Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : STADIUM PERPADUAN PETRA JAYA,
KUCHING, SARAWAK
Tarikh/Date : 21/09/89
Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN PERSIDANGAN PARTI
PESAKA BUMIPUTERA BERSATU
(PBB) SARAWAK
Yang Amat Berhormat
Datuk Patinggi Haji Abdul Taib Mahmud,
Presiden Parti PBB;
Ahli-Ahli Jawatankuasa Pusat Parti PBB;
Dif-Dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri
Sarawak yang juga Presiden Parti PBB, Datuk Patinggi Haji
Abdul Taib Mahmud dan Jawatankuasa Pusat Parti PBB kerana
menjemput saya untuk merasmikan persidangan tahunan Parti
PBB ini. Saya percaya berbagai perkara akan dibincangkan di
Persidangan ini dan saya percaya bahawa keputusan yang akan
diambil kelak akan mendatangkan manfaat bukan sahaja kepada
Parti PBB tetapi juga kepada Barisan Nasional dan negara
Malaysia keseluruhannya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2. Barisan Nasional merupakan gabungan parti-parti politik
daripada semua kaum di Malaysia ini. BN mewakili penduduk-
penduduk di negeri-negeri Semenanjung dan juga di
Sabah dan di Sarawak. Parti-parti politik yang bergabung di
bawah BN bertujuan memberi suara dan mengukuhkan perpaduan
dan persefahaman di kalangan masyarakat majmuk di negara
ini. Kemampuan dan kejayaan BN jelas membuktikan bahawa
rakyat Malaysia mahukan perpaduan, pembangunan dan kemajuan
melalui sistem perwakilan yang demokratik. Rakyat Malaysia
juga inginkan kepada keamanan, rukun damai dan kehidupan
yang semakin baik. Oleh kerana itu rakyat Malaysia telah
menaruh harapan mereka kepada BN kerana BN telah membuktikan
kemampuan dan kebolehan mewakili rakyat berbagai kaum untuk
mentadbir dengan cekap, berkesan dan adil.
Tuan-tuan dan puan-puan,
3. Semenjak tahun 1957 apabila negeri-negeri di
Semenanjung mencapai kemerdekaan dan semenjak 1963 apabila
Sarawak dan Sabah menyertai Semenanjung untuk menubuhkan
Malaysia, negara kita telah mencapai pembangunan dan
kemajuan yang begitu pesat sekali. Negara kita telah
mencapai kemajuan ekonomi yang jauh lebih pesat dan tinggi
dari di zaman penjajah, sesuatu yang tidak kerap berlaku.
Sarawak dan Sabah yang kaya dengan berbagai sumber alam
telah mengalami satu kemajuan yang luar biasa semenjak
mencapai kemerdekaan melalui Malaysia. Di Sarawak dan Sabah
kemudahan-kemudahan infrastruktur seperti jalanraya,
bekalan air dan elektrik, jambatan, klinik-klinik
dan lain-lain lagi dibina dan kemudahan-kemudahan ini telah
membawa banyak manfaat kepada rakyat di Sarawak dan Sabah
walaupun belumlah sama dengan di Semenanjung di mana
penduduk lebih ramai dan keadaan memang lebih baik semenjak
dahulu lagi.
4. Negara kita juga aman dan tenteram dan rakyatnya,
secara relatif, hidup dalam keadaan harmoni dan bersatu.
Kita dapat menjalankan tugas-tugas kita tanpa kebimbangan
dan gangguan. Setiap rakyat dapat mengejar cita-cita
mereka. Kita bebas menyuarakan pendapat dan pandangan kita.
Dan sebagai rakyat kita mempunyai hak untuk menentukan cara
hidup kita.
Tuan-tuan dan puan-puan,
5. Memang benar apa yang saya sebutkan ini adalah perkara
biasa di negara kita. Keadaan ini memang wujud di negara
kita. Oleh itu mungkin ada antara tuan-tuan dan puan-puan
yang bertanya mengapakah saya selalu menyebut hal-hal ini.
6. Memanglah benar negara kita maju dan memanglah benar
kita boleh menyuarakan pandangan dan pendapat kita. Dan
memang benar juga kita telah mencapai kemajuan ekonomi dan
sosial. Tetapi oleh kerana perkara-perkara ini sudah
menjadi perkara-perkara biasa kepada kita, kebanyakan
daripada kita tidak lagi memandang berat kepadanya. Dan ada
pula di antara kita yang tidak menghargai nikmat-
nikmat ini. Kebanyakan daripada kita, oleh kerana nikmat-
nikmat ini sentiasa wujud tidak pula berusaha memeliharanya.
Oleh kerana itu ada di antara kita yang sudah mula lalai dan
lupa akan pengorbanan yang telah dibuat untuk mewujudkan
suasana dan keadaan yang harmoni dan tenteram ini. Ada juga
antara kita yang tidak segan silu menimbulkan cakap-cakap
dan kata-kata yang boleh mengancam perpaduan dan
persefahaman kaum dan dengan itu meningkatkan ketegangan.
Tetapi yang lebih buruk lagi ialah terdapat pula golongan-
golongan tertentu yang sengaja menimbulkan perkara-perkara
supaya keharmonian yang wujud ini akan terganggu. Tindakan-
tindakan yang tidak bertanggungjawab ini bertujuan menggugat
perpaduan kaum dan mengganggu kestabilan negara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
7. Sebenarnya tidak semua negara berada dalam keadaan aman
dan tenteram dan bukan semua negara dapat menikmati kemajuan
dan pembangunan terutama apabila penduduknya terdiri
daripada berbagai kaum. Justeru itu kita hendaklah
bersyukur kerana kita sungguh bernasib baik. Kita mestilah
sentiasa berusaha supaya keadaan ini terus berkekalan. Saya
percaya rakyat Malaysia yang yakin kepada negara Malaysia
dan masa depan negara kita akan sanggup membendung perasaan
dan kepentingan diri atau kaum untuk memelihara kestabilan
dan kemajuan negara.
8. Memang menjadi keutamaan Kerajaan untuk meningkatkan
lagi perpaduan nasional. Di samping itu juga adalah
menjadi tumpuan utama Kerajaan untuk mengukuhkan lagi
integrasi antara Semenanjung, Sarawak dan Sabah. Kita
bersatu dalam tindakan dan kegiatan kita. Kita bersatu
dalam bidang politik sepertimana yang dibuktikan dalam BN.
Kita bersatu semasa keadaan susah dan bersatu semasa kita
senang. Kita bersatu dalam sukan seperti yang terbukti
dengan kejayaan cemerlang kita dalam Sukan SEA baru-baru
ini. Kita bukan sahaja benar-benar ingin kepada integrasi
yang lebih tinggi, tetapi juga berusaha dengan serius untuk
mencapainya.
9. Dalam hal ini, saya ingin mengingatkan bahawa ada
pihak-pihak tertentu, baik dari dalam mahupun dari luar,
yang begitu kurang senang dengan perpaduan kita. Mereka
ini tidak ingin melihat kita maju dan bersatu. Mereka mahu
kita berpecah-belah. Oleh kerana itu mereka ini akan
melakukan apa sahaja untuk menanamkan perasaan tidak senang
dan syak wasangka sesama kita. Mereka akan menggunakan apa
juga taktik untuk mengancam perpaduan kita. Mereka ini akan
membangkitkan perkara-perkara yang boleh membawa kepada
perasaan irihati sesama masyarakat Malaysia. Mereka akan
membesar-besarkan perbezaan pendapat yang semestinya wujud
dalam masyarakat dan negara yang mengamalkan demokrasi.
Mereka juga tidak akan teragak-agak untuk melaga-lagakan
kita dan untuk memberi gambaran bahawa kita tidak sealiran
dan sepakat.
10. Kita mestilah sentiasa berjaga-jaga terhadap tindak
tanduk golongan ini. Kadang kala mereka bertindak secara
bersendirian tetapi ada juga masanya mereka bertindak secara
berkumpulan. Tujuan mereka ini adalah untuk memecah-
belahkan perpaduan kita, khususnya perpaduan di antara
Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Tujuan mereka buruk.
Janganlah kita terperangkap dengan tindak-tanduk mereka.
Tuan-tuan dan puan-puan,
11. Banyak lagi yang perlu kita usahakan untuk membangunkan
lagi negara kita Malaysia. Kita perlu menyusun semula
masyarakat kita, kita perlu membasmi kemiskinan, kita perlu
mempertingkatkan usaha kita supaya negara kita lebih
maju, lebih aman dan lebih bersatu. Yang lebih penting
ialah kita, setiap rakyat Malaysia, mesti sanggup berusaha
dengan bersungguh-sungguh untuk menentukan masa depan
Malaysia yang lebih terjamin. Ini memerlukan satu
pengorbanan yang besar daripada setiap rakyat Malaysia yang
cintakan negara ini. Pada hemat saya, pengorbanan ini
adalah perlu bagi masa depan warisan kita. Kita perlu
menyerahkan negara kita dalam keadaan yang lebih baik lagi
kepada warisan kita. Tanggungjawab ini mestilah kita dukung
dan pikul bersama.
12. Saya yakin kita dapat terus membangunkan negara kita
kerana kita boleh bekerjasama sebagai satu tenaga yang padu.
Kerana kita bersatu, kita telah dapat menyelesaikan
masalah-masalah kita, walaubagaimana rumit sekalipun, dengan
menyuarakannya kepada semua pihak.
Tuan-tuan dan puan-puan,
13. Dalam negara demokratik, Kerajaan dipilih oleh rakyat
melalui proses pilihanraya yang tertib. Di Sarawak, proses
ini telah berjalan dengan baik dan Kerajaan pilihan rakyat
telah memerintah negeri ini dengan membawa banyak kemajuan.
14. Malangnya ada pihak-pihak tertentu yang tidak senang
hati dengan proses demokrasi dan cuba merebut kuasa melalui
cara-cara yang haram disisi undang-undang. Kerajaan Pusat
tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap
sesiapa sahaja yang cuba bertindak merebut kuasa di luar
proses yang halal. Kerajaan Pusat tetap akan menyokong dan
membantu Kerajaan Negeri pilihan rakyat daripada sebarang
percubaan untuk melemahkannya. Kita ingin bersikap adil
tetapi janganlah sesiapa mentafsirkan sikap adil sebagai
kelemahan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
15. Saya percaya Parti PBB akan terus meningkat maju dan
akan terus memberikan sumbangan yang membina kepada Barisan
Nasional. Dengan adanya sokongan dan kerjasama yang erat
antara parti-parti komponen Barisan Nasional, BN akan dapat
meningkatkan usaha-usaha untuk membawa kemajuan yang
lebih lagi yang akan mendatangkan manfaat kepada seluruh
penduduk Malaysia ini.
16. Mesyuarat Parti PBB ini, saya yakin akan menghasilkan
sesuatu yang akan membawa kebaikan bukan sahaja kepada Parti
PBB dan BN, tetapi juga kepada negara kita. Saya juga yakin
bahawa Parti PBB di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Haji
Taib Abdul Mahmud akan terus maju dan mencapai lebih banyak
kemajuan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
17. Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya
merasmikan Persidangan Parti PBB ini.
|