Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	WISMA MCA, JALAN AMPANG, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	30/07/89 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN PERHIMPUNAN AGUNG MCA 




 Yang Berhormat Dato Seri Dr. Ling Liong Sik,
     Presiden MCA;
Ahli-ahli Jawatankuasa Pusat MCA;
Wakil-wakil Parti-parti Komponen Barisan Nasional;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan,
    Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat
MCA kerana menjemput saya sekali lagi merasmikan Perhimpunan
Agung  MCA  ini.    Jemputan bagi Pengerusi Barisan Nasional
merasmikan Perhimpunan Agung MCA,  MIC  dan  beberapa  parti
komponen  lain  dalam  Barisan  Nasional  sudah menjadi satu
tradisi yang penting dalam merapatkan hubungan antara parti-
parti dan antara Kerajaan dengan parti.  Walaupun kadangkala
terdapat  perbezaan  pendapat  antara  parti-parti  komponen
tetapi   kerana   adanya   hubungan   rapat   di   peringkat
kepemimpinan, kita dapat  menyelesaikan  masalah  itu  tanpa
menjejaskan perpaduan dan keutuhan BN.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2.   Pada  keseluruhannya,  jentera  Barisan  Nasional telah
berjalan dengan lancar semenjak kita bertemu di  Perhimpunan
Agung  MCA tahun lalu.  Walaupun konsep Barisan Nasional ini
telah selalu kita sebut-sebutkan, tetapi elok juga,  sekali-
sekala,  kita  memperkatakannya  bagi  mengingati  diri kita
sendiri tentang pentingnya  konsep  muafakat  dan  kerjasama
yang terdapat dalam Barisan Nasional.
3.   Konsep  muafakat  dan  kerjasama dalam Barisan Nasional
jelas tergambar apabila kita menghadapi beberapa pilihanraya
kecil semenjak akhir tahun lalu.  Prestasi Barisan  Nasional
di   pilihanraya-pilihanraya  kecil  ini  adalah  memuaskan.
Barisan   Nasional   tidak   semestinya   memenangi    semua
pilihanraya  kecil yang diadakan, tetapi apa yang diperlukan
ialah kemenangan di kebanyakan pilihanraya  kecil  tersebut.
Keputusan-keputusan   pilihanraya   itu   sekurang-kurangnya
membuktikan tiga perkara -- pertama, sokongan rakyat  kepada
Barisan  Nasional  adalah  kuat,  keduanya,  konsep muafakat
dalam Barisan Nasional berfungsi dengan baik, dan ketiganya,
demokrasi tetap hidup.
4.   Di setiap pilihanraya kecil itu, Barisan Nasional telah
awal-awal lagi dapat menentukan mana satu parti  komponennya
yang  harus  mengemukakan  calon.    Bukan  sahaja  calon BN
diiringi oleh wakil-wakil berbagai parti komponen   di  hari
penamaan   calon,   bahkan  ahli-ahli  parti-parti  komponen
bekerjasama   rapat   membantu  calon  BN  yang  bertanding.
Perpaduan BN ini memang nyata dan membanggakan.
5.   Dalam  Barisan  Nasional,  kita  semua  harus  mengakui
bahawa  kita  pun,  sekali-sekala, menghadapi halangan untuk
bermuafakat.  Walau bagaimanapun, dengan  wujudnya  semangat
ingin   bekerjasama,   keikhlasan  dan  dengan  mementingkan
kepentingan negara dan  majoriti  rakyat,  halangan-halangan
itu  dapat  diatasi.    Apa yang penting ialah kita dalam BN
dapat bekerjasama dalam menghadapi kebanyakan  perkara  atau
masalah.      Apa-apa   rintangan   merupakan  perkara  yang
sementara,  yang  temporary,  yang   akhirnya   dapat   kita
selesaikan  dengan  cara yang   tidak   merugikan negara dan
tidak membawa perpecahan di kalangan kita atau kaum-kaum  di
Malaysia.
Tuan-tuan dan puan-puan,
6.   Beberapa  masa dahulu terdapat pihak-pihak yang menuduh
kononnya tidak ada demokrasi di negara  ini.    Pilihanraya-
pilihanraya    kecil    yang   berlaku,   serta   keputusan-
keputusannya, menggambarkan sebaliknya.  Bukan sahaja proses
pilihanraya-pilihanraya kecil ini berjalan  dengan  teratur,
tetapi   juga  terdapat  parti  pembangkang  yang  memenangi
pilihanraya kecil itu.  Apabila pihak pembangkang  memenangi
pilihanraya  kecil,  dan  ini  menggambarkan demokrasi masih
hidup, orang-orang yang  heboh  mengatakan  demokrasi  telah
mati,   malu  pula mengatakan demokrasi masih segar.  Mereka
ini hanya pandai mengelirukan sahaja.    Walau  bagaimanapun
rakyat  ramai  yang jarang bersuara atau the silent majority
yakin yang demokrasi telah  dan  akan  hidup  berterusan  di
negara  ini.    Dan  demokrasi  akan  terus  hidup  di bawah
pemerintahan Barisan Nasional.  Ini dapat kita jamin.
Tuan-tuan dan puan-puan,
7.   Baru-baru ini terdengar juga  beberapa  orang  pemimpin
parti-parti  komponen  yang  kurang  senang dengan keputusan
dua-tiga  buah  parti   komponen   Barisan   Nasional   yang
mengadakan  sejenis  kerjasama  di peringkat kedua di antara
mereka.   Barisan Nasional  tidak    menghalang    mana-mana
pihak   daripada parti-parti komponen yang ingin bekerjasama
sesama sendiri.   Mungkin juga kerjasama  seperti  itu  akan
membawa manfaat kepada Barisan Nasional keseluruhannya.
8.   Apa   yang  diharapkan  ialah  sekiranya  kerjasama  di
peringkat kedua ini membawa rasa sangsi di  kalangan  parti-
parti komponen yang lain, parti-parti komponen yang terlibat
dengan  kerjasama peringkat kedua ini harus cuba mengelakkan
timbulnya perasaan tersebut dengan mengutamakan kerjasama di
peringkat  BN.    Pada  hemat  saya  kerjasama   BN   secara
menyeluruh,  seperti yang terdapat sekarang ini, adalah cara
yang paling sesuai untuk mengatasi apa  juga  masalah  dalam
mentadbir  dan  membangunkan  negara.    Di samping itu juga
kerjasama   secara    menyeluruh  di   kalangan  parti-parti
komponen  BN  ini  telah  berjalan  semenjak begitu lama dan
telah membawa banyak manfaat kepada BN.   Justeru itu,  pada
pendapat  saya,  apa  yang diperlukan ialah usaha-usaha yang
lebih bagi meningkatkan lagi kerjasama  BN  yang  menyeluruh
ini.    Walau  bagaimanapun saya ingin menegaskan bahawa ini
adalah pandangan peribadi saya.  Ia bukanlah pandangan  para
pemimpin BN keseluruhannya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9.   Dengan  usaha-usaha  dan  langkah-langkah  yang diambil
oleh Kerajaan, ekonomi negara  kita  kini  telah  pulih  dan
pesat    berkembang.      Tanda-tanda   menunjukkan   bahawa
pertumbuhan ini akan berterusan.  Walaupun kadar pertumbuhan
8.7  peratus  yang  kita  capai  tahun  1988  mungkin  susah
diatasi,   Kerajaan   yakin  ekonomi  negara  akan  mencapai
pertumbuhan melebihi 6 peratus bagi beberapa tahun yang akan
datang.  Langkah-langkah yang telah diambil bagi  memulihkan
ekonomi negara selepas menghadapi akibat kemelesetan ekonomi
dunia  akan  terus  dilaksanakan  supaya  kekukuhan  ekonomi
sekarang ini akan dapat dilanjutkan  pada  tahun-tahun  yang
berikutnya.    Rakyat  berbagai  kaum  yang  secara langsung
mendapat nikmat daripada kemajuan  ekonomi  sekarang,  harus
diberi  ucapan  tahniah  kerana  mereka tidak bertindak liar
tetapi menjaga kestabilan politik yang menolong  pertumbuhan
ekonomi.
10.  Saya  juga  ingin  menyentuh sedikit mengenai   ekonomi
negara  pada  masa   depan.   Seperti mana yang  kita  sedia
maklum, Kerajaan telah menubuhkan Majlis Perundingan Ekonomi
Negara atau MPEN untuk membuat perakuan dan cadangan tentang
ekonomi negara selepas tahun 1990.
11.  Kerajaan  sebenarnya  mempunyai kemampuan dan kepakaran
untuk merangka dasar ekonomi selepas 1990,  tetapi  Kerajaan
mahu  memberi  peluang  kepada  orang-orang perseorangan dan
pertubuhan-pertubuhan  menyatakan  pendapat  dan   pandangan
mereka.    MPEN  ditubuhkan  untuk memberi peluang tersebut.
Majlis Perundingan ini mempunyai bidang  rujukan  yang  luas
bagi  membolehkan  setiap  ahlinya  memainkan  peranan  yang
bermakna.   Kerajaan  akan  meneliti  setiap  perakuan  oleh
Majlis ini sebaik sahaja ianya selesai menjalankan tugasnya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12.  Setiap  daripada  kita hendaklah memastikan bahawa kita
tidak melakukan sesuatu yang negatif yang boleh  menjejaskan
ekonomi  negara.  Pernah saya katakan dahulu bahawa terdapat
sebahagian kecil daripada rakyat Malaysia yang menjadi salah
satu  daripada  punca  keburukan  ke  atas  ekonomi  negara.
Kerana  tindak-tanduk golongan kecil ini, seluruh negara dan
rakyat menanggung akibahnya.   Perkara seumpama  ini  pernah
berlaku.    Kita hendaklah mengelakkan daripada mengeluarkan
kata-kata  yang  tidak  berasas  dan  menjalankan  tindakan-
tindakan yang tidak bertanggungjawab yang boleh mengurangkan
keyakinan terhadap kestabilan dan keutuhan negara kita.
13.  Di samping itu pula kita hendaklah berhati-hati apabila
menyebut  tentang statistik-statistik terutamanya statistik-
statistik yang mempunyai berbagai andaian atau  assumptions.
Perbuatan  seumpama  ini  boleh mengelirukan orang ramai dan
sudah tentu tidak mendatangkan kebaikan kepada sesiapa  pun.
Malahan  ia  akan  menimbulkan  perasaan iri hati   dan syak
wasangka.  Sebenarnya, menyebut di khalayak ramai  statistik
tanpa asas-asas yang kukuh dan kajian yang menyeluruh adalah
merupakan  satu  disservice  kepada  masyarakat kita.   Kita
hendaklah  mempelajari  daripada  kesilapan   kita   dahulu.
Janganlah  kita  ulangi  kesilapan  yang  lalu  kerana buruk
kesannya kepada negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
14.  Sekali  lagi  saya  mengucapkan  terima  kasih   kepada
Jawatankuasa  Pusat  MCA  yang  telah memberi peluang kepada
saya untuk berucap pada hari ini.  Saya berharap Perhimpunan
tahun ini akan  menandakan  perkembangan  yang  lebih  kukuh
untuk parti MCA.  Kekukuhan MCA semestinya memberi sumbangan
yang bermakna kepada keutuhan Barisan Nasional dan Kerajaan.
15.  Dengan  harapan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
Perhimpunan Agung MCA ini.

 





 
Google