAYAH) 1969 BACAAN
KALI KEDUA
Tuan Yang Di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan supaya rang undang-undang
bernama suatu Akta untuk meminda Ordinan Darurat
(Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 dibacakan kali
kedua sekarang.
Tuan Yang Di-Pertua,
2. Kejadian jenayah yang berlaku di negara ini telah
menunjukkan peningkatan dari setahun ke setahun. Kejadian
jenayah yang berlaku pada tahun 1980 ialah 70,823 berbanding
dengan 78,479 dalam tahun 1988 iaitu peningkatan sebanyak
11%. Jika dianalisa tahun demi tahun, indeks kejadian
jenayah ini terus meningkat dari tahun 1980 hingga ke tahun
1986. Walau bagaimanapun indeks jenayah ini telah turun 10%
dalam tahun 1987 berbanding dengan tahun 1986 dan telah
turun 7.9% dalam tahun 1988 berbanding dengan tahun 1987.
Sungguhpun keadaan indeks jenayah semenjak dua tahun ke
belakangan ini telah turun tetapi kita belum boleh
berpuashati.
3. Apa yang menjadi kebimbangan kita ialah kejadian
jenayah kekerasan, pada keseluruhannya, telah menunjukkan
satu trend yang meningkat. Indeks jenayah kekerasan pada
tahun 1980 adalah sebanyak 7,481 berbanding dengan 11,721
dalam tahun 1987 iaitu pertambahan sebanyak 39%.
Peningkatan ini adalah satu aliran yang membimbangkan.
Jenayah kekerasan yang dimaksudkan ialah bunuh, cuba bunuh,
semua jenis samun termasuk bersenjatapi, rogol dan
mencederakan manusia.
4. Kira-kira 80% daripada kejadian jenayah kekerasan di
seluruh negara berlaku di Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang,
Selangor, Johor dan Perak. Negeri-negeri ini merupakan
negeri-negeri yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi
dan di negeri-negeri inilah juga terdapat kegiatan-kegiatan
ekonomi yang pesat. Kementerian Dalam Negeri amat memandang
berat kejadian-kejadian jenayah kekerasan di tempat-tempat
ini dan langkah-langkah sewajarnya perlulah diambil untuk
membanterasnya. Jika tidak, ketenteraman awam akan tergugat
dan sedikit-sebanyak boleh mengganggu kedatangan pelabur-
pelabur dan pelancong-pelancong asing ke negara ini.
Tuan Yang Di-Pertua,
5. Salah satu undang-undang yang digunakan semenjak tahun
1969 untuk membanteras kejadian jenayah kekerasan dan
aktiviti kongsi gelap ialah Ordinan Darurat (Ketenteraman
Awam dan Mencegah Jenayah) 1969. Undang-undang ini digubal
sebaik sahaja berlakunya Peristiwa 13 Mei bertujuan untuk
menstabilkan keselamatan dan ketenteraman awam dengan
mengenakan perintah-perintah tahanan dan sekatan ke atas
penjenayah-penjenayah.
6. Keengganan saksi-saksi memberi keterangan di mahkamah
adalah punca-punca utama yang menyebabkan seseorang itu
tidak dapat didakwa. Selain daripada itu terdapat sindiket-
sindiket penyeludupan senjatapi, perompak, perancang jenayah
colek yang sukar dihadapkan di mahkamah kerana mereka
berselindung. Adalah agak mudah sekiranya seseorang itu
ditangkap ketika memegang senjatapi di tangannya tetapi ini
tidak mungkin berlaku dengan orang yang merancang
penyeludupan senjatapi. Bagi penjenayah seumpama ini tidak
ada pilihan bagi Kerajaan melainkan mengenakan tindakan
undang-undang pencegahan terhadap mereka.
Tuan Yang Di-Pertua,
7. Pada masa ini sesuatu perintah tahanan yang dibuat oleh
Menteri boleh dipersoalkan di mahkamah dengan berbagai-bagai
cara. Cara yang paling kerap digunakan ialah dengan cara
'writ of habeas corpus'. Cara ini digunakan bagi
mendapatkan perintah mahkamah untuk membebaskan orang yang
masih ditahan. Setelah orang yang ditahan itu dibebaskan,
ia pula boleh memohon kepada mahkamah untuk mengisytiharkan
penahanannya dahulu tidak sah di sisi undang-undang dan
meminta mahkamah memberi pampasan kepadanya.
8. Permohonan-permohonan ke mahkamah itu biasanya dibuat
di atas beberapa alasan misalnya dengan izin 'mala fide'
atau 'bad faith' iaitu perintah tahanan dibuat atas
alasan-alasan yang terkeluar daripada tujuan undang-undang
berkenaan dan juga kerana syarat-syarat penahanan seperti
yang ditetapkan oleh undang-undang tidak dipatuhi dengan
sepenuhnya. Semenjak akhir-akhir ini diperhatikan juga
telah wujud kecenderungan mahkamah-mahkamah di beberapa
negara asing untuk memainkan peranan 'interventionist' dan
menggantikan keputusan pihak eksekutif mereka dengan
keputusan mahkamah.
Tuan Yang Di-Pertua,
9. Pindaan-pindaan yang dicadangkan dengan menambah
seksyen-seksyen baru 7C, 7D dan 7E kepada Ordinan Darurat
(Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah) 1969 ini bertujuan
untuk menghalang perintah tahanan yang dibuat oleh Menteri
itu dipersoalkan iaitu selain daripada atas alasan bahawa
kehendak-kehendak acara penahanan yang ditetapkan oleh
undang-undang tidak dipatuhi. Dengan pindaan ini kewibawaan
dan keikhlasan Menteri dalam membuat keputusan tidak boleh
dipertikaikan lagi.
10. Jika mahkamah dibiar menggantikan keputusan pihak
Kerajaan dengan keputusan mahkamah dalam perkara keselamatan
negara dan ketenteraman awam, ini bermakna tanggungjawab
bagi keselamatan negara terletak dengan mahkamah kerana
mahkamah yang menentukan keputusan muktamad mengenai
perkara-perkara keselamatan. Sebenarnya dalam berbagai
perkara, yang diakui sebagai pakar oleh mahkamah ialah
orang-orang yang terlatih dan bertanggungjawab dalam bidang
berkenaan. Yang pakar dalam bidang keselamatan ialah
pegawai-pegawai dalam agensi Kerajaan yang bertanggungjawab
mengenai keselamatan. Menteri bertindak atas nasihat pakar-
pakar ini. Pihak lain tidak boleh menganggap dirinya
sebagai pakar dan harus menerima keputusan yang diasaskan
kepada kepakaran.
11. Sehingga baru-baru ini, pihak Kerajaanlah yang
bertanggungjawab terhadap perkara keselamatan negara dan
ketenteraman awam. Penggunaan prinsip dengan izin
'subjectivive test' telah membolehkan Kerajaan bertindak
dengan berkesan ke atas mereka yang mengancam keselamatan
dan kestabilan negara. Adalah perlu kedudukan ini dijamin
melalui undang-undang kerana pihak Kerajaanlah merupakan
pihak berkuasa yang paling layak untuk menimbang dan
meneliti matlamat tertentu, khususnya perkara-perkara yang
sulit, dan membuat keputusan tentang tindakan pencegahan
demi keselamatan negara, dan bukannya mahkamah yang tidak
diberi tugas khusus untuk menjaga dan bertanggungjawab
terhadap keselamatan negara tetapi bertanggungjawab secara
umum berkenaan dengan keadilan sahaja.
Tuan Yang Di-Pertua,
12. Dengan pindaan yang dicadangkan ini, Kerajaan berharap
bahawa hanya soal-soal prosedur sahaja yang boleh
dipertikaikan di mahkamah. Budi bicara Menteri untuk
menentukan seseorang itu mengancam keselamatan negara dan
ketenteraman awam tidak boleh dipersoalkan lagi di mahkamah.
Ini bertujuan untuk memastikan dengan jelas akan peranan dan
kuasa eksekutif khususnya Menteri Dalam Negeri dan peranan
yang dimainkan oleh seseorang hakim di mahkamah.
Tuan Yang Di-Pertua,
Saya mohon mencadangkan.
|