Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : HOTEL MING COURT, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 15/07/89
Tajuk/Title : PERASMIAN PERSIDANGAN PERWAKILAN
KESATUAN PERKHIDMATAN TEKNIK
SEMENANJUNG MALAYSIA (MTSU)
Encik Alias bin Mohd. Ali;
Encik Mohamad bin Abas;
Encik A. Ragunathan;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan,
Saya mengucapkan terima kasih kepada Kesatuan
Perkhidmatan Teknik Semenanjung Malaysia atau MTSU kerana
menjemput saya ke Persidangan Perwakilan MTSU ini. Ini
adalah kali ketiga saya merasmikan Persidangan MTSU dan saya
berharap Persidangan ini akan menghasilkan idea-idea yang
akan memberi manfaat kepada semua ahli kesatuan sekerja ini.
2. Ini adalah minggu kedua berturut-turut saya berucap
kepada kesatuan sekerja. Hari ini saya berhadapan dengan
ahli-ahli MTSU. Pada minggu yang lepas saya telah
menghadiri Konvensyen CUEPACS. Seperti mana tuan-tuan dan
puan-puan sedia maklum, sebelum itu saya telah mengadakan
perjumpaan dengan MTUC. Nampaknya bulan ini
adalah bulan kesatuan sekerja bagi
saya. Tetapi apa yang penting kepada saya
ialah, ia menunjukkan kemesraan di antara kesatuan-kesatuan
sekerja dengan pihak Kerajaan. Saya berharap hubungan mesra
ini bukan sahaja dipelihara, tetapi juga ditingkatkan demi
kepentingan kita bersama.
Tuan-tuan dan puan-puan,
3. Kerajaan mempunyai hubungan baik dan mesra dengan
kesatuan-kesatuan sekerja sama ada dalam perkhidmatan awam
atau swasta. Dalam hal ini MTSU merupakan salah satu
kesatuan sekerja dalam perkhidmatan awam yang telah memberi
kerjasama serta menjalinkan hubungan baik dengan Kerajaan.
4. Sebagaimana tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum,
Kerajaan mengutamakan kerjasama dengan pihak kesatuan-
kesatuan sekerja termasuklah kesatuan-kesatuan sekerja dalam
perkhidmatan awam di mana Kerajaan merupakan majikannya.
Kesatuan-kesatuan sekerja awam telah memberikan kerjasama
yang diperlukan bagi menyelesaikan berbagai-bagai perkara
yang dihadapi oleh kakitangan Kerajaan dari semasa ke
semasa. Walau bagaimanapun kadangkala terdapat juga
perbezaan di antara pihak Kerajaan dengan kesatuan-kesatuan
sekerja awam, tetapi pada hemat saya, ini adalah perkara
biasa dalam negara yang mengamalkan demokrasi.
5. Pengalaman kita serta sejarah hubungan antara
Kerajaan dengan kesatuan-kesatuan sekerja awam jelas
menunjukkan bahawa lebih banyak faedah dan manfaat dapat
diperolehi daripada kerjasama antara dua pihak. Sebaliknya
jarang dapat kita menyelesaikan sesuatu masalah itu apabila
terdapat konfrontasi atau pergeseran dalam hubungan antara
Kerajaan dan kesatuan-kesatuan sekerja awam. Pendek kata,
kerjasama menghasilkan lebih banyak manfaat daripada sikap
pertentangan. Kerajaan berharap bahawa kesatuan-kesatuan
sekerja awam akan mengutamakan sikap kerjasama dan bertolak-
ansur dalam sebarang perundingan dengan pihak majikan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
6. Sepertimana kita sedia maklum, sektor perkhidmatan
awam merupakan perkhidmatan terbesar di negara kita.
Kira-kira 840 ribu orang kakitangan berkhidmat dalam
perkhidmatan awam. Pengwujudan perjawatan dalam
perkhidmatan awam meningkat dengan banyak pada tahun-tahun
tujuh puluhan dan awal lapan puluhan. Selepas itu, dengan
perlancaran dasar penswastaan dan dengan terlaksananya
langkah-langkah mengawal kewangan Kerajaan berikutan
kemelesetan ekonomi, pengwujudan jawatan-jawatan awam yang
baru telah terhad kepada jawatan-jawatan yang sangat penting
sahaja. Langkah ini adalah sangat perlu setelah kita
mengkaji kedudukan kewangan negara.
7. Di segi mengwujudkan peluang-peluang pekerjaan ini,
sektor swasta hendaklah memainkan peranan yang penting,
terutama apabila Kerajaan telah menetapkan bahawa pihak
swasta akan menjadi jentera utama dalam pembangunan ekonomi
negara pada masa hadapan.
8. Dalam hal ini Kerajaan telah melonggarkan beberapa
peraturan pelaburan bagi menarik lebih banyak pelaburan.
Strategi ini di samping memesatkan lagi pembangunan ekonomi
keseluruhannya, adalah juga untuk mewujudkan lebih banyak
lagi peluang-peluang pekerjaan di negara ini. Kerajaan akan
terus memastikan sektor swasta diberi galakan untuk
mewujudkan seberapa banyak pekerjaan. Syarat-syarat yang
lama yang lebih menekankan penyertaan penduduk tempatan dan
bumiputera dalam modal atau equity dikurang atau digugurkan
sama sekali, kerana semasa kemelesetan bahagian DEB yang
diutamakan ialah pembasmian kemiskinan tanpa mengira kaum.
Pengwujudan peluang-peluang pekerjaan memenuhi kehendak
pembasmian kemiskinan. Walaupun ini mungkin difikirkan
tidak ada kena mengena dengan peluang pekerjaan dan
pendapatan pekerja dalam sektor awam, sebenarnya secara
tidak langsung ia mempunyai kaitan yang rapat. Jika tidak
ada pertumbuhan ekonomi Kerajaan akan menghadapi kesukaran
membiayai jentera Kerajaan yang begitu besar.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9. Perubahan ekonomi ke arah perindustrian yang lebih
pesat memerlukan tambahan tenaga kerja dalam beberapa bidang
tertentu, terutama kejuruteraan, teknikal, pengurusan dan
bidang kemahiran tertinggi. Kerajaan telah menyelaraskan
sistem pendidikan dan latihan daripada peringkat sekolah
menengah lagi untuk memenuhi keperluan baru ini. Setakat
ini para lepasan sistem pendidikan dan latihan Kerajaan
telah dapat memenuhi keperluan itu. Kerajaan akan terus
mempertingkatkan keberkesanan dalam menghasilkan tenaga
kerja yang mahir, berpengalaman dan mudah menyesuaikan diri
dengan keperluan pihak swasta.
10. Saya ingin menyentuh sedikit mengenai perkembangan yang
sedang berlaku di negara kita. Semenjak galakan diberikan
oleh Kerajaan kepada para pelabur dalam berbagai jenis
industri peluang-peluang pekerjaan telah diwujudkan.
Tiap-tiap hari iklan berkenaan dengan peluang pekerjaan di
pelbagai peringkat disiarkan dalam akhbar. Dalam keadaan
ini sepatutnya bilangan penganggur berkurangan.
11. Tetapi pengangguran masih menjadi masalah kerana ramai
yang terlalu memilih kerja atau memilih tempat untuk
bekerja. Ramai yang mungkin tidak sanggup meninggalkan
kampung halaman untuk mengejar kerja. Ramai yang percaya
bahawa kerja-kerja tertentu tidak sesuai bagi mereka.
12. Pembangunan negara memerlukan pertumbuhan berbagai
bidang ekonomi. Pertumbuhan ekonomi juga akan meningkatkan
pendapatan pekerja. Jika rakyat Malaysia tidak sanggup
bekerja, ekonomi negara tidak akan tumbuh, akhirnya
pekerja juga yang akan menjadi mangsa. Justeru itu amatlah
penting kaum pekerja diorientasikan supaya dapat
menyesuaikan diri dengan iklim perubahan yang dilalui oleh
negara di waktu ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
13. Saya percaya ini adalah kali terakhir Saudara
Ragunathan menyertai MTSU. Saya mengenali Saudara Ragu buat
pertama kali apabila beliau mengetuai satu picket line di
Kementerian Pelajaran semasa saya menjadi Menteri Pelajaran.
Sebagai Menteri yang baru dilantik saya tidak senang hati
dengan kegiatan militant Saudara Ragu.
14. Masa yang panjang berlalu sebelum saya mengenali dengan
rapat Saudara Ragu. Saya dapati beliau adalah unionist
par excellence -- seorang yang amat dedicated kepada 'the
cause of the workers'. Walaupun beliau kenal dengan saya,
beliau tidak pernah lupa bahawa beliau mewakili kepentingan
pekerja. Tuntutan yang dibuat oleh beliau terutama sekali
berkenaan dengan Pembantu Teknik tidak pernah dihentikan
walau apa pun cadangan tolak ansur daripada Kerajaan.
15. Persaraan beliau bermakna satu kehilangan besar bagi
MTSU, dan juga gerakan buruh di negara ini. Saya ingin
mengucapkan selamat bersara kepada Saudara Ragu sebagai
presiden MTSU.
Tuan-tuan dan puan-puan,
16. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada MTSU
kerana menjemput saya ke Persidangan ini. Saya percaya
Persidangan ini akan menghasilkan sesuatu yang membina bukan
sahaja kepada MTSU tetapi juga kepada masyarakat
keseluruhannya.
17. Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya
merasmikan Persidangan Perwakilan MTSU ini.
|