home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : STADIUM KOMTAR, PULAU PINANG Tarikh/Date : 23/09/89 Tajuk/Title : PERSIDANGAN PERWAKILAN PARTI GERAKAN Yang Berhormat Dato Seri Dr. Lim Kheng Yaik, Presiden Parti GERAKAN; Jawatankuasa Pusat Parti GERAKAN; Wakil-wakil Parti-parti Komponen Barisan Nasional; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan, Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pusat Parti GERAKAN kerana menjemput saya untuk merasmikan Persidangan Perwakilan Parti GERAKAN ini. Saya percaya berbagai perkara akan dibincangkan di Persidangan ini dan saya berharap sebarang keputusan yang diambil kelak bukan sahaja menggambarkan kematangan parti ini, tetapi juga akan mendatangkan manfaat kepada GERAKAN dan Barisan Nasional dan negara kita Malaysia. 2. Parti GERAKAN telah menempoh berbagai cabaran, dugaan serta juga kejayaan. Sebagai salah sebuah parti komponen, GERAKAN telah memberi sumbangan yang membina ke arah kekukuhan Barisan Nasional. Seperti parti-parti komponen yang lain, GERAKAN telah memainkan peranan yang berkesan membantu Barisan Nasional menghadapi berbagai cabaran semasa. Saya percaya GERAKAN bersama-sama dengan parti-parti komponen yang lain akan terus meningkatkan lagi sumbangan mereka demi keutuhan Barisan Nasional. Tuan-tuan dan puan-puan, 3. Bagi kita dalam Barisan Nasional, keutamaan kita ialah menjaga kestabilan politik dan perpaduan kaum. Kestabilan dan perpaduan ini amatlah penting kerana tanpa kedua-dua faktor ini kita tidak akan dapat mencapai kemajuan dan kita tidak akan dapat hidup dalam keadaan aman dan tenteram. Justeru itu, segala usaha Kerajaan Barisan Nasional adalah untuk menjaga keamanan, kestabilan dan perpaduan. Barisan Nasional akan sentiasa berusaha agar negara kita ini terpelihara daripada sebarang ancaman dan supaya rakyat hidup bebas dari ketakutan dan penindasan. 4. Memanglah menjadi tanggungjawab Kerajaan menumpukan perhatian kepada pembangunan ekonomi dan sosial serta kebajikan rakyat. Tetapi bukan semua Kerajaan boleh melaksanakan tanggungjawab ini dengan jayanya, lebih-lebih lagi dalam negara berbilang kaum seperti di negara kita. Yang memberi kejayaan kepada kita ialah sikap kesederhanaan anggota Barisan Nasional yang sanggup menolak dan melawan chauvinisme yang ekstrim yang terdapat juga di negara kita. Jika kita tunduk kepada pendekatan yang mudah dan kita main mata dengan ekstrimis, maka negara kita akan mengalami huru hara dan rakyat akan menderita. Tuan-tuan dan puan-puan, 5. Oleh kerana sikap anggota-anggota Barisan Nasional, Malaysia berada dalam keadaan aman, tenteram dan maju. Kita bersyukur kerana ini. Kita dapat menjalankan tugas-tugas kita tanpa gangguan dan halangan. Kita juga dapat melaksanakan apa juga kerja kita tanpa perasaan khuatir dan takut. Kita hidup dalam suasana yang aman damai dan berbaik-baik di antara satu sama lain. Umumnya kita bersatu, bersefahaman dan bersepakat. Dengan demikian, kita telah dapat mencapai kemajuan yang pesat yang telah mendatangkan manfaat kepada kita semua. 6. Oleh kerana kita bersatu dan bersefahaman, kita telah dapat menjaga kestabilan negara. Dan kerana adanya kestabilan, kita dapat memberi perhatian kepada usaha-usaha membangunkan ekonomi negara. Pencapaian kita ini mendapat sanjungan daripada negara-negara lain termasuk negara-negara maju. Walaupun kita telah mencapai kemajuan sosial dan ekonomi yang pesat, Kerajaan akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi pencapaian ini. Tuan-tuan dan puan-puan, 7. Itulah juga sebabnya saya selalu mengingatkan betapa pentingnya kita menjaga kestabilan politik negara kita. Walaupun kita berbeza pendapat dan pandangan, ini adalah perkara biasa dalam sesebuah negara demokrasi termasuk yang tidak ada masalah kaum. Kita boleh berbincang dan berdebat seperti di Parlimen dan lain-lain forum secara jujur, terbuka dan bertanggunjawab. Yang penting ialah kita tidak boleh membiarkan perbezaan pendapat dan pandangan ini dieksploitasikan sehingga menjadi punca pertelingkahan yang boleh mengancam kestabilan politik negara ini. 8. Kita di dalam Barisan Nasional menghadapi setiap masalah atau cabaran itu dengan cara yang rasional, bertolak-ansur dan dengan penuh tanggungjawab demi kepentingan perpaduan rakyat. Memang benar Barisan Nasional telah menghadapi berbagai-bagai cabaran tetapi kerana sikap jujur, ikhlas dan keutamaan yang diberikan kepada negara dan masyarakat, akhirnya kita dalam Barisan Nasional telah berjaya mencapai penyelesaian yang memuaskan kepada semua pihak. Perjuangan Barisan Nasional berdasarkan toleransi, kejujuran, keikhlasan dan tanggungjawab. Kita dalam Barisan Nasional membuat sesuatu bukan untuk kepentingan sesuatu parti atau sesuatu kaum tetapi kegiatan dan tindakan kita adalah demi kepentingan masyarakat Malaysia. Barisan Nasional bertindak dan berjuang untuk kepentingan seluruh masyarakat. Barisan Nasional adalah parti politik yang walaupun terdiri daripada beberapa buah parti, tetapi pada dasarnya mempunyai satu matlamat dan objektif yang sama iaitu untuk menegakkan negara Malaysia yang maju, bersatupadu, dan bermaruah tinggi. 9. Demi kepentingan negara dan masyarakat, Barisan Nasional selalu menyeru kepada parti-parti politik yang lain dalam negara ini supaya tidak selalu bermain politik. Kita selalu menyeru kepada parti-parti lawan supaya mengelak dari menjadikan semua isu yang dihadapi sebagai isu politik. Janganlah dijadikan sebagai isu politik perkara-perkara yang sememangnya bukan berunsur politik. Kita tidak seharusnya berpolitik semata-mata untuk kepentingan politik peribadi kita atau untuk kepentingan sempit parti-parti kita sahaja. Kita harus berpolitik untuk kebaikan parti yang secucuk dengan kepentingan masyarakat dan negara kita. Tuan-tuan dan puan-puan, 10. Saya percaya parti-parti komponen Barisan Nasional sentiasa menyedari hakikat bahawa masa depan negara kita bergantung kepada kestabilan politik dan perpaduan di kalangan masyarakat. Justeru itu, kita mestilah menumpukan tindakan dan kegiatan kita untuk meningkatkan lagi kedua-dua perkara ini. Barisan Nasional bersatu bukan sahaja semasa pilihanraya atau pilihanraya kecil atau semasa menghadapi cabaran tetapi Barisan Nasional sentiasa bersatu dan bersepakat dalam segala kegiatan dan tindakannya. Walaupun kadangkala terdapat perbezaan pendapat mengenai perkara- perkara tertentu, tetapi pada umumnya Barisan Nasional tetap bersatu dan sebarang perbezaan dapat diatasi demi kebaikan Barisan Nasional dan negara. Tuan-tuan dan puan-puan, 11. Saya yakin Parti GERAKAN akan terus memberikan sumbangannya kepada Barisan Nasional di masa hadapan. GERAKAN telah memainkan peranan yang berkesan dan membantu usaha-usaha Barisan Nasional. Saya yakin GERAKAN akan dapat meningkatkan lagi peranan dan sumbangannya. Tuan-tuan dan puan-puan, 12. Saya percaya Persidangan ini akan menghasilkan sesuatu yang akan memberi manfaat kepada GERAKAN dan Barisan Nasional. Dengan kata-kata ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Persidangan Perwakilan Parti GERAKAN ini. |