Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : ISTANA NEGARA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 18/09/89
Tajuk/Title : UCAPAN TAHNIAH DAN IKRAR TAAT SETIA
KERAJAAN DAN RAKYAT MALAYSIA DI
ISTIADAT PERTABALAN KEBAWAH DULI
YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA
YANG DI-PERTUAN AGONG
YANG KESEMBILAN
Bismillahir rahmanirrahim.
Mengadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka
Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Azlan Shah, dengan
penuh kemuliaan dan kebesarannya.
Ampun Tuanku,
2. Pada hari yang mulia dan penuh istiadat ini sempena
Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, patik bagi
pihak Kerajaan dan seluruh rakyat dengan perasaan yang penuh
ikhlas dan gembira mengangkat sembah merafakkan ucapan
setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku,
di atas pemilihan Tuanku sebagai Yang Di-Pertuan Agong
Kesembilan, Raja Memerintah bagi seluruh Negara Malaysia dan
Duli Yang Maha Mulia Tuanku Bainun sebagai Raja Permaisuri
Agong.
Ampun Tuanku,
3. Sukacita patik memaklumkan bahawa pada keseluruhannya
keadaan dalam negara sangatlah menggembirakan. Perpaduan
dan persefahaman di kalangan rakyat terus meningkat.
Sebagai contohnya, semangat bersatupadu ini terbukti sekali
semasa rakyat menyambut Ulangtahun Hari Kemerdekaan Yang
Ke-32 dan pertandingan Sukan SEA baru-baru ini di mana
rakyat daripada berbilang kaum bersama-sama berganding bahu
menjayakan berbagai-bagai acara dalam perhimpunan dan
pertandingan.
4. Kejayaan Malaysia di Sukan SEA sangatlah mengkagum
serta membanggakan. Ini semua adalah hasil daripada azam
dan kegigihan para peserta, kecekapan pegawai-pegawai dan
sokongan kuat daripada rakyat sekalian berlandaskan semangat
perpaduan dan persefahaman yang sentiasa hidup subur.
5. Oleh kerana wujudnya perpaduan dan persefahaman yang
begitu berkesan di kalangan rakyat, maka keadaan keselamatan
dalam negara juga adalah sentiasa terkawal. Patik semua
bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta'ala kerana
wujudnya ketenteraman yang berterusan dalam negara. Walau
bagaimanapun, Kerajaan sentiasa berwaspada terhadap sebarang
usaha untuk memecah-belahkan perpaduan rakyat dan mengganggu
kesejahteraan hidup di negara ini.
Ampun Tuanku,
6. Kedudukan ekonomi negara semakin hari semakin kukuh.
Kerajaan yakin pertumbuhan ekonomi negara kita akan
berterusan. Dengan adanya penglibatan pihak swasta yang
semakin meningkat, ekonomi negara akan menempa perkembangan
yang menggalakkan pada tahun-tahun yang akan datang.
7. Dalam hubungan antarabangsa pula, negara kita akan
terus memainkan peranan yang aktif untuk meningkatkan
kerjasama dengan negara-negara lain. Adalah diharapkan
kerjasama ini, khususnya kerjasama dalam ASEAN, akan
menjamin kestabilan dan kemakmuran. Di samping itu Malaysia
juga akan memainkan peranan positif dalam pertubuhan-
pertubuhan antarabangsa yang lain seperti Pertubuhan Bangsa-
Bangsa Bersatu, Pertubuhan Negara-negara Islam atau OIC,
Pergerakan Negara-negara Berkecuali dan Komanwel. Kerajaan
di bawah naungan Tuanku memberi kerjasama teknikal kepada
negara-negara membangun yang memerlukannya, terutama dalam
bidang-bidang di mana Malaysia mempunyai kepakaran dan
kemahiran. Kerjasama teknikal ini akan diteruskan untuk
menjalinkan hubungan yang rapat dengan negara-negara
membangun.
Ampun Tuanku,
8. Sempena hari yang bersejarah dan mulia ini, patik bagi
pihak Kerajaan dan rakyat sekalian mengambil peluang
keemasan ini merafakkan sembah ikrar taat setia patik semua
Kebawah Duli Tuanku untuk terus memberi khidmat dengan
bersih, cekap dan amanah demi kemakmuran dan kesejahteraan
negara.
9. Patik semua juga berdoa ke hadrat Allah Subhanahu wa
Ta'ala, Yang Maha Pengasih lagi Pemurah, mudah-mudahan
dilanjutkan usia Kebawah Duli Tuanku dan Kebawah Duli Raja
Permaisuri Agong, semoga dikurniakan keadaan sihat walafiat,
dengan penuh kebahagiaan dan kesejahteraan.
Amin, Ya Rabbul 'Alamin.
Ampun Tuanku, sembah patik mohon diampun.
|