home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : DEWAN RAKYAT Tarikh/Date : 28/06/89 Tajuk/Title : MEMBENTANGKAN KAJIAN SEPARUH ENGGAL RANCANGAN MALAYSIA KELIMA Tuan Yang Di-Pertua, Saya dengan sukacitanya berdiri di Dewan yang mulia ini untuk mengemukakan usul yang berikut: "Bahawa Dewan ini menyedari kemajuan yang telah dicapai dalam usaha melaksanakan tiga tahun pertama Rancangan Malaysia Kelima; bersetuju dengan usaha-usaha Kerajaan meneruskan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk mencapai tujuan utama iaitu perpaduan negara serta mengekalkan keamanan dan keselamatan, dalam konteks pertumbuhan ekonomi yang stabil dan berterusan; meluluskan dan menyetujui Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kelima, yang telah dirangka untuk meliputi dasar-dasar dan program-program bertujuan untuk meninggikan lagi pertumbuhan ekonomi dan melaksanakan langkah-langkah untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat, seperti yang dibentangkan dalam Kertas Perintah Bil. 23 Tahun 1989; Bahawa dalam meluluskan Kajian Separuh Penggal ini, Dewan ini menyeru semua rakyat Malaysia daripada segenap lapisan untuk berusaha dengan gigih lagi, sesuai dengan hasrat Rukunegara dan bersatupadu untuk mewujudkan negara yang adil, progresif dan kukuh. MATLAMAT PEMBANGUNAN ____________________ Tuan Yang Di-Pertua, 2. Kira-kira tiga tahun yang lalu, saya berdiri di Dewan yang mulia ini untuk membentangkan agenda pembangunan bagi tempoh masa 1986 sehingga 1990. Matlamat agenda pembangunan tersebut ialah untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang stabil dalam jangka panjang. Bagi mencapai matlamat ini, saya telah menekankan betapa perlunya setiap daripada kita mengubah sikap dan berusaha ke arah membentuk satu masyarakat yang progresif, berpandangan positif serta mempunyai keyakinan diri untuk maju. Kerajaan sendiri telah memberikan segala bentuk dorongan ke arah perubahan- perubahan tersebut dan bersikap positif dalam usaha melaksanakannya. 3. Sekarang dengan sukacitanya ingin saya membentangkan Laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kelima bagi tempoh masa 1986 hingga 1988 untuk kita meninjau sejauh mana pencapaian kita, sejauh mana kita berjaya mengatasi masalah dan rintangan dan sejauh mana pula kita telah dapat membina kekuatan ekonomi kita bagi menghadapi cabaran masa depan. Kajian seperti ini bukanlah sesuatu yang baharu. Ianya telah menjadi tradisi dipertengahan pelaksanaan setiap rancangan pembangunan lima tahun. Walau bagaimanapun, Kajian Separuh Penggal kali ini besar ertinya kerana ianya memberi kita peluang bukan sahaja untuk menilai pencapaian matlamat yang telah kita tetapkan bagi Rancangan Malaysia Kelima, tetapi juga untuk Rangka Rancangan Jangka Panjang, 1971-90 dan Dasar Ekonomi Baru. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian perlu memberi perhatian kepada Kajian ini supaya dapat sama-sama kita menyumbang fikiran yang positif bagi meningkatkan pencapaian matlamat perancangan kita dan program-program di bawah Dasar Ekonomi Baru yang hanya tinggal lapan belas bulan sahaja. PRESTASI EKONOMI, 1986-88 _________________________ PERTUMBUHAN EKONOMI ___________________ Tuan Yang Di-Pertua, 4. Semasa Rancangan Malaysia Kelima dilancarkan dahulu, negara telah dilanda kemelesetan ekonomi yang teruk. Jumlah pendapatan negara, umpamanya, telah merosot sebanyak 7.9 peratus sementara Kerajaan pula menghadapi masalah kewangan. Di samping itu, kemelesetan ekonomi juga telah menjejaskan pengwujudan peluang-peluang pekerjaan hingga menyebabkan pengangguran terus meningkat. Dalam keadaan yang begitu terdesak, terdapat pula kesangsian di kalangan berbagai pihak tentang keupayaan kita untuk bangun kembali daripada kemelesetan tersebut. Ada juga pihak-pihak yang mendakwa bahawa kesemuanya ini berpunca daripada pengurusan ekonomi yang tidak cekap. Mereka ini sengaja lupa bahawa disebabkan oleh struktur ekonomi kita yang terbuka, di mana lebih separuh daripada pendapatan negara diperolehi daripada eksport, kemelesetan ekonomi dunia cepat merebak ke negara kita dan membawa kesan yang tidak diingini. 5. Perkembangan ekonomi beberapa tahun yang lalu membuktikan bahawa tuduhan-tuduhan tersebut adalah tidak berasas. Sebenarnya dengan pengurusan ekonomi kita yang teratur, pertumbuhan keluaran negara telah meningkat pada kadar yang lebih pesat dan dalam tempoh yang lebih singkat daripada yang dijangkakan. Pertumbuhan ekonomi pada tahun lalu umpamanya telah mencapai kadar 8.7 peratus, iaitu satu pertumbuhan yang paling tinggi dalam tahun 1980an setelah mencapai pertumbuhan pada kadar 5.2 peratus dalam tahun 1987 dan 1.2 peratus dalam tahun 1986. Di samping itu, kedudukan kewangan Kerajaan yang pada satu ketika membebankan sumber kewangan negara telah pulih lebih awal daripada yang dijangkakan, sementara jurang sumber yang menjadi masalah utama sebelum pelancaran Rancangan Malaysia Kelima juga telah dapat diatasi. SUMBER PERTUMBUHAN __________________ Tuan Yang Di-Pertua, 6. Punca utama pemulihan ekonomi kita adalah datangnya daripada perkembangan yang pesat dalam sektor eksport. Nilai eksport negara pada tahun 1988 telah meningkat kepada 55.3 ribu juta ringgit iaitu 55 peratus lebih tinggi dari tahun 1986. Ini bukan sahaja disebabkan oleh kenaikan harga barang utama eksport seperti getah, minyak kelapa sawit, bijih timah dan petroleum, tetapi juga oleh jumlah pengeluaran yang lebih tinggi, khususnya dalam sektor pertanian moden dan pembuatan. Pengeluaran sektor pembuatan meningkat pada kadar 12.8 peratus dalam tahun 1987 dan 18 peratus dalam tahun 1988 setelah didorong oleh permintaan luar dan dalam negeri. Nilai eksport barang pembuatan dalam tahun 1988 adalah 75 peratus lebih tinggi daripada nilai tahun 1986. Ini merupakan satu perkembangan penting dalam usaha Kerajaan untuk memperkukuhkan proses perindustrian negara supaya ekonomi kita tidak terlalu bergantung kepada eksport barang- barang mentah. 7. Pemulihan yang pesat daripada sektor eksport memberi kesan yang besar kepada ekonomi negara. Imbangan pembayaran di antara eksport dan import telah menunjukkan lebihan mulai tahun 1986, setelah mengalami defisit yang berterusan semenjak tahun 1980. Sistem kewangan negara menjadi lebih kukuh berbanding dengan kesesakan sumber kewangan yang dialami dalam tahun-tahun 1985 dan 1986. Kadar faedah bank menurun ke paras yang terendah semenjak tahun 1974. Pendapatan per kapita pula telah meningkat daripada $4,073 pada tahun 1986 ke $5,070 pada tahun 1988. Perbelanjaan pengguna mencatitkan pertumbuhan yang besar seperti ternyata daripada angka-angka penjualan barang- barang pengguna seperti peti sejuk, televisyen, motosikal dan kereta. Pendek kata, keseluruhan ekonomi kita sedang menikmati pertumbuhan yang menggalakkan. PERANAN SEKTOR SWASTA _____________________ Tuan Yang Di-Pertua, 8. Sektor swasta juga memainkan peranan yang besar dalam pertumbuhan ekonomi semenjak tahun 1987. Beberapa angka petunjuk membuktikan perkembangan pesat dalam sektor swasta. Jumlah modal bagi projek-projek yang diluluskan oleh MIDA dalam tahun 1988 sebanyak $9,094 juta ialah 131 peratus lebih tinggi dibandingkan dengan jumlah yang diluluskan bagi tahun 1987. Jumlah import barang-barang yang digunakan untuk pelaburan atau capital goods meningkat sebanyak 13.5 peratus dalam tahun 1987 dan 38.9 peratus dalam tahun 1988. Pinjaman yang dikeluarkan oleh bank kepada sektor swasta juga telah meningkat dengan banyaknya. Permohonan yang diterima oleh Jawatankuasa Pelaburan Asing untuk membeli harta saham dan hartanah dalam tahun 1988 adalah lebih tinggi dari tahun 1986. 9. Pelaburan swasta mencatitkan pertumbuhan sebanyak 23.5 peratus dalam tahun 1988 berbanding dengan 6.5 peratus dalam tahun 1987 dan kemerosotan sebanyak 16.3 peratus dalam tahun 1986. Sesungguhnya pertumbuhan sektor swasta ini bukan sahaja dipengaruhi oleh pemulihan sektor eksport, tetapi juga beberapa langkah positif yang diambil oleh Kerajaan untuk mewujudkan suasana yang lebih menarik bagi pelabur asing dan tempatan. 10. Kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang perlu untuk melonggarkan kawalannya terhadap pembangunan sektor swasta. Akta Penyelarasan Perindustrian 1975, telah dipinda dengan meningkatkan paras pengecualian mendapatkan lesen dan melonggarkan syarat hakmilik ke atas pelabur asing. Bagi perolehan harta pula, paras pengecualian kelulusan daripada Jawatankuasa Pelaburan Asing telah dinaikkan kepada $5 juta demi untuk memudah dan mempercepatkan pembelian dan pengambilan alih. Di samping itu, beberapa dasar kewangan juga diperkenalkan untuk menyediakan sumber pembiayaan yang cukup dan pada kadar yang munasabah kepada sektor swasta. Selain daripada langkah-langkah di atas, Akta Penggalakkan Pelaburan 1986 telah diperluas bagi menyediakan galakan fiskal kepada sektor pembuatan, pertanian dan pelancongan. Kerajaan juga telah mengurangkan kadar cukai korporat dengan tujuan supaya sektor swasta dapat meningkatkan lagi pelaburan mereka. 11. Minat pelabur-pelabur asing dan tempatan telah bertambah dan ini memberi petanda baik kepada kestabilan pertumbuhan ekonomi. Akhir-akhir ini sektor swasta telah menunjukkan kejayaan dalam meneroka pasaran antarabangsa bagi barang-barang yang selama ini hanya dijual dalam negeri. Kejayaan yang sama juga dapat dilihat di dalam syarikat-syarikat milik Kerajaan di mana kereta nasional umpamanya telah menembusi pasaran antarabangsa. Kerajaan percaya bahawa jika dorongan dan galakan yang disediakan oleh Kerajaan digunakan dengan baik, sektor swasta akan dapat menempa kejayaan yang lebih besar. Segala-galanya adalah bergantung kepada sikap sektor swasta sendiri. PERBELANJAAN AWAM _________________ Tuan Yang Di-Pertua, 12. Semasa negara menghadapi kemelesetan, Kerajaan telah mengambil langkah mengurangkan perbelanjaan pengurusan dan pembangunan. Pengurangan ini dibuat untuk menjaga kedudukan kewangan negara. Sebelum daripada itu Kerajaan telah meminjam dengan banyaknya untuk meneruskan pembangunan dan pelaburan supaya pertumbuhan ekonomi diteruskan di tahap yang tinggi. Jika amalan ini diteruskan semasa ekonomi negara meleset, kita mungkin menanggung beban hutang yang terlalu banyak seperti yang berlaku kepada beberapa buah negara membangun. 13. Pengurangan perbelanjaan pembangunan ini merupakan pilihan yang wajar memandangkan tahap kemelesetan yang dialami adalah berterusan dan di luar jangkaan dan ianya memberi kesan yang begitu berat terhadap kedudukan kewangan Kerajaan. Tambahan pula prospek pertumbuhan di masa itu adalah tidak pasti. Kerajaan berpendapat sekiranya perbelanjaan bagi Rancangan Malaysia Kelima dikekalkan pada paras yang asal iaitu $74 ribu juta, negara bukan sahaja terpaksa meningkatkan hutang luarnya, malah akan menghadapi risiko pertumbuhan yang perlahan di masa depan. Dengan lain perkataan, adalah lebih baik bagi kita berbelanja mengikut kemampuan kita. Berasaskan ini, perbelanjaan pembangunan sektor awam dikurangkan kepada $47.7 ribu juta. 14. Bagaimanapun, dengan perkembangan ekonomi yang bertambah baik akhir-akhir ini, Kerajaan telah bersetuju meningkatkan perbelanjaan pembangunan ke paras $57.5 ribu juta. Jumlah ini, walaupun masih rendah berbanding dengan peruntukan asal Rancangan Malaysia Kelima, adalah cukup untuk melaksanakan projek-projek pembangunan sehingga akhir tahun 1990. 15. Daripada jumlah peruntukan yang disemak semula ini iaitu $57.5 ribu juta, sebanyak $32.86 ribu juta adalah untuk perbelanjaan pembangunan Kerajaan Persekutuan dan sebanyak $16.4 ribu juta bagi Perusahaan Awam Bukan Kewangan (PABK). Daripada keseluruhan peruntukan bagi Kerajaan Persekutuan dan PABK-PABK, 76.17 peratus adalah diuntukkan kepada sektor ekonomi, manakala 17.24 peratus untuk sektor sosial. Bahagian sektor ekonomi telah dapat dikekalkan ke paras yang sama dengan paras asal semasa Rancangan Malaysia Kelima dilancarkan, manakala bahagian sektor sosial pula telah dipertingkatkan. 16. Kerajaan akan terus memberi keutamaan kepada projek- projek pembangunan luar bandar, serta pembangunan infrastruktur fizikal dan sosial. Malaysia boleh dianggap sebagai satu-satunya negara yang terbaik di rantau ini daripada segi taburan kemudahan infrastruktur. Walau bagaimanapun, kita masih perlu meningkatkan lagi mutunya kerana sistem infrastruktur yang efisien adalah sangat pent- ing bagi pertumbuhan ekonomi. Oleh itu, perbelanjaan bagi projek-projek infrastruktur seperti jalan, pelabuhan, keretapi, lapangan terbang, bekalan air dan elektrik, perlu dipertingkatkan lagi untuk memberi sokongan kepada perkembangan sektor-sektor penting, khususnya pembuatan, pelancongan dan pertanian. 17. Perbelanjaan pembangunan bagi agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dalam tahun 1986 hingga 1988 menunjukkan prestasi pelaksanaan yang kurang memuaskan. Oleh itu, usaha-usaha akan dilipatgandakan supaya prestasi pelaksanaan yang lebih tinggi dapat dicapai dalam tempoh lapan belas bulan akan datang ini. 18. Walaupun kedudukan kewangan sektor awam kini bertambah baik dibandingkan dengan kedudukan di dalam tahun-tahun 1986 dan 1987, Kerajaan akan terus mengawal perbelanjaan awam supaya kedudukannya kukuh. Bagi dua tahun akhir Rancangan Malaysia Kelima, akaun semasa Kerajaan Persekutuan dijangka mendapat lebihan dan ini akan mengurangkan defisit keseluruhan Kerajaan Persekutuan. Defisit keseluruhan pada masa ini berada di paras yang munasabah dan lebih rendah daripada anggaran asal Rancangan Malaysia Kelima. Kerajaan akan cuba mengurangkan beban hutang luar negeri dan oleh itu perbelanjaan pembangunan Kerajaan Persekutuan akan dibiayai terutamanya daripada punca-punca dalam negeri. Penswastaan projek-projek tertentu akan dibuat untuk mengurangkan beban perbelanjaan Kerajaan tanpa menjejaskan keperluan pembangunan untuk membantu pertumbuhan ekonomi negara. 19. Dalam usaha mengukuhkan kedudukan kewangan sektor awam, Kerajaan akan terus mengawal perbelanjaan PABK-PABK dan mengawas prestasi agensi-agensi tersebut. Agensi-agensi ini tidak sepatutnya bergantung kepada bantuan Kerajaan Persekutuan, tetapi hendaklah meningkatkan lagi punca-punca pendapatan sendiri. Kerajaan juga telah memutuskan supaya tidak lagi menubuhkan PABK-PABK yang baru, terutama yang memberi saingan kepada aktiviti sektor swasta. Sejajar dengan matlamat mengurangkan beban belanjawan sektor awam, pelaksanaan program penswastaan akan dipertingkatkan. Walaupun terdapat beberapa halangan di peringkat pelaksanaannya, kemajuan yang dicapai setakat ini adalah memuaskan. 20. Peranan sains dan teknologi sebagai satu alat untuk mencapai matlamat pembangunan negara dan satu sumber untuk mendorong pertumbuhan ekonomi telah dititik-beratkan dalam Rancangan Malaysia Kelima terutama dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan. Dalam hal ini satu peruntukan penyelidikan yang berjumlah $400 juta telah disediakan untuk aktiviti di sektor awam. Bagi tujuan mengurus aktiviti penyelidikan yang lebih terselaras mengikut keutamaan yang berasaskan matlamat pembangunan negara, dan yang sentiasa dapat diawasi, maka satu peraturan telah diwujudkan iaitu "Peningkatan Penyelidikan di Bidang Keutamaan" atau lebih dikenali sebagai, dengan izin IRPA (Intensification of Research in Priority Areas). Peraturan ini telah memberi kesan yang baik daripada segi pengemblingan tenaga penyelidikan ke arah matlamat yang dipastikan dan mendorong usaha penyelidikan secara kerjasama dalam institusi dan antara institusi dan dengan itu menghindar pembaziran sumber. Walau bagaimanapun banyak lagi yang perlu diperbaiki untuk mengemaskan peraturan itu supaya lebih berkesan dan juga untuk menjalin usahasama yang lebih dengan swasta. 21. Usaha penyelidikan dan pembangunan di pihak swasta pula, terutama sekali di sektor pembuatan, masih lembab sungguhpun Kerajaan telah mengadakan skim-skim galakan yang cukup. Demi perkembangan sektor perindustrian yang lebih mantap dan penghasilan barang-barang yang lebih berkualiti dan dengan itu boleh lebih bersaing di pasaran luar negeri, pihak swasta digesa mempertingkatkan usaha penyelidikan dan pembangunan mereka sama ada secara 'in-house' ataupun melalui usahasama dengan institusi-institusi penyelidikan Kerajaan dan universiti-universiti. DASAR EKONOMI BARU __________________ Tuan Yang Di-Pertua, 22. Semenjak Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan mulai dari tahun 1971, banyak kemajuan telah dicapai terutama matlamat pembasmian kemiskinan di kalangan rakyat dan mengurangkan jurang perbezaan di antara kaum khususnya daripada segi pekerjaan dan hakmilik harta. Matlamat Dasar Ekonomi Baru ini telah dirumus di bawah Rangka Rancangan Jangka Panjang, 1971-90 dalam konteks ekonomi yang berkembang pesat kerana ini adalah perlu bagi meluaskan peluang-peluang pekerjaan dan pendapatan kepada golongan yang miskin dan kawasan kurang maju. 23. Perkembangan ekonomi kita dalam tahun-tahun tujuh puluhan mencatatkan pencapaian yang tinggi iaitu pada kadar purata 6.6 peratus dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua, 1971-75 dan 8.5 peratus dalam tempoh Rancangan Malaysia Ketiga, 1976-80. Tetapi dalam tempoh Rancangan Malaysia Keempat, 1981-85 pertumbuhan ekonomi telah merosot ke paras purata 5.1 peratus. Kemelesetan ekonomi yang dialami dalam tahun 1985, di mana pertumbuhan ekonomi berada di paras negatif, terus lembab sehinggalah pulih dalam tahun 1987. 24. Walaupun keadaan ekonomi kurang memuaskan di awal dekad lapan puluhan, kita masih boleh berbangga dengan kemajuan yang telah dicapai dalam pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru. 25. Kadar kemiskinan di Semenanjung Malaysia telah dapat dikurangkan daripada 49 peratus dalam tahun 1970 kepada paras yang jauh lebih rendah iaitu kira-kira 17 peratus dalam tahun 1987. Kemajuan yang telah dicapai ini menunjukkan bahawa program-program pembangunan Kerajaan terutama sekali di luar bandar telah dapat memberi kesannya ke atas pengeluaran dan pendapatan di kalangan golongan miskin seperti pekebun-pekebun kecil getah, penanam padi, nelayan, dan pekerja-pekerja estet. Di samping itu bilangan kumpulan ini akan menurun kerana anak-anak mereka setelah mendapat pelajaran akan bekerja di bidang-bidang lain yang memberi pendapatan yang lebih tinggi, termasuk jawatan- jawatan profesional. Beberapa petunjuk sosial juga menunjukkan bahawa lebih ramai penduduk luar bandar dapat menikmati kemudahan-kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik serta jalan-jalan. 26. Semasa saya membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Keempat dahulu, saya telah menerangkan tentang konsep kemiskinan di negara ini. Apabila kita menyebut golongan miskin di negara kita, keadaannya tidaklah seburuk seperti yang terdapat di beberapa buah negara membangun yang lain. Oleh itu, apabila golongan miskin di negara ini menghadapi kesan kemelesetan, keadaan mereka tidaklah terlalu tertekan. Tambahan pula, keadaan tersebut adalah bersifat sementara. Apabila ekonomi negara mula pulih dan harga-harga komoditi meningkat, kehidupan mereka akan menjadi selesa dan usaha-usaha untuk membasmi kemiskinan akan dapat dicapai, insya-Allah. 27. Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian bolehlah meneliti angka-angka terperinci mengenai kemiskinan dan pengagihan pendapatan di kalangan kaum-kaum dan negeri-negeri dalam laporan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kelima ini. Dalam laporan ini juga, Kerajaan memberi maklum tentang pendapatan keluarga yang digunakan sebagai garis kemiskinan bagi tahun 1987 iaitu $350 untuk Semenanjung Malaysia, $533 untuk Sabah dan $429 untuk Sarawak. Garis kemiskinan ini serta juga metodologinya telah diterangkan kepada ahli-ahli Majlis Perundingan Ekonomi Negara. Maklumat-maklumat lain yang diperlukan untuk perbincangan Majlis tersebut telah juga disediakan. Tuan Yang Di-Pertua, 28. Berbalik kepada matlamat kedua Dasar Ekonomi Baru iaitu penyusunan semula masyarakat, pencapaiannya juga boleh dibanggakan apabila dibandingkan dengan keadaan dalam tahun 1970 dahulu. Penyertaan bumiputera dalam sektor-sektor industri dan perniagaan menunjukkan bahawa penyertaan mereka dalam pekerjaan di sektor tersebut telah bertambah daripada segi peratusan dan juga daripada segi angka mutlak. Begitu juga daripada segi pemilikan harta saham dalam sektor korporat di mana milik bumiputera telah meningkat daripada 2 peratus dalam tahun 1970 kepada kira-kira 19 peratus dalam tahun 1988. 29. Namun demikian, kita patutlah sedar bahawa kemajuan penyertaan bumiputera dalam tahun-tahun lapan puluhan ini tidak sebegitu lancar jika dibandingkan dengan tahun-tahun tujuh puluhan. Ini adalah disebabkan oleh kemerosotan ekonomi terutama sekali dalam tahun 1985 dan 1986 yang telah membangkitkan beberapa masalah seperti pengangguran dan kekurangan perbelanjaan pelaburan di dalam sektor swasta dan awam. Dengan keadaan yang demikian, tidak banyak peluang- peluang dapat diwujudkan dalam ekonomi bagi meluaskan penyertaan bumiputera sama ada dalam pekerjaan ataupun dalam pemilikan harta korporat. 30. Daripada tambahan modal berbayar yang baharu sebanyak $20 ribu juta ringgit bagi tahun 1986 sehingga 1988, 21 peratus daripadanya adalah dimiliki oleh individu bumiputera dan syarikat-syarikat amanah, sementara 60 peratus oleh rakyat Malaysia yang lain dan 19 peratus oleh orang-orang asing. Ini menjadikan peratus hakmilik bumiputera di sektor korporat dalam tempoh tersebut tidak berubah iaitu kira-kira 19 peratus pada penghujung tahun 1988. Sementara itu, penyusunan semula gunatenaga juga tidak menunjukkan banyak perubahan di mana penyertaan bumiputera lebih tertumpu di sektor pertanian tradisional, sedangkan bukan bumiputera tertumpu di sektor kedua seperti pembuatan dan pembinaan. 31. Apabila negara dilanda kemelesetan, ada pihak yang ragu-ragu dengan kedudukan Dasar Ekonomi Baru di dalam agenda pembangunan negara, terutamanya yang berkaitan dengan penyusunan semula hakmilik. Perlu disedari bahawa Dasar Ekonomi Baru bukan semata-mata terhad kepada bumiputera sahaja dan aspek-aspek ekuiti. Pengwujudan peluang-peluang pekerjaan, pendidikan dan bantuan kepada mereka yang berpendapatan rendah adalah juga sebahagian daripada matlamat Dasar Ekonomi Baru. Dan ini dapat diteruskan walaupun pemilikan aset oleh bumiputera tergendala disebabkan kemelesetan. 32. Ada pula pihak-pihak yang berpendapat bahawa mekanisma penyusunan semula telah menjejaskan prestasi ekonomi dengan mengurangkan pelaburan swasta. Sebenarnya tidak terdapat bukti yang dapat menyokong dakwaan ini. Kemerosotan pelaburan swasta di awal tempoh Rancangan Malaysia Kelima lebih merupakan reaksi jangka pendek tentang prospek ekonomi yang tidak pasti dan penyesuaian yang terpaksa dibuat akibat berterusannya permintaan yang rendah di seluruh dunia. Dalam hubungan ini, usaha-usaha telah ditumpukan ke arah memulihkan pertumbuhan dan meningkatkan daya saing di pasaran antarabangsa. Kerajaan umpamanya telah berusaha mengurangkan halangan-halangan pentadbiran, memperbaiki skim galakan pelaburan serta lain-lain dasar fiskal yang dapat membentuk suasana pelaburan yang lebih baik. 33. Ada pihak yang menganggap kelonggaran yang diberi kepada pelabur-pelabur asing bermakna DEB dibelakangkan. Di sini ingin saya menjelaskan mengenai pilihan yang harus kita hadapi. Pertama kita boleh menunggu sehingga kita mempunyai modal yang cukup untuk membiayai ekuiti yang telah kita tentukan sebelum kita meminta pelabur asing datang dan dengan itu ramai rakyat akan menganggur, atau keduanya, kita mengurangkan tekanan terhadap penyertaan kita dalam ekuiti untuk menarik pelaburan asing dalam industri-industri yang boleh memberi peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat. Yang pertama mengutamakan pelabur dan pemodal tempatan yang jumlahnya sedikit. Yang kedua mengutamakan peluang-peluang pekerjaan yang lebih banyak. Kerajaan memilih yang kedua kerana kita menganggap kepentingan para penganggur lebih utama daripada kepentingan para pemodal. Di samping itu pengwujudan peluang-peluang pekerjaan juga memenuhi matlamat DEB, iaitu membasmi kemiskinan. 34. Pendekatan ini telah mempercepatkan pembangunan industri pembuatan dan kemudahan pelancongan yang membantu pertumbuhan ekonomi negara supaya tidak tertinggal jauh di belakang negara-negara jiran dalam usaha-usaha untuk meningkatkan taraf hidup rakyat masing-masing. Jika kita mengutamakan pertumbuhan ekonomi, sebabnya ialah kerana ia mempunyai kaitan yang rapat dengan kebahagiaan hidup rakyat. Sudah tentu kemajuan ekonomi mempunyai kaitan secara langsung dengan pengangguran. Semasa kemelesetan peratusan penganggur meningkat kepada 8.3 peratus daripada jumlah semua jenis tenaga pekerja termasuk lepasan universiti. Tuan Yang Di-Pertua, 35. Jika Kerajaan menekankan akan betapa pentingnya negara kita memperlihatkan ketenteraman dalam hubungan pekerja dengan majikan, dengan izin 'industrial peace', sebabnya ialah kerana kita berasa bertanggungjawab terhadap mereka yang menganggur dan juga mereka yang sedang bekerja. Jika iklim pelaburan diburukkan kerana tidak wujud 'industrial peace', maka peluang-peluang pekerjaan baru tidak dapat diadakan bagi yang menganggur. 36. Mereka yang sudah mempunyai kerja harus bertanggungjawab juga, kerana kemelesetan bukan sahaja mengurangkan peluang-peluang pekerjaan tetapi kadang-kala mereka yang sudah bekerja pun boleh digugurkan. Ini terjadi kepada ramai pekerja di masa kemelesetan baru-baru ini. 37. Jika kita perhatikan beberapa negara yang sekarang menjadi negara-negara perindustrian baru atau NICs, kemajuan mereka adalah disebabkan 'industrial peace' yang terdapat di negara-negara mereka. Hasilnya ialah di negara-negara ini upah pekerja meningkat begitu tinggi sehingga para pengusaha mereka sekarang terpaksa melabur di luar negeri untuk menikmati kos upahan yang rendah. Insya-Allah, jika negara kita maju kerana ada 'industrial peace', semua pekerja akan mendapat upahan yang lebih seperti para pekerja di negara- negara perindustrian baru. PROSPEK 1989-90 _______________ Tuan Yang Di-pertua, 38. Berasaskan kepada pencapaian serta beberapa perkembangan terakhir, saya percaya ekonomi negara sudah pulih sepenuhnya daripada bencana kemelesetan. Walaupun terdapat halangan-halangan di dalam perkembangan ekonomi antarabangsa, saya yakin bahawa kita akan dapat mengatasinya. Atas keyakinan ini, pertumbuhan ekonomi negara dijangka berkembang pada kadar 7.3 peratus bagi tahun 1989. Saya percaya pendapatan yang kita perolehi daripada eksport di tahun-tahun yang lalu akan berupaya menggerakkan kegiatan ekonomi dalam negeri. Walau bagaimanapun, pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun 1990 dijangka menurun sedikit iaitu di paras 6.7 peratus, kesan daripada pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia yang dijangka merosot sedikit dalam tahun tersebut. Oleh yang demikian, adalah penting bagi kita memastikan pendapatan daripada eksport kita digunakan untuk menambah keupayaan pengeluaran negara dan bukan disimpan di luar negeri bagi tujuan keuntungan jangka pendek dan untuk kepentingan persendirian. 39. Berdasarkan ramalan pertumbuhan ini, kita mungkin akan mencatatkan pertumbuhan ekonomi pada paras purata 5.8 peratus bagi tempoh 1986 sehingga 1990, lebih tinggi daripada matlamat asal Rancangan Malaysia Kelima iaitu 5 peratus. Kita juga akan dapat melihat transformasi struktur ekonomi ke arah yang diharapkan terutama dalam konteks memperkukuhkan kedudukan ekonomi negara. Ramalan-ramalan awal ini menunjukkan bahawa kita juga akan mencapai matlamat jangka panjang pembasmian kemiskinan mutlak bagi Semenanjung Malaysia. Apa yang membanggakan kita ialah pendapatan purata kesemua projek-projek pertanian tajaan Kerajaan berada pada paras yang lebih tinggi daripada garis kemiskinan. Di samping itu, penyesuaian yang dibuat dalam beberapa tahun lalu, telah meningkatkan produktiviti terutama di sektor pembuatan yang dijangka meningkat sebanyak 5 peratus setahun. 40. Ahli-ahli Yang Berhormat, di sebalik kemajuan-kemajuan yang saya sebutkan tadi, kita mungkin tidak akan mencapai matlamat jangka panjang bagi penyusunan semula masyarakat. Peratusan milik bumiputera di sektor korporat dijangka hanya mencapai paras kira-kira 20 peratus dalam tahun 1990. Sementara itu, bagi penyusunan semula gunatenaga pula, perbezaan di kalangan pelbagai kaum di dalam jenis-jenis pekerjaan akan berterusan. 41. Menyentuh tentang pengangguran pula, kadar pengangguran bagi tahun 1990 hanya dapat dikurangkan kepada 7.6 peratus berbanding dengan 8.1 peratus dalam tahun 1988. Kita perlu mengambil perhatian bahawa jumlah yang menganggur sekarang ialah 534,700 orang. Di samping itu tenaga buruh pula bertambah tahun demi tahun. Untuk memberi pekerjaan kepada mereka, ekonomi kita perlulah berkembang pada paras yang lebih pesat, sekurang-kurangnya 7 peratus setahun. Dengan itu, adalah penting bagi kita mengamalkan dasar-dasar pembangunan yang akan memberi pertumbuhan ekonomi yang pesat supaya dapat kita mengatasi masalah pengangguran ini. 42. Namun demikian peratusan pengangguran tidak akan menurun selagi rakyat Malaysia terlalu memilih kerja. Semasa beribu-ribu peluang pekerjaan kosong, beribu-ribu pekerja menganggur. Di masa yang sama pendatang asing berebut-rebut ke Malaysia untuk mendapat kerja. Kerana terlalu memilih kita seperti 'Ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan'. TERAS PEMBANGUNAN _________________ Tuan Yang Di-Pertua, 43. Pertumbuhan ekonomi yang berterusan adalah pra-syarat kepada pencapaian matlamat perubahan struktur dan pembangunan sosial. Oleh itu adalah perlu segala keistimewaan yang terdapat di dalam ekonomi kita digunakan bagi mendapat manfaat sepenuhnya. Sementara itu, langkah- langkah bagi mengatasi sebarang halangan yang boleh menjejaskan pertumbuhan akan diteruskan. 44. Pengagihan sumber merupakan aspek terpenting di dalam pertumbuhan ekonomi. Adalah perlu pengagihan tersebut dibuat atas kriteria-kriteria yang menekankan kecekapan dan menghalang pembaziran. Kerajaan akan memastikan bahawa punca-punca pembiayaan dan sumber kewangan bagi sektor swasta adalah mencukupi dan disediakan pada kos yang munasabah. 45. Peranan dan fungsi sektor awam juga akan terus diteliti dengan tujuan mengurangkan beban kewangan Kerajaan, menghapuskan pembaziran dan meningkatkan kecekapan. Pengurusan syarikat-syarikat milik kerajaan hendaklah mengutamakan pulangan kepada pelaburan atau dengan izin 'returns on investment'. Amatlah aneh jika syarikat Kerajaan berharap kepada pelaburan modal tiap-tiap tahun, satu perkara yang tidak berlaku dalam dunia swasta. Walau bagaimanapun, program-program pembangunan infrastruktur yang boleh meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan perkembangan sektor swasta akan diteruskan. 46. Perbelanjaan pembangunan bagi agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan bahagian-bahagian yang telah dan akan diswastakan dalam tahun 1989 dan 1990 dijangka memberi kesan kepada perkembangan sektor swasta dalam aktiviti pembinaan dan juga pengeluaran. Selain daripada projek pembinaan saluran paip gas dan lebuhraya Utara-Selatan, perancangan sedang dibuat untuk mempercepatkan pelaksanaan beberapa projek infrastruktur di Lembah Kelang termasuk lebuhraya dan keretapi bagi mengatasi kesesakan laluan trafik di antara Kuala Lumpur dan Pelabuhan Kelang. Di kawasan utara pula, lebuhraya baru akan dibina di antara Kulim dan Prai bagi menyenangkan perhubungan kawasan perindustrian itu dengan Pelabuhan Pulau Pinang. Begitu juga dengan kawasan timur, di mana jalan-jalan baru akan dibina bagi menghubungi kawasan-kawasan pendalaman di Terengganu, Kelantan, Perak dan Pahang. Demikian juga di Sabah dan Sarawak, jalan-jalan persekutuan akan dibaiki supaya setaraf dengan jalan di Semenanjung. 47. Malaysia adalah sebuah negara yang kecil dan mudah dipengaruhi oleh perkembangan ekonomi antarabangsa. Walaupun kita tidak berupaya melindungi diri kita sepenuhnya daripada pengaruh-pengaruh luar, kita sebenarnya mempunyai ruang untuk mengurangkan tekanan daripada pengaruh tersebut. Dalam hubungan ini langkah-langkah akan terus diambil bagi mempelbagaikan eksport negara dan memperkukuhkan lagi pasaran tempatan. 48. Pertumbuhan ekonomi yang pesat dapat dicapai dengan sumbangan yang lebih besar oleh sektor pembuatan. Bagi tujuan ini, galakan perlu diberikan kepada industri yang boleh berkembang pesat, berdaya maju dan mempunyai keupayaan bersaing. Usaha-usaha perlu dibuat untuk mempelbagaikan keluaran, reka bentuk serta kegunaan barang-barang yang dihasilkan. Di samping itu penerokaan pasaran baru perlu dipergiatkan. Secara keseluruhan, pembangunan di sektor pembuatan akan terus menekankan aspek-aspek kecekapan dan keupayaan bersaing. 49. Kesemuanya ini bergantung terus kepada kebolehan menguasai teknologi. Pemindahan teknologi bukan sahaja bergantung kepada kesanggupan pihak yang mempunyai teknologi memindahkannya tetapi juga kesediaan kita berusaha menerima teknologi dan menggunakannya. Teknologi tidak akan datang bergolek. Ia perlu dikejar, dipelajari dan diamalkan. 50. Dalam hal ini, pihak bank di Malaysia hendaklah cekap dan sanggup membantu perusahaan-perusahaan yang menggunakan teknologi dan tidak memberi hutang hanya mengikut nilai cagaran. Bank-bank harus mempunyai pegawai-pegawai teknikal yang boleh membuat penilaian terhadap projek yang diasaskan kepada teknologi terbaru dan moden. Memang benar risiko akan bertambah tetapi tanpa kesanggupan mengambil risiko yang munasabah, Malaysia tidak mungkin mengadakan perusahaan teknologi moden sendiri. 51. Peruntukan penyelidikan yang munasabah akan terus disediakan dan pihak swasta diharap akan menambah kegiatan penyelidikan mereka pula supaya mereka mencapai 25% daripada usaha penyelidikan negara keseluruhannya seperti yang dimatlamatkan dalam Rancangan Malaysia Kelima. Sementara itu tindakan akan diambil untuk menimbulkan kesedaran di kalangan masyarakat saintis dan teknologis sektor awam tentang hubungan sains dan teknologi dengan ekonomi negara, tentang perlunya sebahagian besar usaha penyelidikan dikaitkan dengan kehendak-kehendak perindustrian dan tentang peri mustahaknya interaksi yang lebih antara sektor akademia dengan sektor swasta. 52. Pembangunan sektor pertanian pula harus dipandang daripada sudut jangka panjang terutama apabila halangan- halangan di sektor ini lebih merupakan kelemahan struktur. Dalam usaha menghidupkan kembali peranan sektor ini, perhatian akan ditumpukan kepada pemulihan dan penyusunan semula tanah-tanah pertanian dan kegiatan yang lebih daripada segi penyelidikan penghasilan dan penyelidikan hiliran, atau dengan izin 'production and downstream research'. Program-program pembangunan juga akan menekankan aspek-aspek komersial dan sikap berdikari serta penyertaan petani yang lebih aktif. Demikian juga dengan aktiviti-aktiviti perikanan. Cara-cara tradisional sudah tidak sesuai lagi. Kerajaan dan swasta harus berganding bahu untuk menghadapi cabaran zaman 'mass consumption'. 53. Di sini ingin saya mengambil kesempatan menyeru kepada sektor swasta supaya dapat memainkan peranan yang lebih besar dan berkesan dalam mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi negara. Bagi pihak Kerajaan, langkah-langkah yang perlu akan diteruskan bagi mengurangkan amalan-amalan pentadbiran dan struktur institusi yang menghalang pertumbuhan sektor tersebut. Tuan Yang Di-Pertua, 54. Dasar Ekonomi Baru akan terus mendapat tempat utama di dalam agenda pembangunan negara. Sementara kita menunggu konsensus dicapai di dalam Majlis Perundingan Ekonomi Negara, Kerajaan akan memastikan pelaksanaan program pembangunannya dibuat secara yang boleh memberi keuntungan jangka panjang kepada semua kaum di negara ini. Dalam usaha membasmi kemiskinan, perhatian akan ditumpukan kepada aspek-aspek kemiskinan relatif antara kaum dan kawasan. Sungguhpun kadar kemiskinan telah berkurangan, usaha-usaha perlu diambil bagi memperbaiki taraf hidup golongan termiskin. Sebenarnya cara yang berkesan sekali ialah mereka yang miskin tidak digalak menjadi penerima yang pasif sahaja. 55. Mengenai pembangunan tenaga manusia pula, tekanan lebih akan diberikan kepada pengetahuan dalam bidang pengurusan dan teknikal yang ada kaitan dengan pembangunan ekonomi negara. Nilai-nilai positif akan terus dipupuk di sekolah- sekolah dan lain-lain institusi pelajaran dan juga di kalangan golongan dewasa. Etika kerja yang baik perlu disemai bukan sahaja di kalangan pekerja biasa tetapi juga di kalangan eksekutif-eksekutif yang muncul dengan ramainya kerana perkembangan ekonomi. PENUTUP _______ Tuan Yang Di-Pertua, 56. Malaysia telah berjaya melalui tempoh kemelesetan dengan jayanya. Kedudukan ekonomi kita kini semakin kukuh. Ini adalah hasil daripada dasar-dasar penyesuaian ekonomi yang baik dan teratur. Sungguhpun begitu, ianya tidak bermakna bahawa kita boleh berdiam diri. Pencapaian dalam aspek-aspek penyusunan semula masyarakat, usaha-usaha pembasmian kemiskinan dan pembangunan tenaga manusia perlu dipertingkatkan lagi. Di samping itu, banyak lagi cabaran- cabaran yang perlu kita hadapi dalam memastikan pertumbuhan ekonomi yang berterusan. Menyedari keperluan ini, saya menyeru segenap lapisan masyarakat untuk menggembling tenaga dan melupakan kepentingan persendirian serta berusaha memastikan kemajuan yang lebih besar kepada masyarakat dan negara. Tuan Yang Di-Pertua, Saya mohon mencadangkan. |