Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : MUZIUM NEGARA, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 11/10/89
Tajuk/Title : PERASMIAN PAMERAN "KOMANWEL KINI"
Yang Berhormat Datuk Sabbaruddin Chik,
Menteri Kebudayaan dan Pelancongan;
Yang Berbahagia Datuk Shahrum Yub,
Ketua Pengarah Jabatan Muzium;
Dif-dif Kehormat;
Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,
Persidangan Ketua-Ketua Negara Komanwel yang akan
berlangsung di Kuala Lumpur pada 18hb Oktober hingga 24hb
Oktober, 1989 ini merupakan satu peristiwa terbesar yang
penuh bersejarah pernah terakam di negara ini semenjak
negara ini mencapai kemerdekaan dan menganggotai Komanwel.
Sebagai tuan rumah, saya percaya setiap rakyat negara ini
merasa bangga atas kejayaan kita menganjur dan mengaturkan
pelbagai persiapan serta kemudahan bagi menjadikan
Persidangan Ketua-Ketua Negara Komanwel di Kuala Lumpur ini
benar-benar berjaya, menjadi kenangan yang tidak dapat
dilupakan oleh para perwakilan.
2. Sebagaimana yang termaklum, Komanwel merupakan sebuah
pertubuhan yang unik dan satu-satunya pertubuhan negara-
negara di luar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang
dianggotai oleh negara-negara maju, sedang membangun dan
yang miskin. Ini bermakna pertubuhan Komanwel dapat
menemukan ratusan juta rakyat negara-negara yang terkaya di
dunia dan juga yang termiskin. Rakyatnya juga terdiri
daripada berbagai-bagai bangsa dan suku kaum yang bertutur
dalam pelbagai bahasa, mengamalkan berbagai-bagai
kepercayaan dan kebudayaan. Rakyat di setiap negara anggota
bebas memilih, menetap dan mempraktikkan dasar
pemerintahannya yang tersendiri berasaskan falsafah dan
ideal yang terkandung dalam "The Declaration of the
Commonwealth Principles". Sungguhpun Komanwel telah bergerak
cergas untuk menyelesaikan berbagai masalah ekonomi dan
sosial yang dihadapi oleh negara-negara anggota melalui
berbagai-bagai program sains dan teknologi, kesihatan,
pendidikan, pertanian, sukan dan sebagainya, namun masih
terdapat tanda-tanda yang menunjukkan bahawa program-program
tersebut masih belum dapat dinikmati oleh kebanyakan rakyat
negara-negara anggota yang layak menikmatinya. Kita sangat
mengharapkan agar Komanwel dapat memainkan peranannya dengan
lebih aktif dan berkesan lagi dalam usaha-usahanya untuk
menyelesaikan berbagai masalah kemanusiaan sejagat khususnya
masalah kemiskinan.
Tuan-tuan dan puan-puan,
3. Semenjak tertubuhnya Komanwel dalam tahun 1948 dahulu,
ribuan peristiwa yang menarik telah terakam di dalam negara-
negara anggota. Antaranya ialah kemerdekaan yang merupakan
detik-detik bersejarah yang akan sentiasa diingati oleh
setiap rakyat negara berkenaan pada setiap tahun. Tetapi
terdapat juga peristiwa-peristiwa lain yang akan dibiarkan
begitu sahaja atau hanya tersimpan di dalam khazanah
perpustakaan yang hanya dapat dimanfaatkan oleh golongan
tertentu sahaja.
4. Dalam hal ini kita berterima kasih kepada Urusetia
CHOGM, Commonwealth Institute dan juga Muzium Negara atas
usaha-usaha yang mereka telah ambil untuk mengadakan pameran
khas mengenai Komanwel sempena Persidangan Ketua-Ketua
Negara Komanwel di Kuala Lumpur ini. Saya percaya mereka
yang berkunjung ke Muzium Negara untuk menyaksikan pameran
ini sekurang-kurangnya dapat memahami apakah Komanwel itu,
ke arah manakah matlamat yang dituju oleh Komanwel dan
sejauh manakah kejayaan yang telah dicapai oleh Komanwel
terhadap rakyat dan negara-negara anggota. Penerbitan buku
kecil bagi mengiringi pameran ini yang berjudul "The
Commonwealth Now", pada hemat saya, merupakan satu panduan
yang boleh menyemaikan kefahaman serta menjadi bahan rujukan
umum mengenai Komanwel.
Tuan-tuan dan puan-puan,
5. Akhir kata saya berharap pameran "Komanwel Kini" akan
dapat menyeri dan memeriahkan lagi suasana Persidangan CHOGM
ini. Dengan ini, saya dengan sukacitanya membuka pameran
"Komanwel Kini" dengan rasminya.
Sekian.
|