Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : UNIVERSITI KEBANGSAAN
MALAYSIA BANGI
Tarikh/Date : 01/07/89
Tajuk/Title : UPACARA PERASMIAN KONGRES
CENDEKIAWAN MELAYU II
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat-Yang Berhormat;
Yang Berusaha Datuk Profesor Ismail Hussein;
Ahli-ahli Jawatankuasa Penganjur Kongres;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
Saya mengucapkan terima kasih kepada Penganjur Kongres
ini kerana menjemput saya untuk merasmikan Kongres
Cendekiawan Melayu Kedua ini. Saya percaya Kongres ini akan
dapat memberi manfaat kepada kita semua.
Saudara-saudari sekalian,
2. Struktur sesuatu masyarakat itu berubah dari masa ke
masa. Masyarakat mundur akan maju sekurun kemudian dan yang
maju mungkin lalai dan mundur semula. Sejarah dunia
membuktikan beberapa peradaban atau civilisation yang agung
wujud dan kemudian hancur pula. Sejarah turun-naik dan
maju-mundur sesuatu masyarakat tetap berulang.
3. Masyarakat Melayu yang mencapai kegemilangannya di
zaman Kesultanan Melaka kemudiannya mundur. Selepas itu
masyarakat Melayu dan Empayar Melaka berpecah sehingga
terbentuk negeri-negeri Melayu yang kecil dan tidak
berwibawa. Penjajah pun senang memecah dan menakluki negeri
dan masyarakat Melayu, mengeksploitasi ekonominya dan
mengubah corak dan komposisi penduduk Tanah Melayu. Selepas
lebih 400 tahun tanahair kita dijajah, akhirnya, kita
merdeka dan bebas menyusun sendiri langkah-langkah untuk
memajukan masyarakat Melayu.
4. Selepas lebih 30 tahun kita merdeka, banyak kemajuan
yang telah kita capai dalam berbagai-bagai bidang
terutamanya pelajaran. Dengan itu
bilangan cerdik pandai Melayu pun bertambah dengan pesat.
Sekarang di mana-mana sahaja kita boleh berjumpa dengan
profesor, doktor, jurutera, arkitek, ahli kimia, akauntan,
pengurus, pentadbir, guru dan lain-lain orang Melayu yang
termasuk dalam golongan cerdik-pandai. Kalau tiga puluh
tahun dahulu susah bagi kita mengadakan Kongres serupa ini,
hari ini kita dapat mengadakan Kongres Cendekiawan dengan
kehadiran yang ramai.
Saudara-saudari sekalian,
5. Adanya golongan terpelajar di kalangan kita membuktikan
kesediaan kita menerap ilmu tanpa mengambilkira puncanya.
Jika kita bersikap bahawa kita hanya
bersedia mempelajari ilmu daripada
punca-punca di kalangan masyarakat kita
sahaja, mustahil pencapaian kita dalam bidang-bidang yang
saya sebutkan tadi akan berada di tahap sekarang.
6. Kita mungkin dapat meneroka dan membangunkan semua
bidang ilmu dengan sendiri, tetapi tentulah ia akan
mengambil masa yang terlalu panjang dan kita tetap akan
ketinggalan. Dalam usaha memperkayakan ilmu di kalangan
bangsa kita, kita mestilah sanggup pergi ke mana-mana sahaja
tanpa mengira iklim atau bangsa. Saya percaya untuk
menguasai ilmu yang bermanfaat kepada kita, kita hendaklah
sanggup belajar walaupun daripada musuh kita.
7. Kesanggupan untuk belajar tanpa mengira punca
amatlah penting. Tidak kurang pentingnya
ialah kesanggupan mempelajari bahasa-bahasa lain supaya
ilmu-ilmu yang berguna dapat dipelajari melalui bahasa-
bahasa ini. Sentimen yang menghalang kita mempelajari
bahasa-bahasa asing tidak secocok dengan kewujudan
cendekiawan Melayu.
Saudara-saudari sekalian,
8. Menuntut ilmu tidak berakhir di peringkat universiti
dengan memperolehi ijazah-ijazah. Kita semua mengakui
bahawa penerapan ilmu adalah proses yang bermula daripada
buaian dan berakhir di liang lahad. Di segi penggunaan
ilmu, ia bermula apabila kita tamat pelajaran teori dan
memasuki bidang penggunaan secara praktikal. Apakah kita
sedia meneruskan proses mempelajari ilmu ini, ilmu yang
tidak lagi bercorak akademik atau teori, tetapi masih juga
merupakan ilmu?
9. Bangsa yang benar-benar berjaya dalam sejarah manusia
ialah bangsa yang cekap menggunakan ilmu untuk memperbaiki
kehidupan mereka. Kita mungkin mempertikaikan sama ada
sesuatu itu baik atau sama ada sesuatu itu tidak baik.
Apakah penggunaan teori relativiti untuk mencipta bom atom
merupakan satu kebaikan? Apakah mendaratkan manusia di atas
bulan satu kebaikan? Ahli falsafah di kalangan cendekiawan
boleh membahas perkara ini sehingga akhir zaman. Ini adalah
satu soal lain. Tetapi, yang tidak dapat kita nafikan ialah
kita berada di Kongres ini kerana ada manusia yang boleh
menggunakan ilmu secara praktikal untuk
membina dewan ini, mencipta pembesar
suara ini, mendinginkan udara dan lain-lain lagi.
10. Siapakah yang membolehkan semua ini? Mereka ini ialah
orang yang berjaya memperalat atau menggunakan ilmu secara
praktikal. Jika kita belajar setakat menyerap ilmu yang
kemudiannya kita tidak menggunakannya selain daripada
menyambung penyampaian ilmu itu kepada pihak lain, maka
hasil penerapan ilmu adalah terhad. Setelah memperolehi
ilmu, kita harus belajar pula bagaimana menggunakan ilmu
itu.
11. Di peringkat ini kita tidak ada ijazah dalam bentuk
scroll dan gelaran. Ijazah di peringkat ini ialah hasil
daripada penggunaan ilmu tadi atau 'practical
application' kita dalam bentuk barangan
atau wang keuntungan atau kejayaan kerja kita.
Kita perlu menghargai 'ijazah' praktikal ini sama seperti
ijazah dari universiti, atau mungkin juga lebih daripada
itu.
12. Di kalangan orang Melayu, 'ijazah' praktikal ini masih
berkurangan. Justeru itu, kita boleh berkata bahawa kita
masih kekurangan cerdik-pandai daripada sudut ini walaupun
di bidang-bidang yang lain kita sudah ramai.
Saudara-saudari sekalian,
13. Sesuatu bangsa kerap menyebut tentang kegemilangan di
zaman silam untuk meningkatkan semangat.
Sebenarnya bangsa yang bergantung kepada
kejayaan di zaman silam adalah bangsa yang
sudah mundur di zaman ini. Kejayaan dahulu hanya berguna
untuk meyakinkan diri akan kebolehan diri sendiri dan bukan
untuk menyedapkan hati. Pada hemat saya, bagi bangsa
Melayu, falsafah dan tindakan ala Hang Tuah dan Hang Jebat
tidak sesuai lagi. Kita, terutamanya cerdik-pandai, harus
mengetahui apakah yang kita hendak untuk kaum dan bangsa
kita, dan lebih penting lagi, apakah yang harus kita lakukan
untuk menjayakan hasrat kita ini. Khayalan dan bermegah-
megah dengan zaman dahulu tidak boleh dibiarkan melenyapkan
kenyataan masa kini.
14. Hari ini kita menghadapi berbagai cabaran dan usaha
untuk menghalang pencapaian kita. Kita
akan gagal jika kita membenarkan cabaran dan usaha ini
membawa kepada perpecahan di kalangan kita. Dalam
pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) umpamanya, pihak lain
sudah berjaya menyemaikan kepercayaan di kalangan beberapa
orang cerdik-pandai Melayu bahawa DEB memberi faedah hanya
kepada segelintir daripada kita. Mereka menunjuk kepada
beberapa kerat orang Melayu yang sudah menjadi kaya, dan
mengapi-apikan perasaan iri hati yang memang ada pada kita.
Akibatnya ada cerdik-pandai kita yang mengecam pelaksanaan
DEB.
Saudara-saudari sekalian,
15. Apakah salahnya kalau ada beberapa orang daripada kita
menjadi kaya? Apakah yang kaya sepatutnya
cuma orang lain sahaja? Harus kita ingat bahawa kalau yang
kaya antara kita bukanlah daripada mereka yang ditunjuk-
tunjukkan hari ini, tetapi sebaliknya terdiri daripada orang
lain pula, apakah tuduhan yang sama tidak akan dilemparkan?
Sebenarnya, mereka yang menuduh ini tidak senang hati
melihat ada antara kita yang dapat merebut peluang-peluang
daripada DEB ini serta memperolehi kejayaan.
16. Tetapi ada juga antara kita yang terbawa-bawa dengan
dakwaan bahawa DEB memberi kekayaan kepada segelintir
manusia tertentu dan oleh itu sedia menyertai mereka yang
lain ini mengecam satu dasar yang telah membawa nikmat
kepada kita. Ghairah dengan emosi yang dibangkitkan, kita
lupa bahawa jika pada hari ini terdapat
ramai cendekiawan Melayu, sebabnya ialah adanya DEB.
Benarkah semua yang mendapat peluang menuntut ilmu di
peringkat yang tinggi terdiri daripada golongan tertentu
sahaja? Jika benar, maka semua cendekiawan Melayu adalah
daripada keluarga yang terpilih atau privileged ini.
Benarkah? Kehadiran saudara-saudari sekalian membuktikan
hakikat sebenarnya. Tidakkah ramai orang Melayu yang
berpelajaran berasal daripada keluarga-keluarga nelayan dan
petani, daripada keluarga miskin dan sederhana, walaupun ada
juga daripada golongan atasan? Apakah kerana seseorang itu
daripada golongan atasan, ia tidak berhak merebut peluang-
peluang DEB?
17. Apakah DEB tidak menguntungkan para nelayan dan petani
yang miskin dan anak-anak mereka?
Apakah segala pembangunan di luar bandar tidak disebabkan
oleh DEB?
18. Bagi mereka yang sanggup menerima kenyataan bahawa DEB
menguntungkan semua bumiputera dan Melayu, mereka harus
terus menyokong DEB. Amatlah malang jika cendekiawan yang
meraih peluang daripada DEB berpaling tadah kerana kononnya
ada segelintir orang Melayu yang kaya dan mengecam DEB
bersama-sama dengan pihak lain yang inginkan supaya orang
Melayu kekal dengan kemunduran mereka. Hasil daripada sikap
ini maka berjayalah pihak yang benar-benar mengetahui bahawa
hanya orang Melayu sahaja yang boleh menggagalkan usaha-
usaha orang Melayu.
Saudara-saudari sekalian,
19. Sekarang tanda-tanda menunjukkan bahawa Malaysia sudah
sampai ke titik peralihan atau 'take off point'. Dari
sekarang tahap pembangunan kita akan meningkat. Kita tidak
harus membuang masa bertikam lidah dan berpolemik kerana
jika kita gemar berbuat demikian dan tidak merebut peluang-
peluang DEB ini, kita mungkin 'miss the boat' dan tertinggal
buat selama-lamanya.
20. Saudara-saudari sekalian adalah kalangan yang boleh
membantu bangsa Melayu maju ke hadapan bersama dengan kaum-
kaum lain. Kita tidak berniat merebut hak orang lain,
tetapi kita berhak kepada hak kita. Segala prasarana
intelek sudah ada pada kita. Hanya yang
diperlukan ialah penggunaan atau application dengan cara
yang boleh mendatangkan hasil.
21. Saya benar-benar berharap Kongres ini akan
berorientasikan realiti dan pencapaian yang nyata. Bangsa
kita memerlukan sikap ini. Dan kita semua terhutang budi
kepada bangsa kita yang memberi peluang kepada kita
menganggotai kumpulan yang istimewa ini dengan harapan
sesuatu yang baik akan berhasil daripadanya.
Saudara-saudari sekalian,
22. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Kongres
Cendekiawan Melayu Kedua ini dan berharap ianya mencapai
kejayaan.
|