Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KUANTAN, PAHANG DARUL MAKMUR
Tarikh/Date : 30/06/89
Tajuk/Title : MAJLIS PELANCARAN PROJEK PENGGUNAAN
GAS SEMENANJUNG, PERINGKAT II
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam
bahagia.
Yang Amat Berhormat Tan Sri Mohd Khalil Yaacob, Menteri
Besar Pahang Darul Makmur;
Yang Berhormat Datuk Dr. Sulaiman Haji Daud,
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kehakiman;
Yang Berbahagia Tan Sri Dato' Haji Basir Ismail, Pengerusi
Petronas;
Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Azizan Zainul Abidin,
Pengerusi Petronas Gas Sdn. Bhd;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati sekalian.
Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada
Petronas yang telah mengundang saya untuk merasmikan Majlis
Pelancaran Projek Penggunaan Gas Semenanjung Peringkat II,
atau ringkasnya PGU-II ini. Majlis pelancaran ini mempunyai
kepentingan nasional oleh kerana dalam tempoh dua tahun
sahaja lagi, apabila siap kelak projek ini, Malaysia akan
berada dalam era gas.
2. Bersyukur kita kepada Ilahi kerana negara ini telah
dikurniakan dengan berbagai-bagai sumber alam. Daripada
segi sumber tenaga, kita juga dianugerahi dengan bekalan
sumber yang tidak sedikit dalam bentuk petroleum, tenaga
hidro, gas dan arang batu. Satu perkara
yang ketara sekali mengenai sumber
tenaga negara ini ialah bahawa simpanan gas
kita jauh lebih besar daripada yang lain-lainnya. Buat masa
ini simpanan gas asli Malaysia dianggarkan kira-kira 52.5
trillion kaki padu. Sebaliknya simpanan minyak negara pula
ialah kira-kira 3,100 juta tong. Daripada segi persamaan
dengan jumlah minyak, simpanan gas Malaysia adalah tiga kali
lebih besar daripada simpanan minyaknya.
3. Justeru itu, tidak sahaja logik, malah wajar sekali
daripada segi ekonomi bagi Malaysia untuk membangunkan
sumber gas aslinya bagi memenuhi keperluan-keperluan
domestik. Gas bukan sahaja boleh digunakan sebagai bahan
api dan tenaga, tetapi juga menjadi bahan
mentah berbagai jenis baja dan plastik yang kegunaannya
semakin meluas.
4. Lagipun dalam dunia yang semakin memandang berat
tentang masalah pencemaran alam sekitar, kebaikan gas asli
berbanding dengan lain-lain bahan bakar fosil, daripada segi
kurangnya pencemaran udara dan pengeluaran karbon dioksida
memang telah diketahui. Walaupun masalah alam sekitar
Malaysia belum mencapai tahap yang dialami oleh negara-
negara perindustrian, kita juga memandang berat tentang
kesan-kesan pemanasan udara, atau 'greenhouse effect' dan
hujan asid. Dengan sumber gas asli kita yang besar
jumlahnya, maka bahan ini merupakan pilihan yang sesuai
daripada segi kebersihan dan sekitar.
Lagipun penggunaan gas akan mengurangkan import minyak bahan
api atau 'fuel oil', satu daripada barang keluaran tapisan
minyak yang tidak begitu banyak diperolehi daripada
penapisan minyak negara kita yang dikatakan minyak mentah
ringan atau 'light crude'.
5. Dengan itu opsyen gas bagi Malaysia ialah satu-satu
yang telah dipilih oleh Kerajaan, dan Petronas telah
ditugaskan untuk melaksanakan projek penggunaan gas di
Semenanjung ini. Dengan terlaksananya projek saluran gas
ini, industri-industri yang berasaskan gas akan berkembang
dengan lebih pesat lagi.
6. Pertumbuhan ekonomi menyebabkan peningkatan
permintaan tenaga. Pertumbuhan pesat
oleh sektor pembuatan, perkembangan dan
mordenisasi dalam sektor pertanian, perluasan jalan dan
lain-lain kemudahan dan peralihan cara hidup masyarakat
Malaysia adalah antara faktor-faktor yang menghasilkan
peningkatan ini. Keadaan ini akan berterusan seimbang
dengan perkembangan ekonomi. Pada tahun lalu negara
mencapai pertumbuhan ekonomi pada kadar 8.7 peratus. Bagi
tahun ini pertumbuhan ekonomi dijangka dalam lengkongan 7
peratus. Begitu juga bagi tahun 1990. Hasil daripada
perkembangan ini, permintaan tenaga negara dijangka terus
meningkat pada kadar 4 hingga 5 peratus setahun.
Berdasarkan unjuran ini, menjelang tahun 2005,
penggunaan tenaga Malaysia dijangkakan bersamaan kira-kira
600,000 tong minyak sehari, berbanding dengan 300,000 tong
minyak sehari pada tahun 1988.
7. Malaysia perlu membangunkan gas sebagai punca tenaga
alternatif, supaya eksport minyak kita dapat diteruskan
untuk mendapat tukaran asing yang diperlukan bagi membeli
barang-barang yang tidak dapat dikeluarkan oleh negara kita
sendiri. Oleh kerana gas juga boleh dieksport, sumber
tenaga lain seperti hidro atau arang batu akan
dibangunkan juga. Penggunaan berbagai bahan bakar
untuk penjanaan elektrik adalah strategi negara
kerana kita ingin mengelakkan daripada diancam oleh
kekurangan bekalan mana-mana bahan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
8. Saya sedar tentang berlakunya debat mengenai persaingan
antara gas asli dengan kuasa elektrik. Persaingan antara
dua bahan ini berlaku di semua negara yang menggunakan bahan
tersebut dan ini adalah satu perkembangan yang sihat yang
akan menguntungkan pengguna.
9. Walau bagaimanapun Kerajaan akan berusaha supaya
persaingan ini tidak menjejaskan kepentingan negara.
Keputusan yang dibuat oleh Kerajaan
akan menjaga kepentingan Lembaga Letrik
Negara dan Petronas, di samping memberi
pulangan yang sesuai kepada lain-lain pihak yang turut
melabur dalam projek gas ini.
10. Gas asli hendaklah dilihat sebagai sumber tenaga yang
komplimentari kepada kuasa elektrik. Malah, di mana
terdapat gas asli, sesetengah Kerajaan menggalakkan
penggunaan gas bagi memenuhi sebahagian permintaan kediaman
dan komersial untuk mengurangkan tekanan ke atas sistem
elektrik di samping sebagai usaha mempelbagaikan sumber
tenaga.
11. Salah satu daripada kemungkinan yang paling menarik
dengan pembangunan gas di negara kita ialah
perkembangan itu akan membuka lembaran
baru bagi memperkembangkan perindustrian negara.
Dengan perkembangan ini, industri petrokimia akan dapat
membangun dengan lebih giat lagi bagi menjamin supaya
ekonomi negara dapat menghadapi perubahan dan keadaan turun-
naik yang sering berlaku dalam permintaan bahan dan
keluaran. Kita perlu memperbaiki dan memperluaskan asas
ekonomi kita. Industri petrokimia adalah satu lapangan yang
berpotensi untuk diperkembangkan.
12. Selaras dengan ini, dua projek petrokimia telahpun
dilancarkan. Projek-projek ini ialah Projek Methyl Tertiary
Butyl Ether (MTBE)/Propylene dan Projek Polypropylene.
Kedua-dua projek ini akan ditempatkan
di Kuantan, Pahang Darul Makmur dan akan siap
dalam tahun 1992.
13. Satu daripada komponen Projek PGU-II ialah pembinaan
loji memproses gas yang kedua di Kertih, Terengganu yang
akan dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan untuk
mengeluarkan ethane. Dengan adanya ethane, ini akan
membolehkan kita menubuhkan satu kompleks ethylene.
Sekarang ini beberapa pihak yang berminat sedang mengadakan
rundingan dengan Petronas bagi mengadakan usahasama untuk
menubuhkan kompleks ethylene tersebut.
14. Saya berharap penubuhan kompleks petrokimia yang akan
mengeluarkan beberapa bahan asas akan memberi
galakan kepada perkembangan industri
petrokimia di negara ini. Pada masa ini Malaysia
mengimport bahan petrokimia peringkat pertengahan untuk
menghasilkan barang-barang siap dalam bentuk benda dan bahan
plastik. Menjelang tahun 1992, kita akan mengeluarkan
polypropylene kita sendiri dan adalah menjadi harapan
Kerajaan bahawa industri-industri tempatan dapat merebut
peluang daripada bekalan bahan itu untuk mempertingkatkan
industri plastik, serta menarik para pengusaha dari luar
untuk menempatkan kemudahan pengeluaran mereka di Malaysia.
Di samping itu, kita juga akan mengeksport polypropylene
untuk meningkatkan lagi hasil negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
15. Saya difahamkan bahawa di peringkat kemuncak pembinaan
Projek PGU-II nanti, lebih 2,000 orang akan diambil bekerja
dalam berbagai-bagai lapangan. Di samping itu rakyat negara
ini akan menyertai secara aktif dalam semua aspek PGU-II
ini, daripada segi pengurusan projek, penyeliaan dan
pembinaan hinggalah ke peringkat permulaan operasi. Bagi
tugas raksasa seperti ini, adalah penting bagi setiap pihak
memainkan peranan mereka dengan berkesan dan memenuhi
kesemua jangkaan dan tempoh masa yang telah ditetapkan.
Oleh kerana industri ini adalah satu industri yang baru bagi
rakyat Malaysia, kita tidak harus malu
belajar daripada pakar-pakar asing.
Sebenarnya kita harus memerhatikan segala urusan dan
kerja mereka dengan teliti dan bekerja dengan gigih supaya
kita benar-benar cekap dan akan berupaya mengendalikan
industri gas di semua peringkat. Kita hanya boleh mendapat
nikmat yang maksima daripada gas kurniaan Tuhan ini jika
kita sanggup bekerja keras.
16. Dengan ini saya dengan sukacitanya mengisytiharkan
Projek Penggunaan Gas Semenanjung, peringkat II ini
dilancarkan dengan rasminya.
Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum
warahmahtullahi wabarakatuh.
|