Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : KOTA KINABALU
Tarikh/Date : 29/09/89
Tajuk/Title : PERSIDANGAN PERWAKILAN TAHUNAN
PARTI BERSATU SABAH (PBS)
Yang Amat Berhormat Datuk Pairin Kitingan,
Presiden Parti Bersatu Sabah;
Ahli-ahli Jawatankuasa PBS;
Wakil-wakil Parti-parti Komponen Barisan
Nasional;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Pairin dan
Jawatankuasa PBS kerana menjemput saya berucap dan
merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan PBS ini. Saya
berharap Persidangan kali ini akan membawa PBS ke arah
kekukuhan dan dengan itu akan mengukuhkan lagi Barisan
Nasional. Sudah semestinya kita semua mengharapkan semua
parti komponen BN semakin hari semakin kukuh supaya kita
dapat mentadbirkan negara ini dengan penuh kewibawaan.
2. Inilah kali pertama saya hadir di upacara seperti ini
untuk PBS. Dengan itu, saya ingin mengambil peluang ini
untuk memberi pandangan-pandangan mengenai beberapa perkara.
Tuan-tuan dan puan-puan,
3. Sabah telah mencapai kemajuan dan pembangunan yang
pesat semenjak mencapai kemerdekaan menerusi Malaysia.
Dalam masa hanya kira-kira suku abad, rakyat Sabah telah
menyaksikan satu tingkat pembangunan yang mengatasi kemajuan
yang dicapai dalam tempoh lebih satu abad dijajah.
Pembangunan fizikal seperti jalanraya, bekalan air dan
elektrik, sekolah serta hospital dan klinik membuktikan
tingkat pembangunan yang pesat itu. Pembangunan sosial
seperti pendidikan dan kesihatan juga bertambah baik.
Kemudahan- kemudahan dan perkhidmatan-perkhidmatan yang
dibekalkan kepada rakyat juga meningkat. Hasil-hasil
pertanian dan perindustrian pada umumnya telah berkembang
dengan pesatnya sekiranya dibandingkan dengan sebelum
kemerdekaan.
4. Semenjak merdeka Sabah telah menikmati pembangunan yang
pesat. Parti Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional
telah memerintah negeri ini walaupun parti komponen yang
mengetuai Kerajaan sudah tiga kali bertukar. Satu lagi
fenomena di Sabah ialah parti pembangkang juga adalah parti
komponen BN. Keadaan ini jarang berlaku walaupun ianya
tidaklah terlalu asing daripada amalan yang terdapat dalam
BN. Kita memang fleksibal dan mengambil-kira keadaan
setempat dan semasa. Walau bagaimanapun ini bukanlah satu
amalan yang harus digalakkan. Kerjasama antara parti-parti
komponen BN akan mengurangkan peluang parti-parti
pembangkang mencelah. Dengan itu kestabilan dan kekukuhan
Kerajaan tidak akan terdedah kepada berbagai ancaman. Namun
demikian saya amat berbangga bahawa dalam keadaan ini pun
Sabah dapat dibangunkan dengan pesat. Kerajaan Persekutuan
tetap akan memberi perhatian kepada pembangunan Sabah dan
menolong mengatasi masalah-masalah yang dihadapi oleh negeri
Sabah, termasuklah masalah pendatang haram.
Tuan-tuan dan puan-puan,
5. Salah satu unsur perpaduan negara ialah menjalinkan
integrasi antara wilayah, terutama antara Semenanjung dengan
Sabah dan Sarawak. Unsur integrasi antara wilayah ini
hendaklah dijadikan satu prioriti. Apabila kita menerimanya
sebagai satu unsur yang penting dan utama, kita akan
berusaha untuk mencapai objektif yang dirancangkan. Saya
berpendapat Kerajaan Persekutuan telah bertindak secara
positif untuk menentukan integrasi nasional ini mencapai
hasil sedikit demi sedikit, semoga fikiran dan pendirian
kita tidak lagi terlalu tertakluk oleh perasaan kedaerahan.
Saya yakin integrasi akan membawa kebahagiaan bukan sahaja
kepada rakyat Sabah tetapi juga kepada seluruh rakyat
Malaysia.
6. Kerajaan Persekutuan berpuas hati dengan kerjasama yang
telah diberikan oleh Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan
Negeri Sarawak, dalam usaha mengintegrasikan rakyat
Malaysia. Seperti yang kita sedia maklum, kita telah secara
beransur-ansur menyatukan sistem pelajaran di Sabah dan
Sarawak dengan sistem pelajaran kebangsaan. Usaha ini
termasuklah penggunaan satu kurikulum yang seragam di
sekolah-sekolah. Masa standard telah diseragamkan, dan
untuk tujuan ini masa standard Sabah dan Sarawak telah
digunakan sebagai masa standard seluruh Malaysia.
7. Setakat ini kejayaan yang dicapai dalam pengangkutan
udara dan laut antara negeri boleh dianggap memuaskan.
Kerajaan telah juga berjaya meningkatkan perkhidmatan radio,
televisyen, telekomunikasi dan perkhidmatan pos supaya
perpisahan fizikal antara Semenanjung dengan Sabah dan
Sarawak tidak terasa sangat. Dengan peningkatan sistem
pengangkutan laut dan udara serta perhubungan yang lebih
baik, kita telah dapat menambahkan lagi hubungan ekonomi
antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Berbagai-
bagai langkah lain juga telah dilaksanakan bagi menjayakan
cita-cita integrasi kita.
8. Ini tidak bermakna Kerajaan sudah puashati sehingga
kita tidak perlu berikhtiar lagi. Kita akan terus berusaha
supaya integrasi ini semakin hari semakin kuat dan erat.
Sementara itu, Kerajaan berharap usaha ke arah integrasi
tidaklah terhad kepada Kerajaan-Kerajaan sahaja, tetapi
melibatkan semua lapisan rakyat.
Tuan-tuan dan puan-puan,
9. Menyentuh tentang perkembangan dalam parti-parti
komponen Barisan Nasional, pernah saya katakan baru-baru ini
bahawa pada sesuatu masa, akan terdapat satu-dua parti
komponen yang menghadapi masalah dalaman. Walaupun begitu,
Barisan Nasional yang mempunyai lebih daripada 10 buah parti
komponen pada umumnya adalah kukuh, oleh kerana pada sesuatu
masa itu juga, parti-parti komponen yang lain berada dalam
keadaan yang kukuh dan stabil.
10. Telah dibuktikan bahawa masa dan kepimpinan yang kukuh
dalam satu-satu parti komponen akhirnya dapat mengatasi
masalah dalaman yang dihadapi. UMNO juga telah beberapa
kali menghadapi masalah dalaman, tetapi kerana wujudnya
kesabaran, kesederhanaan dan sikap tolak-ansur oleh
semua pihak, akhirnya masalah-masalah yang dihadapi dapat
diatasi. Kita harus mempunyai fikiran terbuka untuk
menghadapi sebarang masalah parti yang timbul dari masa ke
masa.
11. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengulangi
kenyataan saya di Sarawak baru-baru ini mengenai usaha
merebut kuasa secara luar dari perlembagaan. Ingin saya
tegaskan sekali lagi bahawa pandangan ini adalah untuk
seluruh negara, baik di peringkat Kerajaan Persekutuan atau
di peringkat Kerajaan Negeri. Kerajaan adalah fleksibel dan
liberal tetapi jika sesuatu kegiatan itu terkeluar daripada
lunas-lunas yang ditentukan atau kegiatan tersebut
menjejaskan ketenteraman awam dan keselamatan negara,
tindakan yang sewajarnya akan diambil oleh Kerajaan. Dalam
demokrasi kita sudah ada peruntukan yang cukup dan sah untuk
kita bertanding bagi mendapatkan sokongan rakyat dan
mendirikan Kerajaan. Kita tidak perlu kepada cara-cara yang
tidak diizinkan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
12. Negara kita memerlukan perpaduan yang kukuh untuk terus
maju dan mencapai pembangunan yang lebih pesat lagi. Negara
kita pernah mengalami pembangunan ekonomi yang pesat dan
pernah juga mengalami kemelesetan. Pada masa ini kita
sedang mengalami perkembangan ekonomi yang sangat
membanggakan. Seperti yang kita semua maklum, prestasi
ekonomi mempunyai hubungan yang rapat dengan kestabilan
politik. Tidak terdapat sebuah negara pun yang dapat
membangun dengan baik sekiranya terdapat keadaan kacau bilau
dan pertelingkahan sesama sendiri.
13. Justeru itu, semua institusi dan setiap lapisan rakyat
hendaklah memastikan pertumbuhan ekonomi yang baik tidak
terganggu. Walaupun kita harus berpolitik, tetapi politik
kita hendaklah bertujuan membawa kebahagiaan kepada rakyat
dan negara. Kuasa politik bukanlah untuk memenuhi ambition
atau cita-cita besar diri sendiri. Kuasa politik bukan
matlamat terakhir tetapi ianya adalah saluran atau 'means'
untuk mencapai pembangunan negara. Masalahnya ialah
sesetengah pihak hanya mahukan kuasa kerana ghairah dengan
kuasa dan penggunaannya untuk kepentingan diri sendiri.
Jika ini berlaku maka negara akan melalui zaman yang gelap.
Sebab itulah kita mengamalkan sistem demokrasi yang memberi
kuasa kepada rakyat menentukan siapa yang akan memerintah.
14. Sudah tentu sesiapa yang membelakangkan kepentingan
rakyat tidak mungkin kekal dengan kuasa yang dianugerah oleh
rakyat. Tetapi kita juga harus ingat bahawa di Malaysia,
oleh kerana rakyat terdiri daripada berbagai kaum maka tidak
mudah bagi Kerajaan yang dipilih menjadi popular dengan
semua pihak. Sebaliknya jika kita ingin popular dengan satu
pihak sahaja, kita tidak akan dapat sokongan yang mencukupi.
Inilah dilema kita di Malaysia. Tetapi inilah juga yang
menyebabkan BN berjaya di Malaysia. BN mempunyai formula
yang memberi tempat dan layanan kepada semua kaum
tetapi tidak secara keterlaluan. Dalam BN, yang menang
tidak boleh mengambil semuanya dan yang kalah tidak akan
hilang semuanya. Dalam keadaan masyarakat berbilang kaum
seperti di Malaysia ini, inilah sahaja cara yang sesuai dan
mampu kita amalkan. Jika kita tidak sanggup membahagi-
bahagikan kuasa yang kita perolehi maka sokongan terhadap BN
akan menjadi lemah. Demikianlah berkesannya cara dan amalan
BN ini sehingga PAS dan DAP cuba meniru dan mengamalkannya.
Tetapi mereka tidak mungkin berjaya kerana tidak ada
kejujuran dalam kerjasama mereka. Mereka hanya ingin
mengabui para pengundi untuk memenangi pilihanraya.
Sokongan DAP kepada negara Islam PAS, dan sokongan PAS
kepada Malaysian Malaysia DAP adalah untuk pilihanraya
sahaja.
Tuan-tuan dan puan-puan,
15. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada PBS
kerana menjemput saya berucap dan merasmikan Persidangan
ini. Saya berharap Persidangan ini akan dapat menghasilkan
resolusi-resolusi yang membawa manfaat kepada parti dan juga
kepada BN. Adalah diharapkan PBS akan bertambah kukuh dan
meningkatkan sumbangannya kepada keutuhan dan keteguhan BN.
16. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan
Persidangan Perwakilan Tahunan PBS ini.
|