Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	24/07/89 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN SEMINAR PELABURAN 
			NEGERI JOHOR 




 Yang Amat Berhormat Tan Sri Muhyiddin Yassin,
     Menteri Besar Johor;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan.
    Saya   mengucapkan   terima   kasih  kepada  Yang  Amat
Berhormat Tan Sri Muhyiddin kerana menjemput saya merasmikan
Seminar Pelaburan Negeri Johor ini.   Saya berharap  Seminar
ini  akan mencapai objektifnya iaitu memberi maklumat lanjut
mengenai kemudahan pelaburan di Johor kepada para pelabur di
Lembah Kelang, termasuklah Kuala Lumpur.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2.   Tanggungjawab  Kerajaan  terhadap   kebahagiaan   hidup
majoriti  rakyat  adalah  perkara yang utama dalam membentuk
dasar-dasar  Kerajaan.     Kerajaan  tidak   boleh   memberi
keistimewaan  kepada satu golongan kecil dengan mengorbankan
kepentingan dan kesejahteraan hidup majoriti rakyat.
3.   Kita telah menghadapi kesan kemelesetan, ramai penduduk
negara kita  menganggur,  termasuk  ramai  siswazah-siswazah
universiti.    Bilangan  mereka  meningkat  tahun demi tahun
apabila anak-anak muda meninggalkan sekolah  dan  universiti
untuk  mencari pekerjaan.   Di samping itu mereka yang sudah
bekerja pun kadang-kadang  terpaksa  diberhentikan.    Dalam
keadaan yang mana jumlah tenaga manusia melebihi permintaan,
pendapatan pekerja tidak mungkin meningkat.
4.   Bagi  mengatasi masalah kemelesetan ini, kita mempunyai
dua pilihan.    Kita  boleh  mengutamakan  segolongan  kecil
pemodal  tempatan memulakan perusahaan apabila mereka mampu,
atau kita mengutamakan peluang  pekerjaan  bagi  ramai  yang
menganggur  dan  yang  berpendapatan  rendah  dengan menarik
pelabur-pelabur asing bersama.   Berhadapan  dengan  masalah
ini  kita  memilih  kepentingan  pekerja dan penganggur yang
ramai.  Pelabur tempatan akan  berpeluang  kemudian  apabila
ekonomi  tumbuh semula dan mereka sekali lagi mendapat modal
setelah mengatasi tekanan kewangan akibat kemelesetan.  Jika
pelaburan dari dalam negeri tidak ada,  dan  pelaburan  dari
luar negeri dihalang pula, kesannya ialah pekerja tidak akan
mendapat   pekerjaan   dan   yang   menganggur   akan  terus
menganggur.    Ekonomi  negara  tidak   akan   pulih   dalam
jangkamasa   yang   pendek   dan  penderitaan  pekerja  akan
berterusan dan bertambah tahun demi tahun.    Sementara  itu
hutang  negara  yang  dibuat  dahulu   tidak   akan    dapat
dibayar.   Pembangunan negara  juga  akan  terhalang  kerana
Kerajaan tidak mendapat hasil yang mencukupi.
5.   Keadaan  di beberapa negara di Asia, Afrika dan Amerika
Selatan mencerminkan apa yang mungkin  berlaku  kepada  kita
jika  kita  tidak  memulihkan  ekonomi  negara  kita  dengan
segera.   Di  negara-negara  ini,  rakyat  menderita  kerana
kemiskinan  dan  inflasi  yang  tidak dapat dikawal.   Paras
inflasi di beberapa negara ini adalah sebanyak 2,000 peratus
setahun.  Harga barang-barang, termasuk makanan, naik setiap
hari, adakalanya sekali di waktu pagi  dan  sekali  lagi  di
sebelah petang.  Duit tidak mempunyai nilai lagi.  Akhirnya,
rusuhan  berlaku,  kedai-kedai  dirompak dan   pihak   asing
dapat  menghasut  rakyat  supaya   mengganggu   ketenteraman
negara.
6.   Jika  hari  ini  keadaan  di  negara kita tidak seperti
keadaan  di  negara-negara  tersebut,  sebabnya  ialah  kita
menguruskan  ekonomi  kita  dengan baik dan cermat.  Peluang
pekerjaan  diutamakan   apabila   memberi   galakan   kepada
pelaburan.  Pendapatan negara ditentukan dengan menggalakkan
industri   yang  berorientasikan  eksport.    Pinjaman  luar
dikurangkan  melainkan  jika  pinjaman  ini  boleh  menolong
membangunkan  ekonomi  dan  infrastruktur  untuk kepentingan
rakyat dan negara.
7.   Pemulihan ekonomi  di  negara  kita,  yang  kita  lihat
sekarang,   bukan   berlaku   dengan sendirinya.  Ada banyak
negara, yang dekat dan yang jauh,  yang  masih  tidak  dapat
memulihkan ekonomi mereka.  Sebaliknya ada negara jiran yang
membangun  dengan  pesat.    Jika  kita  tidak dapat memberi
kehidupan yang sempurna  kepada  rakyat  kita,  mereka  akan
terpaksa  berhijrah  ke  negara  yang maju ini untuk menjadi
buruh  kasar.    Amatlah  menghinakan  jikalau  rakyat  kita
terkenal  sebagai  punca  buruh  kasar  dan kuli bagi negara
lain.  Tetapi inilah nasib yang menunggu  rakyat  kita  jika
kita  mengutamakan  kepentingan  pemodal tempatan sahaja dan
membelakangkan kepentingan rakyat biasa.
8.   Pelaburan asing  diperlukan  sekarang  untuk  mengatasi
kemungkinan-kemungkinan  yang tersebut.     Sementara   kita
telah    dapat mengatasi kesan buruk ekonomi  yang  meleset,
kita  juga  dapat  memulihkan  semula  pemodal dan pengusaha
tempatan.    Mereka  akan  dapat  sekali  lagi  meningkatkan
peranan  mereka  dalam  ekonomi negara.   Hari ini pun dalam
ekonomi yang sudah kita pulihkan terdapat  pemodal  tempatan
yang  cermat  dan cekap menghasilkan barangan buatan ciptaan
sendiri yang bukan sahaja dipasarkan  dalam  negeri,  tetapi
juga dieksport.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9.   Kerajaan  sedang  menyusun  program  perindustrian yang
lebih agresif dan tersusun.    Beberapa  kelemahan  struktur
untuk melaksanakan program ini telah dapat dikenal pasti dan
diatasi.     Dan  sekarang    usaha-usaha  untuk  menjadikan
perindustrian, terutamanya  sektor  pembuatan,  punca  utama
pertumbuhan  ekonomi  negara  sedang berjalan dengan lancar.
Program  perindustrian  kita  telah  mengambilkira  beberapa
prinsip  asas  yang  terkandung  dalam  perakuan Pelan Induk
Perindustrian atau Industrial Master Plan.
10.  Sektor pembuatan  khasnya  telah  mencapai  pertumbuhan
yang  sangat  memuaskan,  bahkan melebihi jangkaan Kerajaan.
Ini  disebabkan  oleh  permintaan  ke   atas   barang-barang
pembuatan  kita  yang  tinggi  dari luar negeri.   Berikutan
dengan  pertumbuhan  ini,  sektor  pembuatan  telah  memberi
sumbangan  yang sangat bermakna dalam beberapa aspek: kepada
pertambahan   KDNK,   kepada   pengwujudan   peluang-peluang
pekerjaan,    dan   dalam peningkatan eksport negara, bahkan
eksport bagi barang-barang pembuatan negara  kita  merupakan
hampir  setengah  daripada  jumlah  eksport.    Pendek  kata
perindustrian, terutama perindustrian bagi sektor pembuatan,
akan  menjadi  tulang  belakang  ekonomi  negara  pada  masa
hadapan.     Sehingga  kini  sektor  ini  telah  membuktikan
kemampuannya.  Walau bagaimanapun, Kerajaan yakin kita boleh
membangunkan sektor pembuatan dengan lebih pesat lagi.
11.  Dalam usaha membangunkan sektor pembuatan,  kita  semua
harus  menerima  hakikat  bahawa  sektor pembuatan merupakan
sektor yang menghadapi persaingan yang paling  pesat,  bukan
sahaja  daripada  negara-negara  maju  bahkan  juga daripada
negara-negara membangun.  Dengan itu Kerajaan akan  sentiasa
membuat  kajian  dan  terus  membuat  pengubah-suaian segala
dasar dan strategi, serta berusaha bagi  memperluaskan  lagi
asas perindustrian dalam sektor pembuatan.
12.  Usaha  penswastaan  Kerajaan adalah sebahagian daripada
usaha menggalakkan persaingan di kalangan  swasta  dan  bagi
meningkatkan   mekanisma  pasaran  untuk  memastikan  segala
sumber-sumber  digunakan  secara  cekap  tanpa   pembaziran.
Setakat  ini dua puluh projek telahpun diswastakan, manakala
sembilan projek lagi  dalam  peringkat  penelitian  terakhir
untuk  diswastakan.  Secara tidak langsung dasar penswastaan
meningkatkan lagi aktiviti-aktiviti perindustrian.
13.  Seperkara lagi mengenai perindustrian negara kita ialah
usaha   Kerajaan   memperkukuh   dan   mempelbagaikan   asas
perindustrian.      Kerajaan   akan  memberi  galakan  serta
insentif- insentif kepada  pembangunan  industri  kecil  dan
sederhana,  serta meningkatkan kecekapan dan daya persaingan
kedua-dua industri tersebut daripada segi kualiti dan  harga
bagi   menembusi   pasaran  eksport.    Kerajaan  akan  cuba
mengatasi halangan-halangan  yang  terdapat  dalam  industri
kecil  dan  sederhana ini.   Sebagai strategi jangka panjang
pula, Kerajaan akan berusaha memodenkan, menyusun semula dan
memperluaskan asas kedua-dua industri ini.
Tuan-tuan dan puan-puan;
14.  Menyentuh tentang usaha-usaha  pihak  Kerajaan-kerajaan
Negeri  menarik  pelaburan ke negeri masing-masing, Kerajaan
Persekutuan  secara  tidak  langsung   memang   menggalakkan
persaingan  antara  Kerajaan-kerajaan  Negeri supaya jentera
Kerajaan Negeri akan menjadi lebih mampu bersaing dan dengan
demikian akan  terbina  pentadbiran  yang  lebih  licin  dan
berkesan.   Ini akan menggalakkan pelaburan yang lebih pesat
lagi.    Beberapa  buah  negeri,  oleh  kerana  lokasi  yang
strategik,  dapat menarik pelaburan dengan lebih senang lagi
daripada  yang  lain.    Walaupun  pertimbangan  lokasi  ini
merupakan   satu   kenyataan  yang  tidak  boleh  dinafikan,
persaingan antara Kerajaan-kerajaan negeri  masih  merupakan
satu perkara yang sihat.
15.  Bagi  Negeri  Johor  pula,  statistik  pelaburan  boleh
dikatakan menarik juga.  Bagi tiga tahun  yang  lalu,  iaitu
dari  tahun 1986 hingga tahun 1988, bilangan projek industri
pembuatan  yang  diluluskan   untuk   Johor   adalah   kedua
tertingginya   di   kalangan  semua  negeri,  iaitu  selepas
Selangor.  Daripada segi potensi mewujudkan  peluang-peluang
pekerjaan  pula,  projek-projek pembuatan di Johor mempunyai
potensi yang lebih tinggi daripada  Selangor,  mungkin  oleh
kerana  projek-projek  di  Johor  lebih  intensif penggunaan
buruhnya daripada projek-projek di  Selangor.    Saya  yakin
Johor   mempunyai   keupayaan  untuk  menarik  lebih  banyak
pelaburan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
16.  Saya  ingin   menyentuh   sedikit   tentang   pelaburan
Singapura   di Malaysia.  Pelaburan dari Singapura selalunya
menduduki tempat kedua atau ketiga di kalangan negara-negara
utama yang melabur di Malaysia semenjak beberapa tahun lalu.
Dengan itu Singapura merupakan punca pelaburan yang  penting
bagi  kita.    Di  samping  itu,  semenjak  setahun-dua ini,
industri-industri Singapura yang  menggunakan  ramai  tenaga
buruh  telahpun  menunjukkan  minat untuk menempatkan banyak
industri mereka di Malaysia.
17.  Sehubungan dengan ini, negeri terdekat  bagi  Singapura
ialah  Johor.    Saya  sedar  Kerajaan  negeri  Johor sedang
berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk  mengambil  peluang
baik  ini.   Saya percaya Johor akan dapat meningkatkan lagi
bilangan    projek     industri  pembuatan   mereka   dengan
terdapatnya   perkhidmatan  yang  lebih  cekap  kepada  para
pelabur.
18.  Mengenai usaha menarik pelaburan daripada Lembah Kelang
pula, usaha mengadakan Seminar ini menggambarkan  persaingan
antara  negeri-negeri dalam menarik pelaburan.  Seperti yang
saya katakan tadi, biarlah persaingan  ini  berakhir  dengan
peningkatan  kecekapan  bagi  pihak Kerajaan-kerajaan Negeri
dalam menguruskan permohonan  pelaburan  di  negeri  masing-
masing.
Tuan-tuan dan puan-puan;
19.  Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kerana diberi
peluang untuk berucap di Seminar ini. Saya berharap  Seminar
ini  akan  mencapai  objektifnya.  Dengan  ini  saya  dengan
sukacitanya merasmikan Seminar Pelaburan Negeri Johor ini.

 
 



 
Google