Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL FEDERAL, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	08/07/89 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN KONVENSYEN CUEPACS 




 Encik A. Ragunathan,
     Presiden CUEPACS;
Ahli-ahli Jawatankuasa CUEPACS;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan,
    Saya   mengucapkan  terima  kasih  kepada  Jawatankuasa
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan  Awam
atau  CUEPACS  kerana  menjemput  saya  ke  majlis perasmian
Konvensyen CUEPACS ini.   Saya percaya banyak  perkara  akan
dibincangkan  dan  saya  berharap  Konvensyen ini akan dapat
melahirkan rumusan- rumusan  yang  bermanfaat  bukan  sahaja
kepada CUEPACS tetapi juga kepada perkhidmatan awam.
2.   Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat
bersara   kepada   Encik  Ragunathan  yang  akan  menamatkan
perkhidmatan awam beliau dalam beberapa hari lagi.    Beliau
telah   berjaya   memimpin   CUEPACS   ke  arah  yang  dapat
menjalinkan hubungan yang baik dengan  Kerajaan.    Hubungan
seperti      ini       telah     membawa   manfaat    kepada
CUEPACS          dan        kepada        Kerajaan.     Saya
berharap       Encik        Ragunathan      akan       dapat
meneruskan   sumbangan  beliau  kepada  masyarakat  walaupun
selepas bersara daripada perkhidmatan Kerajaan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
3.   Idea kesatuan sekerja dan cara-cara  kesatuan  bergerak
untuk  melindungi  pekerja  daripada  dieksploitasikan  oleh
majikan dan menambah pendapatan pekerja sudah berusia  lebih
seratus  tahun.    Di  masa dahulu penganiayaan pekerja oleh
majikan amatlah  ketara  sehingga  pekerja  menjadi  seperti
hamba.    Pekerja  tidak dapat mempertahankan 'job security'
mereka.   Jika mereka membuat  kesalahan  walaupun  sedikit,
mereka     akan      dibuang     kerja.     Di masa   dahulu
tidak     ada        skim      simpanan      wang    pekerja
atau     pencen.     Jika   pekerja jatuh  sakit,  ia  tidak
mendapat  cuti  atau  rawatan.   Kerana terdapatnya tekanan-
tekanan seperti ini, maka tidak ada jalan lain bagi pekerja-
pekerja melainkan berkonfrontasi dengan majikan.
4.   Di masa yang sama  ahli-ahli  fikir  Barat  berpendapat
bahawa  masalah  pekerja  disebabkan  oleh sistem kapitalis.
Dengan itu mereka merancang sistem-sistem lain dengan tujuan
menghapuskan  kapitalisme  dan  kapitalis.    Maka  wujudlah
sistem  komunisme  dengan kepercayaan kepada dictatorship of
the proletariat  dan  sistem  sosialis  yang  mana  Kerajaan
mengambilalih  punca  kekayaan  supaya kekayaan negara dapat
diagihkan kepada semua pihak secara saksama.
5.  Melihat       akan       perkembangan       ini    pihak
kapitalis       telah          memperbaiki          hubungan
mereka     dengan    pihak  buruh  dan  membenarkan pekerja-
pekerja  mengadakan  kesatuan-kesatuan  sekerja.    Pekerja-
pekerja  pula  mencipta  berbagai  senjata industrial action
untuk menentukan majikan melayan tuntutan-tuntutan mereka.
6.   Kita tidak dapat  menafikan  bahawa  kebolehan  pekerja
berkonfrontasi  dengan  majikan  telah  membawa manfaat yang
banyak kepada pekerja.  Malangnya, konfrontasi mengakibatkan
kos yang tinggi kepada pertumbuhan ekonomi sesebuah  negara.
Dan  kos  ini  terpaksa  dipikul  bukan  sahaja oleh majikan
tetapi juga oleh pekerja dan masyarakat.
7.  Para     pekerja      tentulah      lebih          ramai
daripada       majikan.         Hakikat      ini       telah
menarik       oportunis-oportunis    politik  dalam  negara-
negara demokratik di mana suara ramai bererti kuasa.  Parti-
parti buruh pun tumbuh seperti cendawan, dipimpin bukan oleh
buruh sendiri, tetapi oleh golongan terpelajar dan lain-lain
pihak yang berkepentingan.  Sedikit demi sedikit kepentingan
pekerja  diketepikan  dan  kepentingan  politik  orang-orang
tertentu itu menguasai kesatuan-kesatuan.
8.   Akibatnya  ialah  kesatuan  sekerja  hanya menjadi alat
politik.  Kepercayaan sosialis ialah pekerja  akan  mendapat
nikmat apabila pihak sosialis berkuasa dan memilik-negarakan
segala  punca  kekayaan.    Tetapi apa yang kita lihat ialah
apabila     kemudahan-kemudahan     awam      dan  syarikat-
syarikat   gergasi   diambilalih, mereka bukan  sahaja  rugi
setiap  tahun,  tetapi para pekerja masih terpaksa melakukan
mogok  dan  mengambil  tindakan  perusahaan  untuk  mendapat
layanan.   Dan ini mengakibatkan beban kos yang tidak kurang
daripada zaman kapitalis.    Yang  lebih  jelas  lagi  ialah
negara-negara   sosialis   semakin  merosot  ekonominya  dan
pekerja-pekerja  mereka  kurang  mewah   berbanding   dengan
pekerja-pekerja negara-negara kapitalis.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9.   Di   negara-negara   komunis  yang  mengamalkan  sistem
ekonomi yang dirancang  dan  diuruskan  tanpa  tolak  ansur,
nasib       pekerja-pekerja      menjadi     lebih    buruk.
Mereka       sebenarnya         sebagai                hamba
sebagai hamba kepada Kerajaan, tidak   bebas    berkesatuan,
dibayar  gaji yang rendah, dan jarang merasai kehidupan yang
selesa.     Sementara   pekerja-pekerja   di   negara-negara
kapitalis  memiliki  rumah  sendiri,  kereta  dan  lain-lain
kemudahan, pekerja-pekerja di negara-negara komunis terpaksa
tinggal dalam  berek,  berjalan  kaki  atau  berbasikal  dan
terpaksa  beratur untuk membeli barang-barang keperluan yang
tidak pernah mencukupi.
10.  Hari ini ideologi  sosialis  dan  komunis  sudah  tidak
memikat  hati  orang-orang  sosialis  dan  komunis  sendiri.
Selepas  30  tahun,  komunis  Cina  menolak  sistem  ekonomi
komunis dan menerima sistem pasar terbuka kapitalis walaupun
masih    menolak  demokrasi.   Selepas  70   tahun   Soviet-
Russia juga tidak lagi percaya bahawa sistem ekonomi komunis
boleh membawa kebahagiaan  kepada negara dan rakyat Russia.
11.  Di kebanyakan  negara-negara  demokratik,  yang  dahulu
memilih Kerajaan sosialis, para pengundi berpaling tadah dan
melantik  Kerajaan yang percaya kepada sistem free trade dan
sistem kapitalisme.  Harta dan punca  kekayaan  yang  dahulu
dimilik-negarakan   oleh  kerajaan-kerajaan  sosialis  telah
dikembalikan semula kepada swasta.   Bahkan  khidmat-khidmat
yang dahulu diselenggarakan oleh kerajaan telah diswastakan.
12.  Semua  ini  berlaku  kerana setelah lebih seratus tahun
didapati     bahawa     ideologi    dan teori komunisme  dan
sosialisme       tidak         membawa         kebaikan  dan
kebahagiaan  kepada  rakyat dan kaum buruh.  Sesebuah negara
tidak dapat dibangunkan melalui  sosialisme  dan  komunisme.
Sebaliknya  ekonomi    dan    nasib   para   pekerja menjadi
semakin buruk.   Dalam masa yang  sama,  negara-negara  yang
bukan  sosialis  atau  bukan  komunis mencapai kemajuan yang
pesat dalam semua bidang dan  pekerja-pekerja  semakin  lama
semakin   mewah,  jauh  lebih  mewah  dan  bahagia  daripada
pekerja-pekerja dalam negara-negara sosialis dan komunis.
13.  Sebenarnya  sistem  sosialisme  dan   komunisme   hanya
menguntungkan  pemimpin-pemimpin  sahaja.    Pekerja-pekerja
tidak mendapat apa-apa.   Negara  tidak  mencapai  kemajuan.
Kehidupan  rakyat  terdesak  kerana bekalan makanan, pakaian
dan       lain-lain      keperluan         asas        tidak
pernah    mencukupi.    Taraf   hidup   jauh   lebih  rendah
daripada   taraf   hidup   yang  terdapat  di  negara-negara
kapitalis.
Tuan-tuan dan puan-puan
14.  Sekarang, pemimpin-pemimpin komunis dan sosialis  sudah
sedar  bahawa  sistem  mereka  tidak  mungkin dapat bersaing
dengan sistem negara-negara perdagangan  bebas.    Pemimpin-
pemimpin   ini   terpaksa  membelakangkan  ideologi  mereka,
mengakui kelemahan sistem mereka dan  menerima  sistem  yang
bergantung kepada private enterprise.  Ideologi yang menjadi
agama kepada mereka, terpaksa digugurkan kerana mereka tidak
dapat   menafikan  kenyataan  bahawa  amalan ideologi mereka
merugikan negara dan rakyat mereka  dan  tidak  mendatangkan
sebarang kebaikan.
15.  Sebaliknya,  lihatlah  pencapaian negara-negara seperti
Jepun, Korea  Selatan,  Taiwan,  Hong  Kong  dan  Singapura.
Negara-negara  ini  mengamalkan  sistem  free enterprise dan
dalam tempoh masa tiga dekad sudah menjadi negara yang kaya.
Jepun menjadi kuasa ekonomi yang terbesar di dunia dan  yang
empat negara lain itu menjadi NICs.
16.  Kekayaan  negara-negara  ini dinikmati oleh semua pihak
termasuk pekerja.    Dahulu  gaji  dan  pendapatan  pekerja-
pekerja di semua negara ini amatlah rendah berbanding dengan
negara  Eropah  dan  Amerika Syarikat.   Di empat negara NIC
itu,      gaji      para     pekerja   di semua    peringkat
adalah  rendah  daripada  pekerja-pekerja Malaysia.   Tetapi
hari ini gaji mereka tiga kali ganda lebih  tinggi  daripada
pekerja-pekerja  di  Malaysia, iaitu di paras $1,000 ringgit
sebulan.  Di samping itu tidak  ada  pengangguran  --  semua
rakyat  yang  sanggup  bekerja  boleh  bekerja  dan mendapat
pendapatan yang berpatutan.
17.  Yang anehnya kenaikan pendapatan pekerja yang pesat ini
bukan disebabkan oleh desakan para  pekerja  atau  kesatuan-
kesatuan  mereka.    Sebenarnya  di negara-negara ini hampir
tidak ada kesatuan sekerja yang efektif dan  sehingga  baru-
baru  ini tidak ada mogok dan lain-lain tindakan perusahaan.
Mungkin ada yang akan  berkata  pekerja-pekerja  di  negara-
negara      ini      tidak    bebas -- not free.      Tetapi
hakikatnya ialah pekerja-pekerja  mendapat  pendapatan  yang
lebih  baik dan hidup lebih bahagia daripada pekerja-pekerja
yang dikatakan bebas.  Apakah maknanya kebebasan jika  tidak
ada  hasil  yang  baik  daripadanya?    Di Malaysia pekerja-
pekerja bebas tetapi  kemajuan  pekerja-pekerja  kita  tidak
seperti kemajuan pekerja-pekerja di negara-negara NIC.
18.  Pemimpin-pemimpin  kesatuan  sekerja  di  Barat  selalu
menekankan mengenai kebebasan para  pekerja.    Mereka  amat
suka  jika  kebebasan  ini  membawa kepada tindakan-tindakan
perusahaan.  Apakah ini kerana mereka  ingin  mempertahankan
pekerja-pekerja  di  negara-negara  membangun?    Sebenarnya
mereka   tahu      dan     kita   juga  tahu  bahawa  mereka
ingin   melihat  ketenteraman  perusahaan  di  negara-negara
membangun  diganggu  supaya  keluaran   kita   tidak   dapat
bertanding dengan barang-barang keluaran mereka.  Sebab itu,
mereka  bercakap  mengenai kebebasan, mereka merapatkan diri
dengan pemimpin-pemimpin kesatuan sekerja  di  negara-negara
membangun   dan   mereka  memberi  bantuan  kewangan  kepada
kesatuan-kesatuan sekerja di negara-negara membangun.
19.  Jika benar  mereka  bersimpati  dengan  pekerja-pekerja
kita,  mereka  harus  menolong  menjayakan pemasaran barang-
barang kita di negara mereka yang kaya.    Tetapi  merekalah
yang  mendesak  supaya  dikenakan  sekatan  terhadap barang-
barang kita, ditarik balik GSP dan lain-lain lagi.
20. Kesatuan        sekerja         di  negara-negara   maju
mahukan           kesatuan           kita              bebas
bertindak  melulu,  mogok  dan  mengambil lain-lain tindakan
supaya  perusahaan  kita  tidak  kompetitif  dengan  mereka.
Simpati  yang mereka tunjukkan kepada kita adalah sebenarnya
untuk kepentingan mereka.  Sebab itulah di Amerika  Syarikat
mereka menyokong penarikan balik GSP daripada eksport negara
kita.
21.  Kita  percaya  kepada  kebebasan pekerja-pekerja tetapi
bukannya kebebasan  untuk  membinasakan  diri  sendiri  atau
kebebasan untuk menolong negara yang sudah mewah.  Kebebasan
mestilah  membawa  kebaikan  kepada  kita.   Kebebasan hanya
kerana berbangga dengan kebebasan tidak  berguna  dan  tidak
bermakna.
22. Saranan           saya         ialah           kebebasan
berkesatuan       dan        mengambil              tindakan
perusahaan tidak semestinya membawa kebaikan kepada pekerja-
pekerja.   Pendirian  bahawa  majikan-majikan  adalah  musuh
pekerja-pekerja   dan  mereka  mesti  berkonfrontasi  dengan
majikan-majikan tidak semestinya membawa  keuntungan  kepada
pekerja-pekerja.
23.  Sebenarnya  jika  kita  mengambil empat negara NIC tadi
sebagai contoh  yang  akan  memberi  pendapatan  yang  lebih
kepada pekerja-pekerja ialah pertumbuhan ekonomi yang pesat.
Pertumbuhan  ekonomi akan menambah peluang-peluang pekerjaan
sehingga permintaan tenaga kerja melebihi bekalan  --  iaitu
bilangan  kekosongan  melebihi bilangan pekerja.  Di   waktu
itu     majikan      terpaksa        bersaing      menaikkan
menaikkan  gaji  untuk mendapatkan pekerja-pekerja.  Majikan
yang sudah ada pekerja pun terpaksa  menaikkan  gaji  supaya
pekerja-pekerja tidak lari ke syarikat-syarikat lain.
24.  Jika   daya   pengeluaran   pula   ditingkatkan  kerana
kerajinan bekerja,  kos  pengeluaran  tidak  akan  meningkat
walaupun   gaji   naik.     Dengan  ini  barang-barang  yang
dikeluarkan masih kompetitif dan laris dijual.  Ekonomi akan
berkembang lagi dan permintaan tenaga kerja  akan  bertambah
dan gaji juga akan terus naik.
25.  Inilah  yang  berlaku  di negara-negara NIC.   Kenaikan
pendapatan secara ini lebih cepat daripada kenaikan  melalui
tuntutan       dan        ancaman      tindakan   perusahaan
Sebab     itu       dalam       jangkamasa     yang    sama,
kenaikan pendapatan  pekerja-pekerja  di  negara-negara  NIC
lebih  cepat daripada negara-negara lain di mana majikan dan
pekerja berkonfrontasi dan mogok diadakan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
26.  Masanya sudah tiba untuk kita memikirkan semula tentang
peranan   dan   cara-cara   bertindak   kesatuan    sekerja.
Sepertimana  ideologi  komunis  dan  sosialis sudah didapati
tidak dapat membawa  kebaikan,  sepertimana  konfrontasi  di
antara  Barat  dengan  Timur sudah tidak lagi berkesan dalam
memperluaskan pengaruh  masing-masing,  mungkin  sudah  tiba
masanya untuk kita memikirkan semula mengenai      kesatuan-
kesatuan sekerja dan peranannya sebagai pelindung  dan  alat
kebajikan para pekerja.
27.  Apakah nasib pekerja hanya boleh diperbaiki dengan cara
berkonfrontasi  dan  mendesak  sesuatu daripada majikan, dan
jika tidak, tindakan perusahaan akan diambil?   Atau  apakah
kesatuan-kesatuan  sekerja harus menumpukan perhatian kepada
peningkatan  daya  pengeluaran  oleh   para   pekerja   agar
perusahaan  lebih  berjaya,  dan  dengan  itu,  pekerja akan
mendapat layanan yang lebih baik?
Tuan-tuan dan puan-puan,
28.  Bagi Kerajaan Malaysia, kita berpendapat  nasib    para
pekerja       dan        penganggur      hanya         boleh
diperbaiki dengan adanya   pertumbuhan ekonomi  yang  pesat.
Kita  yakin  bahawa  jikalau  ekonomi  kita maju, maka tidak
dapat  tidak,  pekerja-pekerja  akan  mendapat  nikmat  yang
lebih.    Ke  arah  ini  kita  akan  memberi  galakan kepada
pelabur-pelabur supaya mereka berjaya dan dengan ini menarik
lebih ramai pelabur, sama ada  dari  dalam  atau  dari  luar
negeri.
29.  Jika   para   pekerja   dan   kesatuan  mereka  memberi
kerjasama,  bekerja  keras  dan   meningkatkan   lagi   daya
pengeluaran,  ini  akan  menolong  usaha negara meningkatkan
ekonomi dengan lebih pesat lagi.    Akhirnya,  para  pekerja
akan   menikmati  pendapatan  seperti  yang  dinikmati  oleh
negara-negara NIC dan Jepun.
Tuan-tuan dan puan-puan,
30.  Sudah  lebih  seratus tahun konsep dan peranan kesatuan
sekerja dianggap sebagai kumpulan pendesak  dengan  senjata-
senjata  tertentu.    Tetapi  zaman sudah berubah.   Majikan
bukan  lagi  satu   kumpulan   yang   terlalu   tamak   yang
memperhambakan  pekerja-pekerja  mereka.   Majikan memainkan
peranan yang penting mewujudkan  peluang-peluang  pekerjaan.
Mereka  memberi  cuti  yang berpatutan, membiayai pencen dan
mengadakan  kemudahan  rawatan  dan  riadah  bagi   pekerja-
pekerja.   Jika mereka tidak berlaku adil, ada undang-undang
yang boleh digunakan terhadap mereka.
31. Sepanjang       masa,      Kerajaan       yang   dipilih
oleh        rakyat,          yang        termasuk   pekerja,
akan      mengawasi      layanan   majikan terhadap pekerja.
Oleh kerana dalam demokrasi  pekerja  lebih  ramai  daripada
majikan,  Kerajaan tidak boleh membelakangkan pekerja.  Jika
Kerajaan melayan pelabur-pelabur dan majikan, sebabnya ialah
kerana kita mengutamakan kepentingan pekerja dan pengwujudan
peluang-peluang bagi pekerja-pekerja.
32.  Saya  berharap  kesatuan-kesatuan  sekerja   dan   para
pekerja  tidak  memikirkan  hanya  tentang keuntungan jangka
pendek.   Memang benar  tindakan  perusahaan  boleh  membawa
keuntungan segera, tetapi ia menjejaskan pertumbuhan ekonomi
yang      akan      menghadkan    keuntungan  jangka panjang
pekerja.      Kajikanlah       pencapaian    pekerja-pekerja
melalui       tindakan             perusahaan            dan
bandingkannya  dengan  pencapaian pekerja-pekerja di negara-
negara  yang  mencapai  pertumbuhan  ekonomi   yang   pesat.
Perhatikanlah  bagaimana negara yang kaya raya pun mengalami
kemerosotan ekonomi akibat tindakan perusahaan, dan pekerja-
pekerja mengalami kemerosotan pendapatan.
33.  Kita  tidak   hendak   menghapuskan   kesatuan-kesatuan
sekerja  atau  membelakangkan para pekerja.  Tetapi, seperti
kata pepatah Inggeris "There are many ways to skin  a  cat".
Apakah  di  zaman  ini  nasib  pekerja-pekerja  hanya  boleh
diperbaiki dengan tindakan perusahaan?   Atau apakah  jalan-
jalan lain seperti menolong meningkatkan pertumbuhan ekonomi
tidak      lebih       berkesan   dalam   usaha  memperbaiki
nasib pekerja-pekerja?  Sama-samalah kita memikirkannya.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
34.  Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan  terima  kasih
kepada  CUEPACS  kerana  menjemput saya ke Majlis ini.  Saya
percaya Konvensyen  ini  akan  mendatangkan  manfaat  kepada
CUEPACS  khususnya,  kepada  kaum  pekerja dan kepada negara
amnya.
35.  Dengan   ini   saya   dengan   sukacitanya   merasmikan
Konvensyen CUEPACS ini.

 

 



 
Google