Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : ANGKASAPURI
Tarikh/Date : 30/08/89
Tajuk/Title : PERUTUSAN SEMPENA HARI KEBANGSAAN
YANG KE-32
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam
bahagia.
Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala
kerana dengan izinNya dapat kita sekali lagi menyambut Hari
Kebangsaan -- Hari Kemerdekaan negara kita. Kita juga
bersyukur kerana negara kita berada dalam keadaan aman dan
sejahtera dan kita berdoa semoga keamanan dan kesejahteraan
itu berterusan pada tahun-tahun yang akan datang. Untuk
tujuan ini kita perlu terus berusaha.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2. Walaupun kita telah menyambut kemerdekaan negara
sebanyak 32 kali, hanya semenjak tahun 1970 sahaja kita
menyambut hari yang bersejarah ini dengan tema-tema yang
tertentu. Biasanya tema sambutan Hari Kebangsaan ini
bertukar ganti mengikut objektif dan suasana negara yang
relevan pada tiap-tiap tahun itu. Walaupun begitu, tema
tahun ini - 'Bersatu' - adalah sama dengan tema tahun 1988
yang lalu.
3. Tema 'Bersatu' diulangi tahun ini oleh kerana Kerajaan
memandang dengan serius dan mengutamakan perpaduan rakyat.
Kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi
perpaduan negara. Dewasa ini semakin ramai rakyat yang
menyedari pentingnya bersatu untuk menempa keamanan dan
pembangunan negara. Kita yakin kita dapat meluaskan lagi
kesedaran ini sekiranya tema itu diteruskan. Sebab itulah
Kerajaan telah memilih 'Bersatu' sekali lagi sebagai tema
sambutan hari kebangsaan tahun ini.
Tuan-tuan dan puan-puan,
4. Dasar-dasar Kerajaan seperti Dasar Ekonomi Baru, Dasar
Pelajaran Kebangsaan dan dasar-dasar lain adalah bertujuan
untuk mengukuhkan lagi perpaduan. Di mana-mana juga dalam
masyarakat perbezaan yang ketara dalam kedudukan ekonomi,
politik dan sosial membawa kepada perpecahan yang boleh
mencetuskan rusuhan. Perbezaan di antara yang kaya dengan
yang miskin, walaupun sesama kaum, biasanya akan membawa
kepada perpecahan dan pemberontakan. Inilah yang
menyebabkan Revolusi Peranchis yang berlaku 200 tahun dahulu
dalam kaum sebangsa. Justeru itu, usaha hendaklah dibuat
untuk mengurangkan jurang perbezaan di antara yang miskin
dengan yang kaya terutamanya jika perbezaan ini dikaitkan
dengan kaum-kaum tertentu. DEB bertujuan mengurangkan
jurang perpisahan di antara yang miskin dengan yang kaya dan
kaitan kaum dengan fungsi ekonomi. Perbezaan dalam bidang
sosial dan politik, jika ada, akan hapus apabila kekayaan
dan kemiskinan tidak lagi dikaitkan dengan kaum.
5. DEB wujud ekoran daripada peristiwa 13 Mei 1969.
Kepada mereka yang mengalami sendiri peristiwa tersebut,
cogankata seperti 'Bersatu' akan memberi makna yang mendalam
di hati sanubari mereka. Mereka dan keluarga mereka
mengerti penderitaan dan kecemasan kerana rusuhan kaum.
Jika berlaku sebarang rusuhan, kecederaan dan kehilangan
nyawa akan terjadi. Kehidupan harian juga terganggu dan
berbagai kesusahan dan kesulitan dialami. Keselamatan tidak
terjamin dan rakyat hidup dalam ketakutan.
6. Inilah yang terjadi akibat rusuhan 13 Mei 1969.
Walaupun kita ingin melupakan peristiwa hitam ini, kita
tidak harus lupa pengajaran daripadanya. Jika kita lupa
langsung akan peristiwa itu, ada kemungkinan kita tidak akan
berusaha untuk mengelak daripada peristiwa seumpama itu
diulangi.
7. Malangnya, semakin tahun semakin ramai penduduk kita
yang terdiri daripada golongan belia yang tidak mengalami
kecemasan peristiwa tersebut. Mereka tidak dapat
memahami betapa buruknya peristiwa seperti itu. Dengan itu
Kerajaan memikirkan adalah sesuai untuk kita sentiasa
menekankan pentingnya unsur bersatu dan perpaduan di
kalangan masyarakat Malaysia. Tema 'Bersatu' seharusnyalah
dijadikan asas oleh sekolah-sekolah, pusat-pusat pengajian
tinggi, agensi-agensi awam, pihak swasta dan semua pihak di
negara ini dalam segala tindakan dan kegiatan mereka
sepanjang masa.
Tuan-tuan dan puan-puan,
8. 'Bersatu' boleh dilihat daripada beberapa aspek, sama
ada politik, ekonomi, sosial atau keselamatan. Apabila kita
bersatu, kita akan berasa yakin dan dapat bekerjasama rapat
sesama kita. Kerjasama dan bantu-membantu akan meringankan
beban kita. Kita sudah tentu akan disegani dan apabila kita
menyuarakan apa-apa pandangan, pandangan kita akan diteliti
dan dipertimbangkan sewajarnya.
9. Sebaliknya kalau kita berpecah-belah, kita sibuk
bertelagah dan berbalah, masyarakat antarabangsa tidak akan
menghormati kita. Apa yang kita suarakan akan berlalu tanpa
didengar, tanpa pertimbangan. Kita tidak disegani dan
maruah kita terjejas. Dalam arena politik antarabangsa,
maruah yang tinggi adalah salah satu perkara yang kita
utamakan. Setiap negara melihat kepada beberapa unsur
sebagai ukuran prestasi negara lain. Salah satu unsur itu
semestinyalah kestabilan politik sesebuah negara. Dengan
itu kita harus terus bersatu untuk meningkatkan maruah
negara pada mata dunia luar. Kita dipelawa dan diterima
sebagai tuan rumah kepada Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan
Komanwel atau CHOGM kerana masyarakat antarabangsa yakin
akan kestabilan dan kemampuan negara kita.
10. 'Bersatu' juga boleh diteliti daripada aspek ekonomi
dan pembangunan negara. Kerajaan selalu menyeru mengenai
perpaduan dan keharmonian supaya iklim pembangunan dan iklim
ekonomi sentiasa baik dan cerah. Ekonomi yang baik akan
membawa banyak manfaat kepada rakyat keseluruhannya.
11. 'Bersatu' juga boleh dilihat daripada segi keharmonian
hidup. Yang bersatu tetap harmoni dan yang asyik
bertelingkah tetap kecoh. Sama ada negara, masyarakat,
pertubuhan, parti politik, pasukan sukan atau apa-apa jua
kumpulan, wujudnya unsur bersatu akan menenangkan hubungan
antara individu-individu yang menganggotainya. Banyak masa
akan dapat kita tumpukan untuk kebajikan dan kebaikan
masyarakat sekiranya tidak terdapat sebarang perpecahan.
12. Satu lagi aspek ialah hubungan di antara unsur bersatu
dengan pertahanan dan keselamatan negara. Hubungan di
antara bersatu dengan keselamatan adalah berterusan dan
direct. Bersatu adalah asas kekukuhan. Sesebuah negara akan
dapat mempertahankan dirinya sekiranya masyarakatnya
bersatu. Pemerintahan Kesultanan Melaka semakin lama
semakin kuat di masa masyarakatnya bersatu. Sebaliknya,
Kesultanan itu lumpuh dan kemudiannya hancur apabila
terdapat perpecahan dan pertelingkahan, terutama di kalangan
para pemimpinnya.
13. Dalam zaman penuh cabaran ini, negara kita sentiasa
menghadapi cabaran dalaman dan luaran. Kalau kita tidak
bersatu, kita mungkin dimusnahkan oleh masalah-masalah
dalaman yang mungkin digembar-gembur serta diapi-apikan oleh
musuh-musuh dari luar. Mungkin juga musuh-musuh dari luar
dapat mengambil kesempatan untuk melumpuhkan kita.
Kemungkinan-kemungkinan ini jika tidak diawasi akan
mengurang dan menjejaskan kemerdekaan kita. Sekiranya kita
lalai, kita mungkin dijajah semula. Penjajahan itu tidak
semestinya berbentuk penaklukkan negara, tetapi mungkin
berbentuk penjajahan ekonomi atau penjajahan sosial.
Beberapa buah negara di dunia ini tidak dapat hidup tanpa
bersandar kepada negara-negara tertentu. Tanpa bantuan,
negara-negara itu akan lumpuh. Dengan itu negara-negara
yang memberi bantuan dapat menggunakan bantuan tersebut
untuk kepentingan mereka sendiri sehingga akhirnya Kerajaan-
kerajaan negara-negara penerima menjadi Kerajaan boneka.
14. Oleh yang demikian, Kerajaan menyeru rakyat Malaysia
daripada semua kaum supaya menghargai kemerdekaan kita.
Sudah 32 tahun kita merdeka dan kita telah berjaya mengisi
kemerdekaan dengan pembangunan material dan rohaniah. Walau
bagaimanapun banyak lagi yang harus kita laksanakan supaya
negara kita lebih maju dalam semua aspek. Untuk tujuan ini
kita perlu kepada suasana yang tenang dan kita semua
hendaklah mengelak daripada melakukan sebarang kegiatan yang
boleh mengancam perpaduan kita.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
15. Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada Sukan SEA yang
kelima belas, satu pertandingan sukan yang terbesar dan
gilang-gemilang yang pernah diadakan di negara kita.
Sesuatu yang kita boleh banggakan ialah perpaduan erat yang
wujud di kalangan ahli-ahli sukan Malaysia. Kejayaan kita
di Sukan SEA ini ialah kerana adanya semangat kekitaan
dan perpaduan. Saya mengucapkan tahniah kepada ahli-ahli
sukan kita ke Sukan SEA ini yang telah mengharumkan nama
negara bukan sahaja dalam arena sukan, tetapi juga kerana
menunjukkan perpaduan yang nyata walaupun mereka terdiri
daripada berbagai-bagai kaum. Semangat keMalaysiaan yang
ditunjukkan oleh ahli-ahli sukan kita dan perpaduan yang
erat antara mereka semenjak mereka berlatih hinggalah ke
masa bertanding, menggambarkan perpaduan yang kita idami.
Seluruh rakyat Malaysia mengucapkan syabas dan terima kasih
kepada ahli-ahli sukan dan pegawai-pegawai Sukan SEA kita.
Saya yakin perpaduan yang mereka tunjukkan akan menjadi
contoh dan teladan kepada kita semua. Memang benarlah
cogankata kita, 'Majulah Sukan Untuk Negara'.
Tuan-tuan dan puan-puan,
16. Saya percaya masyarakat Malaysia akan berusaha dengan
bersungguh-sungguh agar perpaduan nasional dapat
dipertingkat dan diperkukuhkan lagi. Saya juga yakin bahawa
rakyat Malaysia akan menjaga perpaduan ini dan sanggup
berkorban supaya negara Malaysia benar-benar bersatu.
Insya-Allah, negara kita akan sentiasa terpelihara dan
sentiasa berjaya.
Wabillahi taufik walhidayah, wassalamu alaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
|