Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA,
KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 14/08/89
Tajuk/Title : SEMPENA MERASMIKAN PELANCARAN
MINGGU SAINS DAN TEKNOLOGI
KEBANGSAAN 1989
Yang Berhormat Dato' Amar Stephen Yong,
Menteri Sains, Teknologi dan Alam
Sekitar;
Yang Berbahagia Encik Nordin Hassan,
Ketua Setiausaha Kementerian ;
Tetamu-tetamu Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Saya mengucapkan terima kasih kerana dijemput untuk
merasmikan pelancaran Minggu Sains dan Teknologi Kebangsaan
1989 ini. Saya berharap Minggu Sains dan Teknologi ini akan
berjaya menarik minat masyarakat untuk memahami peranan
sains dan teknologi dalam pembangunan negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2. Kerajaan bertekad untuk menjadikan sains dan teknologi
sebagai salah satu teras untuk membina sebuah negara yang
berdaya saing atau kompetitif, makmur dan maju. Sebelum
ini, hampir dua dekad negara kita telah memberikan penumpuan
hampir sepenuhnya kepada pembangunan sektor pertanian.
Walaupun sektor pertanian masih memerlukan perhatian
daripada segi hasil keluaran, usaha-usaha mempelbagaikan
atau 'diversification' serta penggunaan teknologi, namun
kita tidak boleh bergantung hanya kepada sektor ini sahaja.
3. Oleh itu, semenjak hampir dua dekad lalu, Kerajaan
telah memilih satu strategi baru bagi mempertingkatkan
ekonomi negara iaitu dengan memberikan tumpuan kepada
pembangunan sektor perindustrian. Kejayaan program
perindustrian negara adalah berasaskan kepada beberapa unsur
dan salah satunya ialah penggunaan sains dan teknologi.
Kemakmuran yang dicapai melalui pembangunan sektor
perindustrian akan dapat mempertingkatkan lagi kesejahteraan
hidup rakyat. Dengan itu, kita mesti bersedia dan
memperlengkapkan diri daripada segi infrastruktur,
tenaga manusia dan kesedaran rakyat bagi menerima dan turut
menyertai perubahan yang berlandaskan pembangunan sains dan
teknologi.
4. Perlumbaan dan persaingan penguasaan ekonomi bukan
sekadar kemampuan menguasai bahan mentah tetapi juga untuk
memberi nilai tambahan kepada bahan-bahan tersebut di dalam
barang-barang lengkap. Perkembangan sains dan teknologi
adalah untuk memastikan bahawa kecekapan menambah nilai
kepada bahan-bahan mentah yang banyak, yang dimiliki oleh
negara kita, digunakan dengan sepenuhnya supaya negara pada
masa hadapan tidak hanya menjadi pengeksport bahan-bahan
mentah ataupun bahan-bahan separuh mentah. Bahan mentah
dari seluruh dunia dijual dengan harga yang sama yang
ditentukan oleh pasaran. Kita tidak dapat menguasai harga
ini. Sebaliknya harga barangan yang dibuat daripada bahan
mentah boleh ditentukan oleh pembuat mengikut kualiti dan
bentuk serta kegunaannya. Pembuat bukan sahaja boleh
menambah nilai kepada nilai bahan mentah, tetapi juga dapat
meraih keuntungan yang lebih, mengikut tahap dan jenis
barangan yang dihasilkan.
5. Sebenarnya kekayaan negara-negara yang maju adalah
hasil daripada kemampuan mereka menambah nilai kepada bahan
mentah yang mereka import. Dan kebolehan ini diasaskan
kepada pengetahuan sains yang lebih tinggi dan kecekapan
dalam teknologi pembuatan terutamanya. Amatlah menyedihkan
jika kita terpaksa membeli balik bahan mentah kita
dalam bentuk barang-barang buatan yang berharga begitu
tinggi.
6. Kita sedar bahawa barang-barang buatan tertentu
memerlukan kuantiti atau volume yang tinggi untuk
mengurangkan kosnya, tetapi pasaran negara kita agak terlalu
kecil untuk keluaran barang-barang dengan kuantiti yang
tinggi. Tetapi ada barang-barang yang mungkin tidak
memerlukan kuantiti yang tinggi atau mungkin juga kita
mengeksport untuk meningkatkan kuantiti. Tetapi sekali lagi
jika kita tidak mempunyai kepakaran dalam bidang sains dan
teknologi, kita tidak mungkin mengeluarkan barang-barang
yang sesuai dan dengan harga yang menarik.
Tuan-tuan dan puan-puan,
7. Kini sektor perindustrian telah berupaya memberikan
sumbangan yang lebih besar kepada KDNK atau Keluaran Dalam
Negeri Kasar dan kepada pendapatan eksport jika dibandingkan
dengan sektor pertanian. Walau bagaimanapun, ini tidaklah
bermakna negara memiliki pengetahuan sains dan teknologi
bagi mencapai sepenuhnya tahap perindustrian yang diidamkan.
Jika diperhatikan secara teliti, sumbangan kepada sektor ini
sebahagian besarnya adalah dibuat oleh pelabur-pelabur
asing. Tahap sumbangan industri negara sebenarnya yang
dimiliki oleh rakyat negara ini adalah terlalu kecil. Oleh
itu, di saat kita menyambut baik sumbangan sektor
perindustrian kepada ekonomi negara yang berasaskan
kepada perkembangan teknologi, kita perlu memahami bahawa
teknologi sebenarnya masih belum berada di tangan kita.
8. Menyedari hakikat ini, Kerajaan telah merintis dan
berusaha ke arah peningkatan penggunaan teknologi-teknologi
baru. Ini termasuklah melalui projek-projek HICOM untuk
terlibat secara serius dengan perusahaan industri berat,
begitu juga dengan pengwujudan agensi-agensi penyelidikan
Kerajaan seperti SIRIM, Unit Tenaga Nuklear dan MIMOS dan
bagi menyediakan asas untuk negara terlibat secara lebih
berkesan dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan sains
dan teknologi, khususnya di sektor perindustrian. Kerajaan
akan terus memberi penekanan kepada usaha-usaha R&D dalam
bidang ini dengan memberi keutamaan dalam pemberian
peruntukan kewangan dan tambahan kakitangan.
9. Di samping itu, sistem pendidikan negara telah
dikemaskinikan supaya anak-anak kita dapat menghayati
kepentingan sains dan teknologi. Tekanan sekarang ialah ke
arah pengeluaran lebih ramai saintis dan juruteknik yang
sesuai dengan keperluan berbagai jenis industri. Sekolah-
sekolah biasa akan memberi tumpuan kepada mata pelajaran
yang ada kaitan dengan teknologi dan sains gunaan, sementara
peranan sekolah vokesyenal dan teknikal akan ditingkatkan
lagi.
Tuan-tuan dan puan-puan,
10. Kerajaan telah berusaha untuk mensyaratkan kepada
pelabur-pelabur asing supaya pemindahan teknologi dapat
dilakukan kepada tenaga kerja dan pengurusan tempatan.
Tetapi, program-program pemindahan teknologi tidak dapat
dilakukan seandainya masyarakat dan rakyat Malaysia
keseluruhannya tidak bersedia dan tidak memahami asas-asas
sains dan teknologi yang diperlukan untuk menjayakan
pemindahan teknologi kepada kita. Teknologi bukan boleh
dipindahkan kepada sesiapa sahaja, tetapi kepada orang-orang
yang mempunyai minat dan keupayaan.
11. Terdapat tiga faktor penting untuk memastikan kejayaan
negara dalam memajukan sains dan teknologi. Pertama ialah
kesediaan daripada segi sikap dan pengetahuan golongan ahli-
ahli sains dan teknologi untuk memberikan sumbangan,
terutamanya dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan atau
R&D. Keduanya ialah kesediaan Kerajaan untuk menyediakan
infrastruktur, dasar dan program untuk mendukung cita-cita
tersebut. Akhir sekali ialah kesediaan golongan usahawan
untuk memperalatkan hasil kajian sains dan teknologi bagi
menerokai bidang perusahaan baru, serta bersedia untuk
mengambil risiko dalam bidang-bidang ini.
12. Ketiga-tiga faktor ini perlu diselaraskan supaya ia
menjadi satu tenaga yang boleh memajukan negara. Sains
dan teknologi tidak akan dapat dibangunkan melalui kerja-
kerja penyelidikan sahaja, tetapi selain daripada sokongan
Kerajaan, ia memerlukan penglibatan para usahawan yang akan
menggunakan hasil-hasil penyelidikan melalui pengeluaran
barang-barang baru untuk dipasarkan. Atas alasan inilah
Kerajaan telah meminta syarikat-syarikat swasta turut
terlibat dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan dalam
bidang sains dan teknologi. Kerajaan mengharapkan supaya
sekurang-kurangnya 25% daripada program R&D negara pada masa
hadapan dapat diusahakan dan dibiayai oleh syarikat-syarikat
swasta. Kerja-kerja penyelidikan dalam bidang sains dan
teknologi boleh dilakukan oleh syarikat-syarikat swasta
sendiri atau melalui program-program penyelidikan bersama
dengan institusi-institusi penyelidikan Kerajaan dan kampus-
kampus, atau melalui kontrak penyelidikan atau 'research
contract' di antara syarikat-syarikat swasta dengan para
penyelidik daripada institusi-institusi berkenaan.
13. Dalam hal ini, para penyelidik dalam bidang sains dan
teknologi haruslah menghalakan seluruh bentuk penyelidikan
mereka untuk keperluan industri dan pembangunan
perindustrian. Tidak guna kita membelanjakan jutaan ringgit
dalam kerja-kerja penyelidikan seandainya hasil yang
didapati tidak dapat digunakan oleh rakyat dan negara bagi
mempertingkatkan kesejahteraan hidup mereka.
Kerajaan menyokong sepenuhnya usaha-usaha untuk
mempertingkatkan penggunaan sains dan teknologi demi
memajukan negara. Oleh itu, semua agensi Kerajaan terutama
agensi-agensi yang terlibat dengan tugas-tugas pembangunan
sains dan teknologi akan memberikan sokongan kepada
pembangunan sektor perindustrian.
14. Bagi memastikan ekonomi negara kita terus berkembang,
kita tidak boleh lagi mengambil sikap untuk mengikut arus
masa dalam memperkembangkan ekonomi. Tugas sains dan
teknologi adalah supaya ia bersedia untuk bertindak bagi
memberi sumbangan ke arah kesejahteraan negara pada masa
hadapan. Mekanisme bagi melaksanakan program-program sains
dan teknologi mestilah bersifat pro-aktif dengan
memerhatikan perkembangan ekonomi dunia secara
keseluruhannya. Dengan itu, ahli-ahli sains dan teknologi
tidak hanya perlu untuk menumpukan aktiviti-aktiviti mereka
dalam bidang barang-barang tradisional, tetapi mestilah juga
turut memajukan barang-barang baru.
15. Mungkin ramai daripada rakyat Malaysia yang percaya
bahawa kita terlalu ketinggalan dalam bidang penyelidikan
dan pembangunan atau R&D untuk mencari sendiri cara-cara
penggunaan sains dan teknologi yang belum pernah diterokai
dan dicipta oleh pihak yang lebih maju. Pendapat ini tidak
berasas. Sebenarnya mereka yang hari ini begitu kehadapan
atau advanced juga kolot dahulu. Tetapi kerana usaha
penyelidikan dan pembangunan diteruskan tahun demi
tahun, bahkan dekad demi dekad, maka akhirnya mereka dapat
mencapai kejayaan. Jika dalam bidang pertanian kita boleh
berbangga dengan hasil penyelidikan kita sekarang, jika kita
tekun dan usaha lama-kelamaan, kita juga akan berjaya dalam
bidang mencipta dan merekabentuk barang-barang yang
menggunakan sains dan teknologi baru.
16. Untuk memudahkan proses pemindahan teknologi, satu cara
yang amat berkesan ialah apa yang dikatakan "reverse
engineering" iaitu meniru barang buatan orang lain. Kita
tidak harus malu dengan pendekatan ini kerana inilah
pendekatan yang diguna oleh banyak negara yang sekarang
telah berjaya. Institusi-institusi penyelidikan hendaklah
mempunyai bahagian-bahagian yang khusus untuk membuat
reverse engineering dengan segala barang-barang yang mungkin
di keluarkan oleh negara kita.
17. Jika kita sudah tahu akan cara-cara barang-barang ini
dibuat, kita mungkin dapat mengeluarkannya dalam bentuk baru
dengan mengambil kesempatan daripada kos tenaga kerja yang
rendah yang terdapat di negara ini. Kita mungkin gagal pada
mulanya, tetapi jika kita bertekun, insya-Allah kita akan
memperolehi hasil daripada proses reverse engineering ini.
Kita telah melihat dalam berbagai bidang yang kita ceburi
bahawa kelok pembelajaran atau "learning curve" kita
meningkat dengan cepat. Justeru itu kita boleh yakin untuk
mewujudkan suasana baru dalam perkembangan perindustrian.
18. Orientasi penggunaan sains dan teknologi mestilah
bertujuan untuk mempertingkatkan produktiviti negara. Hanya
dalam bidang sains dan teknologi gunaan sahaja kita akan
memperolehi pencapaian yang baik. Oleh itu marilah kita
semua menumpukan tenaga dan fikiran yang sewajarnya kepada
bidang sains dan teknologi untuk negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
19. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada
Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar kerana
menjemput saya ke majlis perasmian ini. Saya berharap
Minggu Sains dan Teknologi ini akan berjaya meningkatkan
penguasaan ilmu sains dan teknologi di kalangan rakyat
Malaysia untuk pembangunan negara keseluruhannya.
20. Dengan kata-kata ini, saya dengan rasminya melancarkan
Minggu Sains dan Teknologi Kebangsaan 1989 ini.
|