Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : BANGUNAN SULTAN SALAHUDDIN ABDUL
AZIZ SHAH, SHAH ALAM
Tarikh/Date : 19/08/89
Tajuk/Title : MAJLIS PEMBUKAAN PERHIMPUNAN
AGUNG MIC
Yang Berhormat Dato' Samy Vellu,
Presiden MIC;
Dif-dif Kehormat;
Para perwakilan MIC;
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.
Saya mengucapkan terima kasih kerana sekali lagi
dijemput oleh Jawatankuasa Pusat MIC untuk merasmikan
Perhimpunan Agung Tahunan Parti ini. Saya berharap
Perhimpunan Agung MIC ini akan berjalan dengan lancar dan
ianya akan menandakan satu lagi langkah ke arah kekukuhan
MIC dan Barisan Nasional amnya.
2. Sekarang ini sudah menjadi tradisi bagi Pengerusi
Barisan Nasional merasmikan Perhimpunan Agung Parti MIC dan
beberapa parti komponen Barisan Nasional yang lain. Saya
amat menghargai penghormatan ini. Penghormatan yang
diberikan oleh MIC kepada Pengerusi Barisan Nasional akan
merapatkan lagi perpaduan yang diperlukan oleh Barisan
Nasional dan membantu kewibawaan Barisan Nasional sebagai
parti pemerintah.
Tuan-tuan dan puan-puan,
3. Baru-baru ini kita telah menghadapi dengan jayanya dua
lagi pilihanraya kecil bagi Tambatan di Johor dan Teruntum
di Pahang. Saya mengambil kesempatan ini merakamkan terima
kasih kepada semua ahli Barisan Nasional yang telah bekerja
keras untuk memastikan kejayaan calon-calon Barisan
Nasional.
4. Barisan Nasional sebagai parti pemerintah memang
berharap supaya jangan selalu terdapat pilihanraya-
pilihanraya kecil kerana kita mahu menumpukan masa yang
lebih banyak untuk membangunkan negara kita. Setiap
pilihanraya kecil memerlukan perbelanjaan yang besar
daripada segi pentadbirannya. Tetapi selalunya kita tidak
mempunyai pilihan, terutama apabila pilihanraya kecil
tersebut diadakan berikutan dengan kematian wakil-wakil
rakyat.
5. Walau bagaimanapun, pilihanraya- pilihanraya kecil
dapat juga dijadikan barometer kepada Barisan Nasional,
iaitu untuk melihat sama ada rakyat masih menyokong kita
atau sebaliknya dalam tempoh di antara pilihanraya umum.
Ianya juga dapat memberi ingatan kepada kita supaya Barisan
Nasional tidak lalai atau leka dalam menjalankan
tanggungjawabnya kepada kesejahteraan rakyat dan keamanan
serta kestabilan negara.
6. Sekiranya kita lalai selepas memenangi pilihanraya
umum, kita akan berasa gelisah apabila menjelangnya
sesuatu pilihanraya kecil ataupun pilihanraya umum
berikutnya. Dengan itu wakil-wakil rakyat dan para pemimpin
parti-parti komponen harus sentiasa sedar bahawa kita
memerlukan sokongan rakyat untuk memerintah. Justeru itu
kita perlulah berdamping, mengkaji dan membantu rakyat dalam
menyelesaikan masalah mereka.
7. Dalam sesuatu pilihanraya kecil selalunya isu-isu
tertentu dibangkitkan oleh parti-parti lawan. Kadang-kadang
isu-isu yang wajar dibangkitkan dan ada juga isu-isu yang
sengaja diada-adakan atau diperbesar-besarkan. Kita harus
berbangga oleh kerana rakyat negara ini dapat meneliti dan
memilih baik-buruk dan betul-salahnya sesuatu isu yang
dibangkitkan. Tugas kita ialah memberi penerangan dan
penjelasan serta melaksanakan program-program untuk manfaat
rakyat. Setakat ini kita telah berjaya dan kita harus
berusaha lagi untuk menempa kejayaan yang lebih besar di
pilihanraya-pilihanraya akan datang.
Tuan-tuan dan puan-puan,
8. Menyentuh pula mengenai MIC, saya yakin parti ini akan
bertambah kukuh pada tahun- tahun yang akan datang.
Walaupun satu-dua cabaran dihadapi oleh parti ini, saya
yakin para pemimpin parti MIC akan dapat mengatasi cabaran-
cabaran ini, apatah lagi MIC mempunyai kepimpinan parti yang
bertambah matang.
9. Kalau kita renungkan kembali sejarah Perikatan dahulu
dan Barisan Nasional sekarang pula, nampaknya parti-parti
komponen BN bersilih-ganti atau bergilir-gilir menghadapi
cabaran dalam parti. Dalam sesuatu tempoh itu, ada sahaja
parti komponen yang menghadapi cabaran dalaman atau internal
conflict. Kadang-kadang cabaran yang dihadapi itu seolah-
olah boleh menghancurkan sesebuah parti itu. Walau
bagaimanapun, sejarah telah membuktikan bahawa setiap parti
komponen akhirnya dapat mengatasi cabaran dalaman itu.
Sejarah juga telah membuktikan bahawa selalunya sesebuah
parti komponen itu bertambah kuat selepas berjaya mengatasi
sesuatu cabaran dalaman itu. Pahit-maung semasa
bertelingkah akan menjadi penawar atau tonik untuk keteguhan
atau keutuhan parti.
10. Sebagai satu pakatan lebih daripada sepuluh buah parti
politik, BN telah dapat menghadapi cabaran-cabaran daripada
parti- parti lawan pada setiap masa. Kesanggupan BN
menghadapi cabaran daripada parti-parti lawan adalah oleh
kerana kebanyakan parti-parti komponen BN berada dalam
keadaan yang kukuh dan utuh. Itulah salah satu unsur
penting BN bagi membolehkannya mentadbirkan negara yang
berbilang kaum dan agama ini. BN telah dapat menyediakan
kekuatan asas atau basic strength yang diperlukan untuk
mentadbirkan negara ini. Kita akan dapat menghadapi
sebarang masalah atau cabaran sekiranya wujud kekuatan asas
itu, dan setakat ini hanyalah BN yang dapat melakukannya
untuk kesejahteraan Malaysia.
11. Satu perkara yang kita harus ingat ialah kita telah
dapat mewujudkan kekuatan asas ini dengan adanya
pengorbanan. Pengorbanan mestilah dipikul oleh semua parti
komponen. Anggota sesebuah parti komponen biasanya nampak
dengan jelas akan pengorbanan yang dilakukan oleh parti
mereka. Sebaliknya mereka jarang nampak pengorbanan oleh
parti-parti komponen yang lain. Perkara seperti ini sudah
menjadi lumrah dunia. Dengan itu ada baiknya kita dalam BN
dapat meneliti sebarang pengorbanan oleh parti-parti yang
lain supaya kita dapat mewujudkan perasaan saling faham-
memahami dan hormat-menghormati sesama kita. Dengan cara
ini kita akan dapat mengekalkan kekuatan yang diperlukan
untuk mentadbir dan membangunkan negara untuk kesejahteraan
rakyat semua.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12. Kita akan menyaksikan Sukan SEA yang akan bermula esok.
Persidangan Ketua-ketua Kerajaan Komanwel atau CHOGM akan
bermula dua bulan lagi. Di samping itu, sepanjang tahun
depan telah diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Malaysia.
Dengan itu ramailah tetamu, para pelancong dan anggota-
anggota media massa luar negeri yang telah dan akan tiba ke
negara kita. Seperkara yang ingin saya tegaskan di sini
ialah pentingnya kita menjaga nama baik negara. Tidak
kiralah sama ada ianya seorang kakitangan Kerajaan, seorang
ahli politik, peniaga, suri rumahtangga dan lain-lain;
setiap orang daripada kita mempunyai peranan masing-masing.
13. Para tetamu dan pelancong akan tinggal di negara kita
buat beberapa hari, sama ada di ibukota Kuala Lumpur ataupun
di tempat-tempat pelancongan yang lain. Mereka akan bertemu
dengan kakitangan hotel, pemandu teksi, pelayan-pelayan dan
pekedai-pekedai dan mereka akan bercampur-gaul dengan rakyat
tempatan yang mana ini akan mendedahkan kita dan memberi
gambaran mengenai negara ini dan rakyatnya. Gambaran baik
yang kita tonjolkan akan membawa banyak manfaat dan
keuntungan kepada negara. Sebaliknya, banyak pula kerugian
sekiranya kita gagal memberi perkhidmatan dan gambaran yang
baik dan tidak bersopan santun.
14. Kerajaan berharap kita semua dapat mengamalkan ciri-
ciri yang baik semasa negara menjadi tuan rumah bagi dua
upacara yang penting tahun ini. Ianya juga menjadi asas
untuk kita bersedia menganjurkan Tahun Melawat Malaysia pada
tahun depan. Mungkin beberapa agensi awam telahpun
ditugaskan supaya memainkan peranan utama bagi menyusun
aktiviti-aktiviti untuk tahun tersebut, tetapi setiap
agensi, baik awam atau swasta, dan orang-orang perseorangan
adalah bertanggungjawab untuk menjayakan program-program
ini. Hasil daripada layanan yang kita berikan ini akan
dinikmati secara langsung oleh kita.
Tuan-tuan dan puan-puan,
15. Menyentuh tentang ekonomi negara, Malaysia telah
mengalami perkembangan ekonomi yang menggalakkan semenjak
dua tahun yang lalu. Tanda-tanda pada awal dan pertengahan
tahun ini menunjukkan bahawa kita akan mencatatkan
perkembangan ekonomi yang berterusan untuk beberapa tahun
yang akan datang. Kerajaan sekali lagi menyeru setiap
sektor dan golongan supaya bekerjasama untuk memastikan
perkembangan ini tidak tergendala. Bagi kita yang terlibat
secara aktif dengan aktiviti-aktiviti politik, kitapun
mempunyai peranan yang penting bagi menentukan suasana
politik dan sosial adalah sesuai untuk perkembangan ekonomi.
Kita memerlukan suasana stabil dan aman tenteram bagi
memudahkan perkembangan ekonomi. Dengan itu, para pemimpin
parti-parti politik, terutama daripada parti-parti komponen
Barisan Nasional, hendaklah memastikan kita tidak
menjadi punca bagi sebarang kekecohan, termasuklah yang
berbau politik.
Tuan-tuan dan puan-puan,
16. Saya berharap Perhimpuan Agung MIC ini akan berjalan
dengan baik dan menghasilkan resolusi dan program yang akan
menjayakan bukan sahaja MIC, tetapi juga Barisan Nasional.
17. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
Perhimpunan Agung MIC ini.
|