home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : DEWAN RAKYAT, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 16/10/89 Tajuk/Title : MEMBENTANGKAN USUL UCAPAN TAHNIAH DAN IKRAR TAAT SETIA KEPADA DYMM SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG SULTAN AZLAN SHAH Tuan Yang Dipertua Saya mohon mengemukakan usul seperti berikut: "Bahawa satu ucapan setinggi-tinggi tahniah dan lafaz ikrar taat setia Dewan ini dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Azlan Shah atas pemilihan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia." Tuan Yang Dipertua 2. Saya bagi pihak semua Ahli-Ahli Dewan Rakyat ingin menyampaikan sembah mengucapkan setinggi-tinggi tahniah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong Sultan Azlan Shah dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tuanku Bainun sempena Istiadat Pertabalan yang lalu. 3. Syukur Alhamdulillah, Istiadat Pertabalan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Azlan Shah telah berjalan dengan sempurna, penuh beradat serta gilang-gemilang. Istiadat ini telah disambut oleh rakyat dengan penuh gembira. Istiadat ini juga merupakan detik yang bersejarah dalam tradisi pemilihan Raja Yang Memerintah negara kita mengikut sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. Tuan Yang Dipertua 4. Raja Yang Memerintah memainkan peranan yang penting dalam mempertahankan kedaulatan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan serta keutuhan Perlembagaan kita. Sistem ini dan Perlembagaan kita mengadakan panduan untuk institusi-institusi Raja, Dewan Negara, Dewan Rakyat dan Jemaah Menteri bekerjasama untuk kepentingan negara dan kemajuan rakyat. Kita memerlukan kerjasama ini berjalan secara berterusan dan dengan penuh persefahaman. Saya percaya Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Azlan Shah dapat memainkan peranan Baginda dengan penuh bijaksana dan saksama serta mereka yang lain turut mengambil bahagian dengan sewajarnya. Dengan adanya persefahaman yang erat ini perjalanan pentadbiran negara kita akan sentiasa efektif serta produktif. Tuan Yang Dipertua 5. Kerajaan masih meneruskan usaha-usaha yang lebih positif untuk menjaminkan perpaduan yang erat antara rakyat berbilang kaum. Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah sumber perpaduan rakyat. Saya percaya Tuanku Sultan Azlan Shah dapat memainkan peranan ini dengan penuh bijaksana memandangkan sikap Baginda yang begitu mesra dengan rakyat serta mengambil berat tentang kebajikan rakyat. Tuan Yang Dipertua 6. Bagi pihak Dewan yang mulia ini, saya dengan perasaan penuh ikhlas sekali lagi mempersembahkan ucapan setinggi tahniah Kebawah Duli berdua, di samping berikrar taat setia Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong bahawa kita semua akan bekerjasama sepenuhnya untuk berkhidmat dengan bersih, cekap dan amanah demi kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat. 7. Akhirnya saya berdoa semoga Allah Subhanahu Wa Ta'ala melimpahkan taufik dan hidayah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong dan semoga selamat bersemayam di atas takhta Kerajaan dengan penuh kebesaran dan kemuliaan. Tuan Yang Dipertua, Saya mohon mencadangkan. |