Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	11/11/89 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA PENGISYTIHARAN SKIM 
			PELABURAN BUMIPUTERA SELEPAS 1990 




 Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Amat Berhormat Encik Abdul Ghafar Baba,
     Timbalan Perdana Menteri;
Yang Amat Berhormat Menteri-menteri Besar dan
     Ketua-ketua Menteri;
Yang Berhormat-Yang Berhormat Menteri-Menteri
     dan Timbalan-Timbalan Menteri;
Yang Berbahagia Tun Ismail Mohd. Ali,
     Pengerusi Permodalan Nasional Berhad;
Dif-Dif kehormat;
Tuan-tuan dan puan-puan.
    Saya  berterima  kasih kepada semua pihak yang bersama-
sama  menjayakan  upacara  Pengisytiharan   Skim   Pelaburan
Bumiputera  Selepas  1990 ini.  Ia merupakan satu lagi usaha
Kerajaan dalam membela masa depan masyarakat bumiputera.
Tuan-tuan dan puan-puan,
2.   Struktur ekonomi dan sosial masyarakat  Malaysia  sudah
berubah.    Kini  terdapat  golongan  kelas pertengahan yang
aktif, serta  pekerja-pekerja  perindustrian  yang  memahami
tentang  pelaburan  dan  produktiviti serta kaitannya dengan
imbuhan.  Sektor swasta pula telah diberi peranan yang lebih
dinamik dalam usaha pembangunan negara.
3.   Perubahan-perubahan struktur sosial  ini  adalah  hasil
daripada    pelaksanaan    berbagai-bagai   dasar   Kerajaan
termasuklah  Dasar  Ekonomi  Baru  yang  telah  dilaksanakan
semenjak  tahun  1970.    Di  antara strategi-strategi Dasar
Ekonomi Baru ialah menyusun semula masyarakat  supaya  dalam
dua  dekad  sekurang-kurangnya 30% pemilikan atau penyertaan
dan pengurusan ekonomi dinikmati oleh masyarakat bumiputera.
Semasa DEB digubal, pihak  kerajaan  mengambil  kira  bahawa
kedudukan dan ketahanan bumiputera di bidang perdagangan dan
perniagaan amatlah lemah.
4.   Oleh  itu,  Kerajaan  telah  mengambil  keputusan untuk
membantu secara langsung kumpulan  Bumiputera  dalam  sektor
ini.    Selepas    beberapa     tahun,   pendekatan     yang
digunakan  oleh   Kerajaan   didapati   mempunyai   beberapa
kelemahan.      Pembahagian   saham-saham   kepada  individu
bumiputera gagal  meningkatkan  kepentingan  ekonomi  mereka
kerana  ramai  daripada  mereka  mencari  jalan  mudah untuk
mendapat untung jangka  pendek  dengan  menjual  saham-saham
mereka  kepada  bukan bumiputera.   Oleh kerana ini Kerajaan
terpaksa terlibat secara lebih aktif dalam  sektor  korporat
dengan  mempergiatkan lagi syarikat-syarikat yang ditubuhkan
oleh agensi amanah seperti Pernas, MARA, UDA dan Perbadanan-
perbadanan  Kemajuan  Ekonomi  Negeri.    Semasa  menubuhkan
agensi  amanah, Kerajaan telah berjanji penglibatan Kerajaan
dalam agensi dan syarikat  ini  adalah  sementara  dan  akan
dipindahkan  kepada  bumiputera apabila keadaan mengizinkan.
Ini  adalah  untuk  membolehkan bumiputera menyertai  secara
langsung  dan  aktif  dalam  sektor  korporat.   Penglibatan
Kerajaan hanya dapat membantu penyertaan  bumiputera  tetapi
tidak  dapat  meningkatkan sepenuhnya ketahanan mereka dalam
bidang ekonomi.
5.   Pada  akhir  tahun  70an  pula  masyarakat   bumiputera
didapati  kekurangan  modal  untuk  membeli peruntukan saham
yang dikhaskan.   Dengan  itu  mereka  membeli  dengan  wang
pinjaman dan menjual balik dengan serta merta untuk membayar
hutang.    Pengagihan  peruntukan  secara meluas dan saksama
tidak  dapat  diusahakan.    Oleh  itu   Yayasan   Pelaburan
Bumiputera  yang  ditubuhkan  pada  awal  tahun  1978  telah
ditugaskan untuk menerajui usaha  penyertaan  bumiputera  di
pasaran   modal.    Yayasan    tersebut    pula        telah
menubuhkan Permodalan   Nasional   Berhad   atau   PNB  yang
bertindak  sebagai  institusi  pelaburan  yang melabur dalam
syarikat-syarikat   terpilih   untuk    disalurkan    kepada
bumiputera  perseorangan menerusi Skim Amanah Saham Nasional
atau ASN.
6.   Daripada segi prestasi,  PNB  telah  mencatatkan  rekod
yang  memuaskan.    Semenjak  ia  ditubuhkan pada tahun 1978
sehingga akhir tahun lalu, PNB  melalui  ASN  telah  berjaya
mengumpulkan  modal  bumiputera sebanyak 6,000 juta ringgit.
Ini adalah satu angka yang terbesar berbanding dengan jumlah
pelaburan  bumiputera  melalui  lain-lain  saluran.    Lebih
bermakna  lagi  ialah  sebahagian yang tidak kecil jumlahnya
adalah modal daripada kalangan bumiputera yang berpendapatan
rendah termasuk yang tinggal di luar bandar.
7.   Kejayaan Skim ASN pula boleh diukur  daripada  pulangan
yang  diterima  oleh  pelabur-pelaburnya.    Skim  ASN telah
membayar lebih $2,446 juta kepada masyarakat bumiputera yang
melabur dengannya dalam tempoh lapan  tahun.    Saya  berasa
bangga  kerana  Skim  ASN  adalah  satu-satunya  alat  untuk
mengagihkan sebahagian daripada keuntungan aktiviti  ekonomi
negara kepada masyarakat bumiputera semua lapisan.
8.   Meskipun  usaha penyusunan semula masyarakat telah giat
dilaksanakan,  matlamat  30%  penyertaan  bumiputera   dalam
sektor   korporat   tidak   akan  tercapai  menjelang  1990.
Daripada jumlah $98 ribu  juta  hakmilik  modal  saham  pada
nilai  par syarikat-syarikat berhad pada  penghujung   tahun
lalu,  penglibatan bumiputera hanyalah $19  ribu  juta  atau
19.4%.   Ini berbanding dengan 56% bagi rakyat Malaysia yang
lain  dan  24.6%  bagi  pemastautin  asing.      Perangkaan-
perangkaan  ini  jelas  menunjukkan  bumiputera  lebih  jauh
ketinggalan berbanding dengan pencapaian  bukan  bumiputera.
Cabaran-cabaran dan perubahan struktur dalam tahun 90an akan
lebih  kuat daripada yang dihadapi sebelum ini.  Justeru itu
masyarakat bumiputera harus secara serius  dan  jujur  lebih
aktif dalam sektor korporat ini.  Amalan hanya menjadi front
kepada   syarikat-syarikat   tidak  bermakna  dan  hendaklah
digantikan dengan penyertaan yang bersungguh-sungguh melalui
penanaman modal sendiri dan pengurusan harian.
9.   Daripada  jumlah  pegangan  Bumiputera  ini,  sumbangan
daripada  individu  bumiputera  mulai  dari tahun 1985 telah
melebihi  sumbangan  daripada  agensi-agensi  amanah   milik
sepenuh  Kerajaan.    Sekarang  pegangan individu bumiputera
telah meningkat kepada 13% berbanding dengan  agensi  amanah
yang  hanya  mempunyai  pegangan 6.4% dalam sektor korporat.
Sebahagian besar daripada pegangan individu  bumiputera  itu
adalah  melalui  tabung-tabung  pelaburan  seperti Skim ASN,
Tabung Haji, dan Tabung Angkatan Tentera, manakala  pegangan
syarikat-syarikat sendirian dan awam yang mendapat pelaburan
daripada individu bumiputera secara terus masih amat kecil.
Tuan-tuan dan puan-puan,
10.  Masyarakat    bumiputera    mesti    berani    menerima
persekitaran yang lebih mencabar dan memahami  risiko-risiko
yang  perlu dihadapi dalam ekonomi moden negara kita selepas
1990.  Di samping penglibatan  secara  langsung,  penyertaan
bumiputera dalam sektor korporat melalui skim tabungan saham
amanah  perlulah  diteruskan.    Masyarakat bumiputera masih
mempunyai sumber ekonomi yang terhad dan  belum  boleh  lagi
bergantung  semata-mata kepada golongan usahawan bumiputera,
atau golongan kelas  pertengahan,  untuk  mencapai  matlamat
penyertaan  yang  menyeluruh  di dalam ekonomi negara.  Oleh
itu, penggemblengan  simpanan  individu  bumiputera  melalui
tabung-tabung amanah perlu dipertingkatkan.  Melalui tabung-
tabung  ini,  kekesanan  pengurus-pengurus  bumiputera  yang
bilangannya terhad dapat diagihkan kepada lebih ramai.
11.  Namun  demikian  untuk  mendedahkan  bumiputera  kepada
risiko  turun-naik  pasaran  modal komersial, Skim ASN, yang
mengikut Surat Ikatan atau Deed of  Trust  ASN  akan  matang
mulai dari 1hb Januari 1991 akan diniagakan mengikut pasaran
harian   nilai  seunit.    Ini  bermakna  pelabur  ASN  akan
menghadapi risiko turun-naik pasaran saham.  Harga unit  ASN
tidak  lagi  tetap  pada  $1 seunit seperti sekarang, tetapi
akan diasaskan kepada nilai aset ketara portfolio  Skim  ASN
setiap  hari,  yang  berdasarkan  harga saham-saham di dalam
portfolio tersebut yang diurusniagakan di Bursa Saham  Kuala
Lumpur.
12.  Sehubungan  dengan perkembangan ini, Kerajaan, menerusi
PNB,  sedang  menyediakan  kemudahan  berurusniaga   melalui
komputer  di  pejabat  pos.    Bagi  fasa  pertama menjelang
Januari 1991, sebanyak  280  buah  pejabat  pos  di  seluruh
negara akan mempunyai kemudahan komputer talian terus dengan
ibu  pejabat  ASN.   Ini bermakna para pelabur bumiputera di
kawasan pendalaman juga  akan  mengetahui  harga  saham  ASN
setiap hari untuk mereka menjual dan membelinya.
Tuan-tuan dan puan-puan,
13.  Dengan  itu  kita  akan  menghadapi  cabaran menentukan
pertumbuhan dan pengekalan hak milik bumiputera dalam sektor
korporat.  Urusniaga saham Skim ASN mengikut  harga  pasaran
adalah  satu  cara  dan  pengalaman baru bagi kebanyakan 2.4
juta  pelabur  ASN  sekarang.     Ia   akan   memperkenalkan
bumiputera kepada realiti perniagaan, iaitu semua perniagaan
mempunyai  risiko  dan  bukan  keuntungan  yang  tinggi  dan
terjamin selama-lamanya.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
14.  Tahun-tahun 90an  merupakan  era  yang  lebih  mencabar
kepada  masyarakat  bumiputera,  bukan  sahaja daripada segi
mempertingkatkan saiz penyertaan dalam  ekonomi  yang  sudah
dicapai,  tetapi  juga memastikan supaya saiz yang sedia ada
ini dikekal, diusaha dan  dikendalikan  dengan  lebih  maju.
Dalam  konteks  ini, strategi pemilikan   ekuiti tidak harus
dilihat sebagai satu pencapaian  semata-mata  daripada  segi
hakmilik,  tetapi harus dilihat sebagai satu asas perniagaan
yang boleh memberi keuntungan  sama  seperti  pembelian  dan
penjualan  lain-lain  barangan.    Yang  perlu diawasi ialah
perniagaan  saham  bukanlah  sesuatu  urusan   yang   mudah.
Nasihat  hendaklah  didapati terlebih dahulu sebelum sesuatu
penjualan atau  pembelian  dibuat.    Jika  ada  kekhuatiran
tentang  hasil  perniagaan adalah lebih baik pemilikan saham
dikekalkan.   Penjualan yang  tidak  bijak  akan  memisahkan
bumiputera  daripada  bahagian  kekayaan  ekonomi yang telah
dikumpul oleh PNB bagi pihak mereka.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
15.  Masyarakat  Bumiputera  masih  perlu  diberi   sokongan
supaya  keupayaan dan kemampuan mereka menjadi semakin kukuh
dan meluas dalam proses perubahan struktur  ekonomi  negara.
Dalam  konteks inilah Kerajaan akan melaksanakan sebuah lagi
skim saham  amanah  untuk  memelihara  serta  memperkukuhkan
kedudukan  ekonomi masyarakat bumiputera selepas 1990.  Skim
yang akan diwujudkan ini akan dikenali sebagai  Skim  Amanah
Saham  Bumiputera  atau  Skim ASB.   Urusniaga Skim ini akan
dibuka kepada masyarakat bumiputera mulai  1  Januari  1990.
Seperti  ASN  kini  ia  adalah  kekal  pada harga $1 seunit,
manakala  had  maksimum  pelaburan   ialah   100,000   unit,
berbanding   dengan   had  50,000  unit    untuk  Skim  ASN.
Pengekalan urusniaga Skim ASB pada harga  $1  seunit  adalah
kerana  kebanyakan  masyarakat  bumiputera  berminat  dengan
pendekatan ini yang boleh melindung mereka yang kurang mahir
dalam perniagaan bursa saham.
16.  Pelaburan permulaan yang digelar  Unit  Pokok  sebanyak
$10  akan dibayar oleh PNB bagi pihak semua pelabur Skim ASN
sekarang.  Dengan ini semua pemilik saham ASN  akan  menjadi
pelabur  dalam  Skim ASB.   Tetapi pelaburan sebanyak $10.00
ini tidak boleh dikeluarkan oleh pelabur  selama  10  tahun.
Di  samping  itu  bonus bagi tahun berakhir 31 Disember 1989
akan dibayar dalam bentuk unit dalam Skim ASB.   Dengan  ini
setiap  orang  pemegang saham ASN akan mempunyai 10 unit dan
ditambah dengan 5% daripada jumlah unit ASN yang dimilikinya
dalam Skim ASB.  Unit bonus ini boleh  dijual  oleh  pelabur
jika  ia berhajat untuk mendapat wang tunai.  Dalam pada itu
pihak ASN telah menetapkan  bayaran  sebanyak  9.5%  dividen
untuk tahun berakhir 31 Disember 1989.
17.  Sebagaimana  yang  terdapat di negara-negara lain dalam
menggalakkan  penggemblengan  simpanan  orang  perseorangan,
Kerajaan  akan  memberi  pelepasan  cukai kepada Skim Amanah
Saham Bumiputera.  Ini bermakna dividen  Skim  Amanah  Saham
Bumiputera   yang   berjumlah   $5,000   ke   bawah   adalah
dikecualikan dari cukai  pendapatan.    Kerajaan  juga  akan
meneruskan    pelepasan  cukai  kepada  Permodalan  Nasional
Berhad, Amanah Saham Nasional Berhad dan Skim ASN.
18.  Skim Amanah Saham Bumiputera ini bertujuan  mengekalkan
pemilikan   modal   dalam  perniagaan  dan  perusahaan  oleh
bumiputera hasil  daripada  skim  ASN.    Adalah  dikhuatiri
apabila  sahaja unit ASN dinilai mengikut harga pasaran maka
kebanyakan daripada bumiputera akan menjual unit-unit  milik
mereka untuk mengambil keuntungan jangka pendek.  Dengan ini
segala   usaha   untuk  meningkatkan  penyertaan  bumiputera
melalui DEB akan merosot sejurus selepas tamatnya  DEB  pada
31 Disember 1990.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
19.  Alat  dan jentera untuk menjayakan DEB telah disediakan
oleh Kerajaan.  Kerajaan juga telah menyediakan modal  untuk
memesatkan  pemilikan hasil ekonomi oleh bumiputera.  Dengan
agensi Kerajaan mengambilalih beberapa  syarikat  besar  dan
kecil, sebilangan kecil bumiputera telah memperolehi peluang
mendapat  pengalaman  dan  kecekapan dalam bidang pengurusan
syarikat.
20.  Tetapi  akhirnya  yang  akan  memberi   kejayaan   yang
bermakna  kepada  DEB  dan  keadilan  sosial ialah sikap dan
peningkatan pengetahuan bumiputera sendiri dalam selok-belok
perniagaan di zaman ini.  Kelemahan yang  akan  menggagalkan
matlamat  DEB  dan  lain-lain  dasar  ialah sikap kebanyakan
bumiputera  untuk  merebut  keuntungan  jangka  pendek   dan
keengganan mereka menghadapi risiko perniagaan.  Jika saham-
saham  syarikat  yang  disusun semula dijual kepada individu
bumiputera, besar kemungkinan mereka akan menjualnya  dengan
serta-merta untuk mendapat untung segera.  Dengan itu jumlah
saham milik bumiputera tidak akan meningkat dan mereka tidak
akan menikmati kenaikan nilai saham atau keuntungannya.
21.  Dengan   adanya  PNB  maka  kelemahan  bumiputera  yang
menyebabkan mereka merebut keuntungan  jangka  pendek  dapat
dikawal.      Tetapi   kawalan  ini  tidak  akan  menjadikan
bumiputera lebih mampu menyertai bidang perniagaan.   Mereka
akan    terus   lemah,   dan matlamat DEB yang sebenar tidak
akan tercapai sepenuhnya.
22.  Oleh   sebab   inilah    maka    bumiputera    patutlah
menyingkirkan kecenderongan untuk mendapat keuntungan cepat.
Kecekapan  mengurus  boleh  ditingkatkan melalui latihan dan
pengalaman.    Modal  yang  berpatutan  boleh  diadakan  dan
dipinjam  jika perlu.   Peluang, tempat, lesen dan lain-lain
boleh diadakan dengan pertolongan Kerajaan.   Tetapi  selagi
kelemahan  yang disebut tadi tidak diatasi, DEB dan apa juga
dasar tidak akan berkesan.   Sepertimana juga  sistem  tanah
simpanan  Melayu  dan  native  land tidak menjamin kedudukan
ekonomi  bumiputera,  demikian  juga   pergantungan   kepada
Kerajaan  sebagai  pelindung    bumiputera   sepanjang  masa
tidak akan mengukuhkan ekonomi bumiputera dan  mengimbangkan
prestasi mereka dengan bukan bumiputera.
23.  Oleh itu, saya menyeru semua golongan bumiputera supaya
menyambut  Skim  Amanah  Saham  Bumiputera  sebagai  benteng
sementara bagi mereka, menjelang pembentukan sifat-sifat dan
nilai-nilai  yang  benar-benar  boleh  memberi  tempat  yang
saksama kepada mereka dalam ekonomi negara.
24.  Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan
Skim   Amanah   Saham  Bumiputera  dan  juga  memperkenalkan
logonya.
     Wabillahi    taufik     walhidayah     wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.

 
 



 
Google