Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	ARKIB NEGARA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	22/08/89 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PERASMIAN PERAYAAN 55 TAHUN 
			PERKHIDMATAN AWAM MALAYSIA 




 Yang Berhormat Dato' Dr. Yusof Noor,
     Menteri di Jabatan Perdana Menteri;
Yang Berbahagia Tan Sri Sallehuddin Mohamed,
     Ketua Setiausaha Negara;
Yang Berbahagia Tan Sri Alwi Jantan,
     Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
Assalamualaikum   warahmatullahi   wabarakatuh   dan   salam
sejahtera.
    Bersyukur kita ke  hadrat  Allah  Subhanahu  wa  Ta'ala
kerana   dengan  limpah  kurnia  dan  rahmatNya  dapat  kita
bersama-sama hadir di majlis ini.   Saya mengucapkan  terima
kasih  kerana  diberi  peluang  merasmikan  Majlis  ini  dan
seterusnya melancarkan Perayaan 55 Tahun  Perkhidmatan  Awam
sebagai   menyambut   ulangtahun  yang  ke-55  bagi  Jabatan
Perkhidmatan Awam Malaysia.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2.   Semenjak Pejabat Perjawatan Malaya ditubuhkan 55  tahun
yang  lalu,  perkhidmatan  awam telah melalui beberapa zaman
iaitu zaman penjajahan, zaman perjuangan untuk  kemerdekaan,
zaman mengisi matlamat kemerdekaan dan kini zaman menghadapi
cabaran  persaingan  antarabangsa dalam mengejar pembangunan
untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat dan negara.
3.   Tiap-tiap zaman  yang  dilalui  mempunyai  masalah  dan
cabarannya  yang  tersendiri.   Dalam menghadapi zaman-zaman
perubahan ini, kecekapan dan keberkesanan sistem dan jentera
perkhidmatan awam sentiasa teruji.  Di mana perlu, perubahan
dan penyesuaian telah dilakukan kepada  sistem  dan  jentera
perkhidmatan awam supaya selaras dengan kehendak semasa.
4.   Pada      zaman  penjajahan,  perkhidmatan  awam  telah
berfungsi  untuk  memenuhi  keperluan  dan  hasrat  Kerajaan
penjajah.    Undang-undang dan  peraturan    digubal   untuk
memudahkan kerja-kerja mengeksploitasi sumber-sumber asli di
dalam negara  untuk  kepentingan  mereka.    Tetapi  setelah
merdeka, sebagaimana sepatutnya, kita telah menyusun kembali
sistem  dan  jentera  pentadbiran untuk membangunkan negara.
Kesejahteraan rakyat yang telah diabaikan di bawah  Kerajaan
penjajah diberikan tumpuan utama.  Di dalam sistem demokrasi
berparlimen  kita, anggota-anggota pentadbiran yang mewakili
rakyat bekerjasama  rapat  dengan  perkhidmatan  awam  untuk
merancang dan melaksanakan program-program pembangunan untuk
rakyat.    Di  sini  kita harus ingat bahawa rakyat bermakna
semua rakyat, sama ada kaya atau miskin, di luar bandar atau
dalam bandar.  Walaupun Kerajaan perlu  menentukan  kekayaan
negara  diagih  secara adil,  tetapi   sebelum  agihan boleh
dibuat Kerajaan  mestilah  menentukan  kedudukan  hasil  dan
kewangannya meningkat untuk diagihkan, sama ada dalam bentuk
kemudahan   infrastruktur   atau  apa  juga  jenis  bantuan.
Justeru   itu   perkhidmatan   Kerajaan   untuk   menjayakan
perniagaan  dan  perusahaan kecil dan besar amatlah penting.
Lebih besar  keuntungan  halal  perniagaan  dan  perusahaan,
lebih kukuhlah kewangan Kerajaan dan lebih mampulah Kerajaan
membiayai  segala  perbelanjaan  yang diperlukan, baik untuk
perbelanjaan   bagi   pengurusan   dan   pembangunan,   atau
pembayaran pinjaman.
5.   Perkhidmatan  Kerajaan di zaman ini tidak lagi tertumpu
hanya  kepada  keamanan  dan  kebebasan  daripada   sebarang
penindasan.   Kerajaan       bertanggungjawab       terhadap
pembangunan sosial dan  ekonomi  negara.    Kekayaan  rakyat
adalah   kekayaan  Kerajaan  dan  kekayaan  Kerajaan  adalah
kekayaan rakyat.   Demikian juga jika  rakyat  miskin,  maka
kewangan  Kerajaan akan menjadi lemah dan kelemahan kewangan
Kerajaan akan menyebabkan  kemiskinan  di  kalangan  rakyat.
Keadaan  ini  amat  jelas  dalam  demokrasi walaupun mungkin
tidak dalam sistem feudal.
6.   Semua rakyat yang  ingin  berusaha  untuk  menghasilkan
kekayaan tidak harus diganggu tetapi sebaliknya dibantu oleh
pentadbiran.    Hanya  apabila rakyat daripada semua lapisan
berjaya meningkatkan  pendapatan  mereka,  barulah  Kerajaan
mendapat hasil untuk diagih-agihkan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
7.   Kita  sedang  berada  di ambang kurun ke-21 -- satu era
yang tidak ada persamaannya daripada segi kemajuan teknologi
dan peluang-peluang pembangunan.   Masa ini  elok  digunakan
untuk  mengamati  diri  sendiri  dan memeriksa faktor-faktor
luaran dan dalaman yang mempengaruhi  arah  hala  organisasi
dan  cara-cara bekerja.  Kesempatan ini elok digunakan untuk
menoleh ke belakang --  melihat  di  mana  wujud  kelemahan-
kelemahan  yang  boleh diperbaiki, dan paling penting sekali
meninjau ke hadapan untuk membuat persediaan bagi menghadapi
cabaran-cabaran semasa dan yang akan datang.
8.   Memahami sifat-sifat utama zaman baru  ini    merupakan
pra-syarat     untuk    merangka response yang sesuai.  Kita
harus  meneliti  sifat-sifat  ini   supaya   tindakan   yang
sewajarnya dapat cepat dirancang dan dilaksanakan.
9.   Sifat  utama  zaman  baru ini ialah wujudnya persaingan
hebat dalam bidang ekonomi  antarabangsa.    Persaingan  ini
bukanlah   sahaja   berlaku  di  antara  negara-negara  yang
mempunyai sistem ekonomi yang berlainan.    Persaingan  yang
lebih  hebat  berlaku di antara negara-negara yang mempunyai
sistem ekonomi yang  sama,  yang  bersahabat  dan  berjiran.
Persaingan  ini  adalah  hakikat  yang  perlu  kita  terima.
Supaya kita tidak ketinggalan, kita perlu menentukan  bahawa
kekuatan  ekonomi negara kita mampu  untuk  bersaing  dengan
jayanya.  Tidak ada satu faktor yang lebih penting  daripada
faktor  kecekapan pengurusan untuk menentukan kemampuan kita
untuk bersaing.   Dan  pengurusan  bukan  sahaja  melibatkan
organisasi   swasta,   tetapi   lebih   penting  lagi  ialah
pengurusan dalam Kerajaan.    Sebenarnya  pentadbiran  tidak
berbeza   daripada   pengurusan   perniagaan   dalam   zaman
persaingan ekonomi antarabangsa yang hebat ini.    Kecekapan
pengurusan   oleh  para  pentadbir  Kerajaan  akan  menolong
menjayakan pertumbuhan ekonomi negara yang mempunyai  kaitan
yang  rapat  dengan  pendapatan  rakyat  dalam  semua bidang
pekerjaan.
10.  Beberapa  tahun   yang   lepas   ini   Kerajaan   telah
memperkenalkan    Dasar   Penswastaan,   iaitu   memindahkan
syarikat-syarikat    dan    beberapa  perkhidmatan  Kerajaan
kepada pihak swasta.  Walaupun kita membentuk dasar ini agak
awal  tetapi  penswastaan  adalah  satu  aliran yang semakin
diterima di seluruh dunia.    Pihak  Komunis  juga  sekarang
mengakui  bahawa  pemilikan  semua perkhidmatan dan kegiatan
ekonomi oleh negara tidak berjaya membangunkan ekonomi  atau
mengagihkan kekayaan kepada rakyat secara adil.  Justeru itu
pihak  Komunis memperkenalkan 'perestroika' iaitu penyusunan
semula sistem ekonomi dan politik mereka.
11.  Penswastaan bertujuan mengatasi  perbelanjaan  Kerajaan
dan  negara  semasa  membekalkan perkhidmatan kepada rakyat.
Sebenarnya  kita  dapati  perkhidmatan   yang   sama   boleh
diberikan oleh swasta tanpa membebankan rakyat atau Kerajaan
atau merugikan kakitangan perkhidmatan berkenaan.  Sementara
perbelanjaan  Kerajaan dapat dikurangkan dengan penswastaan,
pendapatan  Kerajaan  akan  bertambah  dengan   cukai   yang
dikenakan  ke  atas  keuntungan pihak swasta yang mengambil-
alih perkhidmatan berkenaan.
12.  Semua  yang  dijangka  ini  sudahpun   berlaku   dengan
beberapa   perkhidmatan   Kerajaan  yang  telah  diswastakan
seperti perkhidmatan kontena di Pelabuhan Kelang, MAS,  MISC
dan STM.  Para pekerja dalam badan-badan ini tidak mengalami
apa-apa  kerugian, bahkan ada antara mereka yang memperolehi
pendapatan yang lebih.   Dalam masa yang  sama  perkhidmatan
yang diberikan tidak terjejas, bahkan bertambah baik.  Cukai
yang    dipungut  daripada  perniagaan berkenaan menunjukkan
kemungkinan ia meningkat.
13.  Dengan dikurangkan  tanggungan  Kerajaan  terhadap  kos
pengurusan   pentadbiran   dan   dengan  bertambahnya  hasil
Kerajaan, kemampuan Kerajaan untuk memperbaiki  tangga  gaji
kakitangannya  dan  lain-lain  perbelanjaan sudah tentu akan
meningkat.    Ini  bermakna  bukan  sahaja   pekerja   dalam
perkhidmatan  yang  diswastakan  yang  akan  merasai nikmat,
tetapi mereka yang masih berkhidmat dalam Kerajaan juga akan
mendapat nikmat.
14.  Adalah menjadi hasrat  Kerajaan  supaya  semua  pekerja
dalam Kerajaan dan di luar Kerajaan mendapat pendapatan yang
lebih.     Pendapatan  yang  bertambah  bersama-sama  dengan
produktiviti  yang  meningkat  tidak  akan  menyebabkan  kos
perkhidmatan  atau  harga  barang-barang  meningkat.    Yang
menjadikan  kita  tidak  kompetitif   ialah   apabila   gaji
dinaikkan tetapi daya pengeluaran tidak ikut bersama.
15.  Dengan  kenaikan  pendapatan  para pekerja Kerajaan dan
bukan Kerajaan, maka kuasa beli atau purchasing power rakyat
akan  memajukan  aktiviti  jual-beli  yang   akan   menolong
meningkatkan  pertumbuhan  ekonomi  dengan lebih pesat lagi.
Jika tuntutan dibuat untuk kenaikan gaji tetapi  dalam  masa
yang  sama  produktiviti  tidak ditingkatkan, maka kita akan
menjadi tidak kompetitif dan  pemasaran  barang-barang  kita
akan merosot.  Akhirnya pekerja   akan   menderita    kerana
dengan  kemerosotan  ekonomi,  pendapatan  semua pihak tidak
akan meningkat lagi dan ramai yang akan menganggur.
16.  Saya berharap para anggota pentadbiran memahami  bahawa
dasar penswastaan Kerajaan adalah untuk kebaikan kita semua.
Justeru   itu   kita  semua  hendaklah  berusaha  menjayakan
penswastaan secepat  mungkin.    Anggota  pentadbiran  perlu
memainkan peranan yang positif dalam melaksanakan dasar ini.
Insya-Allah  tidak  sesiapa  pun yang akan rugi.  Sebaliknya
kita semua, kakitangan Kerajaan, kakitangan badan-badan yang
diswastakan, rakyat keseluruhannya dan negara akan  mendapat
nikmat daripada dasar penswastaan ini.
17.  Selain  daripada  penswastaan yang telah saya huraikan,
satu dasar yang  juga  agak  kabur  di  kalangan  sesetengah
anggota pentadbiran ialah Persyarikatan Malaysia.  Kefahaman
dan penghayatan konsep Persyarikatan Malaysia masih terbatas
di  kalangan  pegawai-pegawai  atasan sahaja.   Maklum balas
yang diterima daripada sektor swasta  menunjukkan  pemahaman
pegawai-pegawai  Kerajaan  di  peringkat  pertengahan  masih
kabur.  Dengan itu dasar Persyarikatan  Malaysia  ini  tidak
mempunyai  kesan  yang  sepenuhnya  oleh kerana pihak swasta
masih mengalami kerumitan-kerumitan semasa berurusan  dengan
jabatan-jabatan  Kerajaan.    Yang  menjadi  teras  di dalam
Persyarikatan Malaysia ialah konsep kerjasama yang rapat  di
antara  sektor  awam  dengan  swasta,  di mana sektor swasta
memajukan perdagangan dan perusahaan dalam negara dan sektor
awam  menggariskan   dasar-dasar   utama   dan   menyediakan
perkhidmatan sokongan yang positif.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
18.  Saya   percaya   perkhidmatan   awam  telahpun  membuat
persediaan untuk menghadapi cabaran-cabaran baru ini melalui
perancangan yang teliti dan strategik daripada  segi  usaha-
usaha  mengubah  sikap,  melengkapkan pekerja-pekerja dengan
kemahiran-kemahiran  serta  mempertingkatkan  kecekapan  dan
keberkesanan   organisasi.     Di  samping  itu,  kelemahan-
kelemahan yang ada hendaklah diperbetulkan dengan segera.
19.  Dalam menghadapi cabaran  baru  ini,  masih  ada  ruang
untuk memperbaiki sikap di dalam perkhidmatan awam.  Bersih,
cekap  dan  amanah akan terus merupakan nilai-nilai teras di
dalam perkhidmatan awam dan hendaklah  dihayati  oleh  semua
anggota perkhidmatan awam.
Tuan-tuan dan puan-puan,
20.  Dalam  menghadapi  cabaran-cabaran  di zaman persaingan
ini, ketua-ketua di dalam perkhidmatan awam harus  mempunyai
pandangan   jauh   atau   'vision'  dan  dapat  merancangkan
strategi-strategi yang berkesan.   Faktor dan  tekanan  dari
dalam  dan  luar negeri harus difahami dan hubungan-hubungan
di antaranya harus dianalisa dan dikenal-pasti.    Di  dalam
pengurusan  dan  perancangan  secara  strategik,  kita harus
mengenal-pasti faktor-faktor yang di luar kawalan  kita  dan
faktor-faktor yang dapat kita uruskan.
21.  Sehubungan   dengan   ini,   pegawai-pegawai  di  dalam
perkhidmatan  awam  harus  berorientasikan   tindakan   atau
action-oriented.      Zaman   kita  menanti  peluang-peluang
menjelma telah berlalu.  Zaman ini bukan  sahaja  memerlukan
kita  mencari  peluang-peluang  baharu,  malahan  kita perlu
membentuk peluang-peluang, dan untuk ini, cara-cara berfikir
yang 'lateral' dan strategik adalah diperlukan.
22.  Di dalam pejabat-pejabat pula,  usaha-usaha  permodenan
hendaklah    diteruskan.    Sistem dan aturcara bekerja yang
lama harus dikaji semula dan  diperkemaskan.    Perkhidmatan
kaunter terutamanya hendaklah diberi perhatian khas sebab di
situlah  sebahagian  besar  hubungan  antara orang ramai dan
perkhidmatan awam berlaku.   Ketua-ketua  jabatan  hendaklah
memberikan  perhatian yang lebih kepada perkhidmatan kaunter
ini.  Di samping itu, keadaan fizikal dan kebersihan pejabat
hendaklah sentiasa dijaga untuk mencerminkan satu imej  yang
baik.    Sebenarnya kakitangan Kerajaan sendiri akan merasai
kerja mereka lebih  selesa  jika  keadaan  di  tempat  kerja
bersih dan teratur.  Sudah tentu para pelanggan akan merasai
kesan  yang  positif  daripada  persekitaran yang bersih dan
teratur apabila mereka datang ke pejabat-  pejabat  Kerajaan
untuk urusan-urusan tertentu.
23.  Ukuran  kejayaan  dan  prestasi perkhidmatan awam tidak
lagi boleh diasaskan kriteria kuantitatif seperti  kemampuan
pelaksanaan   pembangunan  daripada  segi  jumlah  penjawat,
jumlah  peruntukan,  serta  bilangan  program   dan   projek
pembangunan.  Lebih penting lagi ialah kejayaan melaksanakan
projek  dan  urusan  bagi tiap-tiap tahun.   Peruntukan yang
tidak dibelanjakan seperti yang dirancang adalah salah  satu
ukuran  prestasi  perkhidmatan awam.  Bagi rakyat pula, yang
penting bagi mereka bukanlah niat  dan  perancangan,  tetapi
yang  penting  ialah  apakah yang dilaksanakan untuk mengisi
harapan mereka dan harapan negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
24.  Saya   mengambil   peluang   ini   untuk   menyampaikan
penghargaan  yang  tinggi  dan ucapan berbanyak terima kasih
atas segala sumbangan dan dedikasi keseluruhan  perkhidmatan
awam  di  peringkat  Persekutuan,  Negeri dan Daerah di mana
sahaja mereka berkhidmat, dalam membangun dan mempertahankan
negara.
25.  Akhir sekali saya mengucapkan  tahniah  kepada  Jabatan
Perkhidmatan  Awam  di  atas  usahanya menganjurkan sambutan
Perayaan Perkhidmatan Awam  55  tahun  ini.    Saya  percaya
perkhidmatan  awam  akan  bergerak  dengan azam dan semangat
yang lebih, demi kesejahteraan rakyat dan negara.
26.  Dengan  ini,   saya   dengan   sukacitanya   merasmikan
pelancaran sambutan Perayaan 55 Tahun Perkhidmatan Awam.
     Wabillahi    taufik    walhidayah   wassalamu   alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 

 



 
Google