Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	15/08/89 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA PERASMIAN PERSIDANGAN 
			TAMADUN MELAYU KE II 




 Y.B. Dato' Sabaruddin Chik,
     Menteri Kebudayaan dan Pelancongan,
Yang Mulia Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Persidangan,
Dif-dif Kehormat;
Saudara-saudara sekalian.
Assalamualaikum   warahmatullahi   wabarakatuh   dan   salam
sejahtera.
    Bersyukur kita ke  hadrat  Allah  Subhanahu  wa  Ta'ala
kerana  dengan  limpah  kurniaNya  dapat  kita  berjumpa  di
Persidangan Antarabangsa Tamadun Melayu ke  II  ini.    Saya
mengucapkan  terima  kasih kepada Kementerian Kebudayaan dan
Pelancongan kerana  menjemput  saya  merasmikan  Persidangan
ini.   Saya juga mengucapkan selamat datang kepada tuan-tuan
dan puan-puan sekalian terutama  sarjana-sarjana  dari  luar
negeri.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2.   Saya  diminta  berucap  di  Persidangan  Tamadun Melayu
Ke-II ini atas tajuk 'Kegemilangan Tamadun  Melayu,  Warisan
dan  Cabaran  Abad  Ke-21'.    Dalam  tajuk  ini,  ada  tiga
perkara   yang   harus  dibincangkan:  pertama, kegemilangan
Tamadun Melayu, kedua, warisan, ketiga, cabaran.
3.   Di zaman moden ini  tuntutan  ilmu  tidak  lagi  terhad
kepada  kumpulan  ilmuan  atau  cerdik  pandai  tetapi sudah
menjadi  hak  dan   minat   seluruh   masyarakat.      Untuk
meningkatkan  pengetahuan  dalam  bidang-bidang ilmu, kajian
perlu dibuat melalui penyelidikan,  perbincangan  dan  lain-
lain cara.
4.   Di  masa-masa  yang lampau terdapat minat yang tebal di
kalangan kumpulan etnik Melayu untuk mengetahui dengan lebih
mendalam  akan  zaman  kegemilangan   dahulu   serta   untuk
mengenali tamadun yang menjadi asas dan warisan mereka.
5.   Apabila   kita   menyebut  tentang  kegemilangan  zaman
dahulu, secara  tidak  langsung  kita  membuat  perbandingan
dengan keadaan zaman ini yang dirasai tidak begitu gemilang.
Perbandingan cara ini adalah baik jika tujuannya ialah untuk
mencari  inspirasi  dan keyakinan bahawa kegemilangan dahulu
boleh dikejar dan dicapai di zaman ini.  Tetapi perbandingan
adalah buruk jika kita hanya ingin  berkhayal  dengan  zaman
dahulu,  bagi  menyedapkan  hati  dan  mencari  perlindungan
daripada pandangan dunia terhadap kita sekarang.
6.   Setiap bangsa atau kumpulan etnik mempunyai  tamadunnya
sendiri,  jika  ini diertikan dengan keseluruhan atau 'total
sum' kebudayaan, sosial, ekonomi dan   politik yang  digubal
dan tergubal dalam masyarakat berkenaan.  Walau bagaimanapun
terdapat  antara  tamadun  itu  yang  dianggap tinggi kerana
tingkat pencapaiannya yang baik  dalam  keilmuan,  falsafah,
susunan dan keteguhan masyarakat berkenaan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
7.   Dilihat  daripada  sudut-sudut  tersebut,  tidak  dapat
tidak, kumpulan etnik Melayu yang bertempat  di  Semenanjung
dan  Kepulauan  Asia  Tenggara, pulau-pulau Lautan Hindi dan
Lautan Pasifik mempunyai  tamadun  yang  tinggi.    Walaupun
tidak  semua  kumpulan  etnik Melayu mempunyai tahap tamadun
yang sama tingginya, tetapi  nyata  sekali   ada   kumpulan-
kumpulan  yang  tamadunnya  boleh  menandingi  tamadun  Asia
Tengah dan Lautan Mediterranean.
8.   Pengenalan tamadun Melayu  secara  dekat  amat  penting
sekali  kerana  kita harus tahu apa yang diwarisi oleh kita.
Di  sini  kita  perlu  kepada  kejujuran  intelektual   atau
'intellectual honesty'. Kita tidak boleh  menidakkan  bahawa
di  zaman  yang gemilang juga terdapat ciri-ciri yang buruk,
yang  sebenarnya menjadi sebab mengapa yang gemilang menjadi
pudar dan akhirnya  hilang terus cahayanya.  Mengenali unsur
yang  tidak  baik  yang  terdapat di zaman dahulu, sama  ada
gemilang   atau  tidak,  merupakan  usaha  yang  tidak boleh
diabaikan, seperti kata  George  Santayana:   "Mereka   yang
tidak  mempelajari   daripada  sejarah  akan  didera  dengan
mengulangi segala kesalahan dahulu".  Sudah tentu mengulangi
kesalahan akan membawa kesan buruk yang  sama  seperti  yang
berlaku   dahulu.    Sementara  kita  ghairah  memperkatakan
tentang  zaman  kegemilangan  Melaka  dalam  tamadun  Melayu
umpamanya,  kita  tidak  harus  lupa  bahawa  zaman itu juga
melahirkan orang-orang seperti  Kitol  dan  Raja  Mendaliar,
pengkhianat kepada bangsa Melayu.
9.   Walau bagaimana tinggi sekalipun tamadun Melayu dahulu,
hakikatnya  ialah  ia  tidak  mampu  mempertahankan  dirinya
daripada serangan dan pengaruh tamadun Barat.  Bukan  sahaja
secara  fizikal Barat dapat merampas wilayah-wilayah Melayu,
tetapi ciri-ciri tamadun Melayu sendiri telah  diserang  dan
dimusnahkan    sehingga  orang  Melayu tidak lagi kenal akan
aspek-aspek tertentu tamadun  mereka  dan  menganggap  semua
yang ada pada mereka adalah tidak baik.
10.  Soalnya ialah apakah serangan tamadun Barat ini ke atas
tamadun  Melayu baik ataupun tidak?  Hakikat yang perlu kita
terima ialah  sesuatu  tamadun  itu  tidak  terbentuk  dalam
sekelip  mata,  tetapi  mengambil  masa  yang  lama, mungkin
beratus tahun lamanya  untuk  memperolehi  cara,  nilai  dan
amalan  yang  unggul atau distinctive.  Sepanjang masa cara,
nilai dan amalan yang secara keseluruhan menjadi 'sum total'
sesuatu tamadun bertukar kerana pemikiran baru atau  tekanan
alam  sekeliling.  Hanya dengan adanya pertukaran-pertukaran
ini tidak bermakna sesuatu   tamadun   itu   telah   hancur.
Setiap   tamadun   yang  berdayamaju  mempunyai  sifat-sifat
dinamis dan  ianya  berubah  apabila  perubahan  diperlukan.
Tamadun  yang  tidak  berubah,  yang  beku  dan  tidak dapat
membentuk cara, nilai dan amalan yang baru, demi penyesuaian
dan  keperluan  masa  dan  tempat,  akan  mati  dan   luput.
Demikian  dengan  tamadun  Egypt  lama,  Assyria, Phoenicia,
Greece, Mongol dan lain-lain.  Demikian juga di  Dunia  Baru
atau  New  World  iaitu  apa  yang   dipanggil  sebagai  The
Americas, tamadun Incas dan lain-lain, tiada lagi  merupakan
tamadun yang tinggi.
11.  Walaupun  dikalahkan oleh tamadun Barat, dan ada aspek-
aspek tertentu daripada tamadun Barat yang mengambil  tempat
sebagai  sebahagian   daripada  tamadun  Melayu,  kita harus
bersyukur kerana tamadun Melayu masih tidak  hilang  kesemua
ciri-cirinya.    Tamadun  Melayu tidak luput dan tidak mati.
Ia masih hidup walaupun kadang-kadang  sukar  untuk  mencari
persamaan  antara  tamadun  Melayu  sekarang  dengan tamadun
Melayu yang dikatakan asli di zaman gemilang dahulu.
12.  Perbezaan antara tamadun  lama  dan  baru  ini  bererti
tamadun Melayu adalah dinamik dan berdaya hidup.  Kita masih
boleh mengenali tamadun Melayu yang mempunyai ciri-ciri lama
sehingga  ianya  dapat  diasingkan  daripada tamadun-tamadun
lain di zaman ini.  Tetapi pengekalan ciri-ciri ini tidaklah
sampai menjadikan tamadun Melayu tidak sesuai  dengan  zaman
ini.
13.  Minat  untuk  menghidupkan  semula  segala ciri tamadun
Melayu  yang   lama   biasanya   didorong   oleh   keinginan
mengembalikan  zaman kegemilangan dahulu.  Untuk ini kadang-
kadang tumpuan diberikan kepada  perkara  titik-bengik  yang
tidak  membawa  banyak manfaat, selain daripada meningkatkan
perbezaan antara  yang  Melayu  dengan  yang  bukan  Melayu.
Sebenarnya  tamadun  yang  membawa kejayaan dalam satu zaman
tidak semestinya membawa kejayaan yang sama  di  zaman  yang
lain.    Lebih  tepat  lagi, tamadun lama yang tidak berubah
tetap akan membawa kegagalan jika diteruskan.
14.  Tamadun yang berjaya di zaman ini tidak seratus peratus
mencerminkan segala nilai,  ciri  dan  amalan  tamadun  yang
menjadi  asas kepadanya.   Jika   ada  aspek  tamadun   yang
berjaya dikekalkan dari dahulu hingga  sekarang,  ini  ialah
oleh kerana kesanggupan membuat penyesuaian dengan peredaran
zaman.    Kajian menunjukkan bahawa tamadun yang berjaya ini
amat fleksibel, mudah dilenturkan  dan  adalah  berdayacipta
atau innovative.
15.  Jika  kita  tidak mahu tamadun Melayu dijadikan sebagai
satu kajian zaman  silam  sahaja,  jika  kita  tidak  taksub
dengan   rupabentuknya  dan  keinginan  untuk  mengembalikan
rupabentuk ini, maka kita harus  menerima  daya  penyesuaian
atau  adaptability  sebagai sebahagian daripada ciri tamadun
Melayu.   Ianya  tidak  akan  menghapuskan  tamadun  Melayu.
Sebaliknya  ia  akan membantu mengekalkan   tamadun  Melayu,
walaupun akan terdapat  sedikit  sebanyak  perbezaan  antara
dahulu dan sekarang.
16.  Kajian terhadap tamadun Melayu biasanya mengambil corak
penyelidikan  sejarah.  Kita akan menyebut tentang aspek itu
dan ini yang  menjadi  sebahagian  daripada  tamadun  Melayu
dalam  sejarah  kumpulan etnik Melayu.   Kita akan berbangga
dengan  kejayaan  dan  kecemerlangan  zaman-zaman   tertentu
sebagai  bukti  ketinggian tamadun di zaman berkenaan.  Yang
penting bukanlah pemilikan  sejarah  yang  gemilang,  tetapi
kejayaan semasa yang gemilang.
17.  Justeru  itu  kajian  mendalam  perlulah dibuat tentang
tamadun Melayu semasa dan di abad   ke-21.   Tumpuan   harus
diberikan  kepada  perkembangan  ciri-ciri tertentu yang ada
kaitan dengan maju-mundurnya bangsa Melayu.   Di  sini  juga
kejujuran   intelektual  atau  'intellectual  honesty'  amat
diperlukan.   Janganlah kita  menidakkan  keburukan  sesuatu
unsur   tamadun   kita   hanya   kerana  sesuatu  unsur  itu
mencerminkan peribadi tamadun kita.  Jika sesuatu unsur  itu
buruk,  kita  mestilah berani mengatakan ianya buruk.  Tidak
ada sesuatu yang lebih buruk daripada mengekalkan yang buruk
kerana sentimen, kebongkakan atau false pride.   Yang  buruk
mestilah   dihapuskan  walaupun  ianya  sebahagian  daripada
identiti kita.  Sudah tentulah unsur yang menjadi penghalang
kepada kejayaan kita harus dikikis.
Tuan-tuan dan puan-puan,
18.  Di sini kita perlu membincangkan soal warisan.    Sudah
tentu  yang  kita  ingin warisi ialah tamadun yang gemilang.
Tetapi apakah maknanya warisan?   Oleh  kerana  kita  berhak
menjadi  waris  kepada  tamadun  Melayu,  maka apakah dengan
sendirinya kita akan memperolehi kegemilangan?  Atau  apakah
kita  hanya  ingin  berbangga  sebagai  orang  yang memiliki
tamadun yang dahulunya gemilang?
19.  Bagi saya warisan ini tidak bermakna jika  ianya  tidak
membawa  kegemilangan  di  zaman  ini  dan  zaman  yang akan
datang.  Yang penting bukan sejarah.    Yang  penting  ialah
pengaruh sejarah yang boleh membawa kebahagiaan kepada kita.
20.  Dengan  itu kita dihadapi dengan cabaran sama ada mampu
atau tidak menggunakan aspek-aspek  tamadun  kita  di  zaman
yang  gemilang  itu  untuk  kemajuan  dan  kegemilangan kita
sekarang.  Jika ditanya sudah tentu kita akan  berkata  kita
mampu,  tetapi dakwaan kita sahaja tidak menjamin pencapaian
kita.   Dakwaan ini mestilah disusuli  dengan  tindakan  dan
dengan usaha yang nyata ke arah kegemilangan.
21.  Sementara kita harus mengekalkan beberapa aspek tamadun
kita,  kita  juga harus berani menggugurkan aspek-aspek yang
tidak sesuai dengan peredaran zaman  dan  kegemilangan  yang
kita kejar.  Kita juga harus berani  menerapkan  unsur-unsur
tamadun   lain  jika  ianya  boleh  menolong  kita  mencapai
kejayaan.
22.  Sebenarnya maju-mundur sesuatu bangsa bergantung kepada
nilai hidup yang menjadi sebahagian daripada tamadun  bangsa
itu.    Jika  hari  ini kita berpendapat bahawa tamadun kita
tidak gemilang seperti tamadun di masa yang  lain,  sebabnya
ialah  kerana  ada nilai-nilai yang tidak baik dalam tamadun
yang kita warisi sekarang.  Cabaran yang kita  hadapi  ialah
apakah  oleh kerana kita ingin mencapai kegemilangan seperti
di zaman silam, maka kita berani menukar  nilai-nilai  hidup
yang  menjadi  sebahagian  daripada  tamadun kita yang jelas
menghalang  kejayaan  kita?    Keberanian  kita    bertindak
mengatasi    cabaran    ini  juga  akan  menjadi  sebahagian
daripada tamadun kita.
23.  Perbezaan pencapaian  berbagai  tamadun  di  zaman  ini
lebih  ketara  dari  zaman silam.   Tidak ada lagi mana-mana
masyarakat  yang  boleh  mengasing  dan  memulaukan  dirinya
daripada  dunia luar.   Sistem perhubungan yang ada sekarang
sudah menjadikan dunia yang dahulu begitu luas sebagai hanya
sebuah kampung atau  'global  village'.    Sebagaimana  kita
maklum  tidak  ada sesuatu yang berlaku dalam sebuah kampung
yang boleh disembunyikan  daripada  masyarakat  kampung  itu
sendiri.      Semuanya  akan  terdedah,  termasuklah  segala
keburukan dan kelemahan seseorang, atau sesuatu keluarga.
24.  Memandang kepada hakikat ini, maka amatlah penting agar
pengekalan tamadun lama tidaklah  sehingga  melemahkan  kita
dan  menyebabkan  kita ketinggalan di belakang.  Apa gunanya
tamadun  jika  kita  tidak  memperolehi  kebahagiaan  hidup?
Tamadun  yang  tidak  membawa  kejayaan  akan  menjadi bahan
bacaan sejarah dan kajian seperti tamadun Egypt, Greece  dan
Roma di zaman dahulu.
25.  Sebaliknya  kita  perlu  bersedia menerima warisan kita
dengan   kesanggupan   menghadapi   segala   cabaran   serta
menerapkan  unsur-unsur baru yang baik, walaupun unsur-unsur
baru ini akan menjadikan tamadun kita di zaman  ini  berbeza
sedikit dengan yang dahulu.
Tuan-tuan dan puan-puan,
26.  Saya  percaya  penglibatan  para  sarjana dari lebih 20
buah negara di Persidangan ini akan memberikan suatu peluang
untuk kita bertukar-tukar pandangan, maklumat dan fikiran di
dalam   segala   bidang   disiplin   ilmu.      Sesungguhnya
kegemilangan  tamadun banyak bergantung kepada warisan kita.
Warisan kita tidak akan memberi makna kalau pewarisnya tidak
bersedia menghadapi cabaran.    Cabaran  itu  mestilah  kita
hadapi dengan bijak dan tanggungjawab.
27.  Dengan   ini,   saya   dengan   sukacitanya  merasmikan
Persidangan Antarabangsa Tamadun Melayu Ke-II 1989 ini.

 
 



 
Google